
Aku nak menulis dalam bahasa Melayu. Sebab banyak yang buat perangai macam ni, orang-orang yang berdarah Melayu.
Kau tahu apa itu
profesional?
Kau juga tahu apa itu
kawan?
Ok. Bagus.
Boleh tak kau jadi kawan yang profesional? Konsepnya mudah sahaja: bertindak secara berakhlak, beretika dan elakkan daripada mengguris hati sesiapa. Bukan setakat dalam lingkungan profesionalisme sahaja yang kau perlu praktikkan, tapi dalam
berkawan juga apa salahnya jika kau buat?
Contoh satu: Dalam satu perjumpaan; mahu pergi makan malam di luar contohnya. Jika masing-masing sudah bersetuju untuk berjumpa pada pukul 8 malam, maka pada pukul 8 malam itu selewat-lewatnya semua yang terlibat sudah berkumpul. Bukannya pada pukul 8 itu baru kau mahu masuk tandas dan mandi. Jangan kau ingat kawan-kawan kau suka kalau kau lambat. Kau suka ke kalau kau kena buang masa menunggu orang lain? Kau tahu tak penantian itu satu penyeksaan?
Contoh dua: Kamu tinggal serumah. Kamu mahu pergi keluar tapi ada antara kawan serumah itu yang tak dapat kau ajak atas sebab-sebab tertentu, kereta sudah penuh contohnya. Tak boleh ke kau maklumkan secara baik bahawa sudah tidak ada ruang kosong dalam kereta? Kau ingat susah sangat ke dia nak terima? Sudah tu, kalaupun tidak dapat diajak, susah sangat ke nak tanya dia:
kau nak kirim apa-apa? Kata kawan? Serumah pula tu...
Contoh tiga: Kamu berlima mahu menuju ke suatu destinasi yang kamu berlima belum sama-sama sepakat. Lalu kamu berbincang ke mana kamu mahu pergi. Kau malas masuk campur dalam membuat keputusan dan kau serahkan kepada kawan-kawan kau untuk buat keputusan. Tapi patut ke, di akhirnya kau salahkan kawan kau tu sebab tempat yang dipilih tidak menarik pada pandangan kau?
Contoh empat: Kawan kau ada minat yang tak sama dengan kau. Normal la tu, manusia lain-lain perangai. Tapi tak boleh ke kau hormat dengan apa yang dia minat tu? Cukuplah sekadar kau menzahirkan tanda kau tidak menyokong minatnya dengan tindakan tidak terjun ke dalam minat yang sama. Dah tu, tak boleh ke kawal mulut kau tu daripada kata-kata perli dan sinis yang tidak membantu mencambahkan rasa kasih sayang, malah mungkin benar memutikkan kebencian antara kau dan dia? Itu minat dia, biarlah dia!
Contoh lima: Kawan kau sudah pesan kepada kau jangan bocorkan sebuah rahsia kerana dia tidak mahu ada hati lain yang terguris. Niatnya bagus bukan? Tapi kenapa susah sangat kau nak jaga mulut kau tu? Kenapa mesti kaubocorkan juga rahsia tu? Sekali kau buat perangai macam tu, susah kawan kau tu nak percaya kau lagi. Atau mungkin juga langsung dia tak mahu percaya kau lagi, putus kawan! Kau nak macam tu? Kau kena belajar kawal mulut dan otak kau la macam ni.
Aku membebel ni bukan apa. Sebab kalau dalam
berkawan sendiri kau susah nak bentuk profesionalisme dalam diri kau, macam mana pula kau nak buat perkara yang sama dalam hal yang melibatkan profesionalisme yang sebenar?
Bandingkan contoh-contoh di bawah dengan contoh-contoh di atas:
Contoh satu: Kalau kau ada meeting dengan boss pada pukul 9 pagi, ada kau baru terkocoh-kocoh nak capai berus gigi pada jam yang sama? Tak takut kena pecat ke?
Contoh dua: Kau bekerja di bawah seliaan seorang ketua. Tapi kau buat pejabat kau macam hotel. Suka-suka kau nak keluar masuk bila-bila masa, padahal tiada kaitan dengan kerja pun. Kau ingat ketua kau tu tunggul? Kau ingat dia takde hati dan perasaan? Kau ingat dia tak rasa tercabar ke dengan perangai tak profesional kau tu? Nak keluar boleh, tapi sekurang-kurangnya maklumkan ke mana kau mahu pergi. Kalau betul niatnya dan waktunya, tidak ada masalah untuk dia lepaskan kau.
Contoh tiga: Kau perlu buat keputusan: projek yang mana satu yang lebih menguntungkan syarikat. Kau malas atau takut untuk buat keputusan jadi kau serahkan kepada rakan sekerja kau untuk memilih bagi pihak kau. Tapi apabila projek tu gagal, kau tuding jari salahkan rakan sekerja kau tu. Beretika ke macam tu? Kau sangat tak bertanggungjawab!
Contoh empat: Kau berbeza pandangan dengan rakan sekerja kau. Keputusan sudah dibuat oleh pihak atasan, pendapat rakan sekerja kau lebih disukai oleh mereka. Tapi perlu ke kau bangkitkan itu dan ini di luar pengetahuan dia dan pihak atasan? Kau sedar tak kau sudah main tikam belakang? Apa yang kau dapat? Pengaruh? Itu yang kau mahu, kan? Dosa? Itu kau tak mahu, tapi nak tak nak kau dapat sepakej dengan pengaruh itu.
Contoh lima: Kau pegang rahsia besar syarikat. Syarikat percaya dengan kau. Tapi kau tamak, kau pecah amanah, kau bocorkan rahsia syarikat. Habis bankrup syarikat kau kerjakan. Sebab apa kau buat macam tu? Sebab kau memang tak boleh dipercayai! Rahsia-rahsia kecil pun susah nak pegang, apatah lagi rahsia-rahsia besar?
Aku mahu ulang kata-kata di atas: kalau dalam
berkawan sendiri kau susah nak bentuk profesionalisme dalam diri kau, macam mana pula kau nak buat perkara yang sama dalam hal yang melibatkan profesionalisme yang sebenar?