Saturday, May 28, 2011

Ulasan Buku: Tiket Bola Sepak untuk Putera Haziq - Aliff Danial


Kisah dongeng menjadi salah satu kebiasaan dalam proses tumbesaran minda kanak-kanak. Minda mereka perlu diasah untuk berimaginasi supaya daya kreatif dan daya imaginatif mereka berkembang. Justeru, sesuai dengan peredaran zaman, kisah-kisah dongeng Melayu tidak perlu tertakluk hanya kepada kisah-kisah dongeng zaman dahulu seperti Bawang Putih dan Bawang Merah, Raja Bersiong, dan Musang Berjanggut sahaja. Tetapi kisah-kisah dongeng baharu yang penuh dengan fantasi, jalan cerita yang tidak logik dan di luar kebiasaan perlu dicipta. Ini agar kanak-kanak zaman moden tidak berasa bosan dengan kisah-kisah dongeng yang akan luput ditelan zaman.

Pengaruh idea-idea imaginasi daripada luar yang sudah mesra dengan pengetahuan masyarakat sekarang adalah antara idea-idea biasa yang boleh menjadi luar biasa sekiranya diolah dengan baik. Ini antara yang boleh didapatkan di dalam buku tulisan Aliff Danial bertajuk Tiket Bola Sepak untuk Putera Haziq yang diterbitkan oleh PTS One. Pengembaraan dari satu tempat ke tempat menggunakan kereta api yang boleh tiba di destinasi dalam masa yang singkat bukanlah idea baharu kerana ia boleh didapatkan di dalam filem Harry Potter. Kisah mengenaii biji benih ajaib yang boleh menumbuhkan pokok yang di luar kebiasaan juga bukan perkara baharu kerana ia diambil daripada kisah Jack and the Beanstalk. Namun, pengolahan yang baik dapat menciptakan idea lama menjadi kisah dongeng baharu yang segar.

Kehadiran buku tulisan Aliff Danial ini dianggap memenuhi citarasa zaman sekarang. Saya kira buku ini disasarkan kepada kanak-kanak sekolah rendah yang sudah lancar membaca. Sesuai dengan sukatan pelajaran kini yang membolehkan kebanyakan kanak-kanak sekolah rendah lancar membaca, buku setebal 137 halaman ini bukanlah masalah besar untuk mereka baca dari muka ke muka dengan seronok.

Lebih menarik lagi, buku ini mengutarakan kisah keinginan seorang kanak-kanak untuk pandai bermain bola sepak. Pada asasnya, sudah tentu kanak-kanak lelaki yang akan lebih tertarik dengan kisah seperti itu, namun persoalannya, berapa ramai kanak-kanak lelaki yang suka membaca buku seperti ini? Saya fikir pasti ramai. Ini kerana buku ini menampilkan grafik yang segar selain watak-watak terkenal seperti Zinedine Zidane, Nakata Hidetoshi dan Park Ji Sung. Merekalah yang mengajar dan memberi semangat kepada Putera Haziq untuk belajar bermain bola sepak. Secara tidak langsung, pembaca didedahkan dengan teknik-teknik asas bermain bola sepak.

Watak-watak antagonis pula tidak hadir dalam bentuk manusia, tetapi dalam bentuk yang saya kira sesuai dengan kisah dongeng yang penuh dengan imaginasi. Contohnya seperti daun-daun yang membentuk entiti tertentu, robot kayu yang boleh bergerak dan berkata-kata, dan pokok yang suka makan orang. Ini boleh mengelakkan kanak-kanak daripada tersuntik dengan nilai-nilai negatif yang ada pada sifat manusia.

Buku yang menampilkan budaya pemakanan di beberapa buah negara ini juga mampu menyuntik semangat kanak-kanak yang membaca untuk mengembara. Putera Haziq dibawa mengembara dari satu tempat ke tempat yang menampilkan pemain-pemain bola sepak yang masyhur. Ia membuka dimensi pemikiran kanak-kanak dengan memberitahu mereka bahawa setiap tempat mempunyai jenis-jenis makanan yang tersendiri.

Namun yang lebih penting dalam buku ini ialah nilai-nilai murni yang cuba disampaikan secara langsung mahupun secara tidak langsung. Yang jelas, buku ini menampilkan nilai murni seperti kesungguhan untuk mencapai cita-cita. Yang tersembunyi pula, seperti nilai rasa hormat kepada orang tua dan rasa hormat kepada orang yang menyampaikan ilmu.

Buku ini juga bersifat interaktif bersama pembaca kerana turut menampilkan beberapa aktiviti ringkas. Ini memberikan peluang kepada pembaca untuk bukan hanya membaca, tetapi menyelami sendiri perjalanan yang ditempuhi oleh Putera Haziq sebelum sampai ke destinasi yang dituju dan mencapai objektif lawatan ke setiap destinasi.

Bagi ibu bapa yang memiliki anak-anak kecil seusia kanak-kanak sekolah rendah, buku ini boleh dijadikan koleksi khususnya bagi kanak-kanak lelaki untuk menggalakkan mereka membaca dan secara tidak langsung menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal, seperti bermain bola sepak.

Monday, May 16, 2011

Ulasan Buku ITNM: Falsafah Dunia

Tajuk buku: Falsafah Dunia
Penulis: Ninian Smart
Penterjemah: Rosiyah Latif
Harga: RM70.00 (Semenanjung Malaysia), RM75.00 (Sabah/Sarawak)


Di beberapa ceruk tempat di dunia, budaya menterjemah karya falsafah dari satu bahasa ke bahasa lain merupakan budaya yang subur pada suatu ketika dahulu yang membolehkan percambahan dan perkembangan ilmu falsafah. Namun, dalam konteks Malaysia yang asal-usulnya daripada Tanah Melayu, budaya menterjemah karya falsafah saya kira kurang subur, tidak kira dahulu mahupun sekarang. Tidak banyak (ataupun mungkin sebenarnya tiada?) karya tempatan yang bersifat sarat falsafah yang mendapat perhatian untuk diterjemah ke bahasa lain, juga tidak kira dahulu mahupun sekarang.

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) mengambil langkah proaktif untuk menterjemahkan karya hasil kajian Ninian Smart ini ke bahasa Melayu. Ia merupakan salah satu usaha untuk memperkaya koleksi buku-buku falsafah yang ditulis dalam bahasa kebangsaan Malaysia.

Buku terjemahan bertajuk seringkas “Falsafah Dunia” tanpa subtajuk ini diterjemahkan oleh Rosiyah Latif. Menggunakan pendekatan tipikal karya falsafah dengan gaya bahasa yang berselirat, ayat-ayat dan perenggan-perenggan yang panjang, dan sarat dengan istilah-istlah teknikal dan bersifat tempatan ini memerlukan kajian lanjut. Ini kerana buku ini menghimpunkan falsafah-falsafah dari segenap pelosok dunia – dari Timur Jauh hinggalah Amerika Latin. Apabila berbicara mengenai falsafah pula, kita tidak boleh lari daripada menyorot sejarah sesuatu negara, bangsa dan orang perseorangan. Asal-usul dan latar belakang membentuk sejarah. Sejarah membentuk tamadun. Tamadun dibangun dengan pemikiran – falsafah.

Perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam konteks pewujudan dan pembangunan pemikiran falsafah pada suatu masa dahulu, setiap daripadanya pada asasnya bersifat tempatan – pemikir falsafah berfikir untuk menyelesaikan isu-isu yang berlaku di sekelilingnya. Dengan jaringan komunikasi yang sememangnya sangat terhad jika dibandingkan dengan zaman sekarang, hasil-hasil pemikiran falsafah dahulu, walaupun bersifat tempatan, masih menjadi perhatian hingga sekarang untuk dikaji dan difikirkan semula. Yang membuatkan pemikiran falsafah dahulu kekal hingga sekarang, walaupun asal-usulnya adalah daripada pelbagai tempat dan tokoh falsafah, ialah ia didokumentasikan dan diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain agar pengamal dan pembudaya bahasa-bahasa lain boleh terus-menerus mengkaji dan meneliti pemikiran orang lain. Di sini dapat dilihat akan betapa pentingnya bidang penterjemahan sebagai jambatan antara dua dunia.

Apabila berkata mengenai falsafah, istilah-istilah dengan imbuhan akhiran –isme sememangnya menjadi perkara biasa. Contohnya, Konfusianisme, Toisme, Zoroastrianisme dan struktualisme (sekadar menyebut beberapa contoh secara rawak) ialah istilah-istilah yang perlu dihadam untuk memahami falsafah dari pelbagai latar belakang tokoh yang memperkenalkan pemikiran-pemikiran sedemikian. Namun, yang lebih penting bukannya memahami istilah-istilah tersebut, tetapi menyebatikannya dengan fahaman yang pembaca sedia ada di dalam fikiran. Tidak semua falsafah boleh diterima pakai oleh semua orang. Ia bergantung kepada kefahaman masing-masing. Pembaca perlu memperluas minda agar lebih terbuka dengan kepelbagaian yang ada di dalam dunia ini – termasuklah kepelbagaian pemikiran.

Selain istilah, nama-nama terkenal dalam dunia falsafah boleh ditemui hampir di setiap halaman di dalam buku ini. Karl Marx, Ibnu Khaldun dan Yamazaki Ansai (sekadar menyebut beberapa contoh secara rawak) adalah antara ahli falsafah yang terdapat di dalam buku ini. Namun, yang lebih utama bukannya nama, tetapi sumbangan mereka dalam pembangunan budaya pemikir dalam konteks masyarakat tempatan mereka, dan lebih luas lagi dalam konteks masyarakat seluruh dunia. Satu persoalan yang pasti muncul apabila berbicara mengenai falsafah ialah perbezaan antara falsafah dengan agama. Ada dua kemungkinan yang akan berlaku jika pembaca selesai membaca buku ini: Sama ada garis kefahaman yang memisahkan antara falsafah dan agama, dan titik-titik persamaan antara falsafah dan agama semakin jelas, atau garis dan titik itu semakin caca marba koordinatnya di dalam minda. Sebagaimana yang pernah diujarkan kepada saya oleh seseorang yang baharu dalam bidang falsafah (tidak mahu dinamakan), “Falsafah bukan untuk semua orang...”

Justeru, buku setebal 632 halaman ini menuntut pembacanya untuk berlapang dada dan bersedia untuk menerima kepelbagaian pemikiran yang ada pada tokoh-tokoh pemikir dahulu. Satu pertujuh daripada ketebalan buku ini terdiri daripada senarai bahan-bahan bacaan yang digunakan oleh penulis asal untuk dikaji sebelum menulis buku ini. Namun, di sebalik senarai bahan-bahan rujukan yang berjela-jela tersebut, kandungan buku ini digarap kemas dan disusun mengikut asal-usul tempat sesuatu falsafah itu muncul dan berkembang. Ini menjelaskan sejauh mana Ninian Smart benar-benar smart (bijak) dalam menyusun bahan-bahan kajiannya dan ini menunjukkan betapa beliau serius untuk menjadikan bukunya pula sebagai rujukan oleh lebih ramai ahli pemikir. Yang menarik tentang buku ini ialah koleksi menyeluruh falsafah-falsafah dari seluruh dunia yang boleh didapatkan hanya dalam satu buku.

Sebaik-baiknya pembaca mengambil tahu terlebih dahulu gerangan penulis asal buku ini walaupun ia hadir dalam pasaran Malaysia dalam tulisan bahasa Melayu. Ninian Smart, seorang profesor yang dilahirkan di Scotland sudah pasti pada awalnya bertujuan menghasilkan buku ini untuk rujukan orang-orang yang sebahasa dengannya. Justeru, dengan tidak menolak hakikat bahawa asal-usul dan latar belakang memainkan peranan penting untuk membentuk corak pemikiran seseorang, terkandung di dalamnya sudut pandang beliau dan tujuan beliau menyusun buku ini sedemikian rupa. Antara yang wajar dipetik ialah:

“Saya juga berpendapat supaya lebih memberikan manfaat kepada pembaca Barat khususnya, dan kepada semua pembaca umumnya, agar memulakan pembacaan mereka tentang pemikiran dunia di luar Eropah. Cara ini dapat membantu mereka, dan kita melepaskan diri daripada terlalu terikat dengan pandangan konvensional tentang sejarah bidang itu.”

Dari aspek penterjemahan, saya suka mengaitkan kebijaksanaan penterjemah untuk menghasilkan terjemahan yang tidak perlu pembaca terjemahkan pula ke bahasa asal untuk memahamkan teks terjemahan, dengan kesempurnaan menterjemah. Sepanjang membaca buku ini, kadang kala saya cuba memahamkan teks-teks tersebut dalam bahasa Inggeris kerana saya lebih faham jika begitu halnya. Khususnya terjemahan adverba daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu membuatkan karya terjemahan tersebut ada berbau-bau terjemahan.

Namun begitu, diharapkan dengan terbitnya karya terjemahan yang menghimpunkan falsafah-falsafah dari seluruh dunia dalam bahasa Melayu ini akan memperkembang pengajian dan pemahaman mengenai falsafah memandangkan, sepanjang pengetahuan saya, jarang sekali buku berkaitan falsafah dunia diterbitkan dalam bahasa Melayu. Walaupun sasaran pembaca buku mengenai falsafah ini adalah kecil berbanding buku-buku terjemahan yang bersifat komersial dan sastera, saya yakin ini merupakan sumbangan besar oleh ITNM dalam bidang falsafah di Malaysia, dalam bahasa Melayu.

Syabas saya ucapkan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia atas usaha murni ini.

Sunday, May 15, 2011

Panduan Menyediakan Papan Penunjuk Jalan ke Majlis Perkahwinan

Pada usia melepasi zaman universiti, ramai rakan yang aku kenal menjemput aku dan isteri ke majlis perkahwinan mereka. Dengan popularnya Facebook sebagai medium komunikasi, ramai yang menggunakan laman sesawang sosial itu untuk menghantarkan jemputan secara maya. Antara alasannya, untuk menjimatkan kos dan sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan penggunaan kertas.

Apa-apa sahajalah. Natijahnya, tetamu yang dijemput tidak memiliki peta ke tempat majlis diadakan. Jika ada pun disertakan di Facebook, ia perlu dicetak. Pencetak pula tiada.

Lalu Googlemaps menjadi laman rujukan. Namun, untuk pengetahuan, ia tidak semestinya betul. Aku sudah beberapa kali terkena. Ini berikutan nama tempat yang seakan-akan sama, mahupun disebabkan Googlemaps yang tidak sentiasa dikemaskini dengan keadaan jalan semasa.

Ada juga masalah konflik pengetahuan antara pihak yang menjemput ke majlis perkahwinan dengan pihak yang menyediakan Googlemaps, khususnya yang melibatkan kawasan sempadan di antara dua daerah. Contohnya, pada pengetahuan orang yang menjemput, dia tinggal di Setapak. Tetapi dalam Googlemaps, kawasan itu ialah Wangsa Maju.

Jadi, menjadi tanggungjawab orang yang menjemput untuk menyediakan papan penunjuk jalan di sekitar kawasan yang dijangka menjadi laluan utama tetamu.

Sepanjang pemerhatian saya, masalah-masalah berikut kerap berlaku:

  1. Langsung tiada papan penunjuk jalan.
    Melainkan tempat majlis diadakan sudah ramai yang maklum seperti di PICC ataupun di Dewan Merdeka, bolehlah begitu. Tapi kalau majlis diadakan di ceruk kampung ataupun kawasan perumahan, macam manalah tetamu tak hangin kalau tak jumpa-jumpa jalan?
  2. Papan penunjuk jalan tidak jelas.
    Tulisan pada papan penunjuk jalan perlu sebesar mungkin. Cukup besar untuk orang yang memandu melihat dengan sekali imbas. Bukannya letakkan nama penuh pengantin seolah-olah orang yang memandu akan membaca setiap butir maklumat pada papan penunjuk jalan tersebut.
  3. Papan penunjuk jalan diletakkan di tempat yang langsung orang tak terfikir akan diletakkan di situ.
    Tolonglah bijaksana sedikit kalau memilih tempat untuk meletak papan penunjuk jalan. Jangan letak di tempat-tempat yang tak strategik. Jika diletak di lampu isyarat, bagus, tetapi perlu bertanggungjawab untuk membukanya semula selepas majlis tamat.
  4. Nama pengantin pada papan penunjuk jalan tidak seperti yang biasa dikenali.
    Sebaik-baiknya letakkan nama yang paling biasa disebut oleh orang yang datang dari jauh. Kerana merekalah yang biasanya memerlukan petunjuk daripada papan penunjuk jalan tersebut. 
Untuk mengatasi masalah-masalah seperti itu, anda boleh lakukan seperti berikut:
  1. Sekarang sudah ada pihak penjual kad jemputan yang memasukkan pakej membuat kain rentang sekali dengan kad jemputan. Apa kata jika anda belanja lebih sedikit untuk memudahkan tetamu hadir ke majlis anda dengan hati yang tenang dan gembira dengan membuat kain rentang dan diletakkan di tempat-tempat yang strategik.
  2. Masih mengenai kain rentang: Letakkan gambar wajah pengantin sejelas yang mungkin selain nama pengantin. Bagi rakan-rakan yang hadir, mereka sudah pasti kenal wajah pengantin. Mereka tak kisah pun dengan nama yang diletakkan di kain rentang itu. Jangan letak gambar sisi wajah seolah-olah poster filem. Nanti orang tak kenal. Usah berangan seolah-olah anda menjemput mereka menonton wayang.
  3. Ada juga yang saya perhatikan, selain meletak gambar pengantin, ada yang meletakkan gambar kedua-dua orang tua dalam kain rentang. Idea yang bagus! Kerana tak semestinya orang kenal dengan pengantin. Ada yang hadir atas jemputan ibu bapa pengantin, dan tak kenal pun dengan wajah pengantin.
  4. Jika lebih mampu lagi, upah beberapa orang Rela untuk menunjukkan jalan ke rumah anda.
  5. Pada hari majlis diadakan, berikan telefon anda kepada ahli keluarga yang boleh dipercayai untuk menunjukkan jalan sekiranya ada yang sesat. Apa guna menyertakan nombor telefon di dalam jemputan jika didail tetapi tidak dijawab walhal anda sibuk bersanding?
Harus diingat, pihak yang menjemput ke majlis perkahwinan perlu peka dengan kehendak orang yang dijemput. Bukan sekadar makanan yang sedap dan majlis yang meriah, tetapi lebih awal daripada itu lagi. Tanpa adanya papan penunjuk jalan yang baik, mana mungkin tetamu dapat hadir? Jika dapat hadir pun, mungkin hati mereka sudah kurang ikhlas kerana berperang dengan rasa marah dek tak jumpa-jumpa jalan ke rumah pengantin.

Bak kata isteri saya, ingat... bukan semua orang ada GPS.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...