Tuesday, September 24, 2013

Mereka Doakan Agar Anak-anak Aku Menjadi Anak Yang Soleh

Gambar dan tulisan mengenai anak kedua aku, Muhammad Ziad sudah menghiasi dinding Facebook. Ada rakan berdoa, moga dia dan abangnya menjadi anak-anak yang soleh.

Sebenarnya, doa itu merupakan suatu peringatan kepada diri aku. Jika bukan aku, dengan bantuan isteri yang aku sayangi, yang bertanggungjawab menjadikan mereka anak-anak yang soleh, siapa lagi yang mahu diharapkan?

Ada terdetik rasa tertekan sebaik membaca doa itu, tetapi memilih untuk terus berasa tertekan tidak akan membawa aku ke mana-mana. Aminkan sahaja, dan rangka strategi untuk menterjemahkan doa itu menjadi realiti.

Untuk anak-anak aku menjadi anak yang soleh, aku sendiri perlu menjadi manusia yang soleh, yang taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Aku tidak boleh sekadar bergantung harap bahawa anak-anak aku akan menjadi manusia soleh jika aku sendiri tidak menjadi contoh tauladan untuk mereka.

Untuk aku menjadi manusia yang soleh, apa langkah-langkahnya? Antaranya:

1. Tingkatkan kualiti solat. Solat tiang agama. Perbanyakkan bersolat jemaah di masjid.
2. Perbanyakkan membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya. Sekadar membaca tidak akan membawa aku ke mana-mana. Kefahaman daripada membaca al-Quran itu yang perlu aku utamakan.
3. ...

Dan senarai langkah-langkah akan berlanjutan, tetapi tiada makna jika tidak aku amalkan. Aku tulis dua dahulu, dan aku yakin yang dua itulah yang akan mendorong aku melakukan lebih banyak langkah untuk menjadi manusia yang soleh, dan seterusnya menjadi model untuk diikuti oleh anak-anak aku. Amin.

Tuesday, September 17, 2013

Tanya Soalan Yang Betul

Dikatakan kini bukan zaman memberi jawapan yang betul, tetapi zaman bertanya soalan yang betul.

Aku hidup pada zaman kini. Mana mungkin aku pernah hidup pada zaman dahulu. Jadi aku tidak dapat sahkan kenyataan itu. Yang pasti aku fikir ada betulnya kita perlu bertanya soalan yang betul.

Betul itu kata adjektif. Banyak tafsirannya. Betul yang bagaimana?

Soalan yang betul ialah:

1. Soalan yang mengandungi ayat tanya apakah, bagaimanakah, di manakah, berapakah, bilakah, dan kenapakah.
2. Soalan yang tidak menggunakan adjektif.
Bandingkan:
Kedai kereta mana yang OK?
Kedai kereta mana yang servisnya bagus?
Kedai kereta mana yang servisnya menepati masa?

Apabila soalan ditanya, sudah pasti ada yang perlu menjawabnya. Diri kita juga boleh menjadi penjawab bagi soalan yang ditanya oleh diri kita sendiri.

Apabila bertanya, kita sepatutnya jelas tentang apa yang kita mahukan daripada soalan yang ditanya.

Mengambil contoh di atas, apabila kita bertanya Kedai kereta mana yang OK?, jelas kita sendiri tidak tahu apa yang kita mahu. Sebelum bertanya soalan, kita perlu kenal pasti apa yang kita mahu. Sekadar bertanya "OK", orang yang mendapat pertanyaan itu pasti tertanya-tanya: OK yang bagaimana?

Apabila soalan Kedai kereta mana yang servisnya bagus? pula ditanya, ia masih tertakluk pada pendapat peribadi orang yang akan menjawab, berdasarkan ciri yang dia sendiri tentukan, bukan ciri yang kita mahukan. Contohnya, kita mengharap orang yang menjawab itu akan memberi jawapan dari sudut ketepatan masa, tetapi dijawab dari sudut harga servis pula. Hal ini tidak memenuhi harapan kita. Salah siapa? Salah diri kita sendiri kerana tidak bertanya soalan yang betul.

Apabila bertanya, pastikan kita jelas dengan hala tuju soalan yang akan ditanya. Jangan kita kelirukan orang dengan pertanyaan yang tiada hala tuju yang jelas. 

Monday, September 02, 2013

Harga Minyak Naik Lagi

Terpulanglah jika ada yang fikir aku ini orang yang tidak boleh dibawa bergurau. Terpulanglah jika ada yang fikir aku ini orang yang terlalu sensitif. Terpulang.

Tapi aku tidak suka membaca komen-komen yang bersifat dan menunjukkan sikap negatif penulis komen itu.

Komen-komen yang bernada sinis, yang menghina pemimpin, yang bersikap menghukum, ... Aku tidak suka semua ini. Ia tidak menyelesaikan masalah. Malah menambah kusut.

Jika ada fikir aku pro mana-mana pihak, anda silap kerana fokus perbincangan ini adalah berkenaan komen-komen yang tidak membantu apa-apa pun, malah boleh mengusutkan lagi keadaan yang ada sekarang dengan mempengaruhi orang yang fikiran mereka mudah terpengaruh, orang yang tidak mahu berfikir panjang, dan orang yang lebih mudah bereaksi berbanding berfikir tenang.

Aku pelik kenapa orang ada masa untuk bersinis-sinis, mengutuk-mengutuk, tetapi tiada masa untuk sama-sama mencari penyelesaian. Jika tiada jalan untuk mencari penyelesaian, bukankah lebih baik berdiam diri sahaja?

Alangkah membazirnya masa yang ada. Buat dosa kering.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...