Tuesday, September 17, 2013

Tanya Soalan Yang Betul

Dikatakan kini bukan zaman memberi jawapan yang betul, tetapi zaman bertanya soalan yang betul.

Aku hidup pada zaman kini. Mana mungkin aku pernah hidup pada zaman dahulu. Jadi aku tidak dapat sahkan kenyataan itu. Yang pasti aku fikir ada betulnya kita perlu bertanya soalan yang betul.

Betul itu kata adjektif. Banyak tafsirannya. Betul yang bagaimana?

Soalan yang betul ialah:

1. Soalan yang mengandungi ayat tanya apakah, bagaimanakah, di manakah, berapakah, bilakah, dan kenapakah.
2. Soalan yang tidak menggunakan adjektif.
Bandingkan:
Kedai kereta mana yang OK?
Kedai kereta mana yang servisnya bagus?
Kedai kereta mana yang servisnya menepati masa?

Apabila soalan ditanya, sudah pasti ada yang perlu menjawabnya. Diri kita juga boleh menjadi penjawab bagi soalan yang ditanya oleh diri kita sendiri.

Apabila bertanya, kita sepatutnya jelas tentang apa yang kita mahukan daripada soalan yang ditanya.

Mengambil contoh di atas, apabila kita bertanya Kedai kereta mana yang OK?, jelas kita sendiri tidak tahu apa yang kita mahu. Sebelum bertanya soalan, kita perlu kenal pasti apa yang kita mahu. Sekadar bertanya "OK", orang yang mendapat pertanyaan itu pasti tertanya-tanya: OK yang bagaimana?

Apabila soalan Kedai kereta mana yang servisnya bagus? pula ditanya, ia masih tertakluk pada pendapat peribadi orang yang akan menjawab, berdasarkan ciri yang dia sendiri tentukan, bukan ciri yang kita mahukan. Contohnya, kita mengharap orang yang menjawab itu akan memberi jawapan dari sudut ketepatan masa, tetapi dijawab dari sudut harga servis pula. Hal ini tidak memenuhi harapan kita. Salah siapa? Salah diri kita sendiri kerana tidak bertanya soalan yang betul.

Apabila bertanya, pastikan kita jelas dengan hala tuju soalan yang akan ditanya. Jangan kita kelirukan orang dengan pertanyaan yang tiada hala tuju yang jelas. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...