Showing posts with label Berdua. Show all posts
Showing posts with label Berdua. Show all posts

Saturday, August 27, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian III)

Mujur kedudukan antara hospital dengan rumah mertuaku dekat sahaja. Lebih kurang dalam 2 km sahaja. Cepat-cepat aku berbincang dengan isteri setelah dia dimasukkan ke dalam wad agar aku sempat pulang ke rumah dan berbuka seawal-awalnya.

Terus aku pulang ke rumah mertua. Belum pun sempat kujejak langkah ke dalam rumah, azan sudah berkumandang. Apabila masuk ke dalam rumah, emak dan ayah mertuaku sedang berbuka puasa.

Mereka nampak tenang, tetapi aku ditebak dengan berbagai-bagai soalan daripada mereka. Sambil mengunyah juadah berbuka, aku terangkan satu persatu kronologi kisah yang berlaku petang tadi. Mereka tidak menyangka, sebaik berpisah selepas menziarahi sepupu isteriku yang baru bersalin, anak mereka pula yang dimasukkan ke dalam wad untuk bersalin.

Sebaik selesai berbuka dan menunaikan solat maghrib, aku siapkan semua barang yang disenaraikan oleh isteriku untuk dibawa ke wad. Emak dan ayah mertuaku yang asalnya bercadang untuk berterawih di masjid, membatalkan niat mereka kerana mereka banyak menolong aku mempersiapkan segala kelengkapan. Maklumlah, mereka lebih mengetahui barang-barang dan kelengkapan yang ada di dalam rumah mereka. Aku pula tidak berani mengusik barang-barang di rumah mereka.

Selesai menyiapkan segala keperluan, aku terus bertolak ke hospital.

Di hospital, aku lihat isteriku tenang sahaja. Tiada tanda-tanda mahu bersalin. Cuma katanya dia sudah ada rasa seperti sakit-sakit, tetapi sekejap ada, sekejap hilang. Tidak banyak yang dapat aku bantu, melainkan mendengarnya dan menenangkannya. Sempat juga kusuntik kata-kata semangat dan doa agar dia bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melalui satu lagi fasa dalam hidupnya - melahirkan anak!

Suami tidak dibenarkan untuk bermalam di wad. Selepas menolong isteriku mengemas barang-barang yang dibawa dari rumah, aku minta diri untuk pulang. Aku juga mengingatkannya agar menghubungiku menerusi panggilan telefon sekiranya ada apa-apa perkembangan, khususnya jika dia sudah sakit mahu bersalin.

Aku pulang dengan bermacam-macam perkara yang tertebak di dalam fikiranku. Antaranya, sudah pasti ucapan kesyukuran kerana akhirnya aku dan isteri sudah sampai ke tahap ini - menjadi ibu dan bapa. Anak yang dikandung di dalam rahim selama lebih kurang 9 bulan akhirnya akan keluar menjengah dunia.

Namun, aku tidak mahu terlalu hanyut dalam buaian angan-angan. Terus kusiapkan diriku untuk menunaikan solat terawih malam pertama bulan Ramadan tahun ini secara sendirian. Selesai bersolat, aku berbaring di katil dan cuba melelapkan mata walaupun di dalam fikiranku macam-macam yang aku fikirkan. Telefon bimbitku kuletak dekat dalam capaian. Manalah tahu, sudah tiba masanya untuk anakku dilahirkan.

Adakah 1 Ogos 2011, merangkap 1 Ramadan 1432 menjadi tarikh kelahiran anakku? Nantikan sambungannya...

Wednesday, August 24, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian II)

Setelah disahkan bahawa isteri aku perlu dimasukkan ke wad kerana jalan sudah terbuka 1 cm, kami berbincang tentang keperluan yang perlu dibawa ke wad. Beg yang mengandungi pakaian bayi dan ibunya yang sudah lama dikemas ada di dalam kereta, tetapi persiapan itu sebenarnya sangat mimimum. Ia hanya disediakan sekiranya kelahiran bayi pertama kami betul-betul dalam keadaan kecemasan.

Sebelum dimasukkan ke wad, aku dan isteri perlu mendaftar diri. Beberapa dokumen diperlukan seperti kad pengenalan dan sijil nikah. Mujur memang kubawa ke mana-mana sahaja salinan permohonan sijil nikah di dalam dompetku.

Selesai pendaftaran, aku perlu menjelaskan bayaran deposit terlebih dahulu. Aku ditawarkan wad kelas satu. Memikirkan keselesaan isteri dari pelbagai sudut khususnya bab aurat dan privasi, tidak lama untukku membuat keputusan untuk menerima tawaran itu. Mujur juga pagi hari itu aku sedia mengeluarkan wang sebanyak RM1000. Berkepuk juga dompetku. Macam tahu-tahu sahaja bahawa kepukan itu tidak lama. Ini kerana bayaran deposit bagi wad kelas pertama di hospital itu ialah RM800 bagi tempoh seminggu.

Selesai membuat bayaran, aku dan isteri diiring oleh seorang jururawat menuju ke wad yang dimaksudkan. Di situlah kami berbincang mengenai keperluan yang perlu diambil dari rumah seperti sedikit makanan dan minuman, pengecas bateri telefon, buku dan tambahan pakaian untuk menampung keperluan tinggal di wad yang kami sendiri tidak tahu berapa hari akan diluangkan di situ. Ini kerana isteriku tidak menunjukkan tanda-tanda sakit, melainkan ada kebocoran. Itu pun tidak kami sangka bahawa itu adalah air ketuban. Maklumlah, masing-masing tidak pernah melihat air ketuban dengan mata kepala sendiri.

Selesai berbincang dan menyenaraikan semua keperluan, lalu kukhabarkan melalui panggilan telefon kepada emak dan ayah mertuaku bahawa anak mereka sudah dimasukkan ke dalam wad untuk persediaan bersalin. Nak dijadikan cerita, kami sama-sama melawat sepupu isteriku di wad bersalin, yang juga merangkap anak buah emak dan ayah mertuaku, pada lewat petang sebelum isteriku pula dimasukkan ke dalam wad yang sama tidak sampai sejam selepas kami berpisah. Kebetulan pula kami pergi ke hospital secara berasingan.

Alangkah terkejutnya emak dan ayah mertuaku kerana langsung tidak menyangka bahawa anak mereka sudah mahu melahirkan anak pertamanya, yang juga merangkap cucu pertama mereka. Terus mereka tanyakan apa-apa bantuan yang mereka boleh hulurkan. Oleh sebab aku sudah jangkakan reaksi itu, lalu kutenangkan mereka. Kukatakan bahawa segalanya baik-baik sahaja. Aku akan pulang ke rumah mereka untuk mendapatkan beberapa keperluan sementara isteriku tinggal di wad.

Hari semakin lewat. Dalam kelam-kabut dan kalut itu, sempatkah aku berbuka puasa? Nantikan sambungannya...

Sunday, August 21, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian I)

Ketika kebanyakan orang lain sibuk berterawih pada malam pertama Ramadan 31 Julai lepas, aku pula sibuk menguruskan isteri yang dimasukkan ke wad untuk bersalin.

Kisahnya, aku dan isteri tidak merancang untuk masuk ke wad seawal itu kerana tanda-tanda kelahiran yang jelas belum ada. Tetapi, isteri aku berat hati untuk melepaskan aku pulang ke KL untuk menyambung tugas Isnin keesokannya. Jadi, dia meminta agar dia diperiksa oleh doktor. Manalah tahu, jalan memang sudah terbuka.

Kisahnya juga, sebenarnya bukanlah sengaja kami pergi ke hospital semata-mata untuk tujuan melakukan pemeriksaan. Tetapi kami pergi ke hospital untuk melawat sepupu isteri yang baru bersalin di hospital yang sama. Jadi, alang-alang berada di hospital, kata isteriku, apa kata kalau dia diperiksa. Manalah tahu, jalan memang sudah terbuka.

Aku turutkan sahaja. Nak dijadikan cerita, prosedur di Hospital Pakar Sultanah Muar yang terletak hanya 2 kilometer dari rumah mertuaku itu, jika sudah lakukan pemeriksaan, perlu ditahan di wad tidak kira bukaan sudah besar mahupun belum terbuka lagi. Setelah berbincang, selain hakikat bahawa isteri aku tidak mahu aku pulang ke KL, kami membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan.

Setelah diperiksa, sah! Sudah terbuka 1 cm. Segala-galanya tidak dirancang. Daripada sekadar mahu menjalankan pemeriksaan, akhirnya ditahan di wad. Dari satu sudut, ada kelegaan pada diriku kerana tidak perlu pulang ke KL dan datang semula ke Muar untuk menguruskan isteri yang mahu bersalin. Dari satu sudut lain pula, kami tidak bersedia sepenuhnya! Langsung tiada bekalan pakaian mahupun persiapan lain yang kami bawa kerana tujuan asal ke hospital itu adalah untuk melawat saudara. Namun mujur rumah mertuaku dekat dengan hospital. Mudah untuk berulang-alik dan menguruskan isteriku.

Bersambung...

Thursday, April 14, 2011

Bersangka Orang Lain Bersangka Buruk Juga Salah Satu Sangka Buruk

Sepanjang melanjutkan pengajian di universiti, hidupku dikelilingi bermacam-macam orang. Hampir di mana-mana sahaja aku berada, pasti ada yang kukenali, dan yang mengenaliku. Namun, ada juga aku mengambil peluang belajar untuk berdikari dan bersendiri dalam menjalani hidup sehari-hari. Mungkin ada yang memerhati saat ku ke hulu ke hilir menjual roti. Itu antaranya.

Selepas tamat belajar, biasanya aku meluangkan masa bersendiri selepas pulang daripada kerja. Ketika itu, aku masih bujang. Tinggal di rumah sewa bersama rakan serumah yang lain, namun tidak pernah kami berpeluang keluar bersama dek jadual masing-masing yang berlainan.

Jika ingin mengharapkan rakan-rakan yang dikenali ketika di universiti, masing-masing juga punya komitmen. Jarak betul-betul memisahkan. Namun, aku ambil yang positif, hindarkan yang negatif. Melalui pengalaman itu, aku belajar untuk melebarkan definisi berdikari dalam konteks hidup sebagai orang bujang lepasan universiti.

Pada hari bekerja, aku di Kuala Lumpur. Hujung minggunya pula, aku pulang ke kampung. Eheh, dulu aku cuma membaca kisah seperti ini di dalam novel. Tiba pula masanya untuk aku sendiri melalui pengalaman itu.

Pengalaman seperti itu mengajar aku agar lebih yakin terhadap diriku. Bahawa aku boleh sahaja melakukan banyak perkara sendirian. Bahawa ada juga hikmah jika masa tidak dikongsi dengan sesiapa. Bahawa aku mengenal diriku dalam cerminan diriku sendiri. Bahawa banyak perkara dapat diselesaikan.

Aku tidak dapat bayangkan jika aku terlalu meluangkan masa dengan orang lain. Bukannya tidak boleh langsung, tetapi perlu ada hadnya. Hasilnya, aku lebih fokus terhadap matlamatku untuk berumahtangga pada tahun 2010. Matlamat itu sudah lama aku sasarkan walaupun ketika mula-mula ia terbit, belum ada calon yang bertandang di hati.

Aku melihat hikmah. Dalam melihat hikmah, aku butakan mata daripada melihat gejala-gejala yang boleh menyerong pandanganku daripada terus terhala ke arah matlamat untuk menamatkan zaman bujang. Sedikit demi sedikit, aku kikis rasa ingin meluangkan masa dengan orang lain sambil meningkatkan usaha untuk menambahkan pendapatan untuk berkahwin.

Alhamdulillah, apabila tiba masanya dan cukup persediaan mental, fizikal, dan kewangan, urusan perkahwinanku berjalan lancar sahaja. Tidak pula terlalu terasa kerana majlis pernikahan tidak dihadiri rakan-rakan seuniversiti walhal pada saat-saat seperti itu, biasanya orang lain ada rakan-rakan yang mengiringi. Bukan tidak dijemput, tetapi masing-masing punya komitmen dan halangan. Apatah lagi majlis dilangsungkan jauh di selatan.

Tidak mengapa. Yang lebih penting ialah urusan pernikahan disudahkan, dan gadis idaman sah menjadi teman hidup. Saudara-mara kan ada menemankan? Itu lebih penting. Lihat perkara yang penting. Usah yang tidak penting mengganggu perkara yang penting. Itu antara cara mencari hikmah.

Walaupun kadang-kala syaitan berbisik di telinga cuba menghasut, namun cepat-cepat tulikan telinga dengan kapas hikmah. Sumbat ia agar tidak jatuh terberkas di hati akan titik-titik hitam sangka buruk.

Hidup perlu diteruskan. Teruskan hidup dengan bersangka baik. Biarpun dengan bersangka baik menjadi sebab orang lain pula bersangka buruk. Selagi mana sangka buruk itu tidak menjejaskan diri kita dan keluarga, teruskan bersangka baik. Jika ada yang bersangka buruk, biarlah mereka. Mungkin ada masalah dalam diri mereka yang belum diselesaikan dan tidak mahu dikongsikan dengan orang lain.

Bersangka orang lain bersangka buruk juga salah satu sangka buruk. Usah begitu. Teruskan bersangka baik. Kerana Allah ada. Dia Maha Mengetahui. Allah tahu apa yang ada di dalam hati mereka. Biar itu menjadi urusan antara mereka dengan Allah.

Senyum ya :)

Ha... Begitulah...

Monday, February 07, 2011

Mungkin Rezekimu dalam Bentuk Lain II

Dalam diam tak diam, kandungan isteriku sudah menjengah trimester kedua. Namun simptom morning sickness masih belum hilang.

Betapa perit aku lihat isteriku menahan sakit ketika muntah, menahan pening selepas muntah-muntah, dan menahan selera kerana tiada apa-apa yang lebih menyelerakan berbanding makanan-makanan yang masam dan berasid, lebih perit lagi isteriku menanggung deritanya mengandungkan anak pertama kami.

Segala-galanya baharu bagi kami. Isteriku dengan perubahan fisiologi dan psikologi sepanjang tempoh mengandung. Aku pula perlu kuat dari segi mental dan fizikal untuk terus menyokongnya. Hidup kami suami isteri tidak lagi sama seperti sepanjang tempoh berbulan madu selama enam bulan.

Jangan lihat kenyataan yang aku buat ini berbunyi seolah-olah aku mengatakan bahawa aku tidak bersyukur dengan rezeki kandungan anak yang sudah lama kami nantikan. Lihat kenyataan yang aku tulis ini dengan hati yang terbuka kerana sebaik mana pun kita cuba menafikan realiti dengan kata-kata penyedap hati, sebenar-benarnya realiti itu pahit. Telan sahaja. Hadapinya. Itulah ubat bagi melalui kehidupan yang lebih bermakna.

Sebenarnya bukan sesuatu yang enak di mata apabila melihat isteri muntah-muntah. Mujur aku tiada masalah melihat setiap luah makanan yang baru sahaja dijamahnya bersamaku sebentar sebelum dia berkejar ke sinki. Habis diluahkan segala isi perut yang belumpun sempat dihadam. Aku tidak berasa jijik. Aku layankan sahaja. Baunya asid perut tak usah cakap. Namun, aku tenang sahaja. Kerana aku tahu, si isteri yang menanggung lebih derita dan payah melalui hari-harinya. Kasihan pula mengenangkan dia terpaksa berseorangan, muntah-muntah begitu tatkala aku sedang di pejabat, mahupun sedang mengajar.

Pernah beberapa kali aku tidak perasan dia muntah-muntah dek leka dengan aktiviti lain di rumah. Tahu-tahu sahaja dia memanggilku dengan suara yang bergema. Di dalam tandas! Terus aku berkejar ke tandas. Sinki sudah penuh dengan muntahnya. Lalu kuusap-usap belakangnya. Muntah terus muntah. Tak meninggalkan sisa apa pun di dalam perut melainkan asid gastrik yang terus dirembes.

Usai muntah-muntah, badannya lemah. Tiada apa-apa bekalan makanan untuk diserap usus kecilnya. Lalu kupintanya berbaring untuk melegakan otot-otot yang membantu meluah isi perut. Dia meminta aku menyediakan sedikit minuman bersusu agar kurang sedikit rasa perit dan senak di perut. Lalu aku berkejar ke dapur, terkedek-kedek menyelongkar entah di mana bekas susu yang dimaksudkan.

Itu baru sedikit aku kongsikan cerita sepanjang 3 bulan awal isteriku mengandung. Banyak lagi yang sebenarnya ingin aku kongsikan. Cuma masa mencemburui. Hambatan kerja yang melambak-lambak menghalang aku untuk menulis sekurang-kurang dua atau tiga kali seminggu di blog. Tidak mengapalah. Aku kena dahulukan apa-apa yang mendatangkan rezeki. Kerana, walaupun yang keluar dari perut isteriku itu nanti dikatakan sebagai rezeki, namun itulah juga yang menuntut aku untuk terus mengumpul rezeki. Banyak belanja akan diperlukan.

Mujur manusia mengandung umumnya selama 9 bulan. Sempat juga untuk si suami membuat macam-macam persediaan, antaranya dari segi kewangan.

Rezeki... rezeki... mari ke mari...

Monday, December 20, 2010

Rezekimu Mungkin dalam Bentuk Lain

Aku tak pasti sudah berapa kali aku ulangkan di dalam blog ini bahawa aku dan isteri menunggu selama 6 bulan selepas kami bernikah sebelum isteri aku disahkan mengandung. Mungkin lebih ramai pasangan lain yang menunggu lebih lama lagi, tapi kali ini aku ingin sekali mengulang perkara yang sama dan membincangkannya dari sudut lain.

Jika sebelum berkahwin, soalan wajib yang akan ditanya oleh ramai orang ialah "bila mahu berkahwin?" Bagi orang yang sudah berkahwin pula, soalan wajibnya ialah "Sudah ada kah?"

Di situ aku belajar bahawa memang masyarakat Melayu khususnya yang sudah berusia dan/atau yang berasal daripada kampung berlapik-lapik apabila berbicara mengenai anak. Mungkin mereka faham benar bahawa pasangan yang ditanya mungkin boleh tersinggung sekiranya soalan lancang seperti "dah mengandung belum?" ditanyakan.

Namun, dalam ramai-ramai yang berlapik-lapik ketika bertanya, ada juga yang mungkin kurang mantap kemahiran komunikasinya. Atau mungkin mereka memilih cara bertanya sebegitu dengan niat bergurau, yang mungkin boleh disalahtafsirkan oleh yang ditanya. Bayangkan, contohnya, sejurus panggilan telefon dijawab, soalan pertama yang ditanya bukanlah khabar si pemanggil, tetapi "Oi Yam, kau dah mengandung belum?" Tak manis kan? Mujur sahaja isteriku tidak mengambil hati kerana dia kenal benar dengan rakannya itu.

Aku sendiri, sebelum berada dalam situasi isteri-belum-mengandung-selepas-beberapa-lama-berkahwin, pernah bertanya kepada rakan-rakan yang terlebih dahulu beristeri dengan soalan yang berbunyi, "Ada apa-apa berita gembira kah?" Alhamdulillah sepanjang pengetahuan dan pengamatan aku, mereka boleh menerima soalan seperti itu dan dijawab dengan mesra.

Lain pula halnya apabila aku pula yang berada dalam situasi isteri-belum-mengandung-selepas-beberapa-lama-berkahwin. Dalam beberapa bulan pertama perkahwinan, aku mencari-cari arah untuk mendapatkan cara yang terbaik untuk menjawab persoalan itu - supaya aku tidak menyinggung sesiapa - hati orang yang bertanya, hati isteri aku, dan hati aku sendiri. Nampaknya, dejavu. Apa yang pernah aku tanyakan kepada orang lain, ditanya pula kepadaku. Dan nampaknya cara orang menjawab soalanku dulu tidak membantu untuk aku sendiri menyediakan skema jawapanku.

Sejujurnya, soalan "sudah ada kah?" dan yang sepertinya bukanlah soalan yang mudah untuk dijawab. Aku bukanlah Tuhan untuk memberikan jawapan bila aku akan dikurniakan anak, tetapi yang aku dan isteri mampu lakukan ialah berusaha tanpa jemu. Ok cukup di situ.

Namun, setelah beberapa lama, aku sudah menemukan cara yang terbaik untuk menjawab soalan seperti itu - iaitu dengan cara menjawab dengan jelas bahawa kami belum dikurniakan rezeki seperti itu, dan meminta yang bertanya supaya berdoa semoga rezeki mendapat anak dipercepat. Berterus terang dan jangan segan meminta orang lain mendoakan.

Bukan niat aku untuk memperkecil rezeki anak, tetapi rezeki boleh muncul dalam bermacam-macam bentuk. Kadang kala ia muncul dalam bentuk yang kita sendiri tidak rasakan ia sebenarnya satu bentuk rezeki. Aku mahu sahaja menamakan beberapa contoh, namun aku khuatir ia terlalu peribadi dalam kehidupan suami isteri.

Cukup aku berikan satu contoh ini, yang nampak remeh tetapi sebenarnya ada isinya: aku dan isteri pergi ke Genting Highland dan bermain hampir segala permainan yang ada di situ sampai penat tak ingat dunia. Bayangkan isteri aku mampu menaiki permainan Space Shot (sebatang tiang tegak dengan 3 buah kerusi di setiap penjurunya yang meluncur ke bawah dengan laju sampai sesiapa yang menaiki rasa seolah-olah sedang jatuh daripada bangunan) sebanyak 2 kali, dan kami menaiki semua roller coaster yang ada di Genting Highland, selagi ada dan selagi buka. Kami pergi pada 30 Oktober 2010, ketika kebanyakan kaki bola sibuk menonton perlawanan akhir bola sepak Kelantan menentang Negeri Sembilan - iaitu 5 bulan selepas kami bernikah.

Bayangkan jika isteriku disahkan mengandung dalam 2-3 bulan selepas bernikah, aku yakin bahawa aku takkan berpeluang untuk pergi ke Genting Highland seperti itu. Belum sempat nak menikmati hidup berdua, sudah bertiga pula - ringkasnya begitu. Namun jangan pula salah sangka bahawa aku membuat kenyataan bahawa aku tak bersyukur akan kehadiran orang ketiga pula.

Sepanjang 6 bulan hidup berdua, bermacam-macam aktiviti telah kami lakukan bersama - ke hulu ke hilir bak pasangan bercinta - sememangnya kami bercinta dan mengenali dan memahami erti cinta suami isteri hanya selepas bernikah.

Jadi, kembali kepada isu rezeki, satu perkara yang aku ingin kongsikan - hargailah setiap saat yang kita lalui dan anggaplah ia sebagai rezeki buat masa itu. Dalam masa yang sama, jangan pernah kenal erti jemu untuk mendapatkan rezeki yang lain pula. Usaha dan doa. Kemudian tawakal. Technically speaking, mudah. Namun, hidup ini bukanlah segala-galanya berbentuk teknikal. Ingat, Allah itu wujud dan Dia Maha Kuasa!

Wednesday, November 24, 2010

Kuasa Sentuhan Tangan Isteri


Hujung minggu itu, aku, isteri dan adik kandungku pulang ke kampung bersama-sama. Aku mengambilnya dari asrama sekolahnya.

Ketika itu, sambungan internet baru sahaja dipasang di rumah. Kebetulan aku bawa pulang komputer ribaku untuk aku lakukan kerja sambilanku di kampung.

Memandangkan adikku lebih mahir dalam hal-hal yang melibatkan teknologi, lalu kuminta dia letakkan tetapan internet tanpa wayar pada komputerku sementara aku keluar membawa isteri keluar membeli barang.

Sejurus aku pulang semula ke rumah, aku dapati tetapan internet tanpa wayarku berjaya disambungkan. Tetapi aku berasa pelik kerana ikon pelayar internet kegemaranku - Google Chrome pula hilang. Lalu aku tanyakan kepada adikku akan hal itu, dengan nada yang sedikit meninggi.

"Apa yang kau usik ni?" tanyaku kepada adikku. Lalu dia menunjukkan beberapa bahagian dalam komputerku yang disentuhnya.

"Kan Abang Zaki minta letakkan tetapan internet sahaja. Janganlah usik benda lain," marahku.

Entah, mungkin kerana terlalu banyak tetapan yang telah aku letakkan dalam pelayar tersebut membuatkan aku berasa ralat akan kehilangannya kerana aku terpaksa memasangnya semula. Jadi kerja pula jika perlu memasangnya semula.

Isteriku perasan akan perubahan riak wajahku. Jika waktu keluar tadi aku gembira, tetapi terus berubah sejurus pulang dan melihat komputerku.

Terus aku mengajak isteriku masuk ke bilik. Aku mahu menenangkan hatiku. Takut pula jika anginku makin naik, entah apa pula yang akan berlaku.

Di dalam bilik, isteriku menyentuh tanganku. Lalu ujarnya dengan lembut, "Abang, tak elok marah-marah dia macam tu. Google Chrome sahaja pun."

Tersentak aku. Ada benarnya apa yang dikatakannya itu. Mudah benar aku hilang pertimbangan hanya kerana pelayar internet. "Nanti pasanglah semula," sambungnya.

Terus reda kemarahanku.

Rupa-rupanya dia belum habis lagi berkata-kata, "Tak elok Abang marah adik Abang macam itu di depan Sayang. Jatuh air mukanya."

Tersentak lagi aku. Kali ini lebih besar hujahnya. Air muka, ya air muka. Ah, kini air mukaku pula yang berubah kerana rasa bersalah menyelubungi diri.

Sambungnya lagi, "Abang kandung Sayang pun sebenarnya selalu marah Sayang, tapi dia tak buat depan Abang."

Ah, rasanya seperti dihenyak-henyak hatiku dengan rasa bersalah - rasa bersalah dengan adikku sendiri kerana memarahinya.

Oh isteri, sungguh bijak kau menasihatiku. Kau memberi nasihat dan kau juga menjaga air mukaku. Bukannya di depan orang lain.

Terima kasih Sayang.



Masih ingat bagaimana Kayla menggunakan kuasanya? Ya, melalui sentuhan.

Monday, November 08, 2010

Wahai Si Bujang, Ini Doa Kami

Dalam sebuah majlis perkahwinan rakanku, aku berjumpa dengan seorang rakanku yang lain. Dia masih bujang. Seperti biasa, isteriku setia menemankan.

Kami tidak duduk semeja dengan rakanku itu. Namun kami sempat bertegur sapa dan bersalaman sebelum aku dan isteri bingkas ke kawasan bufet untuk mendapatkan ayam golek yang nampak menyelerakan.

Dalam khayal kami melayan selera, tidak sedar pula dia mahu meninggalkan majlis lebih awal daripada kami. Tak sempat mahu berbual panjang.

Dia hulurkan tangannya, mahu bersalaman sebelum berpisah. Lalu kusambut salamnya dengan senyuman terukir di bibir. Sempat aku tanyakan kepadanya, "Kau bila pula?"

Mungkin dia faham akan maksudku, dia menjawab, "Insya Allah..."

"...lama lagi!" Lambat dia menyambung ayatnya sebelum dinoktahkan dengan sengihan sinis.

Aku faham akan maksudnya, lalu kubalas dengan tawa.

Dia menyambung, "Lepak dulu. Rumah takde lagi. Harta takde lagi. Kumpul dulu..."

"Baiklah," kujawab ringkas. Lalu dia meninggalkan majlis, berseorangan.

"Sayang," kubuka bicara dengan isteriku. "Lawak pula dia tu, kan? Tapi mendalam maksudnya. Kita yang dah kahwin, kita doakanlah kawan-kawan kita yang masih bujang supaya cepat-cepat diorang kahwin. Kita yang dah kahwin ni, kalau tak reti bersyukur, tak tahu lah."

Moga Allah permudah cara dan jalan rakan-rakanku yang masih bujang untuk berpasangan. Amin...

Thursday, November 04, 2010

Kahwin: Kenali Ibu Bapa Kalian


Aku perhatikan dalam kalangan rakan-rakan aku di Facebook kerap berkongsi artikel-artikel yang berkaitan dengan perkahwinan. Adakah tandanya aku perlu bersedia untuk jemputan akan datang yang akan datang selepuk?

Kebanyakan yang berkongsi itu pula kebanyakannya yang masih bujang, sama ada baru sahaja tamat pengajian mahupun yang masih menuntut. Bagus, maknanya mereka peka dan menjalankan sedikit penyelidikan sebelum mereka insya Allah akan melangkah ke gerbang perkahwinan.

Aku juga sebelum berkahwin mengambil masa untuk menambah ilmu pengetahuan dalam hal-hal berkaitan perkahwinan sebelum aku membuat keputusan nekad berkahwin dengan pilihan hati sejak berumur 18 tahun. Bukannya apa, aku cuma mahu memastikan aku sentiasa berada di lorong yang betul dalam aku mengatur langkahku ke destinasi cinta.

Bermacam-macam artikel yang kubaca. Termasuklah prosedur perkahwinan, tanggungjawab suami dan isteri, hak suami dan isteri, dan bermacam-macam lagi. Bukannya dahulu ketika di UIA tidak pernah belajar, malah semua pelajar UIA dikehendaki mengambil subjek Keibubapaan (Parenting) ketika berada dalam tahun kedua pengajian. Namun, sebenarnya apa yang dipelajari dulu tu, tidak cukup. Oleh sebab itu aku terus dahagakan ilmu dalam hal berkenaan yang aku dapatkan daripada pelbagai sumber - buku dan internet.

Namun, persoalannya, mampukah kita untuk mengamalkan apa-apa yang kita baca tu?

Antara yang aku tertarik ialah artikel mengenai saranan supaya kita jangan takut kahwin awal, dalam laman sesawang ILuvIslam. Bagus, aku tidak banyak komen mengenai isi artikel itu. Malah aku puji ayah kepada penulis itu kerana membenarkan anaknya berkahwin pada usia muda.

Masalahnya, bagaimana pula dengan ibu bapa lain, adakah sama dengan ayah penulis itu? Jika tidak kerana pernah kecewa, adakah ayahnya akan membuat tindakan yang sama? Aku tak pasti.

Tetapi apa yang cuba suka nak nyatakan ialah, kenali dahulu ibu bapa kalian sebelum kalian sendiri membuat keputusan untuk berkahwin awal. Adakah mereka akan membenarkan anaknya berkahwin awal?

Ada ibu bapa yang begitu merencana perjalanan hidup anak-anaknya. Sudah pasti kalian pernah dengar cerita mengenai ibu bapa yang terlalu inginkan anaknya belajar jurusan tertentu di universiti walhal anaknya tidak berminat? Samalah halnya di sini. Mungkin ibu bapa ada rencana dalam hal perkahwinan anak mereka juga.

Itu baru satu hal mengenai sama ada mahu berkahwin awal ataupun tidak. Belum masuk lagi hal mengenai persediaan dan kemeriahan majlis perkahwinan. Berbalik kepada artikel mengenai berkahwin awal tadi, sungguh bagus ayah penulis artikel itu kerana sudi menerima menantu "dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis." Tidak, aku tidak sinis di sini. Aku betul-betul puji. Tanda pembuka dan penutup kata itu bermaksud aku memetik daripada artikel tersebut. Maklumlah, Eksekutif Penyelidikan di Yayasan Ilmuwan :P

Namun, bukannya semua ibu bapa begitu. Aku sendiri yang sudah melalui proses peralihan daripada bujang kemudian menjadi suami orang ini rasa bukanlah semudah itu untuk memujuk ibu bapa menjadi seperti itu. Benar, dalam aku menyiapkan diriku ke alam perkahwinan, aku tidaklah mengharap sangat majlis yang meriah-meriah, namun apa yang berlaku dalam majlis perkahwinan aku yang lepas, lebih kepada memenuhi permintaan ibu bapaku, dan saudara-mara juga.

Tidak, aku tidak bermaksud mengatakan aku tidak suka dengan apa yang telah dilalui pada 1 Mei 2010 (tarikh nikah) serta 6 dan 13 Jun 2010 (tarikh majlis) lepas. Malah aku sangat bersyukur atas semua yang telah aku lalui.

Cuma aku ingin nasihatkan kepada kalian, jika kalian ada apa-apa pendirian mengenai impian perkahwinan dan impian majlis perkahwinan kalian, berbincanglah elok-elok dengan ibu bapa kalian. Jangan sampai hubungan antara ibu bapa dan anak menjadi renggang hanya kerana perbezaan pendapat dan impian dalam hal ini. Jika ada apa-apa yang menjadi rujukan kalian dalam menetapkan pendirian, kongsikanlah dengan ibu bapa kalian. Fahamkan mereka.

Bersedialah untuk bertolak ansur dengan ibu bapa kalian. Jangan sesekali membelakangkan mereka, malah jangan sesekali menyakiti hati mereka ketika berbincang mengenai hal perkahwinan kalian. Sekiranya kalian berat dengan pandangan untuk mengadakan majlis secara sederhana dan ringkas, jelaskan kepada mereka impian kalian itu. Mungkin "sederhana dan ringkas" kalian lain definisinya dengan "sederhana dan ringkas" sebagaimana yang difahami oleh ibu bapa kalian.

Ingat, ibu bapa kalian juga punya impian. Mungkin mereka gembira melihat ramai orang datang dan menikmati juadah dalam majlis perkahwinan kalian. Mungkin mereka suka menjalankan ibadah dengan cara memberi orang lain makan. Maklumlah, anak kahwin. Bukan selalu. Apa kata kongsikan kegembiraan dengan memberikan tetamu juadah yang enak-enak. Ada juga yang menjadikan majlis perkahwinan anak mereka sebagai medan pertemuan dengan saudara-mara dan rakan-rakan lama. Untuk itu, aku rasa jika ada kemampuan mereka untuk membantu anaknya yang berkahwin dari segi kewangan, seharusnya kita sokong impian mereka. Jemputlah tetamu seramai mungkin. Biar mereka mendoakan kesejahteraan hubungan kalian suami isteri.

Ringkasnya, selagi impian dan permintaan ibu bapa kalian tidak bercanggah dengan Islam, turutkan sahaja. Jangan kerana impian kalian untuk "berkahwin dengan mudah" ataupun berkahwin awal, kalian lupakan restu ibu bapa. Ingat, jangan sampai secuit pun wujud rasa tak redha dalam hati mereka.

Wednesday, October 27, 2010

Isteri, bukan Mary

Mungkin ramai yang sudah maklum aku mengahwini rakan sekuliyahku. Kami sama-sama mula mengenali sejak matrikulasi UIA. Maknanya, kami sebaya.

Justeru, kami mempunyai rakan sekenalan yang ramai. Ambil sahaja contoh di Facebook, rakan sepunya (mutual friends) kami seramai 468 orang. Kebanyakannya rakan dan sahabat di UIA, junior dan senior, dan ada juga rakan sekampung dan sepupu sepapat kami yang mula mengangkatnya sebagai kawan sesudah kami mengesahkan hubungan kami.

Jadi, kerap kali aku diminta untuk menyampaikan salam kepada isteriku apabila aku berhubung dengan rakan-rakanku, yang juga rakan-rakannya. Apabila bertanya mengenai perkembangan masing-masing, sudah pasti antara topik yang paling popular adalah mengenai aku dan isteri.

Namun, dalam kebanyakan hal, aku akan cuba untuk menggantikan nama isteriku dengan istilah "isteri" apabila berbicara dengan mereka. Bukannya Mary. Walaupun mereka tahu apabila aku berkata mengenai isteriku, itulah Mary.

Bukannya apa, aku rasa aku lebih selesa begitu kerana untuk mengingatkan diriku bahawa aku sudah beristeri dan tidak bujang lagi. Bukan pula bermaksud aku mudah lupa akan status diriku, tetapi aku hanya mahu memastikan bahawa aku sentiasa mengingatkan diri sendiri akan tanggungjawab yang aku pegang sebagai suami.

Malah padaku, dengan menggelarnya sebagai "isteri" dan bukan Mary apabila berbicara dengan orang lain seolah-olah meletakkan darjat isteriku ke tahap yang tinggi. Dia bukan lagi sekadar ehem-ehem yang geli-geli itu, tetapi isteriku yang sah.

Sekadar nota ringkas. :)

Friday, October 22, 2010

Article in Bernama and On Air Again

Career wise, currently, I'm not so busy although I thought I'll be busy this month with so much things. That's why I can allocate my time and energy for other things including my Szakif's Pie business, tuition class, and the freelance editing and translating services.

I have got my second translation job with the Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) and this time it's a creative writing. So, the challenge to translate the material is different from the first job I did, which was a physics book. Anyway, I'm done with the translation. It just needs a little more time on editing then I'll submit it to ITNM hoping that the book will be published for Malaysians' benefit.

Back to the topic, last week I did a translation job for a campaign and it was submitted to and published by Bernama. The original article was written by my officemate and it was about the Organ Donation Awareness Campaign. Yayasan Ilmuwan is one of the organisations involved in the campaign.

Other than that, for the sixth time (I think. Lost the counting already) I was on air in IKIM.fm and again it's about Organ Donation Awareness Campaign. It was the first time I went on air live!

I planned not to make it too ordinary where the speaker talks about the benefits of donating organ and so on so forth. But what I planned was to share with the listeners about the anatomy and physiology of the organs that can be donated so that they would appreciate their organs and would like to donate once they pass away.

However, there were some problems that caused me to be on air for about 12 minutes only rather than the scheduled 30 minutes. I thus had to talk fast and cut the points short than what I had in my script. That's the problem when it's a live show. Never mind. I hope to get a chance again to talk about it since I have prepared the materials properly.

A bit of my personal married life, after 5 months being a husband, I think I appreciate the weekends more since life is no more the same like when I was single where I basically didn't really appreciate the weekends as I do now. During the weekends I can spend the time with my family including my parents and my wife and do some other personal stuffs. During the weekdays, only Allah knows how tired I'll be when I reached home until I feel like I have sinned for not sparing a quality time with my wife. When it's weekend, it's time for my parents and that's why I say weekends are more meaningful for more now.

Wednesday, October 13, 2010

Di Belakang Tabir Hingga Hujung Nyawa

Lewat petang itu, aku dan isteri dalam perjalanan pulang ke Muar. Atau lebih tepat, kami tidak singgah di Muar dulu pun. Lajak sedikit ke Batu Pahat dari arah KL.

Bayangkan sejurus pulang daripada kerja seharian, aku ambil isteri di rumah kemudian terus pulang ke Johor. Gila.

Penat? Ya dan tidak.

Ya, kerana memang tubuh aku penat.

Tidak, kerana mental aku masih bertenaga. Apatah lagi apabila isteri di sisi.

Yang penting mental. Sebab mental yang mengawal tubuh.

Dalam sisa kekuatan yang ada, aku teruskan memandu menghala ke selatan. Sungguh, tak terasa penat sangat apabila sepanjang masa, pelbagai perkara aku borakkan, dan mungkin juga luahkan kepada isteri - hanya untuk memastikan aku terus kuat memandu.

Sehinggalah aku rasa kami sudah kehabisan topik. Radio yang menjadi latar belakang bunyi pula semakin surut bunyinya dek kelainan frekuensi. Makin lama, makin teruk bunyinya. Entahkan bunyi apa pun, aku tak tahu.

Dan itulah masa yang tepat untuk memasang cakera padat! Laju sahaja tangan isteriku menekan butang untuk memainkan cakera padat Maher Zain yang baru dibeli. Dan selaju itu juga dia terus memilih lagu For the Rest of My Life.

Memang kami meminati lagu ini. Isteri lagilah, lagi-lagi jika aku yang nyanyikan. *perasan*

Tiba-tiba timbul idea - mengapa tidak aku nyanyikan lagu itu dalam versi bahasa Melayu pula? Saat itu juga, setiap sel saraf dalam otakku mula aktif mencari kosa kata yang sesuai untuk menterjemah setaip bait lirik dalam lagu itu.

Bermula dengan bahagian korus kerana bahagian itu paling berhantu, aku mula menyanyikannya. Kerana takut terlupa, aku minta isteriku menyalin lirik yang kunyanyikan. Dia menurut sahaja.

Kertas tiada. Jika ada pun, tidak boleh menulis kerana hari sudah gelap. Lebuhraya yang asalnya tiga lorong mengecil menjadi dua lorong. Apatah lagi lampu jalan pula tiada. Makin jauh perjalanan kami, makin dekat dengan destinasi. Jadi, dia hanya menyalin menggunakan telefon bimbitnya. Kuingatkannya supaya menyimpannya betul-betul. Takut hilang.

Tidak lama. Tidak sampai setengah jam, sudah siap draf awal lirik lagu itu.

Selepas pulang ke ibu kota, aku perkemas lagi lirik itu sampai aku puas hati. Tiba masa yang sesuai, atau mungkin kurang sesuai kerana aku kurang rehat tetapi terlebih semangat selepas bekerja, aku rakamkan suaraku dengan lirik yang aku sendiri karangkan. Akhirnya, terhasillah...



Szakif - Hinggu Hujung Nyawa

Monday, October 11, 2010

Suami dan Hari Jadi


"Abang, malam ni tidur pakai baju ek," nadanya lembut, namun dapat kukesan sedikit bunyi mendesak. Tidak hilang juga - loghat Johornya.

Aku memandang wajahnya. Ah, betul. Muka mendesak. Malam-malam sebelum ini, tidak pernah pula mendesak. Namun, oleh sebab penat memenuhi tuntutan sebagai menantu pada sebelah pagi, dan anak pada sebelah petang hingga maghrib, malam pula sudah tentu untuk isteri, aku turutkan sahaja. Malas mahu berbalah-balah.

Kubuka almari. Bahagian baju di bahagian atas sekali. Bahagian tengah untuk seluar. Paling bawah pula bahagian kain pelikat. Begitulah susunan yang dibuat isteriku.

Kulihat-lihat, kutarik baju singlet. Mungkin paling selesa untuk tidur malam itu. Lalu kututup almari.

Dengan wajah selamba, aku pakai baju singlet itu di hadapannya. Entah mengapa, isteriku yang bersandar di kepala katil tersenyum sipu.

"Abang tak nampak ye?" tanyanya dalam tawa.

Ah sudah. Apa pula permainannya malam ini? Matanya pula jelas mengarahkanku melihat semula ke dalam almari.

Lalu kubuka semula almari. Kulihat bahagian lain.

Sah! Ada hadiah untukku di bahagian tengah almari rupa-rupanya!

Ah... Isteri... Bijak sungguh kau bermain denganku. Dan bijak sungguh kau meneka kemahuanku, dan pendirianku.

Ada satu kotak tidak berbalut. Dia tahu, pendirianku, jika dibalut pun, akan dikoyakkan.

Di atasnya pula ada pengepit kertas berbentuk pasu bunga. Ringkas sahaja ucapannya. Dia tahu, yang penting keikhlasan, bukan kepanjangan.

Isi kotaknya? Jeng jeng jeng...

Mesin penguli tepung! Senang nak buat pizza lagi selepas ini. :D

Kami juga ada bercadang mahu belajar membuat kek dan roti sebelum ini. Dengan adanya mesin penguli ini, bolehlah mula belajar secepat mungkin.

Terima kasih Isteri! Hari jadi Abang lebih bermakna denganmu di sisi.

Untuk itu, aku hadiahkannya pula lagu ini:


Friday, October 08, 2010

Perkahwinan Bukan Alasan Untuk...


Sejak sebelum kami berkahwin lagi, aku sering mengingatkan diriku, dan kupanjangkan pula kepada bakal (ketika itu) isteriku bahawa perkahwinan yang akan ditempuh bukanlah alasan untuk melenyapkan kebolehan dan kemahiran diri yang sudah sedia ada. Malah perkahwinan sepatutnya menjadi tunjang untuk mengasah kebolehan dan kemahiran diri ke tahap yang lebih baik.

Maklumlah, apabila sudah berkahwin, ada sebahagian tugas yang sebelumnya dibuat sendiri, kini digalas oleh pasangan.

Jika sebelum kahwin, aku pandai melipat pakaian sendiri dan mengemas rumah, jadi selepas kahwin, tugas itu diambil alih oleh isteriku. Lebih-lebih lagi memandangkan dia ada masa lebih yang diluangkan di rumah.

Jika sebelum kahwin, isteriku boleh memandu seorang diri ke destinasi yang ingin ditujunya, jadi selepas berkahwin, jika ada masa dan kelapangan aku akan hantarkannya ke tempat-tempat yang ingin ditujunya. Maklum lah, aku lebih cekap memandu berbanding isteriku.

Itu baru dua contoh. Sebenarnya banyak lagi perkara yang sedikit sebanyak telah diambil alih oleh pasangan atas tiket perkahwinan. Namun, seharusnya, ia bukanlah tiket untuk menjadi pemalas untuk mengasah kebolehan dan kemahiran diri yang pernah dimiliki. Malah, perkahwinan ialah tiket untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dalam membuat urusan hidup.

Contohnya, dalam urusan memasak (maklumlah aku memang suka memasak), ada kalanya aku perhatikan cara isteriku membuat kerja dapur. Sekiranya aku rasakan ada perkara yang boleh diperbaiki, aku akan utarakan kepadanya. Contoh paling mudah, jika memotong bawang, seelok-eloknya ia dilakukan dalam posisi berdiri, bukan duduk.

Begitu juga dalam hal berkomunikasi dengan orang lain. Ada kalanya apa yang aku rasa tidak menyakitkan hati orang, tetapi pada isteriku ia boleh menyakitkan hati. Di situlah isteriku memainkan peranan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi pada diriku.

Jika kita dapati kebolehan dan kemahiran diri meningkat selepas kahwin, jangan pernah lupa untuk memberikan sedikit penghargaan kepada pasangan kerana sedikit sebanyak, ada sumbangannya kepada kita.

Insya Allah...

Monday, September 13, 2010

Tangisan pada Malam Raya

Gema takbir hari raya terus berkumandang di udara. Aku dan isteri baru sahaja selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Selesai salam, aku terus memandang wajahnya. Cuba untuk menyelami hatinya yang pertama kali meninggalkan keluarganya pada malam raya. Kini, keluarganya yang utama ialah diriku sebagai suaminya dan dirinya sebagai isteriku.

Mungkin perasan akan lirik mata yang kuhalakan ke wajahnya, mungkin juga kerana hatinya tidak tertahan gelora yang selama ini ditahan, basah wajahnya dengan air mata sejurus merah mata dan hidungnya.

Terus aku memeluknya. Kutepis air mata yang deras mengalir. Masih cuba memahami gejolak hatinya.

"Sabar ye, Sayang. Abang faham ini kali pertama Sayang tak beraya bersama mak ayah di Muar. Mak abah kat sini kan ada," aku cuba memujuknya. Kukuatkan hati agar tidak menangis sama.

Dia masih digenangi air mata tanpa sebarang kata.

Suasana sunyi seketika. Hanya mungkin bunyi kipas yang berpusing menggetar deria pendengaran.

Kupecahkan kesunyian itu. Aku cuba memujuknya pula dengan bertakbir hari raya di telinganya.

Allahuakbarullahu akbarullahu akbar. La ilaha illahu wallahu akbar. Allahu akbar walillahilhamd.

Ah, suaraku pula yang pecah dalam tangisan. Air mata pula melimpah daripada empangan kelopak mata.

"Eh, kenapa Abang menangis juga? Ini kan kampung Abang," dia memecah kesunyian bibirnya tadi.

"Tak... Ramadan yang lepas sangat indah bersama Sayang di sisi Abang. Tak macam masa bujang dulu, kali ni dah beristeri, rasanya macam berganda-ganda pahala Abang dapat. Tak pasti sempat atau tidak Abang bertemu dengan Ramadan tahun depan." jawabku.

Isteriku pula memelukku, memberikanku semangat.

Monday, September 06, 2010

Benih yang Tak Tumbuh


Aku masih ingat semasa aku berada dalam Tahun Enam, sekolah agama rendah. Ustazah yang mengajarku mata pelajaran Tauhid menerangkan betapa Maha Kuasanya Allah.
"Kita ambil contoh seorang petani yang menanam sebutir biji benih yang paling berkualiti. Dia tanam dalam tanah yang paling subur. Dibajanya dengan baja yang paling mahal. Dijaganya dengan teknik pertanian yang paling maju. Tapi kalau Allah tak izinkan, biji benih tu takkan bercambah."

Ketika itu, aku boleh memikirkan apa yang diperkatakannya setakat apa yang aku mampu. Yang aku faham, Allah tu Maha Kuasa. Kalau Dia kata tak jadi, tak jadilah.

Meningkat usia, aku ketemu pula dengan ayat dalam al-Quran yang diulang beberapa kali, yang berbunyi,
Kun, fayakun.

Mujur aku disekolahkan di sekolah menengah agama. Boleh juga memahami sedikit sebanyak maksud firman Allah itu dan mengimaninya sehinggalah aku tamat pengajian di universiti, berkerjaya dan kini bergelar suami.

Jika aku belajar bersungguh-sungguh dengan harapan mahu mencapai kejayaan dalam peperiksaan, tapi jika Allah tak mengizinkan, aku takkan berjaya. Namun alhamdulillah, dalam kebanyakan peperiksaan, aku berjaya walaupun tak semestinya cemerlang.

Jika aku berusaha untuk mendapatkan kerjaya yang paling sesuai dengan diriku, namun jika Allah tak mengizinkan, aku takkan dapat kerjaya sebagus sekarang.

Jika aku beriya-iya menunggu jodohku dengan isteriku sekarang sejak di pusat matrikulasi lagi, namun jika Allah tak mengizinkan, aku takkan dapat memperisterikannya.

Sekarang, pada tahap hidup aku sekarang, aku tertanya-tanya, mungkinkah tiba masanya aku tak dapat apa yang aku hajatkan?

Ah, teruskan beriman dengan apa yang sudah sekian lama aku imani. Jangan pernah berasa letih untuk berusaha. Insya Allah, jika tidak esok, mungkin lusa. Bukankah Allah Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk kita?

Kan Sayang, isteriku yang cerdik?

Sunday, August 29, 2010

Zakat


Ramadan sudah hampir ke penghujungnya. Pada waktu-waktu seperti ini, persiapan menyambut perayaan semakin rancak.

Namun dalam hati aku terselit satu persoalan: Mak dan Abah sudah ada baju raya ke? Senyap je orang tua aku ni.

Hujung minggu itu, aku pulang bersama isteri ke kampung untuk menjenguk mereka. Aku tidak dapat berbuka bersama mereka maghrib itu kerana ada perancangan lain bersama rakan-rakan sesekolah rendah dulu di sebuah hotel.

Malam itu, aku ambil peluang berborak bersama Mak dan Abah. Kebetulan pula adik kandungku, Awi pulang ke rumah dari asramanya. Isteriku menemaniku di ruang tamu itu.

"Dah dekat nak raya ni, Mak Abah dah ada baju raya ke belum?" tanyaku.

"Eh takpe la, Ki. Kau simpan dahulu duit kau tu. Teguhkan kewangan kau dan isteri," jawab Abah seakan-akan faham akan niat asalku untuk membelikan mereka baju raya.

Aku tidak terus memberikan kata dua. Sedikit masa kuambil sebelum aku bersuara semula, "Itu lah. Zaki dan isteri pun sebenarnya tak beli baju khas untuk raya ni. Sebabnya baju masa bersanding dulu kan ada. Cantik pun. Tapi...."

"Tapi apanya Ki?" pantas emak memotong.

"Tapi Zaki rasa bersalah lah pula kalau tak belikan Mak Abah baju raya tahun ni. Tahun lepas Zaki belikan, tahun ni dah kahwin..." aku tidak menghabiskan kata-kataku.

"Takpe... Abah dan Mak faham. Kau tu baru kahwin. Baru belajar nak seimbangkan kewangan. Zakat fitrah kau dah bayar?" tanya Abah.

"Belum lagi," jawabku lalu kusambung, "tapi Zaki rancang nak bayarkan zakat untuk Mak dan Abah. Awi pun."

"Ha... Kalau macam tu, bagus. Itu lagi wajib. Jangan lupa bayarkan zakat untuk isteri kau tu sekali" Emak mengingatkan lalu menyimpulkan perbualan kami.

Terima kasih Emak dan Abah.

Wednesday, August 18, 2010

Mahu Raya, Banting atau Muar?


#1
"Sayang, walaupun Sayang isteri abang, tapi Sayang tetap jatuh nombor 3 dalam hati abang. Nombor satu emak, nombor dua abah, nombor tiga baru Sayang."

#2
"Sayang, sebaik sahaja Abang lafazkan akad nikah, terus rasa berat bahu Abang sebab mak ayah (mertua) dah debitkan tanggungjawab membela Sayang ke dalam akaun tanggungjawab Abang."

#3
"Sayang, pada pendapat Abang, kalaulah seorang isteri tu betul-betul memahami tanggungjawab berat seorang lelaki yang masih ada ibu bapa, yang juga merangkap suaminya, dia tidak akan persoalkan tahun ni balik raya di mana, tahun depan di mana."

#4
"Sayang, abang juga ada mak abah. Abang boleh faham perasaan Sayang kali pertama beraya tanpa mak ayah bersama. Tapi, bukankah mak abah Abang, mak abah Sayang juga?"

Penafian: Saya dan isteri sudah membuat keputusan mahu beraya di mana pada hari-hari terawal Syawal tahun ini. Malah, keputusan tersebut mendapat sokongan kedua-dua belah keluarga.

Kenyataan: Saya sangat cintakan isteri saya dan keluarga mertua. :)

Wednesday, August 11, 2010

Berpuasa sebagai Suami


Petang itu, aku tulis di Facebook:
Szakif Meli sentiasa tertanya-tanya, dalam iklan radio kurma Yusuf Tayob tu, perlu ke berbisik-bisik tu? [via Celcom SMS]
Ketika itu, aku dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat. Aku bosan tersekat dalam kesesakan trafik, namun otak aku tak pernah bosan berfikir, lalu timbullah persoalan itu yang sebenarnya sudah lama aku fikirkan.

Malam itu pula, seperti biasa aku luangkan masa yang berkualiti bersama isteri. Mula-mula memang berkualiti, namun apabila kedua-dua mula hanyut dalam kemesraan, mulalah buat perangai.

Aku berbisik kepadanya, "Sayang, esok kita dah nak puasa. Sahur kita makan kurma ye?"

Dia membalas dengan berbisik juga, "Yusuf Tayob~"

Wednesday, July 14, 2010

Tiga C


Cantik

Dia memandang cermin sambil jarinya ligat menyapu sejenis krim di mukanya. Aku sendiri tak pasti jenis krim itu, tapi aku berminat untuk ambil tahu.

Belum sempat kutanya, dia bersuara dahulu, "Maaf la, Abang. Abang dapat isteri yang tak cantik. Ada jerawat kat muka."

Agak terkejut dengan kata-katanya, lantas kubalas, "Sayang boleh tak jangan kata macam tu? Kalau Sayang kata macam tu, maknanya Sayang offend Abang tau." Kutertawa sedikit, walaupun sebenarnya aku betul-betul maksudkan apa yang kukata.


Cium

Ketika memandu kereta, tangan kananku memegang stereng kereta, tangan kiriku pula dipegang oleh isteriku di atas pehaku. Ah, bahagia sungguh ketika itu. Rasa seperti berteman - memang pun!

Tiba-tiba dia menggenggam tanganku dan diletakkan ke hidungnya. Ah, sejuk kulitnya. Mungkin kerana alat penyaman udara yang kupasang.

"Wangi tangan Abang," katanya sambil tersenyum.

Aku membalas senyumannya. Lalu kuambil tangannya pula dan kucium belakang tapak tangannya.

"Bau apa, Abang?" tanyanya.

"Bau cinta."

Kali ini senyumannya lebih lebar.


Choose

Aku dan isteri baru selesai menonton tayangan Twilight: Eclipse di panggung.

Kami tidak terlepas daripada mengkritik dan memberikan pandangan terhadap filem tersebut. Aku sudah kehabisan idea, lalu sengaja kumahu menduganya pandangan fikirannya. Aku tanyakan kepadanya, "If you're in Bella's shoes, who do choose? Edward ke, Jacob?"

Dia tidak terus menjawab, tetapi reaksinya dimulakan dengan senyuman nakal. Aku tidak dapat membaca maksud senyumannya.

"Jadi, Sayang pilih siapa? Edward ke Jacob?"

Mungkin kerana faham kutidak dapat membaca air mukanya, lalu dia menjawab, "Sudah tentu Sayang pilih Zaki!"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...