Sepanjang melanjutkan pengajian di universiti, hidupku dikelilingi bermacam-macam orang. Hampir di mana-mana sahaja aku berada, pasti ada yang kukenali, dan yang mengenaliku. Namun, ada juga aku mengambil peluang belajar untuk berdikari dan bersendiri dalam menjalani hidup sehari-hari. Mungkin ada yang memerhati saat ku ke hulu ke hilir menjual roti. Itu antaranya.
Selepas tamat belajar, biasanya aku meluangkan masa bersendiri selepas pulang daripada kerja. Ketika itu, aku masih bujang. Tinggal di rumah sewa bersama rakan serumah yang lain, namun tidak pernah kami berpeluang keluar bersama dek jadual masing-masing yang berlainan.
Jika ingin mengharapkan rakan-rakan yang dikenali ketika di universiti, masing-masing juga punya komitmen. Jarak betul-betul memisahkan. Namun, aku ambil yang positif, hindarkan yang negatif. Melalui pengalaman itu, aku belajar untuk melebarkan definisi berdikari dalam konteks hidup sebagai orang bujang lepasan universiti.
Pada hari bekerja, aku di Kuala Lumpur. Hujung minggunya pula, aku pulang ke kampung. Eheh, dulu aku cuma membaca kisah seperti ini di dalam novel. Tiba pula masanya untuk aku sendiri melalui pengalaman itu.
Pengalaman seperti itu mengajar aku agar lebih yakin terhadap diriku. Bahawa aku boleh sahaja melakukan banyak perkara sendirian. Bahawa ada juga hikmah jika masa tidak dikongsi dengan sesiapa. Bahawa aku mengenal diriku dalam cerminan diriku sendiri. Bahawa banyak perkara dapat diselesaikan.
Aku tidak dapat bayangkan jika aku terlalu meluangkan masa dengan orang lain. Bukannya tidak boleh langsung, tetapi perlu ada hadnya. Hasilnya, aku lebih fokus terhadap matlamatku untuk berumahtangga pada tahun 2010. Matlamat itu sudah lama aku sasarkan walaupun ketika mula-mula ia terbit, belum ada calon yang bertandang di hati.
Aku melihat hikmah. Dalam melihat hikmah, aku butakan mata daripada melihat gejala-gejala yang boleh menyerong pandanganku daripada terus terhala ke arah matlamat untuk menamatkan zaman bujang. Sedikit demi sedikit, aku kikis rasa ingin meluangkan masa dengan orang lain sambil meningkatkan usaha untuk menambahkan pendapatan untuk berkahwin.
Alhamdulillah, apabila tiba masanya dan cukup persediaan mental, fizikal, dan kewangan, urusan perkahwinanku berjalan lancar sahaja. Tidak pula terlalu terasa kerana majlis pernikahan tidak dihadiri rakan-rakan seuniversiti walhal pada saat-saat seperti itu, biasanya orang lain ada rakan-rakan yang mengiringi. Bukan tidak dijemput, tetapi masing-masing punya komitmen dan halangan. Apatah lagi majlis dilangsungkan jauh di selatan.
Tidak mengapa. Yang lebih penting ialah urusan pernikahan disudahkan, dan gadis idaman sah menjadi teman hidup. Saudara-mara kan ada menemankan? Itu lebih penting. Lihat perkara yang penting. Usah yang tidak penting mengganggu perkara yang penting. Itu antara cara mencari hikmah.
Walaupun kadang-kala syaitan berbisik di telinga cuba menghasut, namun cepat-cepat tulikan telinga dengan kapas hikmah. Sumbat ia agar tidak jatuh terberkas di hati akan titik-titik hitam sangka buruk.
Hidup perlu diteruskan. Teruskan hidup dengan bersangka baik. Biarpun dengan bersangka baik menjadi sebab orang lain pula bersangka buruk. Selagi mana sangka buruk itu tidak menjejaskan diri kita dan keluarga, teruskan bersangka baik. Jika ada yang bersangka buruk, biarlah mereka. Mungkin ada masalah dalam diri mereka yang belum diselesaikan dan tidak mahu dikongsikan dengan orang lain.
Bersangka orang lain bersangka buruk juga salah satu sangka buruk. Usah begitu. Teruskan bersangka baik. Kerana Allah ada. Dia Maha Mengetahui. Allah tahu apa yang ada di dalam hati mereka. Biar itu menjadi urusan antara mereka dengan Allah.
Senyum ya :)
Ha... Begitulah...
No comments:
Post a Comment