Mungkin sudah tiba masanya aku ceritakan bagaimana kandungan isteriku mula-mula dikesan.
Kisahnya agak menarik, kerana aku dan isteri tidak menjangkakan langsung kandungan itu. Bayangkan, sudah hampir enam bulan menunggu, tiada apa-apa hasil, lama-kelamaan ia mengubah cara aku dan isteri berfikir - daripada teruja menunggu setiap bulan kepada membiarkan rezeki tiba pada masanya.
Jika beberapa bulan selepas berkahwin, tiap-tiap masa untuk bulan tiba, kami ternanti-nanti. Apabila bulan memunculkan diri, terselit rasa kecewa, terselit juga rasa gembira. Kecewa kerana perlu menunggu sebulan lagi, atau mungkin dua bulan, atau entah berapa lama lagi. Gembira pula, kerana masa berbulan madu berdua dipanjangkan lagi. Enak sungguh berbulan madu berdua. Mungkin yang sudah berkahwin faham akan maksudku.
Hinggalah tiba Disember 2010. Hendak dijadikan cerita, aku dan isteri pergi ke Kuantan untuk melunaskan tuntutan kerja di sana. Program International Conference in Science and Technology menuntutku untuk membentangkan kertas kerjaku. Jika dikira-kira, sepatutnya sebelum bertolak, bulan sudah muncul. Namun tiada pula.
Lalu kubawa isteriku menemankanku ke Kuantan. Namun dia tidak dapat tinggal lama bersamaku di Kuantan. Dia perlu pulang lebih awal dengan menaiki bas untuk memenuhi tuntutan kerja di universitinya.
Malam sebelum dia pulang, aku bawakannya ke Restoran Santai, Kuantan. Menu kegemarannya sudah pasti spageti kuah cendawan. Namun yang peliknya, dia tidak berselera pula. Esoknya, ketika dia sedang menunggu bas di stesen bas, dia mengadu tekaknya terasa loya. Katanya mungkin kerana bau asap bas.
Lebih lama masaku dihabiskan di Kuantan, bulan masih belum muncul. Pelik. Duganya, dan dugaku, ada sesuatu yang tidak kena.
Sudah adakah?
Tidak keruan aku dengan perkembangan itu. Langsung aku pulang ke Kuala Lumpur, tanpa sempat meluangkan lebih masa di Kuantan menjenguk rakan-rakan yang ada di sana.
Tiba di rumah, perkara pertama yang kubuat ialah membeli kit pengesan kehamilan.
Hari pertama ujian, keputusannya masih kabur-kabur. Namun, ada terselit rasa syak bahawa sebenarnya keputusan itu positif.
Hari kedua ujian, ujian dilakukan sekali lagi. Keputusannya semakin jelas. Ada dua garisan muncul pada kit itu.
Hari ketiga, jelas dua garisan. Semakin lama dilihat, semakin jelas dua garisan itu, dan semakin menebal rasa syukur dan gembira atas perkhabaran gembira itu.
Lalu bermula langkah aku dan isteri menuju ke arah persediaan menjadi ayah dan ibu....
Masalah kurang selera dan loya semakin menjadi-jadi...
1 comment:
Congratulations for both of you!!Enjoy this sweet moment ya!! =)
Post a Comment