Monday, September 06, 2010

Benih yang Tak Tumbuh


Aku masih ingat semasa aku berada dalam Tahun Enam, sekolah agama rendah. Ustazah yang mengajarku mata pelajaran Tauhid menerangkan betapa Maha Kuasanya Allah.
"Kita ambil contoh seorang petani yang menanam sebutir biji benih yang paling berkualiti. Dia tanam dalam tanah yang paling subur. Dibajanya dengan baja yang paling mahal. Dijaganya dengan teknik pertanian yang paling maju. Tapi kalau Allah tak izinkan, biji benih tu takkan bercambah."

Ketika itu, aku boleh memikirkan apa yang diperkatakannya setakat apa yang aku mampu. Yang aku faham, Allah tu Maha Kuasa. Kalau Dia kata tak jadi, tak jadilah.

Meningkat usia, aku ketemu pula dengan ayat dalam al-Quran yang diulang beberapa kali, yang berbunyi,
Kun, fayakun.

Mujur aku disekolahkan di sekolah menengah agama. Boleh juga memahami sedikit sebanyak maksud firman Allah itu dan mengimaninya sehinggalah aku tamat pengajian di universiti, berkerjaya dan kini bergelar suami.

Jika aku belajar bersungguh-sungguh dengan harapan mahu mencapai kejayaan dalam peperiksaan, tapi jika Allah tak mengizinkan, aku takkan berjaya. Namun alhamdulillah, dalam kebanyakan peperiksaan, aku berjaya walaupun tak semestinya cemerlang.

Jika aku berusaha untuk mendapatkan kerjaya yang paling sesuai dengan diriku, namun jika Allah tak mengizinkan, aku takkan dapat kerjaya sebagus sekarang.

Jika aku beriya-iya menunggu jodohku dengan isteriku sekarang sejak di pusat matrikulasi lagi, namun jika Allah tak mengizinkan, aku takkan dapat memperisterikannya.

Sekarang, pada tahap hidup aku sekarang, aku tertanya-tanya, mungkinkah tiba masanya aku tak dapat apa yang aku hajatkan?

Ah, teruskan beriman dengan apa yang sudah sekian lama aku imani. Jangan pernah berasa letih untuk berusaha. Insya Allah, jika tidak esok, mungkin lusa. Bukankah Allah Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk kita?

Kan Sayang, isteriku yang cerdik?

2 comments:

Fieda_shairazi said...

yer...saya pon sedang menunggu berita gembira itu...

nurul aziyana said...

xper zaki..jgn stress pulak..enjoy ur honeymoon dlu..mmg tu semua takdir Tuhan..Allah tahu bila waktunya utk kalian..bila waktunya seorang perempuan itu akan mengandung..bila akan melahirkan..kelak nnt pasti both of u akan tahu kenapa bukan skrng rezeki itu dikurniakan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...