Sejak sebelum kami berkahwin lagi, aku sering mengingatkan diriku, dan kupanjangkan pula kepada bakal (ketika itu) isteriku bahawa perkahwinan yang akan ditempuh bukanlah alasan untuk melenyapkan kebolehan dan kemahiran diri yang sudah sedia ada. Malah perkahwinan sepatutnya menjadi tunjang untuk mengasah kebolehan dan kemahiran diri ke tahap yang lebih baik.
Maklumlah, apabila sudah berkahwin, ada sebahagian tugas yang sebelumnya dibuat sendiri, kini digalas oleh pasangan.
Jika sebelum kahwin, aku pandai melipat pakaian sendiri dan mengemas rumah, jadi selepas kahwin, tugas itu diambil alih oleh isteriku. Lebih-lebih lagi memandangkan dia ada masa lebih yang diluangkan di rumah.
Jika sebelum kahwin, isteriku boleh memandu seorang diri ke destinasi yang ingin ditujunya, jadi selepas berkahwin, jika ada masa dan kelapangan aku akan hantarkannya ke tempat-tempat yang ingin ditujunya. Maklum lah, aku lebih cekap memandu berbanding isteriku.
Itu baru dua contoh. Sebenarnya banyak lagi perkara yang sedikit sebanyak telah diambil alih oleh pasangan atas tiket perkahwinan. Namun, seharusnya, ia bukanlah tiket untuk menjadi pemalas untuk mengasah kebolehan dan kemahiran diri yang pernah dimiliki. Malah, perkahwinan ialah tiket untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dalam membuat urusan hidup.
Contohnya, dalam urusan memasak (maklumlah aku memang suka memasak), ada kalanya aku perhatikan cara isteriku membuat kerja dapur. Sekiranya aku rasakan ada perkara yang boleh diperbaiki, aku akan utarakan kepadanya. Contoh paling mudah, jika memotong bawang, seelok-eloknya ia dilakukan dalam posisi berdiri, bukan duduk.
Begitu juga dalam hal berkomunikasi dengan orang lain. Ada kalanya apa yang aku rasa tidak menyakitkan hati orang, tetapi pada isteriku ia boleh menyakitkan hati. Di situlah isteriku memainkan peranan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi pada diriku.
Jika kita dapati kebolehan dan kemahiran diri meningkat selepas kahwin, jangan pernah lupa untuk memberikan sedikit penghargaan kepada pasangan kerana sedikit sebanyak, ada sumbangannya kepada kita.
Insya Allah...
4 comments:
setuju2..
perkahwinan tu sendiri dalam maksudnya..
segala benda dari segala kita kene adapt sebab hidup pun dah bukan sorang2 lagi
betul2.. setuju dgn pendapat ni.
kpd suami, jgn serahkan bulat2 tanggungjawab mengurus rumah kepada isteri
nak tanya, betul ke potong bawang seelok2nya dilakukan berdiri? huhu
Bila berkahwin, we complete each other.
Mana yg kurang pada suami, isteri ada lebihnya. Mana yang yang lebih pada suami, isteri ada kurangnya.
Dari situlah kita belajar bertoleransi, berkomunikasi, dan memahami.
Pendapat daripada orang yang tak kahwin lagi. Hohoho~
SoutulMujahid:
Kalau nak senang bergerak ke hulu ke hilir di dapur, dan memberikan lebih tenaga kepada lengan yang menggenggam pisau, posisi yang lebih baik ketika memotong bawang ialah berdiri.
Post a Comment