Mujur kedudukan antara hospital dengan rumah mertuaku dekat sahaja. Lebih kurang dalam 2 km sahaja. Cepat-cepat aku berbincang dengan isteri setelah dia dimasukkan ke dalam wad agar aku sempat pulang ke rumah dan berbuka seawal-awalnya.
Terus aku pulang ke rumah mertua. Belum pun sempat kujejak langkah ke dalam rumah, azan sudah berkumandang. Apabila masuk ke dalam rumah, emak dan ayah mertuaku sedang berbuka puasa.
Mereka nampak tenang, tetapi aku ditebak dengan berbagai-bagai soalan daripada mereka. Sambil mengunyah juadah berbuka, aku terangkan satu persatu kronologi kisah yang berlaku petang tadi. Mereka tidak menyangka, sebaik berpisah selepas menziarahi sepupu isteriku yang baru bersalin, anak mereka pula yang dimasukkan ke dalam wad untuk bersalin.
Sebaik selesai berbuka dan menunaikan solat maghrib, aku siapkan semua barang yang disenaraikan oleh isteriku untuk dibawa ke wad. Emak dan ayah mertuaku yang asalnya bercadang untuk berterawih di masjid, membatalkan niat mereka kerana mereka banyak menolong aku mempersiapkan segala kelengkapan. Maklumlah, mereka lebih mengetahui barang-barang dan kelengkapan yang ada di dalam rumah mereka. Aku pula tidak berani mengusik barang-barang di rumah mereka.
Selesai menyiapkan segala keperluan, aku terus bertolak ke hospital.
Di hospital, aku lihat isteriku tenang sahaja. Tiada tanda-tanda mahu bersalin. Cuma katanya dia sudah ada rasa seperti sakit-sakit, tetapi sekejap ada, sekejap hilang. Tidak banyak yang dapat aku bantu, melainkan mendengarnya dan menenangkannya. Sempat juga kusuntik kata-kata semangat dan doa agar dia bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melalui satu lagi fasa dalam hidupnya - melahirkan anak!
Suami tidak dibenarkan untuk bermalam di wad. Selepas menolong isteriku mengemas barang-barang yang dibawa dari rumah, aku minta diri untuk pulang. Aku juga mengingatkannya agar menghubungiku menerusi panggilan telefon sekiranya ada apa-apa perkembangan, khususnya jika dia sudah sakit mahu bersalin.
Aku pulang dengan bermacam-macam perkara yang tertebak di dalam fikiranku. Antaranya, sudah pasti ucapan kesyukuran kerana akhirnya aku dan isteri sudah sampai ke tahap ini - menjadi ibu dan bapa. Anak yang dikandung di dalam rahim selama lebih kurang 9 bulan akhirnya akan keluar menjengah dunia.
Namun, aku tidak mahu terlalu hanyut dalam buaian angan-angan. Terus kusiapkan diriku untuk menunaikan solat terawih malam pertama bulan Ramadan tahun ini secara sendirian. Selesai bersolat, aku berbaring di katil dan cuba melelapkan mata walaupun di dalam fikiranku macam-macam yang aku fikirkan. Telefon bimbitku kuletak dekat dalam capaian. Manalah tahu, sudah tiba masanya untuk anakku dilahirkan.
Adakah 1 Ogos 2011, merangkap 1 Ramadan 1432 menjadi tarikh kelahiran anakku? Nantikan sambungannya...
No comments:
Post a Comment