Hari ini genap usia Z tujuh hari.
Baru sekejap tadi Abah uruskan pendaftaran nama Z di Jabatan Pendaftaran Negara di Muar.
Walaupun Abah dan Ummi sudah lama memanggil Z dengan nama ini, tetapi selagi ia belum didaftarkan secara sah, nama itu masih lagi dikatakan sebagai nama tidak rasmi.
Jadi, dengan terteranya nama Z dalam surat beranak Z, maka dengan ini rasmi dan sahlah bahawa nama penuh Z ialah:
Muhammad Zaid bin Muhammad Zaki
Ringkasnya, Muhammad Zaid bin Muhammad Zaki akan dipanggil sebagai Zaid.
Zaid,
Ketahuilah bahawa Abah dan Ummi melalui saat-saat yang sukar sepanjang menentukan nama Zaid. Nama-nama seperti Maher Zain, Abdullah, Muhammad Zaid Zafri, Ahmad, dan beberapa nama lain menjadi isu hangat yang diperdebatkan oleh Abah dan Ummi. Akhirnya, Abah dan Ummi mencapai kata sepakat bahawa nama yang dipersetujui oleh Abah dan Ummi untuk diberikan kepada anak pertama kami ialah Muhammad Zaid. Itupun selepas Abah dan Ummi menjalankan pemeriksaan imbasan jantina. Ada juga Abah dan Ummi bersiap sedia dengan nama anak perempuan jika keputusan pemeriksaan imbasan itu tidak tepat.
Zaid,
Sengaja Abah dan Ummi memberikan nama yang pendek kepada Zaid. Mudah untuk disebut, ringkas untuk ditulis. Pernah Abah nukilkan bahawa Abah lebih cenderung untuk memilih nama yang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek, Jadi, Abah harap sepanjang hidup Zaid, kekalkanlah dengan nama itu. Usah dipendekkan lagi, apatah lagi dipanjangkan lagi dengan nama-nama yang mungkin Abah dan Ummi tidak berkenan.
Biasa sahaja menjadi amalan dalam masyarakat kita. Walaupun sudah ada nama yang sedap dan bermakna, orang di sekelilingnya pula memberi nama lain. Contohnya nama Abah sendiri - pernah ada cubaan untuk meletakkan nama Abah sebagai Atan. Entah apa maksudnya. Itu belum lagi disebutkan nama Jekek. Isk, mujur tak kekal lama nama tu. Ummimu pula, di sekolahnya, dia dipanngil T-Rex. Kelakar kan? Tapi Abah pun apa kurangnya. Nama sudah sedap-sedap Muhammad Zaki, nak juga Szakif Meli ^^"
Pada Abah, kalaupun mahu memberikan nama yang comel, pastikan ada makna yang baik. Kerana setiap kali nama itu disebutkan, dalam sedar mahupun tidak, ia menjadi doa.
Zaid,
Berkata tentang maksud namamu, ia sangat berkait rapat dengan makna bertambah, meningkat, dan bertumbuh. Setahu Abah yang ada latar belakang bahasa Arab sedikit ini, perkataan Zaid berasal daripada kata akar Za-da (tambah). Zada yazidu zaidan. Dipetik daripada makna perkataan itu, maksud asas nama Zaid ialah tambah. Suka untuk Abah nyatakan perkara-perkara yang sepatutnya bertambah sepanjang hidupmu.
Zaid,
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Allah dan Rasul-Nya.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Abahmu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah imanmu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah ilmumu.
Zaid,
Jika semua itu dapat bertambah dari demi hari, insya Allah banyak perkara lain yang turut sama bertambah - rezekimu, rakan-rakanmu, kenalanmu, jasamu, budimu, kematanganmu, dan sebagainya. Insya Allah... Tidak sanggup Abah nukilkan akibat yang mungkin boleh terjadi sekiranya hal yang sebaliknya berlaku.
Zaid,
Ketahuilah juga bahawa nama Zaid itu Abah dan Ummi ambil daripada nama sahabat Nabi Muhammad S.A.W. - Zaid bin Tsabit. Beliaulah antara sahabat yang bertanggungjawab menulis al-Quran. Beliau juga banyak menulis surat bagi pihak Baginda untuk ditujukan kepada pihak-pihak yang diseru memeluk Islam. Sepanjang hidupnya selepas itu, beliau menjadi antara rujukan utama dalam penulisan al-Quran walaupun Nabi Muhammad S.A.W. sudah wafat.
Justeru Zaid, pada Abah khususnya, nama Zaid sangat rapat dengan diri Abah kerana Abah juga minat menulis. Tanpa jasa Zaid bin Tsabit menulis butir-butir ayat indah al-Quran, mana mungkin kita boleh membacanya kini. Dan ketahuilah Zaid, bahawa al-Quran itulah mukjizat Nabi Muhammad S.A.W. yang paling agung, kerana sehingga hari kiamat ia akan kekal tidak berubah dan tidak diubah.
Jadi Zaid, teladanilah dan insafilah jasa yang dilakukan oleh Zaid bin Tsabit. Tidak akan mungkin kau akan menulis al-Quran sebagaimana beliau, namun Abah doakan kau akan menjadi seorang yang hebat, yang banyak menyumbangkan jasa kepada masyarakat menerusi tulisanmu.
Sebenarnya, banyak lagi sebab yang menyumbang ke arah persetujuan Abah dan Ummi dengan nama Zaid ini. Tetapi sebab-sebab yang utama ialah seperti yang Abah bebelkan di atas. Itu belum lagi Abah nukilkan sebab nama Zaid didahulukan dengan perkataan Muhammad. Ia bukan sekadar mengikut ritma nama Abah, Zaid.
Insya Allah Zaid, dengan setiap kali namamu disebut oleh sesiapa sahaja, mudah-mudahan menjadi doa yang mustajab untuk menjadikan kau manusia yang cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat. Amin...
Namun yang pasti, untuk mencapai semua yang Abah bebelkan di atas, Abahlah yang perlu memainkan peranan paling utama dalam mencorakkan hidup Zaid. Ini kerana lahirmu ibarat kain putih yang bersih, yang perlu dicorakwarnakan oleh Abah dan Ummimu. Doakan agar Abah berjaya membimbing Zaid menjadi manusia yang cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat. Amin...
Namun yang pasti, untuk mencapai semua yang Abah bebelkan di atas, Abahlah yang perlu memainkan peranan paling utama dalam mencorakkan hidup Zaid. Ini kerana lahirmu ibarat kain putih yang bersih, yang perlu dicorakwarnakan oleh Abah dan Ummimu. Doakan agar Abah berjaya membimbing Zaid menjadi manusia yang cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat. Amin...
3 comments:
lepas ni dah boleh edit profile -
"A father to Muhammad Zaid"
zaid sungguh comel ! :)
tertanya2 dr hari tu mary dah beranak belum...hehe :)....tergerak nak cek blog u mesti ada update...tahniah...dpt baby sihat, sempurna...harap Mary pun baik2. semoga rezeki bertambah2 lepas ni...:).
p.s: baby byk ikut muka Mary?
zaid mcm muka marry..sejuk :)
btw suka nama zaid..ringkas!
Post a Comment