Dalam diam tak diam, kandungan isteriku sudah menjengah trimester kedua. Namun simptom morning sickness masih belum hilang.
Betapa perit aku lihat isteriku menahan sakit ketika muntah, menahan pening selepas muntah-muntah, dan menahan selera kerana tiada apa-apa yang lebih menyelerakan berbanding makanan-makanan yang masam dan berasid, lebih perit lagi isteriku menanggung deritanya mengandungkan anak pertama kami.
Segala-galanya baharu bagi kami. Isteriku dengan perubahan fisiologi dan psikologi sepanjang tempoh mengandung. Aku pula perlu kuat dari segi mental dan fizikal untuk terus menyokongnya. Hidup kami suami isteri tidak lagi sama seperti sepanjang tempoh berbulan madu selama enam bulan.
Jangan lihat kenyataan yang aku buat ini berbunyi seolah-olah aku mengatakan bahawa aku tidak bersyukur dengan rezeki kandungan anak yang sudah lama kami nantikan. Lihat kenyataan yang aku tulis ini dengan hati yang terbuka kerana sebaik mana pun kita cuba menafikan realiti dengan kata-kata penyedap hati, sebenar-benarnya realiti itu pahit. Telan sahaja. Hadapinya. Itulah ubat bagi melalui kehidupan yang lebih bermakna.
Sebenarnya bukan sesuatu yang enak di mata apabila melihat isteri muntah-muntah. Mujur aku tiada masalah melihat setiap luah makanan yang baru sahaja dijamahnya bersamaku sebentar sebelum dia berkejar ke sinki. Habis diluahkan segala isi perut yang belumpun sempat dihadam. Aku tidak berasa jijik. Aku layankan sahaja. Baunya asid perut tak usah cakap. Namun, aku tenang sahaja. Kerana aku tahu, si isteri yang menanggung lebih derita dan payah melalui hari-harinya. Kasihan pula mengenangkan dia terpaksa berseorangan, muntah-muntah begitu tatkala aku sedang di pejabat, mahupun sedang mengajar.
Pernah beberapa kali aku tidak perasan dia muntah-muntah dek leka dengan aktiviti lain di rumah. Tahu-tahu sahaja dia memanggilku dengan suara yang bergema. Di dalam tandas! Terus aku berkejar ke tandas. Sinki sudah penuh dengan muntahnya. Lalu kuusap-usap belakangnya. Muntah terus muntah. Tak meninggalkan sisa apa pun di dalam perut melainkan asid gastrik yang terus dirembes.
Usai muntah-muntah, badannya lemah. Tiada apa-apa bekalan makanan untuk diserap usus kecilnya. Lalu kupintanya berbaring untuk melegakan otot-otot yang membantu meluah isi perut. Dia meminta aku menyediakan sedikit minuman bersusu agar kurang sedikit rasa perit dan senak di perut. Lalu aku berkejar ke dapur, terkedek-kedek menyelongkar entah di mana bekas susu yang dimaksudkan.
Itu baru sedikit aku kongsikan cerita sepanjang 3 bulan awal isteriku mengandung. Banyak lagi yang sebenarnya ingin aku kongsikan. Cuma masa mencemburui. Hambatan kerja yang melambak-lambak menghalang aku untuk menulis sekurang-kurang dua atau tiga kali seminggu di blog. Tidak mengapalah. Aku kena dahulukan apa-apa yang mendatangkan rezeki. Kerana, walaupun yang keluar dari perut isteriku itu nanti dikatakan sebagai rezeki, namun itulah juga yang menuntut aku untuk terus mengumpul rezeki. Banyak belanja akan diperlukan.
Mujur manusia mengandung umumnya selama 9 bulan. Sempat juga untuk si suami membuat macam-macam persediaan, antaranya dari segi kewangan.
Rezeki... rezeki... mari ke mari...
1 comment:
go go go szakifmary junior
Post a Comment