Monday, May 16, 2011

Ulasan Buku ITNM: Falsafah Dunia

Tajuk buku: Falsafah Dunia
Penulis: Ninian Smart
Penterjemah: Rosiyah Latif
Harga: RM70.00 (Semenanjung Malaysia), RM75.00 (Sabah/Sarawak)


Di beberapa ceruk tempat di dunia, budaya menterjemah karya falsafah dari satu bahasa ke bahasa lain merupakan budaya yang subur pada suatu ketika dahulu yang membolehkan percambahan dan perkembangan ilmu falsafah. Namun, dalam konteks Malaysia yang asal-usulnya daripada Tanah Melayu, budaya menterjemah karya falsafah saya kira kurang subur, tidak kira dahulu mahupun sekarang. Tidak banyak (ataupun mungkin sebenarnya tiada?) karya tempatan yang bersifat sarat falsafah yang mendapat perhatian untuk diterjemah ke bahasa lain, juga tidak kira dahulu mahupun sekarang.

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) mengambil langkah proaktif untuk menterjemahkan karya hasil kajian Ninian Smart ini ke bahasa Melayu. Ia merupakan salah satu usaha untuk memperkaya koleksi buku-buku falsafah yang ditulis dalam bahasa kebangsaan Malaysia.

Buku terjemahan bertajuk seringkas “Falsafah Dunia” tanpa subtajuk ini diterjemahkan oleh Rosiyah Latif. Menggunakan pendekatan tipikal karya falsafah dengan gaya bahasa yang berselirat, ayat-ayat dan perenggan-perenggan yang panjang, dan sarat dengan istilah-istlah teknikal dan bersifat tempatan ini memerlukan kajian lanjut. Ini kerana buku ini menghimpunkan falsafah-falsafah dari segenap pelosok dunia – dari Timur Jauh hinggalah Amerika Latin. Apabila berbicara mengenai falsafah pula, kita tidak boleh lari daripada menyorot sejarah sesuatu negara, bangsa dan orang perseorangan. Asal-usul dan latar belakang membentuk sejarah. Sejarah membentuk tamadun. Tamadun dibangun dengan pemikiran – falsafah.

Perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam konteks pewujudan dan pembangunan pemikiran falsafah pada suatu masa dahulu, setiap daripadanya pada asasnya bersifat tempatan – pemikir falsafah berfikir untuk menyelesaikan isu-isu yang berlaku di sekelilingnya. Dengan jaringan komunikasi yang sememangnya sangat terhad jika dibandingkan dengan zaman sekarang, hasil-hasil pemikiran falsafah dahulu, walaupun bersifat tempatan, masih menjadi perhatian hingga sekarang untuk dikaji dan difikirkan semula. Yang membuatkan pemikiran falsafah dahulu kekal hingga sekarang, walaupun asal-usulnya adalah daripada pelbagai tempat dan tokoh falsafah, ialah ia didokumentasikan dan diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain agar pengamal dan pembudaya bahasa-bahasa lain boleh terus-menerus mengkaji dan meneliti pemikiran orang lain. Di sini dapat dilihat akan betapa pentingnya bidang penterjemahan sebagai jambatan antara dua dunia.

Apabila berkata mengenai falsafah, istilah-istilah dengan imbuhan akhiran –isme sememangnya menjadi perkara biasa. Contohnya, Konfusianisme, Toisme, Zoroastrianisme dan struktualisme (sekadar menyebut beberapa contoh secara rawak) ialah istilah-istilah yang perlu dihadam untuk memahami falsafah dari pelbagai latar belakang tokoh yang memperkenalkan pemikiran-pemikiran sedemikian. Namun, yang lebih penting bukannya memahami istilah-istilah tersebut, tetapi menyebatikannya dengan fahaman yang pembaca sedia ada di dalam fikiran. Tidak semua falsafah boleh diterima pakai oleh semua orang. Ia bergantung kepada kefahaman masing-masing. Pembaca perlu memperluas minda agar lebih terbuka dengan kepelbagaian yang ada di dalam dunia ini – termasuklah kepelbagaian pemikiran.

Selain istilah, nama-nama terkenal dalam dunia falsafah boleh ditemui hampir di setiap halaman di dalam buku ini. Karl Marx, Ibnu Khaldun dan Yamazaki Ansai (sekadar menyebut beberapa contoh secara rawak) adalah antara ahli falsafah yang terdapat di dalam buku ini. Namun, yang lebih utama bukannya nama, tetapi sumbangan mereka dalam pembangunan budaya pemikir dalam konteks masyarakat tempatan mereka, dan lebih luas lagi dalam konteks masyarakat seluruh dunia. Satu persoalan yang pasti muncul apabila berbicara mengenai falsafah ialah perbezaan antara falsafah dengan agama. Ada dua kemungkinan yang akan berlaku jika pembaca selesai membaca buku ini: Sama ada garis kefahaman yang memisahkan antara falsafah dan agama, dan titik-titik persamaan antara falsafah dan agama semakin jelas, atau garis dan titik itu semakin caca marba koordinatnya di dalam minda. Sebagaimana yang pernah diujarkan kepada saya oleh seseorang yang baharu dalam bidang falsafah (tidak mahu dinamakan), “Falsafah bukan untuk semua orang...”

Justeru, buku setebal 632 halaman ini menuntut pembacanya untuk berlapang dada dan bersedia untuk menerima kepelbagaian pemikiran yang ada pada tokoh-tokoh pemikir dahulu. Satu pertujuh daripada ketebalan buku ini terdiri daripada senarai bahan-bahan bacaan yang digunakan oleh penulis asal untuk dikaji sebelum menulis buku ini. Namun, di sebalik senarai bahan-bahan rujukan yang berjela-jela tersebut, kandungan buku ini digarap kemas dan disusun mengikut asal-usul tempat sesuatu falsafah itu muncul dan berkembang. Ini menjelaskan sejauh mana Ninian Smart benar-benar smart (bijak) dalam menyusun bahan-bahan kajiannya dan ini menunjukkan betapa beliau serius untuk menjadikan bukunya pula sebagai rujukan oleh lebih ramai ahli pemikir. Yang menarik tentang buku ini ialah koleksi menyeluruh falsafah-falsafah dari seluruh dunia yang boleh didapatkan hanya dalam satu buku.

Sebaik-baiknya pembaca mengambil tahu terlebih dahulu gerangan penulis asal buku ini walaupun ia hadir dalam pasaran Malaysia dalam tulisan bahasa Melayu. Ninian Smart, seorang profesor yang dilahirkan di Scotland sudah pasti pada awalnya bertujuan menghasilkan buku ini untuk rujukan orang-orang yang sebahasa dengannya. Justeru, dengan tidak menolak hakikat bahawa asal-usul dan latar belakang memainkan peranan penting untuk membentuk corak pemikiran seseorang, terkandung di dalamnya sudut pandang beliau dan tujuan beliau menyusun buku ini sedemikian rupa. Antara yang wajar dipetik ialah:

“Saya juga berpendapat supaya lebih memberikan manfaat kepada pembaca Barat khususnya, dan kepada semua pembaca umumnya, agar memulakan pembacaan mereka tentang pemikiran dunia di luar Eropah. Cara ini dapat membantu mereka, dan kita melepaskan diri daripada terlalu terikat dengan pandangan konvensional tentang sejarah bidang itu.”

Dari aspek penterjemahan, saya suka mengaitkan kebijaksanaan penterjemah untuk menghasilkan terjemahan yang tidak perlu pembaca terjemahkan pula ke bahasa asal untuk memahamkan teks terjemahan, dengan kesempurnaan menterjemah. Sepanjang membaca buku ini, kadang kala saya cuba memahamkan teks-teks tersebut dalam bahasa Inggeris kerana saya lebih faham jika begitu halnya. Khususnya terjemahan adverba daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu membuatkan karya terjemahan tersebut ada berbau-bau terjemahan.

Namun begitu, diharapkan dengan terbitnya karya terjemahan yang menghimpunkan falsafah-falsafah dari seluruh dunia dalam bahasa Melayu ini akan memperkembang pengajian dan pemahaman mengenai falsafah memandangkan, sepanjang pengetahuan saya, jarang sekali buku berkaitan falsafah dunia diterbitkan dalam bahasa Melayu. Walaupun sasaran pembaca buku mengenai falsafah ini adalah kecil berbanding buku-buku terjemahan yang bersifat komersial dan sastera, saya yakin ini merupakan sumbangan besar oleh ITNM dalam bidang falsafah di Malaysia, dalam bahasa Melayu.

Syabas saya ucapkan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia atas usaha murni ini.

3 comments:

En. W said...
This comment has been removed by the author.
En. W said...

maaf ya En. Zaki komen sebelumnya, silap taip.

Bagus juga ITNM menterjemahkan buku itu, boleh menambahkan pengetahuan setiap lapisan masayarakat.

aishah said...

Assalamualaikum encik. Saya minta keizinan untuk menjadikan tulisan encik ini sebagai rujukan ya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...