Wednesday, October 12, 2011

Apam Cendawan Szakif



Sebenarnya bukanlah apa beza sangat apam ni dengan apam mekar. Cumanya bila aku kukus, buka je penutup kukus, jadi macam tu pula rupanya. Hehe.. Cara dia merekah atau mekar tu lain plak. Seolah-olah ada dua bahagian, atas dan bawah.

Pada pandangan aku, rupanya macam peti bulat yang ada penutup ternganga di atasnya. Pada pandangan isteri aku pula, macam cendawan. Kalau tengok dari perspektif yang dekat, memang ada rupa cendawan pun apam tu. Kan?

Aku rasa apam aku tu merekah jadi macam tu sebab bekas plastik yang aku gunakan untuk menampung cawan kertas aku tu lebih tinggi berbanding cawan kertasnya. Hasil daripada tindak balas fizik... Biasanya orang kata tindak balas kimia kan? Tapi ni tindak balas fizik ye... Sebab melibatkan benda yang tak nampak tapi ada kesannya dalam kehidupan, iaitu haba.

Ok lah, ini resepinya:

3 ulas telur (bukan tiga biji telur ye.. Bahasa kena betul... Biji untuk buah sahaja)
1 1/4 cawan gula halus (tadi aku takde gula halus, jadi aku kisar sendiri gula kasar yang ada. Mudah...)
1 tbsp ovalett

Adun tiga bahan ni terlebih dahulu sampai kembang.

1 tsp esen vanila

Masukkan, adun lagi.

3 cawan tepung
1 cawan air ais krim soda

Masukkan berselang seli. Agak-agak kalau tepung tu dah likat, tambah air ais krim soda. Agak-agak dah sebati adunannya, tambah tepung lagi. Bergilir-gilir.

Kemudian, masukkan adunan yang telah sebati  ke dalam piping bag, dan pindahkan ke dalam cawan kertas pula.

Kukus selama 15 minit, bergantung pada ketebalan adunan. Kalau buat dalam bekas cawan kertas yang kecil, 15 minit la. Kalau besar sikit, lebih lama lagi la.

Pastikan air kukusan betul-betul mendidih sebelum memasukkan adunan.

Kemudian, tengok la macam rupa rekahan apam korang. Lain bekas lain kesan rekahannya kot?

Tentang warna, kali ni aku dan isteri memilih untuk tidak mewarnakannya. Too much la already masa buat apam polkadot tempoh hari. Hu..

Selamat mencuba!

Saturday, September 24, 2011

Resepi Paprik Versi Szakif

Mungkin resepi paprik ini sedikit sebanyak berlainan daripada resepi yang biasanya orang buat. Resepi aku ni rasanya tak jauh berbeza daripada rasa sayur paprik yang biasanya boleh didapatkan di restoran makanan laut, cuma mungkin lebih meriah sebab lebih banyak sayur-sayuran.

Bahan-bahannya:
Minyak masak secawan
Bawang besar 3 biji dipotong kasar-kasar
Bawang putih 10 biji dipotong kasar-kasar
Setengah kiub pati daging
3 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos tomato
Daun limau purut 5 helai
*Daging dipotong nipis (direbus dahulu)/ayam dipotong dadu
*Tempe dipotong dadu
*Kacang buncir dipotong setengah, serong
*Kacang hijau diricih serong
*Tomato dipotong empat
*Bunga kobis dipotong nipis
*Brokoli dipotong nipis
*Lobak merah dipotong panjang-panjang
2 sudu tepung gandum
Air secukupnya

Cara masak:
  1. Tumis bawang besar dan bawang putih.
  2. Masukkan kiub pati daging.
  3. Masukkan ayam/daging.
  4. Masukkan sos tiram dan sos tomato.
  5. Masukkan daun limau purut.
  6. Masukkan semua bahan bertanda *.
  7. Masukkan air dan gaul sehingga sayur cukup layu dan masak.
  8. Masukkan air. Ikut suka nak banyak mana. Dicadangkan, 2 cawan.
  9. Bancuh tepung gandum dengan air sejuk dan tuang mengena terus kepada air, bukan kepada sayur.
  10. Gaul sehingga cukup pekat.
  11. Hidangkan.
Nota:
  • Bahan yang bertanda * bermaksud ikut suka la nak masukkan banyak mana.
  • Sukatan di atas sesuai untuk menyediakan hidangan untuk 5-7 orang.
  • Kalau perasan, gula dan garam langsung takde. Apatah lagi perasa. Sebabnya kiub pati daging dan sos tiram dan sos tomato sudah ada bahan-bahan tu.
  • Kalau perasan juga, aku tak gunakan halia mahupun serai. Mungkin itu kelainan yang ada pada resepi aku ni.
  • Aku tak pasti kenapa, tapi yang aku buat, tak hanyir walaupun guna daging. 
  • Aku tak letak gambar sebab tak sempat nak ambil gambar, dah habis. Hu~

Monday, September 19, 2011

Apam Polkadot Ladybugs Resepi Szakif



Sepanjang pengetahuan aku, aku tak jumpa lagi orang lelaki yang buat apam polkadot. Hinggalah aku sendiri yang buat apam polkadot, barulah aku tahu sebab yang mungkin menyebabkan tak ramai lelaki yang nak buat apam.

Sebabnya kena sabar!

Macam aku sendiri, aku jenis yang agresif di dapur. Kalau buat kerja di dapur, nak laju sahaja. Maklumlah, lelaki.

Mungkin itu juga sebabnya baru sekarang aku berjinak-jinak nak belajar buat apam. Selain faktor kecomelannya, aku mahu mencuba sendiri benda baharu dalam hidup aku.

Nak dijadikan cerita, sepanjang selepas sambutan hari raya lepas, aku kembali hidup "membujang". Isteri dan anak yang baru dilahirkan sudah dihantar pulang ke Muar untuk meneruskan hidup berpantangnya sambil dijaga oleh ibu bapanya di sana. Jadi, aku di KL ni hidup seorang diri. Elok pula kerja-kerja freelance menterjemah dan menyunting sudah disiapkan lebih awal, jadi masa aku agak terluang.

Ok, dah banyak sangat cerita pasal benda yang takde kaitan dengan resepi. Tapi kalau tak kerana semua itu, aku tak fikir aku sempat nak fikir pun pasal nak buat apam polkadot ni. Sempat tengok gambar kat Facebook dan blog orang sahajalah.

Terus kepada resepi, aku cedok daripada blog ini. Aku tak berminat pun nak buat apam polkadot versi ladybug tu, sebab rasanya aku perlu belajar buat apam polkadot yang asas dahulu. Yang versi ladybug tu dah tahap Master/PhD kot. Aku ni baru peringkat sijil :P

Nak dijadikan cerita, aku buat fiil aku la bila salin resepi: salin tak habis. Hehe... Salin ikut suka je nak singkat-singkatkan, sudahnya bila nak cari bahan dan bila nak buat apamnya, sendiri terkulat-kulat. Tapi yang bagusnya, masa tu lah nak perah otak macam mana nak selesai masalah yang diri sendiri cipta. Makanya - cipta resepi sendiri! Hahaha...

Jadi, ini resepi aku:

Bahan A (semua mesti baru dikeluarkan daripada peti sejuk)
Telur 3 biji
4 hingga 5 tbsp gula castor
1 tbsp ovalett

Bahan B
Susu rendah lemak 150 ml

Bahan C (diayak)
200 gm tepung gandum
2 tsp serbuk penaik

Bahan D
Filling blueberry (ikut suka la nak inti apa pun)

Peralatan:
Cawan kertas
Cawan aluminium/plastik yang muat dengan cawan kertas (Kedua-dua cawan ni aku istilahkan sebagai bekas dalam cara-cara memasak di bawah)
Periuk kukus

Cara-caranya:
  1. Pukul Bahan A dalam 5-7 minit. Senang kata sampai larut gula castor tu dalam bancuhan telur, dan ovalette pun dah tak berketul lagi.
  2. Sementara tu, boleh sediakan periuk kukusan, sukat Bahan B, dan ayak Bahan C.
  3. Kemudian masukkan Bahan B sedikit demi sedikit.
  4. Kemudian masukkan Bahan C (Jangan habiskan. Masukkan sedikit demi sedikit sehingga kepekatan yang sesuai dicapai. Tengok dalam gambar yang kat blog yang aku bagi linknya kat atas tu)
  5. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Kat sinilah kreativiti korang digunakan, bergantung kepada pilihan masing-masing. Yang aku buat, 3 warna:
    - Satu aku biarkan dalam bekas mengadun dan diwarnakan dengan warna pink. Ini adunan paling banyak untuk dijadikan "badan" apam.
    - Yang kedua aku masukkan terus ke dalam bekas kicap cair dan tak warnakan apa-apapun. Nanti dah kukus dia akan jadi warna putih/krim. Ini untuk dijadikan mata putih ladybugs.
    - Satu lagi dalam mangkuk dan aku campurkan warna hijau dengan merah untuk dapatkan warna merah gelap, hampir-hampir nak dekat dengan warna hitam. Ini untuk dijadikan warna kepala, garis pembahagi dua badan ladybugs, dan dot-dot atas badan ladybugs.
  6. Mula-mula masukkan adunan pink ke dalam bekas. Letak setengah dulu.
  7. Kemudian letak Bahan D. Kemudian top up lagi sampai inti dah tak nampak dan sampai separas dengan bekas.
  8. Kemudian lukis kepala ladybugs, garis pembahagi dan dot dot.
  9. Lepas tu bubuh mata dengan adunan putih.
  10. Akhir sekali titikkan mata hitam dengan adunan warna ketiga di tengah-tengah adunan mata putih tadi.
  11. Kemudian kukus dalam 10-15 minit.

Resepi kat atas ni boleh buat paling kurang 10 unit apam sebesar tu. Aku takde bekas yang kecil-kecil tu. Jadi buat besar-besar.

Itu cara aku menggunakan bekas kicap cair tu. Lepas siapkan adunan, terus masukkan ke dalam bekas kicap cair dan lakukan pewarnaan di dalamnya terus. Kacau guna copstik. Kan senang, dan mengurangkan penggunaan bekas. Tak payah nak warnakan dalam mangkuk lain.

Inilah hasilnya. Lepas dikaji semula, rasanya kurang tinggi aku letak tepung ni. Patutnya kena separas dengan kertas cawan tu.

Inilah hasilnya... Selepas dikukus 15 minit dengan api yang sederhana. Insya Allah dalamnya juga dah masak. Aku perlu kemaskan lagi kat bahagian pembahagi dua supaya bila kembang tak putus-putus, dan tak kembang sangat.

Adunan kedua. Cuba warna hijau pula. Cantik juga.


Tepung hujung-hujung. Masa untuk bermain-main! Hehe...

Selemat mencuba dan bersabar!

Friday, September 16, 2011

Umat Islam Tak Payahlah Terlibat dengan Crazy Sales Low Yatt

Aku teruja untuk mendapatkan Samsung Galaxy Ace daripada Crazy Sales yang diadakan di Low Yatt. Kurang daripada RM500 tu!

Apabila aku sendiri ke sana, aku dapati apa yang terdapat di dalam iklannya tidak seperti apa sebenarnya yang berlaku.

Di dalam iklannya dinyatakan:

"Spend RM50 and above in a single receipt at participating outlets and qualify to buy these items and more at crazy prices. While stocks last. Terms and conditions apply."

Kalau kita baca kenyataan di atas, sangat menarik! Beli sahaja apa-apa barang sekurang-kurangnya RM50 daripada pihak penjual yang mengambil bahagian dan kita layak membeli barang-barang di dalam iklan tersebut pada harga yang dinyatakan. While stocks last? Kena datang awal ni! Terms and conditions apply? Apa terms dan conditions nya? Mana nak tahu?

Lalu ramai la yang datang berebut-rebut seawal mungkin agar mereka tidak ketinggalan mendapatkan barang-barang idaman mereka pada harga yang sangat murah.

Namun apabila sampai di Low Yatt, rupa-rupanya kena cabut cabutan bertuah dulu. Kalau bertuah, dapatlah beli barang tersebut. Kalau tak, merasa lah beli benda yang tidak kita inginkan pun.

Jadi, kat sini ada unsur penipuan. Pihak Low Yatt sepatutnya memberikan maklumat yang lengkap dan jelas tentang prosedur yang perlu pelanggan lalui untuk layak membeli pada harga yang murah seperti yang dinyatakan di dalam iklan. Ini tidak, apabila sampai di Low Yatt, barulah tahu bahawa ada lucky draw pula.

Aku ni bukan ulama bidang ekonomi, tetapi aku faham bahawa kalau terdapat something fishy, atau something yang tidak jelas, baik jangan melibatkan diri. Dalam hal ni, aku fikir Crazy Sales ni ada unsur fishy dan tidak jelas. Dalam istilah Arabnya, ada unsur gharar.

Kalaupun nak meningkatkan jumlah pengunjung, bukan begini caranya. Berikan maklumat yang lengkap agar pengunjung tak rasa tertipu. Aku dah lawat websitenya, terms and conditions kat paling bawah sekali. Takde dinyatakan langsung tentang kena cabut undi ke apa. Membohong!


Ada yang mengatakan ini sebagai strategi perniagaan. Aku pula sifatkan ia sebagai strategi perniagaan yang tidak mengikut syariah. Not shariah compliant. Pada aku, ini boleh jatuh haram hukumnya sebab pelanggan rasa tertipu dan teraniaya. Dan wajib untuk kita menyeru agar lebih ramai tidak tertipu dan teraniaya.

Beritahu aku:
- Apa jaminan bahawa dalam kotak lucky draw tu ada terselit cabutan iPad dan sebagainya? Apa buktinya?
- Berapa peratus kemungkinan untuk pencabut undi mendapat apa yang sebenarnya mereka inginkan?
- Kenapa tak diberitahu prosedur penuh di dalam iklan dan website?

Kalau nak jual harga semurah itu pun, jual sahajalah. First come first serve. Pengunjung sedia berebut dan hadir lebih awal tanpa perlu berasa tertipu.

Kesian kat diorang yang dah menunggu di situ lebih awal. Apabila mula dibuka premisnya, rupa-rupanya ada prosedur yang tidak dinyatakan di dalam iklan mahupun website. Kena cabut-cabut pula. Bukankah lebih molek sekiranya segalanya jelas tertulis di dalam iklan agar tiada sesiapa yang rasa tertipu? Agar pengunjung lebih bersedia, mahupun berfikir beberapa kali sebelum terlibat dengan jual-beli tu?

Dah la wahai kawan-kawan Muslimku. Tak payah nak beratur panjang-panjang untuk sesuatu yang belum pasti korang dapat. Kumpul duit banyak-banyak, beli ikut sistem dan kaedah yang mengikut syariah. Jangan terlibat dengan benda-benda gharar ni. Kalau terlibat juga, dah macam korang galakkan benda-benda gharar ni terus berlaku pula.

Update:

Ada yang mengadu di Facebook:

Wednesday, September 14, 2011

Pra: Apam Polkadot Resepi Szakif


Aku ada sepuluh sebab kenapa lelaki tak buat apam polkadot. Tapi aku cabar diri aku, aku buat juga.

Aku menulis entri ini dan dengan ini aku berjanji akan membuat apam polkadot lagi pada hari Ahad ini. Insya Allah...

Nantikan resepinya...

Saturday, August 27, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian III)

Mujur kedudukan antara hospital dengan rumah mertuaku dekat sahaja. Lebih kurang dalam 2 km sahaja. Cepat-cepat aku berbincang dengan isteri setelah dia dimasukkan ke dalam wad agar aku sempat pulang ke rumah dan berbuka seawal-awalnya.

Terus aku pulang ke rumah mertua. Belum pun sempat kujejak langkah ke dalam rumah, azan sudah berkumandang. Apabila masuk ke dalam rumah, emak dan ayah mertuaku sedang berbuka puasa.

Mereka nampak tenang, tetapi aku ditebak dengan berbagai-bagai soalan daripada mereka. Sambil mengunyah juadah berbuka, aku terangkan satu persatu kronologi kisah yang berlaku petang tadi. Mereka tidak menyangka, sebaik berpisah selepas menziarahi sepupu isteriku yang baru bersalin, anak mereka pula yang dimasukkan ke dalam wad untuk bersalin.

Sebaik selesai berbuka dan menunaikan solat maghrib, aku siapkan semua barang yang disenaraikan oleh isteriku untuk dibawa ke wad. Emak dan ayah mertuaku yang asalnya bercadang untuk berterawih di masjid, membatalkan niat mereka kerana mereka banyak menolong aku mempersiapkan segala kelengkapan. Maklumlah, mereka lebih mengetahui barang-barang dan kelengkapan yang ada di dalam rumah mereka. Aku pula tidak berani mengusik barang-barang di rumah mereka.

Selesai menyiapkan segala keperluan, aku terus bertolak ke hospital.

Di hospital, aku lihat isteriku tenang sahaja. Tiada tanda-tanda mahu bersalin. Cuma katanya dia sudah ada rasa seperti sakit-sakit, tetapi sekejap ada, sekejap hilang. Tidak banyak yang dapat aku bantu, melainkan mendengarnya dan menenangkannya. Sempat juga kusuntik kata-kata semangat dan doa agar dia bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melalui satu lagi fasa dalam hidupnya - melahirkan anak!

Suami tidak dibenarkan untuk bermalam di wad. Selepas menolong isteriku mengemas barang-barang yang dibawa dari rumah, aku minta diri untuk pulang. Aku juga mengingatkannya agar menghubungiku menerusi panggilan telefon sekiranya ada apa-apa perkembangan, khususnya jika dia sudah sakit mahu bersalin.

Aku pulang dengan bermacam-macam perkara yang tertebak di dalam fikiranku. Antaranya, sudah pasti ucapan kesyukuran kerana akhirnya aku dan isteri sudah sampai ke tahap ini - menjadi ibu dan bapa. Anak yang dikandung di dalam rahim selama lebih kurang 9 bulan akhirnya akan keluar menjengah dunia.

Namun, aku tidak mahu terlalu hanyut dalam buaian angan-angan. Terus kusiapkan diriku untuk menunaikan solat terawih malam pertama bulan Ramadan tahun ini secara sendirian. Selesai bersolat, aku berbaring di katil dan cuba melelapkan mata walaupun di dalam fikiranku macam-macam yang aku fikirkan. Telefon bimbitku kuletak dekat dalam capaian. Manalah tahu, sudah tiba masanya untuk anakku dilahirkan.

Adakah 1 Ogos 2011, merangkap 1 Ramadan 1432 menjadi tarikh kelahiran anakku? Nantikan sambungannya...

Wednesday, August 24, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian II)

Setelah disahkan bahawa isteri aku perlu dimasukkan ke wad kerana jalan sudah terbuka 1 cm, kami berbincang tentang keperluan yang perlu dibawa ke wad. Beg yang mengandungi pakaian bayi dan ibunya yang sudah lama dikemas ada di dalam kereta, tetapi persiapan itu sebenarnya sangat mimimum. Ia hanya disediakan sekiranya kelahiran bayi pertama kami betul-betul dalam keadaan kecemasan.

Sebelum dimasukkan ke wad, aku dan isteri perlu mendaftar diri. Beberapa dokumen diperlukan seperti kad pengenalan dan sijil nikah. Mujur memang kubawa ke mana-mana sahaja salinan permohonan sijil nikah di dalam dompetku.

Selesai pendaftaran, aku perlu menjelaskan bayaran deposit terlebih dahulu. Aku ditawarkan wad kelas satu. Memikirkan keselesaan isteri dari pelbagai sudut khususnya bab aurat dan privasi, tidak lama untukku membuat keputusan untuk menerima tawaran itu. Mujur juga pagi hari itu aku sedia mengeluarkan wang sebanyak RM1000. Berkepuk juga dompetku. Macam tahu-tahu sahaja bahawa kepukan itu tidak lama. Ini kerana bayaran deposit bagi wad kelas pertama di hospital itu ialah RM800 bagi tempoh seminggu.

Selesai membuat bayaran, aku dan isteri diiring oleh seorang jururawat menuju ke wad yang dimaksudkan. Di situlah kami berbincang mengenai keperluan yang perlu diambil dari rumah seperti sedikit makanan dan minuman, pengecas bateri telefon, buku dan tambahan pakaian untuk menampung keperluan tinggal di wad yang kami sendiri tidak tahu berapa hari akan diluangkan di situ. Ini kerana isteriku tidak menunjukkan tanda-tanda sakit, melainkan ada kebocoran. Itu pun tidak kami sangka bahawa itu adalah air ketuban. Maklumlah, masing-masing tidak pernah melihat air ketuban dengan mata kepala sendiri.

Selesai berbincang dan menyenaraikan semua keperluan, lalu kukhabarkan melalui panggilan telefon kepada emak dan ayah mertuaku bahawa anak mereka sudah dimasukkan ke dalam wad untuk persediaan bersalin. Nak dijadikan cerita, kami sama-sama melawat sepupu isteriku di wad bersalin, yang juga merangkap anak buah emak dan ayah mertuaku, pada lewat petang sebelum isteriku pula dimasukkan ke dalam wad yang sama tidak sampai sejam selepas kami berpisah. Kebetulan pula kami pergi ke hospital secara berasingan.

Alangkah terkejutnya emak dan ayah mertuaku kerana langsung tidak menyangka bahawa anak mereka sudah mahu melahirkan anak pertamanya, yang juga merangkap cucu pertama mereka. Terus mereka tanyakan apa-apa bantuan yang mereka boleh hulurkan. Oleh sebab aku sudah jangkakan reaksi itu, lalu kutenangkan mereka. Kukatakan bahawa segalanya baik-baik sahaja. Aku akan pulang ke rumah mereka untuk mendapatkan beberapa keperluan sementara isteriku tinggal di wad.

Hari semakin lewat. Dalam kelam-kabut dan kalut itu, sempatkah aku berbuka puasa? Nantikan sambungannya...

Sunday, August 21, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian I)

Ketika kebanyakan orang lain sibuk berterawih pada malam pertama Ramadan 31 Julai lepas, aku pula sibuk menguruskan isteri yang dimasukkan ke wad untuk bersalin.

Kisahnya, aku dan isteri tidak merancang untuk masuk ke wad seawal itu kerana tanda-tanda kelahiran yang jelas belum ada. Tetapi, isteri aku berat hati untuk melepaskan aku pulang ke KL untuk menyambung tugas Isnin keesokannya. Jadi, dia meminta agar dia diperiksa oleh doktor. Manalah tahu, jalan memang sudah terbuka.

Kisahnya juga, sebenarnya bukanlah sengaja kami pergi ke hospital semata-mata untuk tujuan melakukan pemeriksaan. Tetapi kami pergi ke hospital untuk melawat sepupu isteri yang baru bersalin di hospital yang sama. Jadi, alang-alang berada di hospital, kata isteriku, apa kata kalau dia diperiksa. Manalah tahu, jalan memang sudah terbuka.

Aku turutkan sahaja. Nak dijadikan cerita, prosedur di Hospital Pakar Sultanah Muar yang terletak hanya 2 kilometer dari rumah mertuaku itu, jika sudah lakukan pemeriksaan, perlu ditahan di wad tidak kira bukaan sudah besar mahupun belum terbuka lagi. Setelah berbincang, selain hakikat bahawa isteri aku tidak mahu aku pulang ke KL, kami membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan.

Setelah diperiksa, sah! Sudah terbuka 1 cm. Segala-galanya tidak dirancang. Daripada sekadar mahu menjalankan pemeriksaan, akhirnya ditahan di wad. Dari satu sudut, ada kelegaan pada diriku kerana tidak perlu pulang ke KL dan datang semula ke Muar untuk menguruskan isteri yang mahu bersalin. Dari satu sudut lain pula, kami tidak bersedia sepenuhnya! Langsung tiada bekalan pakaian mahupun persiapan lain yang kami bawa kerana tujuan asal ke hospital itu adalah untuk melawat saudara. Namun mujur rumah mertuaku dekat dengan hospital. Mudah untuk berulang-alik dan menguruskan isteriku.

Bersambung...

Monday, August 08, 2011

Surat Keempat Abah Untuk Z


Hari ini genap usia Z tujuh hari.

Baru sekejap tadi Abah uruskan pendaftaran nama Z di Jabatan Pendaftaran Negara di Muar.

Walaupun Abah dan Ummi sudah lama memanggil Z dengan nama ini, tetapi selagi ia belum didaftarkan secara sah, nama itu masih lagi dikatakan sebagai nama tidak rasmi.

Jadi, dengan terteranya nama Z dalam surat beranak Z, maka dengan ini rasmi dan sahlah bahawa nama penuh Z ialah:

Muhammad Zaid bin Muhammad Zaki

Ringkasnya, Muhammad Zaid bin Muhammad Zaki akan dipanggil sebagai Zaid.

Zaid,

Ketahuilah bahawa Abah dan Ummi melalui saat-saat yang sukar sepanjang menentukan nama Zaid. Nama-nama seperti Maher Zain, Abdullah, Muhammad Zaid Zafri, Ahmad, dan beberapa nama lain menjadi isu hangat yang diperdebatkan oleh Abah dan Ummi. Akhirnya, Abah dan Ummi mencapai kata sepakat bahawa nama yang dipersetujui oleh Abah dan Ummi untuk diberikan kepada anak pertama kami ialah Muhammad Zaid. Itupun selepas Abah dan Ummi menjalankan pemeriksaan imbasan jantina. Ada juga Abah dan Ummi bersiap sedia dengan nama anak perempuan jika keputusan pemeriksaan imbasan itu tidak tepat.

Zaid,

Sengaja Abah dan Ummi memberikan nama yang pendek kepada Zaid. Mudah untuk disebut, ringkas untuk ditulis. Pernah Abah nukilkan bahawa Abah lebih cenderung untuk memilih nama yang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek, Jadi, Abah harap sepanjang hidup Zaid, kekalkanlah dengan nama itu. Usah dipendekkan lagi, apatah lagi dipanjangkan lagi dengan nama-nama yang mungkin Abah dan Ummi tidak berkenan.

Biasa sahaja menjadi amalan dalam masyarakat kita. Walaupun sudah ada nama yang sedap dan bermakna, orang di sekelilingnya pula memberi nama lain. Contohnya nama Abah sendiri - pernah ada cubaan untuk meletakkan nama Abah sebagai Atan. Entah apa maksudnya. Itu belum lagi disebutkan nama Jekek. Isk, mujur tak kekal lama nama tu. Ummimu pula, di sekolahnya, dia dipanngil T-Rex. Kelakar kan? Tapi Abah pun apa kurangnya. Nama sudah sedap-sedap Muhammad Zaki, nak juga Szakif Meli ^^"

Pada Abah, kalaupun mahu memberikan nama yang comel, pastikan ada makna yang baik. Kerana setiap kali nama itu disebutkan, dalam sedar mahupun tidak, ia menjadi doa.

Zaid,

Berkata tentang maksud namamu, ia sangat berkait rapat dengan makna bertambah, meningkat, dan bertumbuh. Setahu Abah yang ada latar belakang bahasa Arab sedikit ini, perkataan Zaid berasal daripada kata akar Za-da (tambah). Zada yazidu zaidan. Dipetik daripada makna perkataan itu, maksud asas nama Zaid ialah tambah. Suka untuk Abah nyatakan perkara-perkara yang sepatutnya bertambah sepanjang hidupmu.

Zaid,

Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Allah dan Rasul-Nya.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Abahmu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah imanmu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah ilmumu.

Zaid,

Jika semua itu dapat bertambah dari demi hari, insya Allah banyak perkara lain yang turut sama bertambah - rezekimu, rakan-rakanmu, kenalanmu, jasamu, budimu, kematanganmu, dan sebagainya. Insya Allah... Tidak sanggup Abah nukilkan akibat yang mungkin boleh terjadi sekiranya hal yang sebaliknya berlaku.

Zaid,

Ketahuilah juga bahawa nama Zaid itu Abah dan Ummi ambil daripada nama sahabat Nabi Muhammad S.A.W.  - Zaid bin Tsabit. Beliaulah antara sahabat yang bertanggungjawab menulis al-Quran. Beliau juga banyak menulis surat bagi pihak Baginda untuk ditujukan kepada pihak-pihak yang diseru memeluk Islam. Sepanjang hidupnya selepas itu, beliau menjadi antara rujukan utama dalam penulisan al-Quran walaupun Nabi Muhammad S.A.W. sudah wafat.

Justeru Zaid, pada Abah khususnya, nama Zaid sangat rapat dengan diri Abah kerana Abah juga minat menulis. Tanpa jasa Zaid bin Tsabit menulis butir-butir ayat indah al-Quran, mana mungkin kita boleh membacanya kini. Dan ketahuilah Zaid, bahawa al-Quran itulah mukjizat Nabi Muhammad S.A.W. yang paling agung, kerana sehingga hari kiamat ia akan kekal tidak berubah dan tidak diubah.

Jadi Zaid, teladanilah dan insafilah jasa yang dilakukan oleh Zaid bin Tsabit. Tidak akan mungkin kau akan menulis al-Quran sebagaimana beliau, namun Abah doakan kau akan menjadi seorang yang hebat, yang banyak menyumbangkan jasa kepada masyarakat menerusi tulisanmu.

Sebenarnya, banyak lagi sebab yang menyumbang ke arah persetujuan Abah dan Ummi dengan nama Zaid ini. Tetapi sebab-sebab yang utama ialah seperti yang Abah bebelkan di atas. Itu belum lagi Abah nukilkan sebab nama Zaid didahulukan dengan perkataan Muhammad. Ia bukan sekadar mengikut ritma nama Abah, Zaid.

Insya Allah Zaid, dengan setiap kali namamu disebut oleh sesiapa sahaja, mudah-mudahan menjadi doa yang mustajab untuk menjadikan kau manusia yang cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat. Amin...

Namun yang pasti, untuk mencapai semua yang Abah bebelkan di atas, Abahlah yang perlu memainkan peranan paling utama dalam mencorakkan hidup Zaid. Ini kerana lahirmu ibarat kain putih yang bersih, yang perlu dicorakwarnakan oleh Abah dan Ummimu. Doakan agar Abah berjaya membimbing Zaid menjadi manusia yang cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat. Amin...

Wednesday, August 03, 2011

Surat Ketiga Abah untuk Z


Ke hadapan Z,

Abah takkan lupa saat Abah mengazankanmu Z, tidak lama selepas Z dilahirkan. Tubuh kecilmu Abah rangkul dalam dakapan Abah.

Allahu akbar,

Saat Abah mula melafazkan takbir itu, Z terus terkedu. Senyap, tak bergerak. Sedangkan sebelum itu Z seperti meronta-ronta dan merengek-rengek sedikit.

Allahu akbar,

Ya Allah Kau Maha Besar, menciptakan manusia yang kupegang ini daripada benihku dan benih isteriku. Daripada sekecil-kecil sel separa kromosom, bercantum menjadi zigot, membahagi dan terus membahagi dengan izin-Mu.

Asyhadu alla ilaha illallah,

Itu kali pertama lafaz itu Abah perdengarkan terus ke telinga kananmu, Z. Mata bulatmu memandang tepat ke dalam mata Abah. Abah cuba menahan sebak di dada. Tidak sangka Abah berpeluang mengazankan anaknya. Bersaksilah Z, bahawa tiada Tuhan yang kausembah melainkan Allah.

Asyhadu alla ilaha illallah,

Kali kedua lafaz yang sama dibisikkan tepat ke telingamu. Kau terus merenung dalam-dalam ke arah biji mata Abahmu yang masih berperang dengan sebak di dada. Hidung Abah mula terasa sengal-sengal. Tanda-tanda awal sebelum mengalir air mata jantannya.

Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah,

Air mata mula bergenang. Hampir melimpah. Namun gagah jua Abahmu ini menahan empangan air mata.

Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah,

Bersaksilah Z! Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. itulah Nabimu, Rasulmu, yang menjadi ikutanmu, yang menjadi sumber inspirasimu.

Hayya 'alassolah,

Ketahuilah Z! Bahawa solat itu tiang agama. Tegak utuh tiang agamamu, teguh suburlah Islammu.

Hayya 'alassolah,

Abahmu kini tersenyum, berjaya mengawal sebak di dada. Kau terus senyap dalam dakapan Abahmu. Tidak menangis, tidak tertoleh langsung kepalamu. Seakan kaumenghayati setiap butir bicara seruan yang Abahmu sedang lafazkan.

Hayya 'alal falah,

Ketahuilah Z! Bahawa kejayaan itu ada di mana-mana. Namun kejayaan paling agung dalam hidup seorang Muslim bukanlah di dunia ini, tetapi di akhirat sana. Syurga yang didamba, tempat berkumpulnya orang Muslim sejati.

Hayya 'alah falah,

Rendah sahaja nada suara Abahmu kali ini, mengetahui bahawa azan yang dilafazkan hampir sampai ke penghujungnya. Saat-saat tidak sampai seminit yang begitu berharga. Yang hanya dapat dirasa orang yang baru bergelar bapa. Yang takkan pernah dapat dilupa.

Allahu akbar allahu akbar,

Ya Allah Kau Maha Besar. Aku bersyukur dengan anugerah yang kau berikan kepadaku. Akan kucuba sehabis baik menjaganya, membimbingnya, menjadikannya Muslim yang berjaya.

La ilaha illah,

Aku bersaksi, bahawa tiada Tuhan yang aku sembah, dan yang anakku sembah, melainkan-Mu, Ya Allah...





Wednesday, July 27, 2011

Sudahnya Mereka Terpekik Terlolong di Jalanan

Siang tadi aku menghadiri bengkel anjuran DBP seorang diri. Ia bengkel berkaitan dunia penerbitan.

Satu perkara yang membuatkan aku sangat kurang berkenan apabila menghadiri acara-acara seperti itu ialah jika ada yang menyampaikan ceramah dalam ceramah.

Penceramah sedang menyampaikan ceramahnya di depan, ada pula yang di belakang yang mengulas ceramahnya bak sedang menterjemah dan mengalih bahasa. Aku tidak perlukan semua itu kerana aku faham apa yang disampaikan oleh penceramah. Tetapi dengan hadirnya penceramah sambilan di belakang itulah yang boleh membuatkan aku jadi tidak faham. Terganggu.

Itu belum lagi berkata tentang yang menjawab panggilan telefon. Bukan satu atau dua orang, tetapi hampir di setiap sesi, ada sahaja yang menjalankan tanggungjawab sosialnya dalam menjawab panggilan telefon, tetapi malangnya tidak kena tempat. Bagaimana pula dengan tanggungjawab sosialnya untuk menghormati acara yang sedang berlangsung, di mana sedang letak batang tubuhnya?

Kujeling. Mengharap agar mereka memandang aku lalu mereka faham akan rasaku. Namun, jelas jelinganku tidak berbalas, kerana yang sedang bercakap dengan telefon itu sedang memandang ke bawah. Walaupun begitu, adakah nada suaranya juga ke bawah? Tidak.

Mengapa tidak batalkan sahaja panggilan itu? Hubungi yang menghubungi kemudian apabila sesi ceramah habis. Ataupun, jika terlalu mendesak, biarkan telefon bergetar seketika sambil langkah kaki dihayun cepat-cepat keluar daripada dewan. Takkan luak kredit prabayar orang yang menghubungi sekiranya panggilan sekadar berdering dan selagi butang Jawab belum ditekan.

Itu antara sebab aku biasanya memilih untuk duduk di barisan depan. Tidak aku kisahkan tubuh badanku yang besar ini. Biarlah yang di belakang merungut tidak nampak depan. Siapa suruh duduk di belakang? Siapa suruh hadir lewat?

Itu juga antara sebab aku biasanya lebih suka memilih untuk duduk seorang diri jika tiada rakan hadir bersama ke acara seperti itu. Jika ada rakan, aku akan jadi rakan yang sangat tidak baik sepanjang sesi ceramah. Kerana aku tidak dan tidak mahu menjadi rakan yang mendengar. Apabila berada dalam acara sebegitu, telingaku milik penceramah, bukan milik rakanku.

Duduk di dalam dewan ceramah juga bukan masa untuk saling berkenalan. Khususnya jika ceramah sudah dimulakan. Jika sesi sudah tamat, ambillah peluang itu untuk berkenal-kenalan dan melebarkan rangkaian. Jangan jadi zalim dengan menggunakan masa untuk mendengar ceramah dengan berbual. Mengganggu!

Cuba kaitkan dengan video ini pula.






Pernah dengar: Untuk didengar, jadilah pendengar yang baik dahulu?

Mereka mahu didengar, tetapi mereka tidak mahu mendengar.

Kalau mereka ada anak-anak, jika sudah besar nanti jangan terkejut jika anak-anak mereka tidak mendengar kata, kerana bapa-bapa mereka sendiri tidak belajar untuk mendengar.

Sudahnya - terpekik terlolong di jalanan.

Thursday, July 14, 2011

Entri Ini Tiada Sebarang Warna

Pagi itu aku bersenang-senang dengan isteri di rumah. Makin sarat kandungan, makin banyak perhatian yang perlu aku berikan kepadanya. Hampir setiap kali aku ada bersamanya, pasti tidak terlepas dia meminta aku mengurut belakangnya. Walaupun kadang kala aku sendiri penat selepas pulang daripada kerja, disambung pula dengan kerja freelance yang aku lakukan di rumah, aku gagahi juga mengurutnya.

Aku menanti waktu tengah hari tiba. Memang sudah aku niatkan untuk tidak keluar ke mana-mana pada hari itu. Saluran televisyen yang dilanggan kutukar-tukar satu lepas satu, menanti waktu itu. Setiap permulaan jam, ada saluran TV yang membuat lintas langsung dari pusat bandar di ibu negara sana.

Walaupun dikatakan perhimpunan aman, awal-awal lagi sudah kusangsi. Mana mungkin perhimpunan yang dilakukan di tempat yang menjadi tumpuan warga kota menjalankan aktiviti harian dan mingguan menjadi perhimpunan yang aman? Mengapa daripada awal lagi pihak penganjur tidak memikirkan hal ini? Atau memang sengaja mahu mencetus kacau-bilau di negara ini?

Aku yakin, ada jalan yang lebih baik daripada berhimpun di tempat itu. Bukan aku tidak menyokong hasrat penganjur, tetapi aku ada masalah dengan idea berhimpun di tempat awam seperti itu.

Aku percaya, jika sesuatu yang dimulakan dengan jalan yang baik, pasti akan kekal lama. Tetapi jika sesuatu dimulakan dengan cara yang boleh menyusahkan pihak lain, pasti ada yang tidak kena - sekarang, nanti, dan selama-lamanya.

Seperti yang dijangka, kacau-bilau tercetus. Selepas kacau-bilau, dan sehari dua selepas itu, kedua-dua pihak berbalas-balas kenyataan. Pelbagai video dimuat naik di internet. Masing-masing, tidak kira yang menyertai mahupun yang tidak menyertai perhimpunan itu seperti aku, punya pandangan masing-masing. Tidak pula aku setuju kiranya yang pergi ke perhimpunan itu diistilahkan sebagai tidak menyokong maksud perhimpunan itu. Seperti aku, aku menyokong maksud, walaupun tidak sepenuhnya, tetapi aku membantah cara maksud itu dizahirkan.

Aku fikir, jika niat mereka sememangnya baik, sudah pasti awal-awal lagi mereka memikirkan cara yang paling tidak menyusahkan orang lain - peniaga, pemandu, pekerja warga kota, pesakit di hospital, polis, dan yang lain. Namun begitu, awal-awal lagi sudah mereka uar-uarkan perhimpunan akan diadakan di tempat umum, bukan stadium. Aku fikir jika awal-awal lagi sudah mereka aturkan perhimpunan yang ingin dijalankan secara aman, pasti mereka akan mengikut kehendak undang-undang negara: cari tempat yang tidak menggugat keamanan orang awam khususnya yang tidak masuk campur dalam perhimpunan. Pasti akan aman, aku yakin.

Tetapi jika sudah diberi amaran oleh pihak berkuasa agar perhimpunan dibatalkan, masih juga berdegil, tidak berkuasa tapi mahu berkuasa, inilah jadinya - huru-hara, kacau-bilau. Aku tidak suka melihat pergaduhan, aku pedih mata menonton orang yang pedih mata terkena gas pemedih mata, aku sesak dada menonton pakcik yang sesak dada di jalanan tetapi tidak mampu ditolong oleh polis. Jika polis bawa senjata, mereka cemuh, kata polis bersenjata menentang orang yang tidak bersenjata. Apabila polis tiada sebarang alat yang tajam untuk membuka gari, dicemuh juga. Apa yang polis buat, ada sahaja yang tidak kena. Malah sebenarnya, kalau mereka tidak mulakan berhimpun, tidak akan berlaku semua itu.

Aku bersimpati dengan polis yang terpaksa bekerja lebih masa pada hari itu. Sedang aku bersenang-senang dengan isteri di rumah, mereka pula menjalankan tugas yang sepatutnya tidak perlu pun dilakukan jika perhimpunan itu dilancarkan mengikut lunas undang-undang dari awal hingga akhir perhimpunan.

Golongan agama juga bangkit memberikan hujah itu dan ini untuk mengiyakan perhimpunan itu. Namun, sepanjang yang kubaca, tidak ada satu pun yang menjawab bagaimana untuk mahu memenangi hati orang yang terjejas dengan perhimpunan itu. Aku bukan anti golongan agama. Aku hormat akan mereka. Tetapi pada aku mereka perlu juga menjawab persoalan ini. Kalau perhimpunan itu tidak dibuat di tempat awam seperti di jalan-jalan di sekitar ibu kota, pasti sangat sedikit, mahupun tiada langsung pihak yang terjejas. Mahu berhimpun, berhimpunlah. Jangan jejaskan orang lain yang belum tentu menyokong perhimpunan itu.

Aku turut terjejas dan menjadi mangsa. Rakan isteriku yang melangsungkan perkahwinan di Seremban turut terjejas. Patutnya kami memenuhi undangannya. Tetapi dek memikirkan keselamatan isteri dan kandungannya, agar kami tidak tersangkut di dalam kesesakan jalan raya, terpaksa kami batalkan niat kami. Ada juga terasa ingin melawat rakan yang kurang sihat di tempat yang sama selepas memenuhi undangan majlis perkahwinan itu. Tetapi akhirnya semua tidak jadi.

Benar, aku dan isteri bersenang-senang pada pagi itu, tetapi hati kami tidak senang dengan apa yang berlaku.

Wednesday, July 06, 2011

Surat Kedua Abah untuk Z


Ketika Abah menulis surat ini, Z dijangka berada dalam kandungan Ummi kurang sebulan lagi.

Ya, Ummi. Abah dan Ummi sudah sepakat. Z panggil insan yang mencari rezeki untuk Z dan ibu Z ini sebagai Abah, manakala insan yang melahirkan Z itu sebagai Ummi.

Baru-baru ini, untuk pengetahuan Z, satu-satunya moyang Z yang tinggal sudah pergi meninggalkan kita semua. Tidak sempat arwah nak melihat, atau sekurang-kurangnya menyentuh kulit Z. Maklumlah, mata arwah sudah tidak terang.

Z,

Abah duduk di sebelah imam yang membacakan talqin untuk arwah. Dalam talqin itu, nama arwah disebutkan dengan berbintikan nama ibu arwah. Siti binti Hawa.

Lalu Abah terfikir. Betapa tingginya nilai seorang ibu. Dialah yang melahirkan, dan dengan namanya jugalah anaknya dibin atau dibintikan dalam bacaan talqin. Menarik sungguh, mula hidup dan akhir mati, ibu masih ada peranan, walaupun hanya namanya disebutkan, walaupun ibu itu sendiri sudah lama meninggal dunia.

Z,

Sepanjang sembilan bulan Abah menjaga Ummi yang sedang mengandung, Abah semakin mengerti mengapa kedudukan seorang ibu sangat istimewa.

Abah takkan lupa Ummi mula muntah-muntah kerana mengandung. Masuk bulan kedua dan ketiga, kebanyakan masa Ummi berada di rumah berbaring kerana tidak larat jalan. Maklumlah, apa-apa sahaja yang ditelannya, pasti akan dimuntahkannya semula.

Abah takkan lupa tubuh Ummi yang semakin kurus ketika awal mengandung dulu. Sehingga ada yang menegur tentang betapa kurusnya Ummi ketika itu.

Abah takkan lupa Ummi tidak larat untuk menyambut Abah di muka pintu apabila Abah pulang daripada kerja. Jika disambut pun, takkan sama caranya kerana wajahnya tidak bersolek seperti biasa. Tidak larat, kata Ummi.

Abah takkan lupa Ummi terpaksa menutup semua pintu dan tingkap rumah kerana tidak tahan bau yang datang dari luar rumah, lebih-lebih lagi bau orang memasak.

Abah takkan lupa Ummi tidak ke dapur untuk masak dan juga tidak ke sinki untuk membasuh pinggan mangkuk. Semua itu boleh menyebabkan Ummi berasa loya.

Abah takkan lupa Ummi terpaksa menukar sabun mandian di bilik air beberapa kali kerana ada sahaja bau yang kurang menyenangkan yang boleh menyebabkannya muntah.

Abah takkan lupa Ummi meminta Abah berbaring jauh sedikit daripadanya kerana tidak tahan dengan bau Abah walaupun Abah baru lepas mandi.

Semakin Z membesar di dalam perut Ummi, lain pula ceritanya.

Abah takkan lupa tubuh Ummi tiba-tiba tersentak. Katanya Z menendang-nendang di dalam perut. Sakit, kata Ummi.

Abah takkan lupa Ummi kerap keluar masuk ke tandas. Ini kerana Z semakin besar di dalam perut Ummi, jadi ruang untuk tinja dan air kencing pula semakin sempit, jadi ia perlu dibuang walaupun sedikit jumlahnya.

Abah takkan lupa Ummi seakan-akan sesak nafas. Kasihan pula Abah lihat. Semacam seperti terkena asma. Namun alhamdulillah, Ummi memang tiada masalah asma.

Z,

Sebenarnya banyak lagi pengorbanan yang Ummi dah lakukan untuk membesarkan Z di dalam perutnya. Semakin hari Abah memerhatikan keadaan Ummi, semakin Abah faham mengapa tiga tempat terawal kasih dan cinta Z selepas Allah dan Rasulullah diambil oleh Ummi.

Kasihilah, cintailah Ummi tiga kali lebih banyak daripada Abah. Abah tidak akan sesekali berkecil hati.

Sememangnya Ummi layak mendapat kasih dan cinta sebanyak itu daripada anaknya...

Wednesday, June 22, 2011

Gadis-gadis Sudah Tidak Malu dan Segan Mengintai Lelaki Korea

Sudah lama aku perhatikan. Mula-mula, tidak pula terlintas apa-apa. Biasalah, gadis-gadis sukakan lelaki comel.

Kemudian, aku fikir-fikirkan semula. Jika sudah sampai ke tahap tidak henti-henti berkongsi video dan gambar lelaki Korea yang comel, dan apabila ditegur agar "menundukkan pandangan" pun, masih mahu berkongsi, aku rasa itu sudah parah.

Ada yang menyediakan satu album khas yang terkandung gambar-gambar lelaki Korea yang comel di Facebook mereka. Ada juga yang memuat naik video lelaki Korea. Artis agaknya, aku pun kurang periksa. Tidak cukup di Youtube, mereka muat turun sendiri dan kemudian dimuat naik semula di dalam akaun Facebook mereka. Kemudian mereka menanda (tagging) rakan-rakan mereka. Lebih ramai yang melihat dan menonton. Maka lebih ramai yang tergiur dengan wajah comel lelaki-lelaki Korea itu.

Apa bezanya kalau lelaki suka melihat perempuan seksi, dengan perempuan yang suka melihat lelaki comel? Kedua-duanya jika membangkitkan syahwat, sudah pasti boleh membawa kepada perkara-perkara yang lebih berdosa.

Sebab itu aku katakan, gadis-gadis (nota: tiada perkataan semua sebelum perkataan gadis-gadis) sudah tidak malu dan segan untuk melakukan dosa terang-terangan. Mereka mahu lelaki menundukkan pandangan, tetapi mereka pula mengintai lelaki Korea.

Maaf, aku bukan anti kecomelan lelaki Korea. Bukan juga anti lelaki Korea. Cuma aku tidak senang dengan budaya mengintai lelaki Korea yang semakin menular dalam kalangan gadis-gadis Malaysia - Melayu - Muslim.

Geli-geleman aku membaca komen-komen yang mereka tulis mengenai kecomelan lelaki Korea di Facebook.  Nak bagi contoh di sini pun, geli-geleman aku mahu taip.

Adoi lah dik... Bukankah lagi bagus kalau buat benda lain yang berfaedah, daripada mencuci mata dan dalam masa yang sama mengotorkan hati?

Perhatikan tulisan ini betul-betul. Langsung tidak kubandingkan dengan lelaki Melayu, kerana bukan itu yang ingin kuutarakan. Budaya mengintai lelaki Korea ini aku perhatikan semakin galak, sekurang-kurangnya dalam kalangan rakanku di Facebook.

Jika mereka membaca, jadikanlah ini teguran yang tulus, bukan kecaman yang menghunus.

Saturday, June 18, 2011

Pasca Nora Elena: Kebengangan Seorang Suami


Aku sempat menulis secara ringkas di Facebook dan mendapat beberapa respons yang positif. Bagus. Aku tidak keseorangan.

Aku sangat tidak bersetuju dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat di beberapa blog dan beberapa orang rakan di Facebook yang tidak percaya bahawa watak Seth itu wujud dalam kehidupan sebenar. Kata mereka, Seth itu terlalu sempurna. Sampai ada yang tergedik-gedik terbawa-bawa watak Seth dalam mimpi mereka. Tapi, maaf, pada aku Seth tidak sempurna pun. Tengok sahaja Nora Elena, mana tudungnya? Mana peranan Seth untuk menegur isterinya menutup aurat yang selayaknya hanya Seth sahaja yang halal melihatnya? Itu baru satu.

Seth dikatakan sangat romantik, bertanggungjawab, kacak, baik, dan sebagainya.

Aku merenung diri aku, adakah aku memiliki kualiti-kualiti seperti itu? Tak perlu dijawab, kerana sebaik aku luahkan kebengangan aku, pantas isteri aku memujuk dengan berkata, "Sayang ada suami yang romantik, bertanggungjawab, kacak, baik..." Belum habis dia menyudahkan kata-katanya, muka aku sudah kemerah-merahan. Segan apabila isteri sendiri buat kenyataan macam itu. Lalu terus aku ajak duduk di sebelah aku. Selayaknya dia mendapat ganjaran kerana menyejukkan hatiku!

Aku tak ingat siapa yang tulis di Facebook. Dan aku tak kenal pun siapa yang menulis di blog itu. Tetapi kalau apa yang ditulis itu seolah-olah memperlekehkan semua lelaki di dunia, pasti ada yang terasa hati. Aku antaranya. Ada dua jenis terasa hati. Satu, kerana tidak berkualiti sebagai suami seperti Seth. Dua, kerana mempunyai berkualiti sebagai suami lebih baik daripada Seth.

Bagi suami yang tidak mempunyai kualiti seperti Seth - yang tidak romantik, yang tidak bertanggungjawab, yang tidak kacak, yang tidak baik, dan sebagainya - korang memang perlu terasa. Disebabkan lelaki macam koranglah yang membuatkan wanita-wanita dan perempuan-perempuan di luar sana berani mengeluarkan kenyataan sebegitu. Tolonglah baiki diri masing-masing. Baiki akhlak dan peribadi, menangi semula hati isteri.

Bagi suami yang lebih baik daripada watak Seth pula, jangan berasa terlalu selesa. Kita perlu kekalkan kualiti suami mithali yang ada dalam diri kita, malah perlu ditingkatkan dari masa ke masa. Tambahkan ilmu di dada, pasti isteri sayang tak lepa.

Buat wanita-wanita yang belum berkahwin dan sudah berani membuat kenyataan yang menidakkan kualiti yang ada pada lelaki di luar sana, yang salah seorangnya akan menjadi suami korang, tolong jaga sedikit mulut tu. Dan jari tu. Kang aku cili-cili kang. Biar pedas mulut korang. Biar pijar jari korang.

Kalau nak lelaki yang romantik, tunggu kahwin dulu, baru la boleh tunjuk romatik ke tak. Takkan belum kahwin, dah nak tunjuk? Nanti tidak ada beza pula kualiti lelaki itu antara sebelum berkahwin dan sesudah berkahwin.

Kalau nak lelaki yang bertanggungjawab, pun tunggu kahwin dulu, baru la lelaki yang sudah sah bergelar suami korang tu boleh menunaikan tanggungjawabnya. Kalau tak kahwin lagi, tanggungjawab apa yang dia ada pada korang? Selagi akad nikah belum sah, tanggungjawab untuk menjaga korang masih lagi di atas bahu mak bapak korang. Apabila sudah sah akad nikah, selepuk sebeban tanggungjawab dihempap atas bahu dia. Korang takkan tahu macam mana beratnya tanggungjawab menjadi suami.

Korang kena ingat. Ada je ramai lelaki di luar sana yang menyorokkan kualiti mereka sebagai suami, sekurang-kurangnya sebaik Seth. Cuma tak tunjuk je lagi. Sebab belum tiba masanya.

Dan korang kena yakin, dalam diri setiap lelaki tu ada kualiti yang baik yang boleh disuburkan. Kalau korang dah kahwin, kena la didik suami korang sebagaimana yang korang inginkan. Kalau nak jadikan suami ko macam watak Seth, bimbing dia. Jangan tahu nak merungut je laki ko tak macam Seth, walhal ko tak berusaha pun nak bimbing laki ko jadi macam mana yang ko nak.

Jadi, baik fikir semula. Bagus juga watak Seth tu dibentuk sebegitu rupa. Biar diketuk sedikit kepala-kepala kita. Tak kira la suami ke, isteri ke. Kata orang putih, he's a wake up call!

Yang pasti, jika mencari bakal suami yang sempurna, pasti lelah yang dijumpa. Takkan ada lelaki yang sempurna. Tetapi ada lelaki yang cuba menjadi suami yang terbaik untuk isterinya.

Friday, June 17, 2011

Aku Bersyukur Drama Nora Elena Sudah Habis


Jika tidak dapat membaca kenyataan dalam gambar di atas:
Mujur Nora Elena dah habis (aku tak follow pun). Bengang juga rasanya bila ramai yang buat kenyataan seperti "ada lagi ke suami yang macam Seth kat muka bumi ni?". Seperti merendah-rendahkan semua orang lelaki. Buat yang belum berkahwin, berusahalah mencari lelaki seperti Seth. Buat yang sudah berkahwin, berusahalah membimbing suami korang menjadi seperti Seth. Kan bagus begitu. :)

Seterusnya:
Kenyataan ini keluar daripada perspektif seorang suami yang mahu menjadi suami yang soleh dan terbaik untuk isterinya. Tak semestinya mahu menjadi seperti Seth. Sebab dia pun gagal untuk mendidik isterinya menutup aurat dengan baik. Insya Allah...
Aku membebel lebih panjang lagi di sini: http://szakif.blogspot.com/2011/06/pasca-nora-elena-kebengangan-seorang.html

Thursday, June 16, 2011

Nota Buat Penggodam

Kau ada rumah. Selepas susah payah dan perit getir kau bekerja dan mengumpul duit, kau akhirnya berjaya membeli rumah itu.

Bukan sekadar rumah sahaja, tapi pengisiannya juga memerlukan usaha dan tenaga untuk mengindahkan pemandangan luar dan dalam rumah. Lalu kau berusaha lagi, membanting tulang agar rumah kau nampak cantik. Perabot yang mencantikkan ruang tamu, dapur yang dihiasi set yang lengkap, dan bilik tidur yang selesa untuk kau beradu.

Cantik bukan sekadar untuk sehari dua, tapi untuk menyelenggarakannya juga memerlukan usaha dan tenaga.

Jika memiliki rumah, banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.

Lalu kau keluar seketika daripada rumah. Pintu rumah dan tingkap semua sudah ditutup kemas.

Apabila pulang, kau dapati rumah kau sudah diceroboh oleh pencuri. Bukan sahaja isi dalamnya sudah habis dicuri, malah ada kata-kata menghina dan menyindir pula diconteng pada dinding rumah kau.

Kalau kau siuman, kalau rumah kau diceroboh sebegitu, kau suka ke tak?

Aku menentang tindakan penggodam menggodam.

Friday, June 10, 2011

Bahasa SMS melawan Bahasa Akademik

 Isu bahasa SMS dalam penulisan akademik kembali menjadi bahan bualan di media massa.

Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah. Sealiran dengan perkembangan dunia semasa, menulis pendek-pendek sudah menjadi budaya. Ia diamalkan di SMS, Facebook dan Twitter, contohnya. Kadang kala atas faktor jumlah ruang yang terhad menjadi sebab kita menulis pendek-pendek. Juga faktor trend terkini yang menyebabkan kita tidak dapat lari daripada menulis seringkas-ringkasnya.

Dari satu perspektif, cukuplah sekadar orang yang menerima mesej itu faham akan kandungan mesej tersebut. Kalau tidak faham, tidak salah bertanya untuk meminta penjelasan. Dari satu perspektif lain, menulis pendek-pendek dikatakan mencemarkan bahasa.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan mencemarkan bahasa itu?

Aku fikir kita perlu mengikut peredaran zaman. Tapi tak semestinya dalam semua perkara mesti mengikut peredaran zaman. Jika ada keperluan untuk menulis pendek-pendek, contohnya dalam SMS, tulislah pendek-pendek. Jika ada keperluan untuk menulis penuh-penuh, contohnya dalam menulis esei akademik, tulislah penuh-penuh.

Ada kalanya jika kita meneroka ruang-ruang dalam menulis pendek-pendek, daya kreatif dalam penulisan kita semakin luas. Tidaklah kita terlalu statik dengan bahasa-bahasa skema dan sastera sahaja.

Yang menjadi masalah adalah apabila ada sesetengah orang yang tidak dapat membezakan antara dua keperluan tersebut - pendek-pendek dan penuh-penuh. Kedua-duanya tidak digunakan pada tempat yang betul - dalam kebanyakan kes tulisan pendek-pendek digunakan di tempat tulisan penuh-penuh.

Untuk membezakan penggunaan tulisan pendek-pendek dan tulisan penuh-penuh, sudah pastinya kita perlu berlatih menulis. Namun, yang menjadi masalahnya ialah, ada segelintir orang yang lebih banyak menulis SMS berbanding menulis esei akademik. Ditambah pula dengan masalah tidak dapat membezakan antara tulisan SMS dan tulisan akademik. Mereka jarang menulis esei akademik yang menuntut mereka menulis penuh-penuh.

Kesannya bahasa SMS digunakan dalam penulisan akademik.

Aku ada dua nasihat:

  1. Jangan jadi zalim. Letakkan sesuatu perkara pada tempat yang betul. Dalam SMS (contohnya), boleh sahaja tulis pendek-pendek. Dalam esei akademik, tulislah penuh-penuh.
  2. Berlatih, berlatih, berlatih! Antara menulis SMS (contohnya) dan menulis esei akademik, mana satu yang lebih banyak kita tulis?

Saturday, May 28, 2011

Ulasan Buku: Tiket Bola Sepak untuk Putera Haziq - Aliff Danial


Kisah dongeng menjadi salah satu kebiasaan dalam proses tumbesaran minda kanak-kanak. Minda mereka perlu diasah untuk berimaginasi supaya daya kreatif dan daya imaginatif mereka berkembang. Justeru, sesuai dengan peredaran zaman, kisah-kisah dongeng Melayu tidak perlu tertakluk hanya kepada kisah-kisah dongeng zaman dahulu seperti Bawang Putih dan Bawang Merah, Raja Bersiong, dan Musang Berjanggut sahaja. Tetapi kisah-kisah dongeng baharu yang penuh dengan fantasi, jalan cerita yang tidak logik dan di luar kebiasaan perlu dicipta. Ini agar kanak-kanak zaman moden tidak berasa bosan dengan kisah-kisah dongeng yang akan luput ditelan zaman.

Pengaruh idea-idea imaginasi daripada luar yang sudah mesra dengan pengetahuan masyarakat sekarang adalah antara idea-idea biasa yang boleh menjadi luar biasa sekiranya diolah dengan baik. Ini antara yang boleh didapatkan di dalam buku tulisan Aliff Danial bertajuk Tiket Bola Sepak untuk Putera Haziq yang diterbitkan oleh PTS One. Pengembaraan dari satu tempat ke tempat menggunakan kereta api yang boleh tiba di destinasi dalam masa yang singkat bukanlah idea baharu kerana ia boleh didapatkan di dalam filem Harry Potter. Kisah mengenaii biji benih ajaib yang boleh menumbuhkan pokok yang di luar kebiasaan juga bukan perkara baharu kerana ia diambil daripada kisah Jack and the Beanstalk. Namun, pengolahan yang baik dapat menciptakan idea lama menjadi kisah dongeng baharu yang segar.

Kehadiran buku tulisan Aliff Danial ini dianggap memenuhi citarasa zaman sekarang. Saya kira buku ini disasarkan kepada kanak-kanak sekolah rendah yang sudah lancar membaca. Sesuai dengan sukatan pelajaran kini yang membolehkan kebanyakan kanak-kanak sekolah rendah lancar membaca, buku setebal 137 halaman ini bukanlah masalah besar untuk mereka baca dari muka ke muka dengan seronok.

Lebih menarik lagi, buku ini mengutarakan kisah keinginan seorang kanak-kanak untuk pandai bermain bola sepak. Pada asasnya, sudah tentu kanak-kanak lelaki yang akan lebih tertarik dengan kisah seperti itu, namun persoalannya, berapa ramai kanak-kanak lelaki yang suka membaca buku seperti ini? Saya fikir pasti ramai. Ini kerana buku ini menampilkan grafik yang segar selain watak-watak terkenal seperti Zinedine Zidane, Nakata Hidetoshi dan Park Ji Sung. Merekalah yang mengajar dan memberi semangat kepada Putera Haziq untuk belajar bermain bola sepak. Secara tidak langsung, pembaca didedahkan dengan teknik-teknik asas bermain bola sepak.

Watak-watak antagonis pula tidak hadir dalam bentuk manusia, tetapi dalam bentuk yang saya kira sesuai dengan kisah dongeng yang penuh dengan imaginasi. Contohnya seperti daun-daun yang membentuk entiti tertentu, robot kayu yang boleh bergerak dan berkata-kata, dan pokok yang suka makan orang. Ini boleh mengelakkan kanak-kanak daripada tersuntik dengan nilai-nilai negatif yang ada pada sifat manusia.

Buku yang menampilkan budaya pemakanan di beberapa buah negara ini juga mampu menyuntik semangat kanak-kanak yang membaca untuk mengembara. Putera Haziq dibawa mengembara dari satu tempat ke tempat yang menampilkan pemain-pemain bola sepak yang masyhur. Ia membuka dimensi pemikiran kanak-kanak dengan memberitahu mereka bahawa setiap tempat mempunyai jenis-jenis makanan yang tersendiri.

Namun yang lebih penting dalam buku ini ialah nilai-nilai murni yang cuba disampaikan secara langsung mahupun secara tidak langsung. Yang jelas, buku ini menampilkan nilai murni seperti kesungguhan untuk mencapai cita-cita. Yang tersembunyi pula, seperti nilai rasa hormat kepada orang tua dan rasa hormat kepada orang yang menyampaikan ilmu.

Buku ini juga bersifat interaktif bersama pembaca kerana turut menampilkan beberapa aktiviti ringkas. Ini memberikan peluang kepada pembaca untuk bukan hanya membaca, tetapi menyelami sendiri perjalanan yang ditempuhi oleh Putera Haziq sebelum sampai ke destinasi yang dituju dan mencapai objektif lawatan ke setiap destinasi.

Bagi ibu bapa yang memiliki anak-anak kecil seusia kanak-kanak sekolah rendah, buku ini boleh dijadikan koleksi khususnya bagi kanak-kanak lelaki untuk menggalakkan mereka membaca dan secara tidak langsung menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal, seperti bermain bola sepak.

Monday, May 16, 2011

Ulasan Buku ITNM: Falsafah Dunia

Tajuk buku: Falsafah Dunia
Penulis: Ninian Smart
Penterjemah: Rosiyah Latif
Harga: RM70.00 (Semenanjung Malaysia), RM75.00 (Sabah/Sarawak)


Di beberapa ceruk tempat di dunia, budaya menterjemah karya falsafah dari satu bahasa ke bahasa lain merupakan budaya yang subur pada suatu ketika dahulu yang membolehkan percambahan dan perkembangan ilmu falsafah. Namun, dalam konteks Malaysia yang asal-usulnya daripada Tanah Melayu, budaya menterjemah karya falsafah saya kira kurang subur, tidak kira dahulu mahupun sekarang. Tidak banyak (ataupun mungkin sebenarnya tiada?) karya tempatan yang bersifat sarat falsafah yang mendapat perhatian untuk diterjemah ke bahasa lain, juga tidak kira dahulu mahupun sekarang.

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) mengambil langkah proaktif untuk menterjemahkan karya hasil kajian Ninian Smart ini ke bahasa Melayu. Ia merupakan salah satu usaha untuk memperkaya koleksi buku-buku falsafah yang ditulis dalam bahasa kebangsaan Malaysia.

Buku terjemahan bertajuk seringkas “Falsafah Dunia” tanpa subtajuk ini diterjemahkan oleh Rosiyah Latif. Menggunakan pendekatan tipikal karya falsafah dengan gaya bahasa yang berselirat, ayat-ayat dan perenggan-perenggan yang panjang, dan sarat dengan istilah-istlah teknikal dan bersifat tempatan ini memerlukan kajian lanjut. Ini kerana buku ini menghimpunkan falsafah-falsafah dari segenap pelosok dunia – dari Timur Jauh hinggalah Amerika Latin. Apabila berbicara mengenai falsafah pula, kita tidak boleh lari daripada menyorot sejarah sesuatu negara, bangsa dan orang perseorangan. Asal-usul dan latar belakang membentuk sejarah. Sejarah membentuk tamadun. Tamadun dibangun dengan pemikiran – falsafah.

Perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam konteks pewujudan dan pembangunan pemikiran falsafah pada suatu masa dahulu, setiap daripadanya pada asasnya bersifat tempatan – pemikir falsafah berfikir untuk menyelesaikan isu-isu yang berlaku di sekelilingnya. Dengan jaringan komunikasi yang sememangnya sangat terhad jika dibandingkan dengan zaman sekarang, hasil-hasil pemikiran falsafah dahulu, walaupun bersifat tempatan, masih menjadi perhatian hingga sekarang untuk dikaji dan difikirkan semula. Yang membuatkan pemikiran falsafah dahulu kekal hingga sekarang, walaupun asal-usulnya adalah daripada pelbagai tempat dan tokoh falsafah, ialah ia didokumentasikan dan diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain agar pengamal dan pembudaya bahasa-bahasa lain boleh terus-menerus mengkaji dan meneliti pemikiran orang lain. Di sini dapat dilihat akan betapa pentingnya bidang penterjemahan sebagai jambatan antara dua dunia.

Apabila berkata mengenai falsafah, istilah-istilah dengan imbuhan akhiran –isme sememangnya menjadi perkara biasa. Contohnya, Konfusianisme, Toisme, Zoroastrianisme dan struktualisme (sekadar menyebut beberapa contoh secara rawak) ialah istilah-istilah yang perlu dihadam untuk memahami falsafah dari pelbagai latar belakang tokoh yang memperkenalkan pemikiran-pemikiran sedemikian. Namun, yang lebih penting bukannya memahami istilah-istilah tersebut, tetapi menyebatikannya dengan fahaman yang pembaca sedia ada di dalam fikiran. Tidak semua falsafah boleh diterima pakai oleh semua orang. Ia bergantung kepada kefahaman masing-masing. Pembaca perlu memperluas minda agar lebih terbuka dengan kepelbagaian yang ada di dalam dunia ini – termasuklah kepelbagaian pemikiran.

Selain istilah, nama-nama terkenal dalam dunia falsafah boleh ditemui hampir di setiap halaman di dalam buku ini. Karl Marx, Ibnu Khaldun dan Yamazaki Ansai (sekadar menyebut beberapa contoh secara rawak) adalah antara ahli falsafah yang terdapat di dalam buku ini. Namun, yang lebih utama bukannya nama, tetapi sumbangan mereka dalam pembangunan budaya pemikir dalam konteks masyarakat tempatan mereka, dan lebih luas lagi dalam konteks masyarakat seluruh dunia. Satu persoalan yang pasti muncul apabila berbicara mengenai falsafah ialah perbezaan antara falsafah dengan agama. Ada dua kemungkinan yang akan berlaku jika pembaca selesai membaca buku ini: Sama ada garis kefahaman yang memisahkan antara falsafah dan agama, dan titik-titik persamaan antara falsafah dan agama semakin jelas, atau garis dan titik itu semakin caca marba koordinatnya di dalam minda. Sebagaimana yang pernah diujarkan kepada saya oleh seseorang yang baharu dalam bidang falsafah (tidak mahu dinamakan), “Falsafah bukan untuk semua orang...”

Justeru, buku setebal 632 halaman ini menuntut pembacanya untuk berlapang dada dan bersedia untuk menerima kepelbagaian pemikiran yang ada pada tokoh-tokoh pemikir dahulu. Satu pertujuh daripada ketebalan buku ini terdiri daripada senarai bahan-bahan bacaan yang digunakan oleh penulis asal untuk dikaji sebelum menulis buku ini. Namun, di sebalik senarai bahan-bahan rujukan yang berjela-jela tersebut, kandungan buku ini digarap kemas dan disusun mengikut asal-usul tempat sesuatu falsafah itu muncul dan berkembang. Ini menjelaskan sejauh mana Ninian Smart benar-benar smart (bijak) dalam menyusun bahan-bahan kajiannya dan ini menunjukkan betapa beliau serius untuk menjadikan bukunya pula sebagai rujukan oleh lebih ramai ahli pemikir. Yang menarik tentang buku ini ialah koleksi menyeluruh falsafah-falsafah dari seluruh dunia yang boleh didapatkan hanya dalam satu buku.

Sebaik-baiknya pembaca mengambil tahu terlebih dahulu gerangan penulis asal buku ini walaupun ia hadir dalam pasaran Malaysia dalam tulisan bahasa Melayu. Ninian Smart, seorang profesor yang dilahirkan di Scotland sudah pasti pada awalnya bertujuan menghasilkan buku ini untuk rujukan orang-orang yang sebahasa dengannya. Justeru, dengan tidak menolak hakikat bahawa asal-usul dan latar belakang memainkan peranan penting untuk membentuk corak pemikiran seseorang, terkandung di dalamnya sudut pandang beliau dan tujuan beliau menyusun buku ini sedemikian rupa. Antara yang wajar dipetik ialah:

“Saya juga berpendapat supaya lebih memberikan manfaat kepada pembaca Barat khususnya, dan kepada semua pembaca umumnya, agar memulakan pembacaan mereka tentang pemikiran dunia di luar Eropah. Cara ini dapat membantu mereka, dan kita melepaskan diri daripada terlalu terikat dengan pandangan konvensional tentang sejarah bidang itu.”

Dari aspek penterjemahan, saya suka mengaitkan kebijaksanaan penterjemah untuk menghasilkan terjemahan yang tidak perlu pembaca terjemahkan pula ke bahasa asal untuk memahamkan teks terjemahan, dengan kesempurnaan menterjemah. Sepanjang membaca buku ini, kadang kala saya cuba memahamkan teks-teks tersebut dalam bahasa Inggeris kerana saya lebih faham jika begitu halnya. Khususnya terjemahan adverba daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu membuatkan karya terjemahan tersebut ada berbau-bau terjemahan.

Namun begitu, diharapkan dengan terbitnya karya terjemahan yang menghimpunkan falsafah-falsafah dari seluruh dunia dalam bahasa Melayu ini akan memperkembang pengajian dan pemahaman mengenai falsafah memandangkan, sepanjang pengetahuan saya, jarang sekali buku berkaitan falsafah dunia diterbitkan dalam bahasa Melayu. Walaupun sasaran pembaca buku mengenai falsafah ini adalah kecil berbanding buku-buku terjemahan yang bersifat komersial dan sastera, saya yakin ini merupakan sumbangan besar oleh ITNM dalam bidang falsafah di Malaysia, dalam bahasa Melayu.

Syabas saya ucapkan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia atas usaha murni ini.

Sunday, May 15, 2011

Panduan Menyediakan Papan Penunjuk Jalan ke Majlis Perkahwinan

Pada usia melepasi zaman universiti, ramai rakan yang aku kenal menjemput aku dan isteri ke majlis perkahwinan mereka. Dengan popularnya Facebook sebagai medium komunikasi, ramai yang menggunakan laman sesawang sosial itu untuk menghantarkan jemputan secara maya. Antara alasannya, untuk menjimatkan kos dan sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan penggunaan kertas.

Apa-apa sahajalah. Natijahnya, tetamu yang dijemput tidak memiliki peta ke tempat majlis diadakan. Jika ada pun disertakan di Facebook, ia perlu dicetak. Pencetak pula tiada.

Lalu Googlemaps menjadi laman rujukan. Namun, untuk pengetahuan, ia tidak semestinya betul. Aku sudah beberapa kali terkena. Ini berikutan nama tempat yang seakan-akan sama, mahupun disebabkan Googlemaps yang tidak sentiasa dikemaskini dengan keadaan jalan semasa.

Ada juga masalah konflik pengetahuan antara pihak yang menjemput ke majlis perkahwinan dengan pihak yang menyediakan Googlemaps, khususnya yang melibatkan kawasan sempadan di antara dua daerah. Contohnya, pada pengetahuan orang yang menjemput, dia tinggal di Setapak. Tetapi dalam Googlemaps, kawasan itu ialah Wangsa Maju.

Jadi, menjadi tanggungjawab orang yang menjemput untuk menyediakan papan penunjuk jalan di sekitar kawasan yang dijangka menjadi laluan utama tetamu.

Sepanjang pemerhatian saya, masalah-masalah berikut kerap berlaku:

  1. Langsung tiada papan penunjuk jalan.
    Melainkan tempat majlis diadakan sudah ramai yang maklum seperti di PICC ataupun di Dewan Merdeka, bolehlah begitu. Tapi kalau majlis diadakan di ceruk kampung ataupun kawasan perumahan, macam manalah tetamu tak hangin kalau tak jumpa-jumpa jalan?
  2. Papan penunjuk jalan tidak jelas.
    Tulisan pada papan penunjuk jalan perlu sebesar mungkin. Cukup besar untuk orang yang memandu melihat dengan sekali imbas. Bukannya letakkan nama penuh pengantin seolah-olah orang yang memandu akan membaca setiap butir maklumat pada papan penunjuk jalan tersebut.
  3. Papan penunjuk jalan diletakkan di tempat yang langsung orang tak terfikir akan diletakkan di situ.
    Tolonglah bijaksana sedikit kalau memilih tempat untuk meletak papan penunjuk jalan. Jangan letak di tempat-tempat yang tak strategik. Jika diletak di lampu isyarat, bagus, tetapi perlu bertanggungjawab untuk membukanya semula selepas majlis tamat.
  4. Nama pengantin pada papan penunjuk jalan tidak seperti yang biasa dikenali.
    Sebaik-baiknya letakkan nama yang paling biasa disebut oleh orang yang datang dari jauh. Kerana merekalah yang biasanya memerlukan petunjuk daripada papan penunjuk jalan tersebut. 
Untuk mengatasi masalah-masalah seperti itu, anda boleh lakukan seperti berikut:
  1. Sekarang sudah ada pihak penjual kad jemputan yang memasukkan pakej membuat kain rentang sekali dengan kad jemputan. Apa kata jika anda belanja lebih sedikit untuk memudahkan tetamu hadir ke majlis anda dengan hati yang tenang dan gembira dengan membuat kain rentang dan diletakkan di tempat-tempat yang strategik.
  2. Masih mengenai kain rentang: Letakkan gambar wajah pengantin sejelas yang mungkin selain nama pengantin. Bagi rakan-rakan yang hadir, mereka sudah pasti kenal wajah pengantin. Mereka tak kisah pun dengan nama yang diletakkan di kain rentang itu. Jangan letak gambar sisi wajah seolah-olah poster filem. Nanti orang tak kenal. Usah berangan seolah-olah anda menjemput mereka menonton wayang.
  3. Ada juga yang saya perhatikan, selain meletak gambar pengantin, ada yang meletakkan gambar kedua-dua orang tua dalam kain rentang. Idea yang bagus! Kerana tak semestinya orang kenal dengan pengantin. Ada yang hadir atas jemputan ibu bapa pengantin, dan tak kenal pun dengan wajah pengantin.
  4. Jika lebih mampu lagi, upah beberapa orang Rela untuk menunjukkan jalan ke rumah anda.
  5. Pada hari majlis diadakan, berikan telefon anda kepada ahli keluarga yang boleh dipercayai untuk menunjukkan jalan sekiranya ada yang sesat. Apa guna menyertakan nombor telefon di dalam jemputan jika didail tetapi tidak dijawab walhal anda sibuk bersanding?
Harus diingat, pihak yang menjemput ke majlis perkahwinan perlu peka dengan kehendak orang yang dijemput. Bukan sekadar makanan yang sedap dan majlis yang meriah, tetapi lebih awal daripada itu lagi. Tanpa adanya papan penunjuk jalan yang baik, mana mungkin tetamu dapat hadir? Jika dapat hadir pun, mungkin hati mereka sudah kurang ikhlas kerana berperang dengan rasa marah dek tak jumpa-jumpa jalan ke rumah pengantin.

Bak kata isteri saya, ingat... bukan semua orang ada GPS.

Saturday, April 23, 2011

Suami Isteri Bergaduh kerana Tak Setuju dengan Nama Anak


Z,

Jahat kan Abah? Sepanjang Z dalam kandungan, tak pernah Abah tulis pasal Z. Sekarang usia Z sudah nak masuk 7 bulan baru sempat Abah menulis. Hehe.. Maafkan Abah... Abah sibuk mengumpul duit untuk persediaan menyambut Z ke muka bumi.

Lagipun sebenarnya bukan apa, Abah sendiri tak tahu nak panggil Z dengan nama apa. Abah bimbang kalau Abah gunakan sebarang nama di blog, nama tu akan melekat terus untuk Z walhal sepanjang tempoh tu, Emak dan Abah belum jumpa kata putus lagi nak namakan Z dengan nama apa.

Ok, yang bahagian panggilan "Emak" tu pun sebenarnya Abah belum jumpa kata putus dengan Emak lagi. Ikutkan Abah, Abah nak emak Z panggil "Emak". Ikut Emak, dia nak "Ummi". Tak pe. Nanti Emak dan Abah dah jumpa kata putus, kami bagitahu Z ye.

Pasal nama Z ni, kalau nak ikutkan, sebelum Z disahkan wujud dalam kandungan lagi Emak dan Abah sudah mula berbincang. Bila masing-masing cuba menegakkan pilihan masing-masing, mulalah perbincangan tu masuk ke tebing-tebing pergaduhan. Hehe.. Tapi Emak dan Abah profesional. Bila rasa-rasa macam tak sepatutnya gaduh pada perkara yang tak pasti, Emak dan Abah tenangkan hati masing-masing. Kami tangguhkan perbincangan tu. Emak dan Abah belum bersetuju apa-apa tentang nama Z, tapi Emak dan Abah setuju untuk lanjutkan perbincangan itu apabila Z sudah disahkan mula membesar dalam kandungan Emak.

Sekali Z disahkan muncul. Selamat datang dan selamat membesar di dalam kandungan Emak!

Maka bersambunglah semula episod pergaduhan Emak dan Abah. Tapi Z jangan risau, cara Emak dan Abah bergaduh ni, comel (eheh, segan pula cakap macam tu :P). Nanti Z dah besar, Z tahu la kot cara Emak dan Abah bergaduh. Hehehe... Mesti Z akan perasan dan berkata, "Sah mak bapak aku tengah gaduh kalau macam tu gayanya." :P

Gaduh punya gaduh, masih tak selesai. Emak dengan cadangan Emak, Abah dengan cadangan Abah. Maklumlah, masing-masing sudah ada impian sejak sebelum berkahwin lagi. Bila sudah berkahwin, masing-masing nak impian menjadi realiti. Hakikatnya, realiti tidak semudah itu kerana banyak halangan yang tidak dilihat dan diinsafi ketika impian disemat di dalam hati.

Masa tu Emak dan Abah tak tahu lagi jantina Z. Jadi topik dan isi pergaduhan tu tidak jauh berbeza dengan yang sebelumnya. Asalnya Abah cuba mencadangkan agar jika dapat anak lelaki, Abah yang bagi nama. Jika dapat anak perempuan, Emak yang bagi nama. Mula-mula Emak macam setuju, tapi kemudian dia berubah fikiran. Sebab dia pun ada impian nama anak lelaki. Hehe... Comel je la Emak ko tu. Rasa macam nak gigit-gigit je... (kan Abah dah kata kalau gaduh kitorang comel je~ :P)

Bila rasa-rasa macam tak sepatutnya gaduh pada perkara yang tak pasti sebab tak tahu jantina Z lagi, Emak dan Abah tenangkan hati masing-masing. Kami tangguhkan perbincangan tu. Emak dan Abah belum bersetuju apa-apa tentang nama Z, tapi Emak dan Abah setuju untuk lanjutkan perbincangan itu apabila jantina Z sudah dipastikan.

Masuk bulan kelima usia Z di dalam kandungan, Z disahkan lelaki. Jadi, seperti yang dijangka, episod sandiwara pergaduhan Emak dan Abah bersambung selepas iklan. Lama betul iklan sampai berbulan-bulan. Hehe...

Walaupun skop pergaduhan selepas tahu jantina Z semakin kecil, Emak dan Abah masih tak jumpa-jumpa lagi kata putus. Entah kat mana kata putus tu. Degil tau dia tak nak muncul-munculkan diri lagi. Penat Emak dan Abah mencari (bergaduh). Huhu...

Ikutkan Emak, dia nak nama Z sebagai "Muhammad" sahaja. Macam nama Nabi katanya. Sepatah sahaja. Kalau panggil, memang itulah nama penuhnya. Tapi Abah pula tak fikir begitu. Abah ada kenal orang yang nama penuhnya Muhammad, tapi panggil "Mat". Orang tak panggil nama penuhnya. Jadi, point tu ada flaw juga la. Satu lagi point Emak, nanti Z dah besar, senang nak isi borang. Macam-macam borang nak kena isi dengan benda yang sama. Penat tau Z. Bosan! Tapi pada Abah, alang-alang nak pendek, bagi sahaja nama Ali. Nama sahabat Nabi tu. Sah-sah pendek. Dah la nama sahabat Nabi, tak kurang juga bagusnya. Tapi Emak tak nak pula.

Kenapalah Kerajaan tak gunakan sistem ejaan Jawi padahal masyarakat Melayu Melaka dulu bermula dengan tulisan Jawi? Senang nak tulis sebab pendek-pendek je berbanding ejaan Rumi. Daripada Muhammad dalam ejaan Rumi ada 8 huruf, dalam ejaan Jawi tinggal 4 huruf sahaja. Nampak betul penjajah yang bawa masuk sistem huruf Rumi sudah berjaya sangat menjajah sampai sekarang. Orang Arab yang masuk Melaka dan memperkenalkan tulisan Jawi yang berasal daripada tulisan Arab mana ada menjajah? Mereka berdagang elok-elok sahaja. Tak menjajah pun. Tapi akhirnya, sistem ejaan penjajah juga yang diikut. Haih la tanah airku~

Eh, dah jauh pula Abah membebel. Nasib ko la Z dapat bapa macam ni. Hehe... Abah dapat bakat ni daripada Atuk ko sebenarnya. Nenek ko senyap je orangnya. Terbalik kan? :P Tapi kalau membebel ada isi, tak mengapa kan? Kalau Z dah besar nanti dan banyak tanya dan cakap, Abah takkan halang. Sebabnya jika bercakap tu, maksudnya Z mencerna otak. Tapi kena tengok jugalah Z cakap apa. Kalau macam tak betul isi dan caranya, Abah akan tegur dan beritahu apa yang lebih betul dan molek. :) Zaman sekarang ni Z, orang kata: focus on the right question, not the right answer.

Berbalik pada nama Z, pada Abah, biarlah dalam hati Abah ni ada seorang sahaja Muhammad yang dekat dengan hati Abah, iaitu Nabi Muhammad. Kalau ada Muhammad lain yang dekat di hati Abah, Abah tak rasa selesa la. Macam dah tak ada ruang dah dalam hati Abah ni untuk seorang lagi Muhammad. Huhu... Abah nak nama Nabi Muhammad yang ada dalam hati Abah ni unik. Tiada duanya. Tiada penggantinya.

Pujuk punya pujuk, Emak lenturkan hatinya untuk menerima pandangan Abah tu. Jadi, nama Z memang akan ada Muhammad, tetapi bukan Muhammad sahaja.

Itu tak bermakna Emak dan Abah dah habis bergaduh. Belum lagi~ Selagi belum dapatkan nama penuh Muhammad Si Polan bin Muhammad Zaki, selagi tu lah Emak dan Abah bergaduh. Huhu...

Emak dan Abah mahukan huruf Z juga sebab kami nak kekalkan MZ tu. Ye lah, Abah Muhammad Zaki (MZ), Emak pula Maryam Zahaba (MZ juga). Jadi, anak pun kalau boleh nak MZ. Konon-konon nak sweet-sweet la. Sweet-sweet, tapi gaduh. Apa la kan? Tak dewasa betul remaja purba nil! Huhu... Tapi tentang hal ini, memang cepat sahaja kami mencapai kata putus. Maklumlah, kek perkahwinan pun ada MZ + MZ, nama anak pun nak juga MZ. Bukan senang nak mencari persamaan seperti itu pada nama pasangan. Jadi, ada nilai keunikan di situ. Nanti Z dah besar nanti, bolehlah berkongsi cerita ni dengan kawan-kawan. Huhu...

Gaduh, gaduh juga. Tapi tak semestinya tak ada langsung persamaan dan persetujuan. Itu yang buat hubungan Emak dan Abah makin erat. Di sebalik awan mendung, ada sinar mentari menanti berkunjung.

Z nak tahu? Walaupun skop pilihan nama sudah semakin sempit, emak dan Abah masih tak habis-habis bergaduh lagi. Emak dan Abah dah setuju dengan Muhammad Z. Tapi Z tu apa?

Cari punya cari, Emak berkenan dengan satu nama Z ni. Abah pula berkenan dengan nama Z lain. Hah sudah... Bergaduh lagi. Huhu...

Sebenarnya bergaduh tu bukannya apa. Setiap pihak cuba nak lembutkan hati pihak yang satu lagi agar menerima cadangannya. Nampak betul hati Emak dan Abah ni masing-masing keras. Hahaha... Tapi kan Z, dalam keras-keras tu pun, sebenarnya keras bersebab. Bukannya Emak dan Abah suka-suka je nak berkeras dengan pilihan masing-masing tanpa sebab yang kukuh.

Pada setiap pilihan Emak dan Abah, masing-masing ada kewajaran atau justifikasinya. Tak adalah masing-masing letakkan pilihan atas sebab seperti "nama tu sedap", "nama tu selalu orang pakai", dan "nama tu senang nak sebut". Emak dan Abah cuba elakkan point-point macam tu kalau nak bergaduh. Kalau guna juga, cepat je kena cantas. Hehe... Kewajaran yang Emak dan Abah ada pada pilihan masing-masing mesti terkandung mesej-mesej dan makna yang tersendiri.

Jadi, akhirnya mungkin sebab dah penat bergaduh, atau mungkin juga itulah sebenarnya pilihan yang terbaik untuk nama Z, Emak dan Abah dah jumpa kata putus. Rupa-rupanya kata putus tu menyorok dekat internet! Hehe... Search punya search, akhirnya jumpa...

Dan nama Z ialah Muhammad Z.......

Ada la~ Nanti-nantilah bila Abah dah tulis dekat dalam borang surat beranak Abah bagitahu Z. Ini belum rasmi dalam rekod Kerajaan lagi ni. Tak boleh kepoh-kepoh lagi. Huhu...

Yang pentingnya, Emak dan Abah sudah kurang satu topik untuk bergaduh. Hehe.. Dalam membuat keputusan dalam rumahtangga ni Z, memang macam tu. Kena ada perbincangan yang telus, tulus dan mulus. Setiap pihak yang memberikan hujah, kena berdasarkan pemikiran yang rasional. Emosi memang kena tolak tepi. Tapi macam Abah sebagai suami, kenalah faham bahawa perempuan ni tahap emosi mereka lebih tinggi berbanding lelaki. Emosi itu bukan tak penting, tapi ia perlu diletakkan pada tempat yang betul. Jadi, menjadi tugas pihak suami untuk menyalurkan emosi isteri itu kepada perkara-perkara yang sepatutnya. Rasional suami menjadi saliran, emosi isteri menjadi aliran. Sesat saliran, sesatlah aliran. Melimpahlah ia pada tanah yang tidak perlukan air, menumbuh dan menyubur lumut dan kulat perpecahan rumahtangga nauzubillah...

Thursday, April 14, 2011

Bersangka Orang Lain Bersangka Buruk Juga Salah Satu Sangka Buruk

Sepanjang melanjutkan pengajian di universiti, hidupku dikelilingi bermacam-macam orang. Hampir di mana-mana sahaja aku berada, pasti ada yang kukenali, dan yang mengenaliku. Namun, ada juga aku mengambil peluang belajar untuk berdikari dan bersendiri dalam menjalani hidup sehari-hari. Mungkin ada yang memerhati saat ku ke hulu ke hilir menjual roti. Itu antaranya.

Selepas tamat belajar, biasanya aku meluangkan masa bersendiri selepas pulang daripada kerja. Ketika itu, aku masih bujang. Tinggal di rumah sewa bersama rakan serumah yang lain, namun tidak pernah kami berpeluang keluar bersama dek jadual masing-masing yang berlainan.

Jika ingin mengharapkan rakan-rakan yang dikenali ketika di universiti, masing-masing juga punya komitmen. Jarak betul-betul memisahkan. Namun, aku ambil yang positif, hindarkan yang negatif. Melalui pengalaman itu, aku belajar untuk melebarkan definisi berdikari dalam konteks hidup sebagai orang bujang lepasan universiti.

Pada hari bekerja, aku di Kuala Lumpur. Hujung minggunya pula, aku pulang ke kampung. Eheh, dulu aku cuma membaca kisah seperti ini di dalam novel. Tiba pula masanya untuk aku sendiri melalui pengalaman itu.

Pengalaman seperti itu mengajar aku agar lebih yakin terhadap diriku. Bahawa aku boleh sahaja melakukan banyak perkara sendirian. Bahawa ada juga hikmah jika masa tidak dikongsi dengan sesiapa. Bahawa aku mengenal diriku dalam cerminan diriku sendiri. Bahawa banyak perkara dapat diselesaikan.

Aku tidak dapat bayangkan jika aku terlalu meluangkan masa dengan orang lain. Bukannya tidak boleh langsung, tetapi perlu ada hadnya. Hasilnya, aku lebih fokus terhadap matlamatku untuk berumahtangga pada tahun 2010. Matlamat itu sudah lama aku sasarkan walaupun ketika mula-mula ia terbit, belum ada calon yang bertandang di hati.

Aku melihat hikmah. Dalam melihat hikmah, aku butakan mata daripada melihat gejala-gejala yang boleh menyerong pandanganku daripada terus terhala ke arah matlamat untuk menamatkan zaman bujang. Sedikit demi sedikit, aku kikis rasa ingin meluangkan masa dengan orang lain sambil meningkatkan usaha untuk menambahkan pendapatan untuk berkahwin.

Alhamdulillah, apabila tiba masanya dan cukup persediaan mental, fizikal, dan kewangan, urusan perkahwinanku berjalan lancar sahaja. Tidak pula terlalu terasa kerana majlis pernikahan tidak dihadiri rakan-rakan seuniversiti walhal pada saat-saat seperti itu, biasanya orang lain ada rakan-rakan yang mengiringi. Bukan tidak dijemput, tetapi masing-masing punya komitmen dan halangan. Apatah lagi majlis dilangsungkan jauh di selatan.

Tidak mengapa. Yang lebih penting ialah urusan pernikahan disudahkan, dan gadis idaman sah menjadi teman hidup. Saudara-mara kan ada menemankan? Itu lebih penting. Lihat perkara yang penting. Usah yang tidak penting mengganggu perkara yang penting. Itu antara cara mencari hikmah.

Walaupun kadang-kala syaitan berbisik di telinga cuba menghasut, namun cepat-cepat tulikan telinga dengan kapas hikmah. Sumbat ia agar tidak jatuh terberkas di hati akan titik-titik hitam sangka buruk.

Hidup perlu diteruskan. Teruskan hidup dengan bersangka baik. Biarpun dengan bersangka baik menjadi sebab orang lain pula bersangka buruk. Selagi mana sangka buruk itu tidak menjejaskan diri kita dan keluarga, teruskan bersangka baik. Jika ada yang bersangka buruk, biarlah mereka. Mungkin ada masalah dalam diri mereka yang belum diselesaikan dan tidak mahu dikongsikan dengan orang lain.

Bersangka orang lain bersangka buruk juga salah satu sangka buruk. Usah begitu. Teruskan bersangka baik. Kerana Allah ada. Dia Maha Mengetahui. Allah tahu apa yang ada di dalam hati mereka. Biar itu menjadi urusan antara mereka dengan Allah.

Senyum ya :)

Ha... Begitulah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...