Wednesday, August 24, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian II)

Setelah disahkan bahawa isteri aku perlu dimasukkan ke wad kerana jalan sudah terbuka 1 cm, kami berbincang tentang keperluan yang perlu dibawa ke wad. Beg yang mengandungi pakaian bayi dan ibunya yang sudah lama dikemas ada di dalam kereta, tetapi persiapan itu sebenarnya sangat mimimum. Ia hanya disediakan sekiranya kelahiran bayi pertama kami betul-betul dalam keadaan kecemasan.

Sebelum dimasukkan ke wad, aku dan isteri perlu mendaftar diri. Beberapa dokumen diperlukan seperti kad pengenalan dan sijil nikah. Mujur memang kubawa ke mana-mana sahaja salinan permohonan sijil nikah di dalam dompetku.

Selesai pendaftaran, aku perlu menjelaskan bayaran deposit terlebih dahulu. Aku ditawarkan wad kelas satu. Memikirkan keselesaan isteri dari pelbagai sudut khususnya bab aurat dan privasi, tidak lama untukku membuat keputusan untuk menerima tawaran itu. Mujur juga pagi hari itu aku sedia mengeluarkan wang sebanyak RM1000. Berkepuk juga dompetku. Macam tahu-tahu sahaja bahawa kepukan itu tidak lama. Ini kerana bayaran deposit bagi wad kelas pertama di hospital itu ialah RM800 bagi tempoh seminggu.

Selesai membuat bayaran, aku dan isteri diiring oleh seorang jururawat menuju ke wad yang dimaksudkan. Di situlah kami berbincang mengenai keperluan yang perlu diambil dari rumah seperti sedikit makanan dan minuman, pengecas bateri telefon, buku dan tambahan pakaian untuk menampung keperluan tinggal di wad yang kami sendiri tidak tahu berapa hari akan diluangkan di situ. Ini kerana isteriku tidak menunjukkan tanda-tanda sakit, melainkan ada kebocoran. Itu pun tidak kami sangka bahawa itu adalah air ketuban. Maklumlah, masing-masing tidak pernah melihat air ketuban dengan mata kepala sendiri.

Selesai berbincang dan menyenaraikan semua keperluan, lalu kukhabarkan melalui panggilan telefon kepada emak dan ayah mertuaku bahawa anak mereka sudah dimasukkan ke dalam wad untuk persediaan bersalin. Nak dijadikan cerita, kami sama-sama melawat sepupu isteriku di wad bersalin, yang juga merangkap anak buah emak dan ayah mertuaku, pada lewat petang sebelum isteriku pula dimasukkan ke dalam wad yang sama tidak sampai sejam selepas kami berpisah. Kebetulan pula kami pergi ke hospital secara berasingan.

Alangkah terkejutnya emak dan ayah mertuaku kerana langsung tidak menyangka bahawa anak mereka sudah mahu melahirkan anak pertamanya, yang juga merangkap cucu pertama mereka. Terus mereka tanyakan apa-apa bantuan yang mereka boleh hulurkan. Oleh sebab aku sudah jangkakan reaksi itu, lalu kutenangkan mereka. Kukatakan bahawa segalanya baik-baik sahaja. Aku akan pulang ke rumah mereka untuk mendapatkan beberapa keperluan sementara isteriku tinggal di wad.

Hari semakin lewat. Dalam kelam-kabut dan kalut itu, sempatkah aku berbuka puasa? Nantikan sambungannya...

Sunday, August 21, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian I)

Ketika kebanyakan orang lain sibuk berterawih pada malam pertama Ramadan 31 Julai lepas, aku pula sibuk menguruskan isteri yang dimasukkan ke wad untuk bersalin.

Kisahnya, aku dan isteri tidak merancang untuk masuk ke wad seawal itu kerana tanda-tanda kelahiran yang jelas belum ada. Tetapi, isteri aku berat hati untuk melepaskan aku pulang ke KL untuk menyambung tugas Isnin keesokannya. Jadi, dia meminta agar dia diperiksa oleh doktor. Manalah tahu, jalan memang sudah terbuka.

Kisahnya juga, sebenarnya bukanlah sengaja kami pergi ke hospital semata-mata untuk tujuan melakukan pemeriksaan. Tetapi kami pergi ke hospital untuk melawat sepupu isteri yang baru bersalin di hospital yang sama. Jadi, alang-alang berada di hospital, kata isteriku, apa kata kalau dia diperiksa. Manalah tahu, jalan memang sudah terbuka.

Aku turutkan sahaja. Nak dijadikan cerita, prosedur di Hospital Pakar Sultanah Muar yang terletak hanya 2 kilometer dari rumah mertuaku itu, jika sudah lakukan pemeriksaan, perlu ditahan di wad tidak kira bukaan sudah besar mahupun belum terbuka lagi. Setelah berbincang, selain hakikat bahawa isteri aku tidak mahu aku pulang ke KL, kami membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan.

Setelah diperiksa, sah! Sudah terbuka 1 cm. Segala-galanya tidak dirancang. Daripada sekadar mahu menjalankan pemeriksaan, akhirnya ditahan di wad. Dari satu sudut, ada kelegaan pada diriku kerana tidak perlu pulang ke KL dan datang semula ke Muar untuk menguruskan isteri yang mahu bersalin. Dari satu sudut lain pula, kami tidak bersedia sepenuhnya! Langsung tiada bekalan pakaian mahupun persiapan lain yang kami bawa kerana tujuan asal ke hospital itu adalah untuk melawat saudara. Namun mujur rumah mertuaku dekat dengan hospital. Mudah untuk berulang-alik dan menguruskan isteriku.

Bersambung...

Monday, August 08, 2011

Surat Keempat Abah Untuk Z


Hari ini genap usia Z tujuh hari.

Baru sekejap tadi Abah uruskan pendaftaran nama Z di Jabatan Pendaftaran Negara di Muar.

Walaupun Abah dan Ummi sudah lama memanggil Z dengan nama ini, tetapi selagi ia belum didaftarkan secara sah, nama itu masih lagi dikatakan sebagai nama tidak rasmi.

Jadi, dengan terteranya nama Z dalam surat beranak Z, maka dengan ini rasmi dan sahlah bahawa nama penuh Z ialah:

Muhammad Zaid bin Muhammad Zaki

Ringkasnya, Muhammad Zaid bin Muhammad Zaki akan dipanggil sebagai Zaid.

Zaid,

Ketahuilah bahawa Abah dan Ummi melalui saat-saat yang sukar sepanjang menentukan nama Zaid. Nama-nama seperti Maher Zain, Abdullah, Muhammad Zaid Zafri, Ahmad, dan beberapa nama lain menjadi isu hangat yang diperdebatkan oleh Abah dan Ummi. Akhirnya, Abah dan Ummi mencapai kata sepakat bahawa nama yang dipersetujui oleh Abah dan Ummi untuk diberikan kepada anak pertama kami ialah Muhammad Zaid. Itupun selepas Abah dan Ummi menjalankan pemeriksaan imbasan jantina. Ada juga Abah dan Ummi bersiap sedia dengan nama anak perempuan jika keputusan pemeriksaan imbasan itu tidak tepat.

Zaid,

Sengaja Abah dan Ummi memberikan nama yang pendek kepada Zaid. Mudah untuk disebut, ringkas untuk ditulis. Pernah Abah nukilkan bahawa Abah lebih cenderung untuk memilih nama yang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek, Jadi, Abah harap sepanjang hidup Zaid, kekalkanlah dengan nama itu. Usah dipendekkan lagi, apatah lagi dipanjangkan lagi dengan nama-nama yang mungkin Abah dan Ummi tidak berkenan.

Biasa sahaja menjadi amalan dalam masyarakat kita. Walaupun sudah ada nama yang sedap dan bermakna, orang di sekelilingnya pula memberi nama lain. Contohnya nama Abah sendiri - pernah ada cubaan untuk meletakkan nama Abah sebagai Atan. Entah apa maksudnya. Itu belum lagi disebutkan nama Jekek. Isk, mujur tak kekal lama nama tu. Ummimu pula, di sekolahnya, dia dipanngil T-Rex. Kelakar kan? Tapi Abah pun apa kurangnya. Nama sudah sedap-sedap Muhammad Zaki, nak juga Szakif Meli ^^"

Pada Abah, kalaupun mahu memberikan nama yang comel, pastikan ada makna yang baik. Kerana setiap kali nama itu disebutkan, dalam sedar mahupun tidak, ia menjadi doa.

Zaid,

Berkata tentang maksud namamu, ia sangat berkait rapat dengan makna bertambah, meningkat, dan bertumbuh. Setahu Abah yang ada latar belakang bahasa Arab sedikit ini, perkataan Zaid berasal daripada kata akar Za-da (tambah). Zada yazidu zaidan. Dipetik daripada makna perkataan itu, maksud asas nama Zaid ialah tambah. Suka untuk Abah nyatakan perkara-perkara yang sepatutnya bertambah sepanjang hidupmu.

Zaid,

Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Allah dan Rasul-Nya.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Abahmu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah imanmu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah ilmumu.

Zaid,

Jika semua itu dapat bertambah dari demi hari, insya Allah banyak perkara lain yang turut sama bertambah - rezekimu, rakan-rakanmu, kenalanmu, jasamu, budimu, kematanganmu, dan sebagainya. Insya Allah... Tidak sanggup Abah nukilkan akibat yang mungkin boleh terjadi sekiranya hal yang sebaliknya berlaku.

Zaid,

Ketahuilah juga bahawa nama Zaid itu Abah dan Ummi ambil daripada nama sahabat Nabi Muhammad S.A.W.  - Zaid bin Tsabit. Beliaulah antara sahabat yang bertanggungjawab menulis al-Quran. Beliau juga banyak menulis surat bagi pihak Baginda untuk ditujukan kepada pihak-pihak yang diseru memeluk Islam. Sepanjang hidupnya selepas itu, beliau menjadi antara rujukan utama dalam penulisan al-Quran walaupun Nabi Muhammad S.A.W. sudah wafat.

Justeru Zaid, pada Abah khususnya, nama Zaid sangat rapat dengan diri Abah kerana Abah juga minat menulis. Tanpa jasa Zaid bin Tsabit menulis butir-butir ayat indah al-Quran, mana mungkin kita boleh membacanya kini. Dan ketahuilah Zaid, bahawa al-Quran itulah mukjizat Nabi Muhammad S.A.W. yang paling agung, kerana sehingga hari kiamat ia akan kekal tidak berubah dan tidak diubah.

Jadi Zaid, teladanilah dan insafilah jasa yang dilakukan oleh Zaid bin Tsabit. Tidak akan mungkin kau akan menulis al-Quran sebagaimana beliau, namun Abah doakan kau akan menjadi seorang yang hebat, yang banyak menyumbangkan jasa kepada masyarakat menerusi tulisanmu.

Sebenarnya, banyak lagi sebab yang menyumbang ke arah persetujuan Abah dan Ummi dengan nama Zaid ini. Tetapi sebab-sebab yang utama ialah seperti yang Abah bebelkan di atas. Itu belum lagi Abah nukilkan sebab nama Zaid didahulukan dengan perkataan Muhammad. Ia bukan sekadar mengikut ritma nama Abah, Zaid.

Insya Allah Zaid, dengan setiap kali namamu disebut oleh sesiapa sahaja, mudah-mudahan menjadi doa yang mustajab untuk menjadikan kau manusia yang cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat. Amin...

Namun yang pasti, untuk mencapai semua yang Abah bebelkan di atas, Abahlah yang perlu memainkan peranan paling utama dalam mencorakkan hidup Zaid. Ini kerana lahirmu ibarat kain putih yang bersih, yang perlu dicorakwarnakan oleh Abah dan Ummimu. Doakan agar Abah berjaya membimbing Zaid menjadi manusia yang cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat. Amin...

Wednesday, August 03, 2011

Surat Ketiga Abah untuk Z


Ke hadapan Z,

Abah takkan lupa saat Abah mengazankanmu Z, tidak lama selepas Z dilahirkan. Tubuh kecilmu Abah rangkul dalam dakapan Abah.

Allahu akbar,

Saat Abah mula melafazkan takbir itu, Z terus terkedu. Senyap, tak bergerak. Sedangkan sebelum itu Z seperti meronta-ronta dan merengek-rengek sedikit.

Allahu akbar,

Ya Allah Kau Maha Besar, menciptakan manusia yang kupegang ini daripada benihku dan benih isteriku. Daripada sekecil-kecil sel separa kromosom, bercantum menjadi zigot, membahagi dan terus membahagi dengan izin-Mu.

Asyhadu alla ilaha illallah,

Itu kali pertama lafaz itu Abah perdengarkan terus ke telinga kananmu, Z. Mata bulatmu memandang tepat ke dalam mata Abah. Abah cuba menahan sebak di dada. Tidak sangka Abah berpeluang mengazankan anaknya. Bersaksilah Z, bahawa tiada Tuhan yang kausembah melainkan Allah.

Asyhadu alla ilaha illallah,

Kali kedua lafaz yang sama dibisikkan tepat ke telingamu. Kau terus merenung dalam-dalam ke arah biji mata Abahmu yang masih berperang dengan sebak di dada. Hidung Abah mula terasa sengal-sengal. Tanda-tanda awal sebelum mengalir air mata jantannya.

Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah,

Air mata mula bergenang. Hampir melimpah. Namun gagah jua Abahmu ini menahan empangan air mata.

Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah,

Bersaksilah Z! Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. itulah Nabimu, Rasulmu, yang menjadi ikutanmu, yang menjadi sumber inspirasimu.

Hayya 'alassolah,

Ketahuilah Z! Bahawa solat itu tiang agama. Tegak utuh tiang agamamu, teguh suburlah Islammu.

Hayya 'alassolah,

Abahmu kini tersenyum, berjaya mengawal sebak di dada. Kau terus senyap dalam dakapan Abahmu. Tidak menangis, tidak tertoleh langsung kepalamu. Seakan kaumenghayati setiap butir bicara seruan yang Abahmu sedang lafazkan.

Hayya 'alal falah,

Ketahuilah Z! Bahawa kejayaan itu ada di mana-mana. Namun kejayaan paling agung dalam hidup seorang Muslim bukanlah di dunia ini, tetapi di akhirat sana. Syurga yang didamba, tempat berkumpulnya orang Muslim sejati.

Hayya 'alah falah,

Rendah sahaja nada suara Abahmu kali ini, mengetahui bahawa azan yang dilafazkan hampir sampai ke penghujungnya. Saat-saat tidak sampai seminit yang begitu berharga. Yang hanya dapat dirasa orang yang baru bergelar bapa. Yang takkan pernah dapat dilupa.

Allahu akbar allahu akbar,

Ya Allah Kau Maha Besar. Aku bersyukur dengan anugerah yang kau berikan kepadaku. Akan kucuba sehabis baik menjaganya, membimbingnya, menjadikannya Muslim yang berjaya.

La ilaha illah,

Aku bersaksi, bahawa tiada Tuhan yang aku sembah, dan yang anakku sembah, melainkan-Mu, Ya Allah...





Wednesday, July 27, 2011

Sudahnya Mereka Terpekik Terlolong di Jalanan

Siang tadi aku menghadiri bengkel anjuran DBP seorang diri. Ia bengkel berkaitan dunia penerbitan.

Satu perkara yang membuatkan aku sangat kurang berkenan apabila menghadiri acara-acara seperti itu ialah jika ada yang menyampaikan ceramah dalam ceramah.

Penceramah sedang menyampaikan ceramahnya di depan, ada pula yang di belakang yang mengulas ceramahnya bak sedang menterjemah dan mengalih bahasa. Aku tidak perlukan semua itu kerana aku faham apa yang disampaikan oleh penceramah. Tetapi dengan hadirnya penceramah sambilan di belakang itulah yang boleh membuatkan aku jadi tidak faham. Terganggu.

Itu belum lagi berkata tentang yang menjawab panggilan telefon. Bukan satu atau dua orang, tetapi hampir di setiap sesi, ada sahaja yang menjalankan tanggungjawab sosialnya dalam menjawab panggilan telefon, tetapi malangnya tidak kena tempat. Bagaimana pula dengan tanggungjawab sosialnya untuk menghormati acara yang sedang berlangsung, di mana sedang letak batang tubuhnya?

Kujeling. Mengharap agar mereka memandang aku lalu mereka faham akan rasaku. Namun, jelas jelinganku tidak berbalas, kerana yang sedang bercakap dengan telefon itu sedang memandang ke bawah. Walaupun begitu, adakah nada suaranya juga ke bawah? Tidak.

Mengapa tidak batalkan sahaja panggilan itu? Hubungi yang menghubungi kemudian apabila sesi ceramah habis. Ataupun, jika terlalu mendesak, biarkan telefon bergetar seketika sambil langkah kaki dihayun cepat-cepat keluar daripada dewan. Takkan luak kredit prabayar orang yang menghubungi sekiranya panggilan sekadar berdering dan selagi butang Jawab belum ditekan.

Itu antara sebab aku biasanya memilih untuk duduk di barisan depan. Tidak aku kisahkan tubuh badanku yang besar ini. Biarlah yang di belakang merungut tidak nampak depan. Siapa suruh duduk di belakang? Siapa suruh hadir lewat?

Itu juga antara sebab aku biasanya lebih suka memilih untuk duduk seorang diri jika tiada rakan hadir bersama ke acara seperti itu. Jika ada rakan, aku akan jadi rakan yang sangat tidak baik sepanjang sesi ceramah. Kerana aku tidak dan tidak mahu menjadi rakan yang mendengar. Apabila berada dalam acara sebegitu, telingaku milik penceramah, bukan milik rakanku.

Duduk di dalam dewan ceramah juga bukan masa untuk saling berkenalan. Khususnya jika ceramah sudah dimulakan. Jika sesi sudah tamat, ambillah peluang itu untuk berkenal-kenalan dan melebarkan rangkaian. Jangan jadi zalim dengan menggunakan masa untuk mendengar ceramah dengan berbual. Mengganggu!

Cuba kaitkan dengan video ini pula.






Pernah dengar: Untuk didengar, jadilah pendengar yang baik dahulu?

Mereka mahu didengar, tetapi mereka tidak mahu mendengar.

Kalau mereka ada anak-anak, jika sudah besar nanti jangan terkejut jika anak-anak mereka tidak mendengar kata, kerana bapa-bapa mereka sendiri tidak belajar untuk mendengar.

Sudahnya - terpekik terlolong di jalanan.

Thursday, July 14, 2011

Entri Ini Tiada Sebarang Warna

Pagi itu aku bersenang-senang dengan isteri di rumah. Makin sarat kandungan, makin banyak perhatian yang perlu aku berikan kepadanya. Hampir setiap kali aku ada bersamanya, pasti tidak terlepas dia meminta aku mengurut belakangnya. Walaupun kadang kala aku sendiri penat selepas pulang daripada kerja, disambung pula dengan kerja freelance yang aku lakukan di rumah, aku gagahi juga mengurutnya.

Aku menanti waktu tengah hari tiba. Memang sudah aku niatkan untuk tidak keluar ke mana-mana pada hari itu. Saluran televisyen yang dilanggan kutukar-tukar satu lepas satu, menanti waktu itu. Setiap permulaan jam, ada saluran TV yang membuat lintas langsung dari pusat bandar di ibu negara sana.

Walaupun dikatakan perhimpunan aman, awal-awal lagi sudah kusangsi. Mana mungkin perhimpunan yang dilakukan di tempat yang menjadi tumpuan warga kota menjalankan aktiviti harian dan mingguan menjadi perhimpunan yang aman? Mengapa daripada awal lagi pihak penganjur tidak memikirkan hal ini? Atau memang sengaja mahu mencetus kacau-bilau di negara ini?

Aku yakin, ada jalan yang lebih baik daripada berhimpun di tempat itu. Bukan aku tidak menyokong hasrat penganjur, tetapi aku ada masalah dengan idea berhimpun di tempat awam seperti itu.

Aku percaya, jika sesuatu yang dimulakan dengan jalan yang baik, pasti akan kekal lama. Tetapi jika sesuatu dimulakan dengan cara yang boleh menyusahkan pihak lain, pasti ada yang tidak kena - sekarang, nanti, dan selama-lamanya.

Seperti yang dijangka, kacau-bilau tercetus. Selepas kacau-bilau, dan sehari dua selepas itu, kedua-dua pihak berbalas-balas kenyataan. Pelbagai video dimuat naik di internet. Masing-masing, tidak kira yang menyertai mahupun yang tidak menyertai perhimpunan itu seperti aku, punya pandangan masing-masing. Tidak pula aku setuju kiranya yang pergi ke perhimpunan itu diistilahkan sebagai tidak menyokong maksud perhimpunan itu. Seperti aku, aku menyokong maksud, walaupun tidak sepenuhnya, tetapi aku membantah cara maksud itu dizahirkan.

Aku fikir, jika niat mereka sememangnya baik, sudah pasti awal-awal lagi mereka memikirkan cara yang paling tidak menyusahkan orang lain - peniaga, pemandu, pekerja warga kota, pesakit di hospital, polis, dan yang lain. Namun begitu, awal-awal lagi sudah mereka uar-uarkan perhimpunan akan diadakan di tempat umum, bukan stadium. Aku fikir jika awal-awal lagi sudah mereka aturkan perhimpunan yang ingin dijalankan secara aman, pasti mereka akan mengikut kehendak undang-undang negara: cari tempat yang tidak menggugat keamanan orang awam khususnya yang tidak masuk campur dalam perhimpunan. Pasti akan aman, aku yakin.

Tetapi jika sudah diberi amaran oleh pihak berkuasa agar perhimpunan dibatalkan, masih juga berdegil, tidak berkuasa tapi mahu berkuasa, inilah jadinya - huru-hara, kacau-bilau. Aku tidak suka melihat pergaduhan, aku pedih mata menonton orang yang pedih mata terkena gas pemedih mata, aku sesak dada menonton pakcik yang sesak dada di jalanan tetapi tidak mampu ditolong oleh polis. Jika polis bawa senjata, mereka cemuh, kata polis bersenjata menentang orang yang tidak bersenjata. Apabila polis tiada sebarang alat yang tajam untuk membuka gari, dicemuh juga. Apa yang polis buat, ada sahaja yang tidak kena. Malah sebenarnya, kalau mereka tidak mulakan berhimpun, tidak akan berlaku semua itu.

Aku bersimpati dengan polis yang terpaksa bekerja lebih masa pada hari itu. Sedang aku bersenang-senang dengan isteri di rumah, mereka pula menjalankan tugas yang sepatutnya tidak perlu pun dilakukan jika perhimpunan itu dilancarkan mengikut lunas undang-undang dari awal hingga akhir perhimpunan.

Golongan agama juga bangkit memberikan hujah itu dan ini untuk mengiyakan perhimpunan itu. Namun, sepanjang yang kubaca, tidak ada satu pun yang menjawab bagaimana untuk mahu memenangi hati orang yang terjejas dengan perhimpunan itu. Aku bukan anti golongan agama. Aku hormat akan mereka. Tetapi pada aku mereka perlu juga menjawab persoalan ini. Kalau perhimpunan itu tidak dibuat di tempat awam seperti di jalan-jalan di sekitar ibu kota, pasti sangat sedikit, mahupun tiada langsung pihak yang terjejas. Mahu berhimpun, berhimpunlah. Jangan jejaskan orang lain yang belum tentu menyokong perhimpunan itu.

Aku turut terjejas dan menjadi mangsa. Rakan isteriku yang melangsungkan perkahwinan di Seremban turut terjejas. Patutnya kami memenuhi undangannya. Tetapi dek memikirkan keselamatan isteri dan kandungannya, agar kami tidak tersangkut di dalam kesesakan jalan raya, terpaksa kami batalkan niat kami. Ada juga terasa ingin melawat rakan yang kurang sihat di tempat yang sama selepas memenuhi undangan majlis perkahwinan itu. Tetapi akhirnya semua tidak jadi.

Benar, aku dan isteri bersenang-senang pada pagi itu, tetapi hati kami tidak senang dengan apa yang berlaku.

Wednesday, July 06, 2011

Surat Kedua Abah untuk Z


Ketika Abah menulis surat ini, Z dijangka berada dalam kandungan Ummi kurang sebulan lagi.

Ya, Ummi. Abah dan Ummi sudah sepakat. Z panggil insan yang mencari rezeki untuk Z dan ibu Z ini sebagai Abah, manakala insan yang melahirkan Z itu sebagai Ummi.

Baru-baru ini, untuk pengetahuan Z, satu-satunya moyang Z yang tinggal sudah pergi meninggalkan kita semua. Tidak sempat arwah nak melihat, atau sekurang-kurangnya menyentuh kulit Z. Maklumlah, mata arwah sudah tidak terang.

Z,

Abah duduk di sebelah imam yang membacakan talqin untuk arwah. Dalam talqin itu, nama arwah disebutkan dengan berbintikan nama ibu arwah. Siti binti Hawa.

Lalu Abah terfikir. Betapa tingginya nilai seorang ibu. Dialah yang melahirkan, dan dengan namanya jugalah anaknya dibin atau dibintikan dalam bacaan talqin. Menarik sungguh, mula hidup dan akhir mati, ibu masih ada peranan, walaupun hanya namanya disebutkan, walaupun ibu itu sendiri sudah lama meninggal dunia.

Z,

Sepanjang sembilan bulan Abah menjaga Ummi yang sedang mengandung, Abah semakin mengerti mengapa kedudukan seorang ibu sangat istimewa.

Abah takkan lupa Ummi mula muntah-muntah kerana mengandung. Masuk bulan kedua dan ketiga, kebanyakan masa Ummi berada di rumah berbaring kerana tidak larat jalan. Maklumlah, apa-apa sahaja yang ditelannya, pasti akan dimuntahkannya semula.

Abah takkan lupa tubuh Ummi yang semakin kurus ketika awal mengandung dulu. Sehingga ada yang menegur tentang betapa kurusnya Ummi ketika itu.

Abah takkan lupa Ummi tidak larat untuk menyambut Abah di muka pintu apabila Abah pulang daripada kerja. Jika disambut pun, takkan sama caranya kerana wajahnya tidak bersolek seperti biasa. Tidak larat, kata Ummi.

Abah takkan lupa Ummi terpaksa menutup semua pintu dan tingkap rumah kerana tidak tahan bau yang datang dari luar rumah, lebih-lebih lagi bau orang memasak.

Abah takkan lupa Ummi tidak ke dapur untuk masak dan juga tidak ke sinki untuk membasuh pinggan mangkuk. Semua itu boleh menyebabkan Ummi berasa loya.

Abah takkan lupa Ummi terpaksa menukar sabun mandian di bilik air beberapa kali kerana ada sahaja bau yang kurang menyenangkan yang boleh menyebabkannya muntah.

Abah takkan lupa Ummi meminta Abah berbaring jauh sedikit daripadanya kerana tidak tahan dengan bau Abah walaupun Abah baru lepas mandi.

Semakin Z membesar di dalam perut Ummi, lain pula ceritanya.

Abah takkan lupa tubuh Ummi tiba-tiba tersentak. Katanya Z menendang-nendang di dalam perut. Sakit, kata Ummi.

Abah takkan lupa Ummi kerap keluar masuk ke tandas. Ini kerana Z semakin besar di dalam perut Ummi, jadi ruang untuk tinja dan air kencing pula semakin sempit, jadi ia perlu dibuang walaupun sedikit jumlahnya.

Abah takkan lupa Ummi seakan-akan sesak nafas. Kasihan pula Abah lihat. Semacam seperti terkena asma. Namun alhamdulillah, Ummi memang tiada masalah asma.

Z,

Sebenarnya banyak lagi pengorbanan yang Ummi dah lakukan untuk membesarkan Z di dalam perutnya. Semakin hari Abah memerhatikan keadaan Ummi, semakin Abah faham mengapa tiga tempat terawal kasih dan cinta Z selepas Allah dan Rasulullah diambil oleh Ummi.

Kasihilah, cintailah Ummi tiga kali lebih banyak daripada Abah. Abah tidak akan sesekali berkecil hati.

Sememangnya Ummi layak mendapat kasih dan cinta sebanyak itu daripada anaknya...

Wednesday, June 22, 2011

Gadis-gadis Sudah Tidak Malu dan Segan Mengintai Lelaki Korea

Sudah lama aku perhatikan. Mula-mula, tidak pula terlintas apa-apa. Biasalah, gadis-gadis sukakan lelaki comel.

Kemudian, aku fikir-fikirkan semula. Jika sudah sampai ke tahap tidak henti-henti berkongsi video dan gambar lelaki Korea yang comel, dan apabila ditegur agar "menundukkan pandangan" pun, masih mahu berkongsi, aku rasa itu sudah parah.

Ada yang menyediakan satu album khas yang terkandung gambar-gambar lelaki Korea yang comel di Facebook mereka. Ada juga yang memuat naik video lelaki Korea. Artis agaknya, aku pun kurang periksa. Tidak cukup di Youtube, mereka muat turun sendiri dan kemudian dimuat naik semula di dalam akaun Facebook mereka. Kemudian mereka menanda (tagging) rakan-rakan mereka. Lebih ramai yang melihat dan menonton. Maka lebih ramai yang tergiur dengan wajah comel lelaki-lelaki Korea itu.

Apa bezanya kalau lelaki suka melihat perempuan seksi, dengan perempuan yang suka melihat lelaki comel? Kedua-duanya jika membangkitkan syahwat, sudah pasti boleh membawa kepada perkara-perkara yang lebih berdosa.

Sebab itu aku katakan, gadis-gadis (nota: tiada perkataan semua sebelum perkataan gadis-gadis) sudah tidak malu dan segan untuk melakukan dosa terang-terangan. Mereka mahu lelaki menundukkan pandangan, tetapi mereka pula mengintai lelaki Korea.

Maaf, aku bukan anti kecomelan lelaki Korea. Bukan juga anti lelaki Korea. Cuma aku tidak senang dengan budaya mengintai lelaki Korea yang semakin menular dalam kalangan gadis-gadis Malaysia - Melayu - Muslim.

Geli-geleman aku membaca komen-komen yang mereka tulis mengenai kecomelan lelaki Korea di Facebook.  Nak bagi contoh di sini pun, geli-geleman aku mahu taip.

Adoi lah dik... Bukankah lagi bagus kalau buat benda lain yang berfaedah, daripada mencuci mata dan dalam masa yang sama mengotorkan hati?

Perhatikan tulisan ini betul-betul. Langsung tidak kubandingkan dengan lelaki Melayu, kerana bukan itu yang ingin kuutarakan. Budaya mengintai lelaki Korea ini aku perhatikan semakin galak, sekurang-kurangnya dalam kalangan rakanku di Facebook.

Jika mereka membaca, jadikanlah ini teguran yang tulus, bukan kecaman yang menghunus.

Saturday, June 18, 2011

Pasca Nora Elena: Kebengangan Seorang Suami


Aku sempat menulis secara ringkas di Facebook dan mendapat beberapa respons yang positif. Bagus. Aku tidak keseorangan.

Aku sangat tidak bersetuju dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat di beberapa blog dan beberapa orang rakan di Facebook yang tidak percaya bahawa watak Seth itu wujud dalam kehidupan sebenar. Kata mereka, Seth itu terlalu sempurna. Sampai ada yang tergedik-gedik terbawa-bawa watak Seth dalam mimpi mereka. Tapi, maaf, pada aku Seth tidak sempurna pun. Tengok sahaja Nora Elena, mana tudungnya? Mana peranan Seth untuk menegur isterinya menutup aurat yang selayaknya hanya Seth sahaja yang halal melihatnya? Itu baru satu.

Seth dikatakan sangat romantik, bertanggungjawab, kacak, baik, dan sebagainya.

Aku merenung diri aku, adakah aku memiliki kualiti-kualiti seperti itu? Tak perlu dijawab, kerana sebaik aku luahkan kebengangan aku, pantas isteri aku memujuk dengan berkata, "Sayang ada suami yang romantik, bertanggungjawab, kacak, baik..." Belum habis dia menyudahkan kata-katanya, muka aku sudah kemerah-merahan. Segan apabila isteri sendiri buat kenyataan macam itu. Lalu terus aku ajak duduk di sebelah aku. Selayaknya dia mendapat ganjaran kerana menyejukkan hatiku!

Aku tak ingat siapa yang tulis di Facebook. Dan aku tak kenal pun siapa yang menulis di blog itu. Tetapi kalau apa yang ditulis itu seolah-olah memperlekehkan semua lelaki di dunia, pasti ada yang terasa hati. Aku antaranya. Ada dua jenis terasa hati. Satu, kerana tidak berkualiti sebagai suami seperti Seth. Dua, kerana mempunyai berkualiti sebagai suami lebih baik daripada Seth.

Bagi suami yang tidak mempunyai kualiti seperti Seth - yang tidak romantik, yang tidak bertanggungjawab, yang tidak kacak, yang tidak baik, dan sebagainya - korang memang perlu terasa. Disebabkan lelaki macam koranglah yang membuatkan wanita-wanita dan perempuan-perempuan di luar sana berani mengeluarkan kenyataan sebegitu. Tolonglah baiki diri masing-masing. Baiki akhlak dan peribadi, menangi semula hati isteri.

Bagi suami yang lebih baik daripada watak Seth pula, jangan berasa terlalu selesa. Kita perlu kekalkan kualiti suami mithali yang ada dalam diri kita, malah perlu ditingkatkan dari masa ke masa. Tambahkan ilmu di dada, pasti isteri sayang tak lepa.

Buat wanita-wanita yang belum berkahwin dan sudah berani membuat kenyataan yang menidakkan kualiti yang ada pada lelaki di luar sana, yang salah seorangnya akan menjadi suami korang, tolong jaga sedikit mulut tu. Dan jari tu. Kang aku cili-cili kang. Biar pedas mulut korang. Biar pijar jari korang.

Kalau nak lelaki yang romantik, tunggu kahwin dulu, baru la boleh tunjuk romatik ke tak. Takkan belum kahwin, dah nak tunjuk? Nanti tidak ada beza pula kualiti lelaki itu antara sebelum berkahwin dan sesudah berkahwin.

Kalau nak lelaki yang bertanggungjawab, pun tunggu kahwin dulu, baru la lelaki yang sudah sah bergelar suami korang tu boleh menunaikan tanggungjawabnya. Kalau tak kahwin lagi, tanggungjawab apa yang dia ada pada korang? Selagi akad nikah belum sah, tanggungjawab untuk menjaga korang masih lagi di atas bahu mak bapak korang. Apabila sudah sah akad nikah, selepuk sebeban tanggungjawab dihempap atas bahu dia. Korang takkan tahu macam mana beratnya tanggungjawab menjadi suami.

Korang kena ingat. Ada je ramai lelaki di luar sana yang menyorokkan kualiti mereka sebagai suami, sekurang-kurangnya sebaik Seth. Cuma tak tunjuk je lagi. Sebab belum tiba masanya.

Dan korang kena yakin, dalam diri setiap lelaki tu ada kualiti yang baik yang boleh disuburkan. Kalau korang dah kahwin, kena la didik suami korang sebagaimana yang korang inginkan. Kalau nak jadikan suami ko macam watak Seth, bimbing dia. Jangan tahu nak merungut je laki ko tak macam Seth, walhal ko tak berusaha pun nak bimbing laki ko jadi macam mana yang ko nak.

Jadi, baik fikir semula. Bagus juga watak Seth tu dibentuk sebegitu rupa. Biar diketuk sedikit kepala-kepala kita. Tak kira la suami ke, isteri ke. Kata orang putih, he's a wake up call!

Yang pasti, jika mencari bakal suami yang sempurna, pasti lelah yang dijumpa. Takkan ada lelaki yang sempurna. Tetapi ada lelaki yang cuba menjadi suami yang terbaik untuk isterinya.

Friday, June 17, 2011

Aku Bersyukur Drama Nora Elena Sudah Habis


Jika tidak dapat membaca kenyataan dalam gambar di atas:
Mujur Nora Elena dah habis (aku tak follow pun). Bengang juga rasanya bila ramai yang buat kenyataan seperti "ada lagi ke suami yang macam Seth kat muka bumi ni?". Seperti merendah-rendahkan semua orang lelaki. Buat yang belum berkahwin, berusahalah mencari lelaki seperti Seth. Buat yang sudah berkahwin, berusahalah membimbing suami korang menjadi seperti Seth. Kan bagus begitu. :)

Seterusnya:
Kenyataan ini keluar daripada perspektif seorang suami yang mahu menjadi suami yang soleh dan terbaik untuk isterinya. Tak semestinya mahu menjadi seperti Seth. Sebab dia pun gagal untuk mendidik isterinya menutup aurat dengan baik. Insya Allah...
Aku membebel lebih panjang lagi di sini: http://szakif.blogspot.com/2011/06/pasca-nora-elena-kebengangan-seorang.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...