Disclaimer: Kalau tak nak sakit hati, jangan baca ya.
Sejak masuk bulan Ramadhan, sudah ada kes-kes kekantoian pengedaran mercun dalam berita. Pada aku, padan muka! Padan muka kepada yang mengedar, dan padan muka kepada yang tak dapat main mercun pasal tak ada stok.
Tapi aku hangin betul dengan orang-orang yang masih licik mendapatkan bekalan mercun ni. Aku dah tengok mercun tu macam dadah la pulak. Sama je tarafnya daripada segi undang-undang negara. Haram jika disalahgunakan.
Aku nak kecilkan skop orang-orang yang main mercun ni kepada orang-orang Melayu Islam yang terlalu mengikut kehendak hormon adrenalin dalam darah masing-masing untuk melunaskan kehendak nafsu. Sia-sia sahaja puasa jika nafsu masih gagal dididik.
Kau tahu tak main mercun tak ubah macam kau bakar duit? Cuba bayangkan apabila mercun tu meletup, macam tu la meletupnya duit pendapatan kau, atau mak bapak kau. Kau tak sayang ke dengan duit tu? Daripada membazir membakar mercun tu, baik kau sedekahkan kepada orang-orang yang memerlukan. Takpun kasi je kat aku. Aku pun termasuk dalam golongan orang-orang yang memerlukan. Aku tengah kumpul duit nak kahwin. Ok itu dah masuk cerita lain.
Aku faham. Kau rasa seronok apabila dapat dengar bunyi meletup-letup. Tapi boleh tak kau bayangkan yang meletup tu kepala kau? Tak kan? Pasal kau tak nak bayangkan macam tu. Kau tak fikir bahaya main mercun. Kau cuma fikir nak seronok je.
Aku rasa pelik. Kalau betul nakkan keseronokan mendengar letupan, kenapa apabila kau nyalakan mercun tu, kau campak jauh-jauh? Bukan ke kau nak dengar letupan? Cuba lepas kau cucuh, biarkan kat tangan. Takpun letakkan sebelah telinga. Lepas tu dengar lah bunyi letupan tu puas-puas. Ini tidak, lepas cucuh dengan api, campak dan tutup telinga. Bongok. Tahu pula menjaga keselamatan diri?
Aku paling bengang dengan ibu bapa yang membelikan anak-anak mereka mercun-mercun ni. Eh pakcik eh makcik, itu tak ubah macam pakcik dan makcik belikan motor untuk anak-anak lepas tu biarkan diorang merempit kat jalanraya. Lepas tu kemalangan. Lepas tu mati. Lepas tu pakcik dan makcik juga yang merengek-rengek sedih, konon. Lepas tu menyesal, konon. Susah-susah buat anak, senang-senang bagi diorang mati. Ibu bapa sekalian, tolong lah didik anak-anak tu betul-betul ye~
Aku tak nafikan masa aku kecil aku juga main mercun. Tapi mari bercakap tentang sekarang. Korang yang baca ni pun orang-orang zaman sekarang. Pada usia aku kini, aku lebih nampak bermain mercun tu tak ubah macam orang yang tak bertamadun. Maksud aku, orang-orang Melayu Islam. Aku tak nak komen pasal orang-orang yang bukan Islam. Diorang ada kepercayaan diorang sendiri. Tapi kepercayaan orang Islam lain!
Kita percaya bahawa membazir itu amalan syaitan. Kita percaya bahawa kita wajib menjauhkan diri daripada apa-apa yang boleh mendatangkan mudharat. Kita ada cara tersendiri untuk menyambut perayaan kita.
Ada juga yang kata, main bunga api tak apa kan? Bunga api dengan mercun, lain. Pada aku, tidak. Sama je. Membazir. Tidak ada faedah langsung. Mercun dan bunga api tidak menyumbang apa-apa langsung kepada mana-mana aspek dalam hidup melainkan keseronokan, yang boleh diisi dengan aktiviti lain yang lebih sihat dan berfaedah malah yang paling penting dalam hal ni, tidak mendatangkan mudharat.
Akhir sekali, aku berani kata: Orang yang main mercun ni orang bongok.
Kan aku dah kata jangan baca kalau tak nak sakit hati.
Aku pernah menulis pasal hal ini juga dulu.