Thursday, November 11, 2010

Foto By Razali: Wedding Photography Giveaway Contest


Foto By Razali – http://blog.mohdrazali.com

Razali,

Kau mungkin tak mengenali aku, tapi sebenarnya aku sudah lama memerhatikan kau... kerja. Hehe...

Bermula ketika aku melihat kau melakukan kerja fotografi di sebuah majlis persandingan di Batu Pahat, aku sudah nampak akan kredibiliti kau sebagai seorang jurugambar yang profesional. Aku nampak kau ada aura itu yang membuatkan sesiapa yang wajahnya tertancap pada lensa kamera kau bersedia malah patuh pada permintaan kau untuk memori mereka diabadikan dalam bentuk foto.

Kemudian aku terjumpa kau lagi dalam sebuah majlis pernikahan di Muar. Aku perhatikan juga kau dengan khusyuk melakukan kerja kau dengan penuh berdedikasi dan amanah. Arahan kau kepada manusia-manusia di depan lensa kamera kau jelas dan mudah difahami, jadi mudah sahaja mereka mengukirkan senyuman dan membuat gaya.

Aku perhatikan juga, tidak kira sebanyak mana pun peluh jantan kau mengalir ketika kau sedang bekerja, senyuman tetap terukir di bibir. Bukan mudah untuk mengekalkan mood begitu. Aku faham, kalau kau monyok, nanti pengantin pun akan monyok sekali. Kalau kau nak tahu, aku dan isteri pernah terkena dengan jurugambar lain ketika majlis kami di Muar. Sebab tu aku sangat mengagumi senyuman kau ketika bekerja.

Mungkin sudut pandangku berbeza daripada yang lain, kerana aku memerhatikan kau dari sudut yang berbeza - sebagai seorang tetamu majlis. Kemudian aku perhatikan pula hasil kerja kau dalam Facebook mereka - mata aku tidak jemu memandang hasil kerja kau. Ada pula timbul rasa menyesal kerana tidak mengenali kau sedari awal. Jika tidak pasti gambar majlis persandingan kami di Muar cantik-cantik adanya. Tidak mengapalah, Allah Maha Mengetahui.

Razali,

Aku memilih gambar di atas kerana dua sebab.

Satu: Sudah pasti kerana ia cantik. Aku tak perlu pening-pening dan membuang masa memilih gambar yang konon-kononnya paling cantik, kerana semuanya cantik. Jika ada pun yang dikatakan kurang cantik, sedikit cantik, agak cantik, paling cantik, the ultimate cantik, semua itu adalah tafsiran individu. Cukuplah jika aku sekadar mengatakan bahawa kerja kau bagus, dan hasil kerja kau cantik seperti dalam gambar di atas. Tidak kiralah jika gambar itu disunting dengan apa-apa jenis perisian menyunting gambar pun, mahupun jika tidak disunting langsung, jika hasilnya yang dipertontonkan kepada umum cantik, cantiklah ia.

Dua: Kerana ia tidak mendedahkan aurat pengantin. Maaf jika ada yang tersinggung, tapi kan bagus jika semua pengantin yang beragama Islam menutup aurat ketika mereka bersanding. Tuntutan agama, bukan? Jika ketika bernikah boleh mengikut cara Islam, mengapa pula apabila bersanding tidak ikut? Tapi aku tahu Razali, itu di luar bidang tugas kau. Cuma aku mahu selitkan sedikit nasihat (atau lebih tepat lagi: tazkirah) di sini. Jadi, tidaklah semata-mata aku tulis entri ini untuk menang.

Razali,

Kalaulah aku dipilih sebagai pemenang, aku berdoa rezeki kau akan melimpah ruah selepas ini. Kalau kau nak tahu, jurugambar perkahwinan kami yang lepas mendapat beberapa pelanggan melalui aku selepas mereka lihat hasil kerjanya yang mantap. Aku tidak berniat membandingbezakan antara kau dan dia kerana masing-masing ada kelebihan masing-masing, namun yang ingin aku nyatakan ialah jaringan hubungan aku boleh dikatakan besar. Sebagai contoh, lihat sahaja jumlah rakanku di Facebook. Andai kata aku memenangi peraduan ini dan kau mengambil gambar majlis yang ingin aku adakan kelak, pasti hal yang sama boleh berlaku kepada kau, insya Allah.

"Majlis yang ingin aku adakan?" Nanti kita bincang ya. Tak elok kepoh-kepoh perkara yang belum pasti.

:)

2 comments:

Nurul Aziyana@Ummu Husna said...

hahaha nk teka boleh majlis tu?
majlis cukur jambul anak kot..

Unknown said...

Hehe.. Since dah tak menang ni, boleh la kepoh2. Saya plan nak buat untuk hadiahkan kepada abang ipar yang nak kahwin bulan 2 ni.

Masa tulis entri ni, blom ada perkembangan kemengandungan bini saya. Hehe.. Idea akak tu menarik jugak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...