Ramadan sudah hampir ke penghujungnya. Pada waktu-waktu seperti ini, persiapan menyambut perayaan semakin rancak.
Namun dalam hati aku terselit satu persoalan: Mak dan Abah sudah ada baju raya ke? Senyap je orang tua aku ni.
Hujung minggu itu, aku pulang bersama isteri ke kampung untuk menjenguk mereka. Aku tidak dapat berbuka bersama mereka maghrib itu kerana ada perancangan lain bersama rakan-rakan sesekolah rendah dulu di sebuah hotel.
Malam itu, aku ambil peluang berborak bersama Mak dan Abah. Kebetulan pula adik kandungku, Awi pulang ke rumah dari asramanya. Isteriku menemaniku di ruang tamu itu.
"Dah dekat nak raya ni, Mak Abah dah ada baju raya ke belum?" tanyaku.
"Eh takpe la, Ki. Kau simpan dahulu duit kau tu. Teguhkan kewangan kau dan isteri," jawab Abah seakan-akan faham akan niat asalku untuk membelikan mereka baju raya.
Aku tidak terus memberikan kata dua. Sedikit masa kuambil sebelum aku bersuara semula, "Itu lah. Zaki dan isteri pun sebenarnya tak beli baju khas untuk raya ni. Sebabnya baju masa bersanding dulu kan ada. Cantik pun. Tapi...."
"Tapi apanya Ki?" pantas emak memotong.
"Tapi Zaki rasa bersalah lah pula kalau tak belikan Mak Abah baju raya tahun ni. Tahun lepas Zaki belikan, tahun ni dah kahwin..." aku tidak menghabiskan kata-kataku.
"Takpe... Abah dan Mak faham. Kau tu baru kahwin. Baru belajar nak seimbangkan kewangan. Zakat fitrah kau dah bayar?" tanya Abah.
"Belum lagi," jawabku lalu kusambung, "tapi Zaki rancang nak bayarkan zakat untuk Mak dan Abah. Awi pun."
"Ha... Kalau macam tu, bagus. Itu lagi wajib. Jangan lupa bayarkan zakat untuk isteri kau tu sekali" Emak mengingatkan lalu menyimpulkan perbualan kami.
Terima kasih Emak dan Abah.