Wednesday, October 27, 2010

Isteri, bukan Mary

Mungkin ramai yang sudah maklum aku mengahwini rakan sekuliyahku. Kami sama-sama mula mengenali sejak matrikulasi UIA. Maknanya, kami sebaya.

Justeru, kami mempunyai rakan sekenalan yang ramai. Ambil sahaja contoh di Facebook, rakan sepunya (mutual friends) kami seramai 468 orang. Kebanyakannya rakan dan sahabat di UIA, junior dan senior, dan ada juga rakan sekampung dan sepupu sepapat kami yang mula mengangkatnya sebagai kawan sesudah kami mengesahkan hubungan kami.

Jadi, kerap kali aku diminta untuk menyampaikan salam kepada isteriku apabila aku berhubung dengan rakan-rakanku, yang juga rakan-rakannya. Apabila bertanya mengenai perkembangan masing-masing, sudah pasti antara topik yang paling popular adalah mengenai aku dan isteri.

Namun, dalam kebanyakan hal, aku akan cuba untuk menggantikan nama isteriku dengan istilah "isteri" apabila berbicara dengan mereka. Bukannya Mary. Walaupun mereka tahu apabila aku berkata mengenai isteriku, itulah Mary.

Bukannya apa, aku rasa aku lebih selesa begitu kerana untuk mengingatkan diriku bahawa aku sudah beristeri dan tidak bujang lagi. Bukan pula bermaksud aku mudah lupa akan status diriku, tetapi aku hanya mahu memastikan bahawa aku sentiasa mengingatkan diri sendiri akan tanggungjawab yang aku pegang sebagai suami.

Malah padaku, dengan menggelarnya sebagai "isteri" dan bukan Mary apabila berbicara dengan orang lain seolah-olah meletakkan darjat isteriku ke tahap yang tinggi. Dia bukan lagi sekadar ehem-ehem yang geli-geli itu, tetapi isteriku yang sah.

Sekadar nota ringkas. :)

Friday, October 22, 2010

Article in Bernama and On Air Again

Career wise, currently, I'm not so busy although I thought I'll be busy this month with so much things. That's why I can allocate my time and energy for other things including my Szakif's Pie business, tuition class, and the freelance editing and translating services.

I have got my second translation job with the Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) and this time it's a creative writing. So, the challenge to translate the material is different from the first job I did, which was a physics book. Anyway, I'm done with the translation. It just needs a little more time on editing then I'll submit it to ITNM hoping that the book will be published for Malaysians' benefit.

Back to the topic, last week I did a translation job for a campaign and it was submitted to and published by Bernama. The original article was written by my officemate and it was about the Organ Donation Awareness Campaign. Yayasan Ilmuwan is one of the organisations involved in the campaign.

Other than that, for the sixth time (I think. Lost the counting already) I was on air in IKIM.fm and again it's about Organ Donation Awareness Campaign. It was the first time I went on air live!

I planned not to make it too ordinary where the speaker talks about the benefits of donating organ and so on so forth. But what I planned was to share with the listeners about the anatomy and physiology of the organs that can be donated so that they would appreciate their organs and would like to donate once they pass away.

However, there were some problems that caused me to be on air for about 12 minutes only rather than the scheduled 30 minutes. I thus had to talk fast and cut the points short than what I had in my script. That's the problem when it's a live show. Never mind. I hope to get a chance again to talk about it since I have prepared the materials properly.

A bit of my personal married life, after 5 months being a husband, I think I appreciate the weekends more since life is no more the same like when I was single where I basically didn't really appreciate the weekends as I do now. During the weekends I can spend the time with my family including my parents and my wife and do some other personal stuffs. During the weekdays, only Allah knows how tired I'll be when I reached home until I feel like I have sinned for not sparing a quality time with my wife. When it's weekend, it's time for my parents and that's why I say weekends are more meaningful for more now.

Wednesday, October 13, 2010

Di Belakang Tabir Hingga Hujung Nyawa

Lewat petang itu, aku dan isteri dalam perjalanan pulang ke Muar. Atau lebih tepat, kami tidak singgah di Muar dulu pun. Lajak sedikit ke Batu Pahat dari arah KL.

Bayangkan sejurus pulang daripada kerja seharian, aku ambil isteri di rumah kemudian terus pulang ke Johor. Gila.

Penat? Ya dan tidak.

Ya, kerana memang tubuh aku penat.

Tidak, kerana mental aku masih bertenaga. Apatah lagi apabila isteri di sisi.

Yang penting mental. Sebab mental yang mengawal tubuh.

Dalam sisa kekuatan yang ada, aku teruskan memandu menghala ke selatan. Sungguh, tak terasa penat sangat apabila sepanjang masa, pelbagai perkara aku borakkan, dan mungkin juga luahkan kepada isteri - hanya untuk memastikan aku terus kuat memandu.

Sehinggalah aku rasa kami sudah kehabisan topik. Radio yang menjadi latar belakang bunyi pula semakin surut bunyinya dek kelainan frekuensi. Makin lama, makin teruk bunyinya. Entahkan bunyi apa pun, aku tak tahu.

Dan itulah masa yang tepat untuk memasang cakera padat! Laju sahaja tangan isteriku menekan butang untuk memainkan cakera padat Maher Zain yang baru dibeli. Dan selaju itu juga dia terus memilih lagu For the Rest of My Life.

Memang kami meminati lagu ini. Isteri lagilah, lagi-lagi jika aku yang nyanyikan. *perasan*

Tiba-tiba timbul idea - mengapa tidak aku nyanyikan lagu itu dalam versi bahasa Melayu pula? Saat itu juga, setiap sel saraf dalam otakku mula aktif mencari kosa kata yang sesuai untuk menterjemah setaip bait lirik dalam lagu itu.

Bermula dengan bahagian korus kerana bahagian itu paling berhantu, aku mula menyanyikannya. Kerana takut terlupa, aku minta isteriku menyalin lirik yang kunyanyikan. Dia menurut sahaja.

Kertas tiada. Jika ada pun, tidak boleh menulis kerana hari sudah gelap. Lebuhraya yang asalnya tiga lorong mengecil menjadi dua lorong. Apatah lagi lampu jalan pula tiada. Makin jauh perjalanan kami, makin dekat dengan destinasi. Jadi, dia hanya menyalin menggunakan telefon bimbitnya. Kuingatkannya supaya menyimpannya betul-betul. Takut hilang.

Tidak lama. Tidak sampai setengah jam, sudah siap draf awal lirik lagu itu.

Selepas pulang ke ibu kota, aku perkemas lagi lirik itu sampai aku puas hati. Tiba masa yang sesuai, atau mungkin kurang sesuai kerana aku kurang rehat tetapi terlebih semangat selepas bekerja, aku rakamkan suaraku dengan lirik yang aku sendiri karangkan. Akhirnya, terhasillah...



Szakif - Hinggu Hujung Nyawa

Monday, October 11, 2010

Suami dan Hari Jadi


"Abang, malam ni tidur pakai baju ek," nadanya lembut, namun dapat kukesan sedikit bunyi mendesak. Tidak hilang juga - loghat Johornya.

Aku memandang wajahnya. Ah, betul. Muka mendesak. Malam-malam sebelum ini, tidak pernah pula mendesak. Namun, oleh sebab penat memenuhi tuntutan sebagai menantu pada sebelah pagi, dan anak pada sebelah petang hingga maghrib, malam pula sudah tentu untuk isteri, aku turutkan sahaja. Malas mahu berbalah-balah.

Kubuka almari. Bahagian baju di bahagian atas sekali. Bahagian tengah untuk seluar. Paling bawah pula bahagian kain pelikat. Begitulah susunan yang dibuat isteriku.

Kulihat-lihat, kutarik baju singlet. Mungkin paling selesa untuk tidur malam itu. Lalu kututup almari.

Dengan wajah selamba, aku pakai baju singlet itu di hadapannya. Entah mengapa, isteriku yang bersandar di kepala katil tersenyum sipu.

"Abang tak nampak ye?" tanyanya dalam tawa.

Ah sudah. Apa pula permainannya malam ini? Matanya pula jelas mengarahkanku melihat semula ke dalam almari.

Lalu kubuka semula almari. Kulihat bahagian lain.

Sah! Ada hadiah untukku di bahagian tengah almari rupa-rupanya!

Ah... Isteri... Bijak sungguh kau bermain denganku. Dan bijak sungguh kau meneka kemahuanku, dan pendirianku.

Ada satu kotak tidak berbalut. Dia tahu, pendirianku, jika dibalut pun, akan dikoyakkan.

Di atasnya pula ada pengepit kertas berbentuk pasu bunga. Ringkas sahaja ucapannya. Dia tahu, yang penting keikhlasan, bukan kepanjangan.

Isi kotaknya? Jeng jeng jeng...

Mesin penguli tepung! Senang nak buat pizza lagi selepas ini. :D

Kami juga ada bercadang mahu belajar membuat kek dan roti sebelum ini. Dengan adanya mesin penguli ini, bolehlah mula belajar secepat mungkin.

Terima kasih Isteri! Hari jadi Abang lebih bermakna denganmu di sisi.

Untuk itu, aku hadiahkannya pula lagu ini:


Friday, October 08, 2010

Perkahwinan Bukan Alasan Untuk...


Sejak sebelum kami berkahwin lagi, aku sering mengingatkan diriku, dan kupanjangkan pula kepada bakal (ketika itu) isteriku bahawa perkahwinan yang akan ditempuh bukanlah alasan untuk melenyapkan kebolehan dan kemahiran diri yang sudah sedia ada. Malah perkahwinan sepatutnya menjadi tunjang untuk mengasah kebolehan dan kemahiran diri ke tahap yang lebih baik.

Maklumlah, apabila sudah berkahwin, ada sebahagian tugas yang sebelumnya dibuat sendiri, kini digalas oleh pasangan.

Jika sebelum kahwin, aku pandai melipat pakaian sendiri dan mengemas rumah, jadi selepas kahwin, tugas itu diambil alih oleh isteriku. Lebih-lebih lagi memandangkan dia ada masa lebih yang diluangkan di rumah.

Jika sebelum kahwin, isteriku boleh memandu seorang diri ke destinasi yang ingin ditujunya, jadi selepas berkahwin, jika ada masa dan kelapangan aku akan hantarkannya ke tempat-tempat yang ingin ditujunya. Maklum lah, aku lebih cekap memandu berbanding isteriku.

Itu baru dua contoh. Sebenarnya banyak lagi perkara yang sedikit sebanyak telah diambil alih oleh pasangan atas tiket perkahwinan. Namun, seharusnya, ia bukanlah tiket untuk menjadi pemalas untuk mengasah kebolehan dan kemahiran diri yang pernah dimiliki. Malah, perkahwinan ialah tiket untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dalam membuat urusan hidup.

Contohnya, dalam urusan memasak (maklumlah aku memang suka memasak), ada kalanya aku perhatikan cara isteriku membuat kerja dapur. Sekiranya aku rasakan ada perkara yang boleh diperbaiki, aku akan utarakan kepadanya. Contoh paling mudah, jika memotong bawang, seelok-eloknya ia dilakukan dalam posisi berdiri, bukan duduk.

Begitu juga dalam hal berkomunikasi dengan orang lain. Ada kalanya apa yang aku rasa tidak menyakitkan hati orang, tetapi pada isteriku ia boleh menyakitkan hati. Di situlah isteriku memainkan peranan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi pada diriku.

Jika kita dapati kebolehan dan kemahiran diri meningkat selepas kahwin, jangan pernah lupa untuk memberikan sedikit penghargaan kepada pasangan kerana sedikit sebanyak, ada sumbangannya kepada kita.

Insya Allah...

Wednesday, September 29, 2010

Apabila Orang Insurans berhubung dengan Orang Cerewet

Semalam ada orang insurans call saya. Apabila mendengar nama syarikat insurans tu, sejuk sedikit hati saya sebab akhirnya ada orang insurans yang agak terkenal yang menghubungi saya. Sebelum ini, saya dapat banyak panggilan daripada bermacam-macam syarikat insurans yang entah apa-apa dan tak pernah didengar pun. Ada satu tu, pemanggilnya berkata ada hubungan dengan Maybank, tapi apabila saya hubungi Maybank untuk pengesahan, Maybank tak tahu pun kewujudan syarikat tu.

Selain itu, ada satu lagi panggilan di mana di hujungnya saya digelar "Bodoh" lalu panggilan ditamatkan hanya kerana saya enggan memberikan nombor kad kredit saya. Nampak sangat nak membohong. Dah la berhubung menggunakan nombor "Withheld".

Berdasarkan pengalaman-pengalaman buruk tersebut, ia membuatkan saya jadi lebih berhati-hati dengan sebarang panggilan seperti ini. Sudah kira bagus juga sebab saya masih ada hati nak melayan. Ada kawan saya yang terus kata tak berminat jika mendapat panggilan seperti itu. Kiranya, saya masih memberi peluang la kepada orang insurans sebab saya tahu, tak semuanya berniat jahat.

Apabila saya sudah jadi lebih berhati-hati, saya ada membuat sedikit sebanyak kajian untuk mendapatkan maklumat dan nasihat lebih lanjut. Antara yang saya baca adalah daripada zaharudin.net yang antara lain menasihatkan supaya jangan terlibat dengan sebarang perniagaan yang berbentuk samar, maksudnya tak nampak produknya. Dalam hal insurans ni, memang tiada produk dalam bentuk fizikal tetapi dalam bentuk perlindungan.

Semuanya tertulis dalam dokumen polisi yang perlu dibaca oleh pelanggan sebelum mereka berpuas hati dan menandatangani perjanjian jual beli. Tetapi, dalam semua panggilan yang saya dapat, mereka nak nombor kad kredit saya untuk mereka cajkan sebelum menghantar dokumen polisi. Maksudnya, saya bayar dulu, baru dapat baca dokumen polisi tu.

Jadi, disitu tiada keadilan bagi pihak saya sebab saya tak dapat baca kandungan dokumen polisi secara menyeluruh. Memang saya diberikan dokumen informasi mengenai pakej insurans itu, tetapi dalam dokumen informasi tu, masih tidak jelas dan ada klausa-klausa yang boleh dipersoalkan ketelusannya seperti "Huraian di atas adalah tidak terperinci dan anda hendaklah merujuk dokumen polisi untuk maklumat lanjut."

Masalahnya, kalau nak baca dokumen polisi tu, kena bayar dulu. Dan jika mahu bayar, kena guna kad kredit. Bukankah di situ ada unsur-unsur kesamaran?

Bagaimana kalau saya dapati rupa-rupanya dalam dokumen polisi tu banyak klausa yang menjerat saya yang akhirnya menyukarkan saya untuk membuat tuntutan? Orang insurans ni seboleh mungkin tak nak bagi duit sebab nanti dia yang rugi. Diorang pun berniaga, nak untung. Tidaklah nak bagi duit tuntutan sesuka hati mereka, kan.

Jadi, di situ saya nampak ada kesamaran dan kelompangan. Dan urusniaga yang seperti ni diharamkan dalam Islam.

Yang lebih membuatkan saya tidak percaya ialah perbualan tu berlaku menerusi panggilan telefon. Saya tak nampak orang tu, dan dia tak nampak saya. Tapi kalau saya berikan nombor kad kredit saya, dia dah boleh kikis duit saya tanpa saya ketahui. Menerusi panggilan telefon tu juga, macam-macam dakwaan yang tak tentu lagi kebenarannya disebutkan.

Paling tak boleh blah adalah apabila saya diminta untuk menyebutkan nombor kad pengenalan saya. Pada awal perbualan, dia memaklumkan bahawa dia cuma ada nama dan nombor telefon saya sahaja. Saya hampir bersetuju untuk membeli pakej insurans tu sampai apabila dia meminta nombor kad pengenalan. Saya sebut sepatah2,

85, dia ulang 85 (seolah-olah macam tengah menulis la).
10, dia ulang 10.. dan seterusnya sehingga empat nombor terakhir.
51 dia tak ulang 51, tetapi dia terus sebut dua nombor terakhir - 03!

Kantoi! Rupa-rupanya dia ada maklumat mengenai nombor kad pengenalan saya!

Apabila saya persoalkan bagaimana dia tahu 2 nombor terakhir, dia tak mengaku. Mulalah bagi bermacam-macam alasan. Kononnya dia boleh bagi nombor kad pengenalannya juga. Seolah-olahnya, saya percaya dia akan betul-betul berikan nombor kad pengenalannya yang sebenar. Kalau pun betul, apa yang saya boleh buat? Tiada kerja saya nak semak dengan polis :P

Selepas itu, dia beri alasan lagi, katanya nombor kad pengenalan lelaki berakhir dengan nombor ganjil. Kemudian saya persoalkan, kenapa 3? Kenapa tak 1, 5, 7 atau 9? Dia gagal menjawab. Itu belum lagi saya persoalkan kenapa pilih nombor 0 sebelum 3.

So kat situ saya dah nampak ada unsur2 pembohongan.

Agak-agaknya dah penat mahu melayan saya, dia sambungkan pula kepada rakan sekerjanya yang saya yakin penyelianya.

Saya tak takut, saya tiada masalah mahu bercakap dengan sesiapa pun. Dalam perbualan dengan orang kedua ni, saya menegaskan bahawa saya mahu baca dokumen polisi dahulu, baru saya akan setuju (atau dalam istilah islamiknya, berakad).

Tetapi dia tetap kata dokumen polisi tu akan dihantar selepas bayaran dibuat. Lepas tu dia mempersoalkan sama ada saya pernah ada insurans atau tidak. Saya ada takaful, tapi saya buat di bank di mana ia lebih meyakinkan sebab saya boleh bertanya terus kepada pegawai yang bertugas sekiranya ada sebarang terma dan syarat yang tidak difahami. Lagipun, ada hitam putih, bukan main cakap sahaja.

Pada penghujung perbualan, dia juga gagal mendapatkan nombor kad kredit saya, dan saya berikan dia pengalaman berunding dengan bakal pelanggan yang sangat cerewet. Ya la, saya dah didedahkan dengan pengalaman dalam panggilan-pengalaman sebelumnya yang pelbagai ragam. Mangsanya ialah sesiapa yang akan hubungi saya selepas ini kerana perlu bercakap dengan orang yang terlalu berhati-hati. Hehe...

Saya rasa, kalaupun saya nak beli insurans, saya lebih selesa jika bertemu dengan orangnya, bukan melalui panggilan telefon dan meminta nombor kad kredit.

Monday, September 13, 2010

Tangisan pada Malam Raya

Gema takbir hari raya terus berkumandang di udara. Aku dan isteri baru sahaja selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Selesai salam, aku terus memandang wajahnya. Cuba untuk menyelami hatinya yang pertama kali meninggalkan keluarganya pada malam raya. Kini, keluarganya yang utama ialah diriku sebagai suaminya dan dirinya sebagai isteriku.

Mungkin perasan akan lirik mata yang kuhalakan ke wajahnya, mungkin juga kerana hatinya tidak tertahan gelora yang selama ini ditahan, basah wajahnya dengan air mata sejurus merah mata dan hidungnya.

Terus aku memeluknya. Kutepis air mata yang deras mengalir. Masih cuba memahami gejolak hatinya.

"Sabar ye, Sayang. Abang faham ini kali pertama Sayang tak beraya bersama mak ayah di Muar. Mak abah kat sini kan ada," aku cuba memujuknya. Kukuatkan hati agar tidak menangis sama.

Dia masih digenangi air mata tanpa sebarang kata.

Suasana sunyi seketika. Hanya mungkin bunyi kipas yang berpusing menggetar deria pendengaran.

Kupecahkan kesunyian itu. Aku cuba memujuknya pula dengan bertakbir hari raya di telinganya.

Allahuakbarullahu akbarullahu akbar. La ilaha illahu wallahu akbar. Allahu akbar walillahilhamd.

Ah, suaraku pula yang pecah dalam tangisan. Air mata pula melimpah daripada empangan kelopak mata.

"Eh, kenapa Abang menangis juga? Ini kan kampung Abang," dia memecah kesunyian bibirnya tadi.

"Tak... Ramadan yang lepas sangat indah bersama Sayang di sisi Abang. Tak macam masa bujang dulu, kali ni dah beristeri, rasanya macam berganda-ganda pahala Abang dapat. Tak pasti sempat atau tidak Abang bertemu dengan Ramadan tahun depan." jawabku.

Isteriku pula memelukku, memberikanku semangat.

Monday, September 06, 2010

Benih yang Tak Tumbuh


Aku masih ingat semasa aku berada dalam Tahun Enam, sekolah agama rendah. Ustazah yang mengajarku mata pelajaran Tauhid menerangkan betapa Maha Kuasanya Allah.
"Kita ambil contoh seorang petani yang menanam sebutir biji benih yang paling berkualiti. Dia tanam dalam tanah yang paling subur. Dibajanya dengan baja yang paling mahal. Dijaganya dengan teknik pertanian yang paling maju. Tapi kalau Allah tak izinkan, biji benih tu takkan bercambah."

Ketika itu, aku boleh memikirkan apa yang diperkatakannya setakat apa yang aku mampu. Yang aku faham, Allah tu Maha Kuasa. Kalau Dia kata tak jadi, tak jadilah.

Meningkat usia, aku ketemu pula dengan ayat dalam al-Quran yang diulang beberapa kali, yang berbunyi,
Kun, fayakun.

Mujur aku disekolahkan di sekolah menengah agama. Boleh juga memahami sedikit sebanyak maksud firman Allah itu dan mengimaninya sehinggalah aku tamat pengajian di universiti, berkerjaya dan kini bergelar suami.

Jika aku belajar bersungguh-sungguh dengan harapan mahu mencapai kejayaan dalam peperiksaan, tapi jika Allah tak mengizinkan, aku takkan berjaya. Namun alhamdulillah, dalam kebanyakan peperiksaan, aku berjaya walaupun tak semestinya cemerlang.

Jika aku berusaha untuk mendapatkan kerjaya yang paling sesuai dengan diriku, namun jika Allah tak mengizinkan, aku takkan dapat kerjaya sebagus sekarang.

Jika aku beriya-iya menunggu jodohku dengan isteriku sekarang sejak di pusat matrikulasi lagi, namun jika Allah tak mengizinkan, aku takkan dapat memperisterikannya.

Sekarang, pada tahap hidup aku sekarang, aku tertanya-tanya, mungkinkah tiba masanya aku tak dapat apa yang aku hajatkan?

Ah, teruskan beriman dengan apa yang sudah sekian lama aku imani. Jangan pernah berasa letih untuk berusaha. Insya Allah, jika tidak esok, mungkin lusa. Bukankah Allah Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk kita?

Kan Sayang, isteriku yang cerdik?

Wednesday, September 01, 2010

Szakif’s Pie is Now Commercialized!


I have built a page in Facebook for Szakif's Pie where I can share updates and information about the pie and its orders.

Since I built the page, I always get orders for the pie at least twice a week that I have to ask myself, can I do it?

Yes I can!

Visit Szakif's Pie page here and get updated for orders opening!

Sunday, August 29, 2010

Zakat


Ramadan sudah hampir ke penghujungnya. Pada waktu-waktu seperti ini, persiapan menyambut perayaan semakin rancak.

Namun dalam hati aku terselit satu persoalan: Mak dan Abah sudah ada baju raya ke? Senyap je orang tua aku ni.

Hujung minggu itu, aku pulang bersama isteri ke kampung untuk menjenguk mereka. Aku tidak dapat berbuka bersama mereka maghrib itu kerana ada perancangan lain bersama rakan-rakan sesekolah rendah dulu di sebuah hotel.

Malam itu, aku ambil peluang berborak bersama Mak dan Abah. Kebetulan pula adik kandungku, Awi pulang ke rumah dari asramanya. Isteriku menemaniku di ruang tamu itu.

"Dah dekat nak raya ni, Mak Abah dah ada baju raya ke belum?" tanyaku.

"Eh takpe la, Ki. Kau simpan dahulu duit kau tu. Teguhkan kewangan kau dan isteri," jawab Abah seakan-akan faham akan niat asalku untuk membelikan mereka baju raya.

Aku tidak terus memberikan kata dua. Sedikit masa kuambil sebelum aku bersuara semula, "Itu lah. Zaki dan isteri pun sebenarnya tak beli baju khas untuk raya ni. Sebabnya baju masa bersanding dulu kan ada. Cantik pun. Tapi...."

"Tapi apanya Ki?" pantas emak memotong.

"Tapi Zaki rasa bersalah lah pula kalau tak belikan Mak Abah baju raya tahun ni. Tahun lepas Zaki belikan, tahun ni dah kahwin..." aku tidak menghabiskan kata-kataku.

"Takpe... Abah dan Mak faham. Kau tu baru kahwin. Baru belajar nak seimbangkan kewangan. Zakat fitrah kau dah bayar?" tanya Abah.

"Belum lagi," jawabku lalu kusambung, "tapi Zaki rancang nak bayarkan zakat untuk Mak dan Abah. Awi pun."

"Ha... Kalau macam tu, bagus. Itu lagi wajib. Jangan lupa bayarkan zakat untuk isteri kau tu sekali" Emak mengingatkan lalu menyimpulkan perbualan kami.

Terima kasih Emak dan Abah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...