Sudah lama aku mahu menulis mengenai hal yang satu ini, tetapi mungkin perlukan lebih masa untuk menyusunnya dalam bentuk kata-kata yang paling menyenangkan dan tidak menyakitkan hati. Maklum la, bagi sesiapa yang mengenaliku secara peribadi, sudah pasti sedia maklum tentang sikapku yang suka berterus terang. Mungkin yang paling mengenali sikapku ini ialah isteriku sendiri.
Aku ingin kaitkan dengan apa-apa yang aku tulis di Facebook. Bagi sesiapa yang boleh mengakses halamanku di Facebook, khususnya rakan-rakanku, sudah pasti tahu akan sikapku yang berani melontarkan kenyataan yang kadang-kala tidak mudah diterima semua orang. Sikap ini juga yang menyebabkan beberapa hati sudah terluka dan menyingkirkan aku daripada senarai rakan mereka. Bagi aku, tiada masalah untuk mereka lakukan begitu kerana mungkin jika begitu mereka lebih aman. Aku pun aman. :)
Apa yang pasti, jika sesuatu yang aku tulis Facebook, ia sudah melepasi tahap kewarasan aku untuk berkongsi rasa dan fikiran. Sebenarnya, banyak juga kenyataan yang sudah aku tulis kemudian aku tidak jadi mengutuskannya kerana yakin keburukan yang boleh disebabkan olehnya lebih besar daripada kebaikannya.
Apa yang pasti juga, sekiranya aku menulis secara umum di Facebook, bermaksud aku tidak tujukan kepada sesiapa secara khusus, melainkan hanya untuk renungan diriku, dan orang yang membaca dan mahu mengambil iktibar, sekiranya ada kebenarannya. Sikapku yang satu lagi -sekiranya aku mahu menujukan kenyataan kepada individu tertentu, aku akan nyatakan terus kepadanya - bukan melalui kenyataan di dinding Facebook.
Namun, aku tidak dapat menolak hakikat bahawa lain orang lain pandangannya. Kadang-kala, dia dapat rasakan isi kandungan kenyataan yang kutulis di Facebook terkena pada batang hidungnya, lalu dia menganggap aku sengaja mahu memalukannya. Maaf aku katakan, tiada nama dinyatakan di dalamnya dan ia bersifat sangat terbuka dan umum. Jika ada yang terasa, aku tidak mampu menghalangnya. Mungkin ada silap di mana-mana, cerminkan pada diri sendiri. Mengapa perlu mengambil masa untuk memikirkan bahawa aku menulis tentangmu? Mengapa tidak kaufikir balik tentang dirimu?
Contohnya, aku ada menulis mengenai sikap pemberi perkhidmatan yang kurang cekap. Lalu muncul orang-orang yang pernah memberikan perkhidmatan kepadaku menyatakan sama ada kenyataan itu ditujukan kepada mereka - lantas kutepis. Tidak. Jika aku tidak puas hati dengan perkhidmatan yang kalian berikan, sudah lama aku nyatakan dengan jujur.
Jujur. Ya. Jujur.
Isteriku pernah menegur sikapku yang terlalu jujur ini. (Terima kasih, Sayang) Aku akur sahaja, namun aku berasakan itu adalah jalan terbaik daripada menyimpannya di dalam hati. Apabila aku berkata sesuatu yang bersifat menegur dalam kejujuran, niat aku tidak lain melainkan untuk membantu seseorang memperbaiki dirinya, dan mungkin perkhidmatannya, sebagai contoh. Namun, aku tetap berhati-hati dalam setiap kejujuran yang aku tunjukkan.
Ya. Berhati-hati.
Kerana mungkin niatku baik, namun aku tak pasti, bagaimana pula dengan orang lain.
Doakan sahaja semuanya baik-baik belaka. Insya Allah tidak akan ada apa-apa masalah kerana Allah Ada.
:)
3 comments:
My comment: 1)"Siapa makan cili dia terasa pedas" bg aku ok ja..septtnya dorg kena pro utk trima kritikan dan perbaiki kelemahan.
2) aku pernah terbaca ayat ni (lebih kurang, aku tak brapa ingat) " You don't have to explain yourself to anyone, because the person who likes you doesn't need it, and the person who dislike you won't believe it"
no need to show things that u know will hurt others, just keep it to urself..
tp kan zaki, kadang-kadang facebook tu memang bengong skit...friend list kejap naik, kejap turun nombornye. bila check, takde plak sapa2 delete. taktau la.
Post a Comment