Friday, July 09, 2010

Kau Bahagia?


Antara soalan yang kerap aku dapat selepas berkahwin ialah:
Apa perasaan selepas berkahwin?

Biasanya aku tidak akan terus melontarkan jawapan kerana aku perlu fikirkan banyak perkara dan jawapanku bergantung kepada orang yang bertanya.

Malah, apa yang aku perhatikan, biasanya pasangan lain yang baru berkahwin juga mengambil sedikit masa untuk mencari jawapan skema bagi soalan itu. Jika sebelum berkahwin, aku tidak begitu pasti mengapa begitu, tetapi selepas melalui fasa hidup yang sekarang ini, aku sudah faham.

Perincian! Ya, itu yang mereka perlukan! Hehe...

Kerana apa sahaja jawapan yang terpacul, pastinya akan membawa kepada lebih banyak persoalan lain - yang biasanya disusuli dengan senyuman sinis. Ah, aku rasa aku sudah cukup masak untuk menafsirkan senyuman yang diiringi dengan biji mata yang diangkat ke atas itu.

Jika aku jawab, bahagia! Bahagia kerana apa?
Jika aku jawab, best! Best kerana apa?
Jika aku jawab dengan lafaz alhamdulillah, juga mengapa?

Apa yang pasti, ketiga-tiga jawapan di ataslah yang selalunya akan aku gunakan untuk memuaskan hati orang yang bertanya, walaupun hakikatnya aku tidak ketemu lagi satu istilah yang boleh dijadikan jawapan yang boleh menerangkan keadaanku selepas berkahwin.

Indah! Ya, bukan hanya kerana orang yang bergelar isteri itu sendiri indah dari segenap segi, tetapi jasad abstrak perkahwinan itu sendiri yang sangat indah yang hanya boleh ditafsirkan oleh orang yang sudah berkahwin. Sudah tentu penafsiran itu berbeza-beza, namun pokoknya (dan seharusnya) sesuatu perkahwinan itu menjadi suatu fasa yang sangat menggembirakan.

Dalam hal ini, aku sangat bertuah kerana apa yang aku rasa kini selepas bergelar suami adalah rasa yang takkan sama sepertimana ketika aku bujang dahulu. Aku kerap membuat perbandingan hidupku ketika bujang dan ketika sudah berkahwin dan menyampaikannya kepada isteriku. Terselit juga rasa insaf, kerana sepatutnya aku perlu berkahwin lebih awal daripada ini!

Rasanya isteriku sudah muak dengan ungkapan ini, tetapi apa yang hampir setiap hari aku katakan kepadanya:
Ya Allah, aku dah jadi laki orang dah...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...