Penafian: Bukan niatku menulis segala kelemahan isteriku. Malah tidak pernah aku nyatakan semua yang aku tulis betul-betul seperti apa yang berlaku. Cuma ada sedikit sebanyak yang aku cedok daripada pengalaman hidupku dan isteri, yang baru memasuki usia bulan ketiga hari ini. Ambil pengajarannya kerana itu lebih penting, bukan ceritanya.
Maghrib itu, aku bersolat sendirian. Isteriku tidak dapat menjadi makmumku.
Dia duduk di satu sudut, tidak jauh daripada tempat bersolat. Aku izinkannya bermain Facebook sambil menungguku bersolat.
Sebelum sempat kuangkat takbir, terdengar bisiknya sendirian, "Eh, dah mengandung dah..." Oleh sebab aku yakin dia bukan berkata tentang dirinya, aku teruskan sahaja solatku.
Usai menunaikan solat, terus kucapai al-Quran. Kuhenyakkan punggungku ke atas tilam katil. Lebih selesa duduk di situ daripada duduk di atas lantai. Kuluruskan kakiku untuk lebih selesa.
Dia masih di sudut itu, melayari Facebook. Biarlah, jika dia dekat padaku, mungkin batal wudukku jika aku tersentuhnya.
Lalu kubaca mukjizat terbesar Nabi Muhammad itu dengan agak lantang. Biar dia kongsikan bersama sepuluh pahala yang kudapat bagi setiap huruf yang kubaca.
Tidak lama kemudian, dia datang kepadaku lalu memelukku. Hati-hati dia dekat padaku, agar tidak tersentuh kulitku. Tangannya merangkul pinggangku. Mukanya pula dibenamkan ke bantal. Tidak pula aku syak apa-apa melainkan kerinduan memelukku yang mungkin terselit di dalam hatinya.
Aku teruskan membaca al-Quran. Kukurangkan kelantangan bacaanku kerana dia sudah dekat denganku, betul-betul di sebelahku.
Dia tidak bergerak-gerak. Timbul rasa pelik.
Ah, bukan tidak kukenal isteriku ini. Mesti ada apa-apa ni!
Terus kutamatkan bacaan. Kuletakkan naskhah mukjizat itu di sebelahku lalu cuba melihat wajahnya. Dia menepis lembut. Tapak tangannya menutup kedua-dua mata, namun kuberjaya menduga bahawa dia rupa-rupanya sedang menangis apabila jelas hidungnya merah dan pipinya basah.
"Sayang, kenapa menangis ni?" Dia tidak terus menjawab, mungkin sedang melayan perasaan.
Fitrah wanita, jika ada yang mengusik jiwa dan nalurinya, mudah air mata mengalir. Pada saat itu, aku masih gagal mengagak puncanya tiba-tiba mengalirkan air mata, hinggalah aku teringat kata-katanya sebelum aku mengangkat takbir tadi.
Mungkin!
"Kawan sayang yang baru kahwin itu, sudah mengandung ya?" kutanyanya, menduga tekaanku.
Dia cuma mengangguk perlahan. Aku senyum dalam senyapku. Betul agakanku.
Sedikit masa kuambil sebelum kuungkapkan kata-kata nasihatku, "Sayang, mungkin belum rezeki kita. Mungkin rezeki mereka begitu caranya, rezeki kita lain pula caranya. Bukankah Allah itu Maha Adil. Dia Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk kita."
Mulalah aku membebel. Dia cuma mendengar sambil air mata setitik demi setitik membasahi lenganku.
"Walau apapun sayang, tak kira dapat anak cepat ke, dapat anak lambat ke, dapat anak seorang dua sahaja ke, dapat anak berderet-deret ke, pokok pangkalnya - bahagia. Tak guna dapat anak cepat, tapi tak bahagia. Tak guna anak berderet-deret, tapi tak bahagia."
Aku sambung, "Kita ni baru kahwin 2 bulan. Mungkin Allah suruh kita ni hidup berdua dahulu. Kita kena betul-betul hargai masa berdua yang kita ada sekarang. Nanti jika ditakdirkan mengandung, cara kita menghargai masa dah lain. Nanti anak dah lahir, lain pula. Yang penting, kita cari kebahagiaan dengan apa yang kita ada di depan mata kita dahulu."
Dia senyap sahaja.
Maafkan Abang, wahai isteriku. "Bertuah" kau dapat suami yang kuat membebel. :)