Sejak bergelar suami, selanjutnya bergelar bapa, aku sangat jarang berjanji kepada dua orang manusia ini - isteriku dan anakku.
Anakku pada usia mencecah dua tahun itu mungkin belum faham apa maksud janji.
Isteri yang lebih tua lebih kurang lapan bulan daripada aku itu seharusnya faham janji itu apa.
Aku tidak ingat bila kali terakhir aku sebutkan begini:
"Sayang, abang janji..."
"Abah janji dengan Zaid, nanti Abah..."
Apabila janji disebut, ia menumbuhkan harapan pada yang diberi janji. Jika yang diberi janji tidak dapat memetik buah janji, kerana janji yang diucap hanya dibajai dengan kata dusta, dibimbangi yang tumbuh bukanlah buah manis penunai janji, tetapi buah racun pencipta benci.
Janji mudah diucap. Ketika janji diucap, pernahkah terfikir sebarang halangan masa depan yang mungkin menidakkan janji ditunaikan?
Jika halangan itu masih dapat ditangani, apakah pula caranya menghalang tugas Izrail mencabut nyawa walhal janji belum sempat menjadi realiti?
Kurangkan berjanji.
No comments:
Post a Comment