Aku lebih tahu dan yakin siapa sahaja yang membaca tulisan aku, khususnya tulisan yang ditetapkan boleh dibaca oleh rakan-rakan Facebook sahaja.
Jika ada tulisan yang aku fikir aku mahu sesiapa pun sahaja boleh baca, aku tetapkan pada "Public".
Jadi, mengapa kembali menulis di blog?
Sejujurnya, aku tiada jawapan khusus untuk soalan itu walaupun ada beberapa jawapan yang lebih umum.
Antaranya, aku akan mendapat anak kedua dalam tempoh 2-3 bulan akan datang. Terasa seakan tidak adil pula bagi anak kedua ini jika tiada tulisan istimewa untuknya. Untuk Muhammad Zaid dahulu, bersemangat sungguh!
Ada juga muncul idea untuk menulis bahan yang akan dikumpulkan dan diterbitkan. Idea ada macam-macam. Ada yang sudah ditulis dan disimpan kemas, ada yang masih kekal dalam memori, ada yang sudah hilang daripada memori.
Facebook aku sudah dibanjiri dengan rakan-rakan yang sebenarnya aku belum kenal sekenal-kenalnya. Ada yang mahu menjadi rakanku atas faktor perkhidmatan penyuntingan dan penterjemahan yang aku tawarkan. Aku terima bagi mempermudah pertukaran maklumat dan kemas kini. Ada juga yang aku sendiri hantar pelawaan menjadi rakan kerana aku suka dengan tulisan mereka di Facebook, dan aku mahu belajar lebih banyak lagi daripada mereka.
Sudahnya, Facebook aku sudah jadi macam blog juga akhirnya, dari sudut keterbukaan. Jika dahulu aku tertutup untuk menerima dan menghantar pelawaan menjadi rakan, kini aku lebih terbuka.
Atas faktor itu, aku kembali terfikir, mengapa tidak teruskan sahaja menulis di blog, selain di Facebook? Kini tidak perlu ada pembahagian khusus Facebook untuk apa, blog untuk apa. Di mana aku mahu menulis, di situ aku tulis.
Ini baru permulaan. Aku tidak tahu seberapa kerap aku akan menulis di blog. Aku mahu tulis, aku akan tulis.
Aku. Szakif.
No comments:
Post a Comment