Wednesday, July 31, 2013

Penterjemah Kuantan

Saya, Muhammad Zaki Ramli, penterjemah sepenuh masa, kini menetap di Kuantan.

Saya menyediakan khidmat menterjemah dari dan ke Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris.

Mohon hubungi saya melalui emel az_zakingompol@yahoo.com.

Mercun: Fikir dahulu sebelum bakar

Allah pasti akan sayang kita kerana masa yang kita ada dalam hidup tidak digunakan dengan sia-sia,
Rasulullah pasti akan sayang kita kerana kita mengelak daripada melakukan mudarat,
Ibu bapa kita pasti akan sayang kita lebih lagi kerana kita mengikut seruan Allah dan Pesuruh-Nya,
Jiran tetangga pasti suka akan kita kerana kita menjaga keharmonian di kawasan kejiranan,
Alam sekitar pasti akan lebih baik untuk kehidupan dan kesihatan diri kita kerana ia tidak dicemar asap dan bunyi bising.

Saturday, July 27, 2013

Ini Tulisan Antimercun

Satu

Jika bingit bunyi motor mat rempit kaumarahkan, mengapa tidak pula kaumarahkan bingit bunyi mercun?

Ya, sebab kau suka main mercun.

Jadi, apa bezanya tahap akhlak kau dan akhlak mat rempit?


Dua

Jika asap jerebu yang menyesakkan nafas membuatkan kaumarah, mengapa asap bakaran mercun yang turut menyesakkan dada tidak pula kaumarah?

Ya, sebab kau suka main mercun.

Jadi, apa bezanya tahap pemikiran kau dan pembawa punca jerebu di seberang sana?


Tiga

Jika kaumarah dengan orang yang melakukan pembakaran terbuka di negeri sini, mengapa tidak kaumarah pembakar mercun yang turut menghasilkan asap di tanah tempat kauberpijak?

Ya, sebab kau suka main mercun.

Mengapa bersikap bias terhadap perkara yang kausuka?

Ada atau tidak dipertimbangkan marah dan suka orang lain?

Wednesday, July 24, 2013

Janji Seorang Suami dan Abah

Sejak bergelar suami, selanjutnya bergelar bapa, aku sangat jarang berjanji kepada dua orang manusia ini - isteriku dan anakku.

Anakku pada usia mencecah dua tahun itu mungkin belum faham apa maksud janji.

Isteri yang lebih tua lebih kurang lapan bulan daripada aku itu seharusnya faham janji itu apa.

Aku tidak ingat bila kali terakhir aku sebutkan begini:

"Sayang, abang janji..."
"Abah janji dengan Zaid, nanti Abah..."

Apabila janji disebut, ia menumbuhkan harapan pada yang diberi janji. Jika yang diberi janji tidak dapat memetik buah janji, kerana janji yang diucap hanya dibajai dengan kata dusta, dibimbangi yang tumbuh bukanlah buah manis penunai janji, tetapi buah racun pencipta benci.

Janji mudah diucap. Ketika janji diucap, pernahkah terfikir sebarang halangan masa depan yang mungkin menidakkan janji ditunaikan?

Jika halangan itu masih dapat ditangani, apakah pula caranya menghalang tugas Izrail mencabut nyawa walhal janji belum sempat menjadi realiti?

Kurangkan berjanji.

Monday, July 22, 2013

Tegur

1. Tegur apabila yang menerima teguran bersedia ditegur.

2. Tegur apabila yang menerima teguran mahu ditegur.

3. Tegur bukan kerana mahu mengubah yang ditegur.

4. Tegur kerana mahu yang ditegur mengubah dirinya sendiri.

5. Jika orang tidak minta ditegur, jangan ditegur.

6. Jika orang tidak bersedia ditegur, jangan ditegur.

Friday, July 19, 2013

Idea Menulis

Aku terdesak. Mencari idea untuk diterjemahkan ke dalam bentuk proposal bertulis. Proposal itu perlu dibawa ke konvensyen penulis yang akan aku hadiri 20 Julai ini.

Baca, baca. Panggilan itu datang. Masuk tandas. Idea pun datang.

Yang aku baca tadi, satu ulasan buku. Kata penulis blog itu, penulis mengadun novelnya selaras dengan ilmu ekonominya. Kisah cinta dari sudut ekonomi.

Aku? Bidang sains perubatan. Oh ya! Ada isu yang sedang aku ikuti. Ia boleh digarap menjadi bahan penulisan.

Tapi, idea itu datangnya ketika aku berada di dalam tandas. Bukan sekadar datang, tetapi siap dihurai dan diulas. Ah, kenapa mesti ketika di dalam tandas?

Kata orang, jika idea datang ketika berada di dalam tandas, idea itu tidak baik.

Kemudian aku tertanya-tanya, benarkah? Ada nas? Siapa kata? Nabi? Firman Allah. Aku tertanya-tanya.

Sebabnya, idea aku itu, pada hemat aku, boleh buat buku laku keras di pasaran. Heh. Berangan. 

Memang pun penulis perlu berangan untuk mendapat idea menulis. Zon angan ini yang aku mahu terjah dan jelajah kembali. Dek kerana asyik dengan dunia penyuntingan dan penterjemahan, sudah lama aku biarkan ruang itu sebegitu.

Aku mahu menulis.

Saturday, July 13, 2013

Bila Kali Terakhir Aku Menulis?

Sejak ada Facebook, aku lebih banyak menulis di situ. 

Aku lebih tahu dan yakin siapa sahaja yang membaca tulisan aku, khususnya tulisan yang ditetapkan boleh dibaca oleh rakan-rakan Facebook sahaja.

Jika ada tulisan yang aku fikir aku mahu sesiapa pun sahaja boleh baca, aku tetapkan pada "Public".

Jadi, mengapa kembali menulis di blog?

Sejujurnya, aku tiada jawapan khusus untuk soalan itu walaupun ada beberapa jawapan yang lebih umum.

Antaranya, aku akan mendapat anak kedua dalam tempoh 2-3 bulan akan datang. Terasa seakan tidak adil pula bagi anak kedua ini jika tiada tulisan istimewa untuknya. Untuk Muhammad Zaid dahulu, bersemangat sungguh!

Ada juga muncul idea untuk menulis bahan yang akan dikumpulkan dan diterbitkan. Idea ada macam-macam. Ada yang sudah ditulis dan disimpan kemas, ada yang masih kekal dalam memori, ada yang sudah hilang daripada memori.

Facebook aku sudah dibanjiri dengan rakan-rakan yang sebenarnya aku belum kenal sekenal-kenalnya. Ada yang mahu menjadi rakanku atas faktor perkhidmatan penyuntingan dan penterjemahan yang aku tawarkan. Aku terima bagi mempermudah pertukaran maklumat dan kemas kini. Ada juga yang aku sendiri hantar pelawaan menjadi rakan kerana aku suka dengan tulisan mereka di Facebook, dan aku mahu belajar lebih banyak lagi daripada mereka.

Sudahnya, Facebook aku sudah jadi macam blog juga akhirnya, dari sudut keterbukaan. Jika dahulu aku tertutup untuk menerima dan menghantar pelawaan menjadi rakan, kini aku lebih terbuka.

Atas faktor itu, aku kembali terfikir, mengapa tidak teruskan sahaja menulis di blog, selain di Facebook? Kini tidak perlu ada pembahagian khusus Facebook untuk apa, blog untuk apa. Di mana aku mahu menulis, di situ aku tulis.

Ini baru permulaan. Aku tidak tahu seberapa kerap aku akan menulis di blog. Aku mahu tulis, aku akan tulis.

Aku. Szakif.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...