Friday, March 25, 2011

Jernih Jangan Disangka Air - Artikel dalam Utusan Malaysia


Sebelum ini, sudah ada beberapa artikel yang saya tulis diterbitkan dalam Utusan Malaysia dan beberapa penerbit lain seperti majalah Visi dan iluvislam.com.

Artikel-artikel tersebut tidaklah sepanjang mana. Khususnya bagi artikel di dalam Utusan Malaysia, hanya ruangan yang kecil diambil pada seksyen Rencana.

Namun kali ini, artikel terbaharu yang saya hantar kepada Utusan Malaysia mendapat paparan khas dalam bahagian Sains pada sisipan Mega.

Artikel tersebut diterbitkan pada 21 Mac 2011. Ia bertajuk Jernih jangan disangka air yang membincangkan kelecuran - tahap-tahap dan sumber-sumber kelecuran.

Di hujung artikel tersebut, saya mengaitkan kelecuran dengan perspektif Islam.

Penulis ialah Eksekutif Penyelidikan, Yayasan Ilmuwan

Dengan terbitnya satu lagi artikel saya dalam akhbar utama tempatan, ia menambahkan lagi senarai panjang di dalam resume saya. Ini menandakan satu lagi pencapaian kerjaya dan peribadi sepanjang berkhidmat di Yayasan Ilmuwan sejak Ogos 2009.

Artikel yang sama telah disalin dan diletakkan di beberapa forum seperti di ehoza.com dan cari.com.my. Namun saya agak terkilan kerana di ehoza.com, nama penulis tidak pula disalin. Saya yakin mereka mendapatkan artikel tersebut di laman sesawang Utusan Online. Ini kerana artikel dalam talian tidak memaparkan sepenuhnya artikel asal.

Saya berharap pembaca beroleh manfaat daripada artikel tersebut tidak kira di mana-mana pun mereka membacanya.

Wednesday, March 16, 2011

Sirih Pulang ke Gagang - Second Malaysian Symposium on Biomedical Science

Mungkin ramai yang sudah tahu, ketika di UIA aku rapat dengan juniorku.

Setiap tahun, jika ada junior-junior yang baru masuk, aku akan cuba berkenal-kenalan dengan mereka. Empat tahun aku di UIA. Jadi, aku cuma berpeluang merasa berkongsi hidup, bersilang simpang dengan tiga tahun yang di bawahku. Sekejap di Gombak, dan lebih lama di Kuantan.

Setiap batch, ada sahaja ragamnya. Yang pasti, seingat-ingat aku, setiap tahun aku tak pernah melepaskan peluang menjamu selera mereka dengan sedikit hidangan yang aku dan rakan sebilik sediakan. Tidaklah semua dapat merasa, tetapi yang pernah berkongsi kegembiraan, berkongsi cerita tatkala menjamah makanan, pasti tidak akan melupakan.

Makanan memang boleh menyatukan. Makanan boleh mengingatkan.

Tertarik pula, malah terharu apabila ada yang masih ingat dengan saat kami duduk bersama, menjamah makanan yang aku masakkan. Bukan berniat ingin mengungkit amal yang pernah dilakukan, namun apa yang ingin dinyatakan ialah, sekecil mana pun usaha amal yang dilakukan, jika ia memberi kesan kepada yang merasa, pasti sampai ke mati memori dibawa.

Oh, sebenarnya baru-baru ini aku ke Kuantan lagi. Memenuhi jemputan menjadi penceramah dalam Ceramah Kerjaya. Hampir dua tahun aku meninggalkan kampus Kuantan, banyak yang sebelumnya tiada, tiba-tiba sahaja sudah ada. Sengaja aku alihkan pemanduanku melalui jalan belakang yang tidak ramai melaluinya. Entah bila, entah bagaimana, sudah tersergam indah malah gah bangunan-bangunan baharu. Itu belum cerita lagi seawal sebelum memasuki kampus dari arah pekan Kuantan, mata sudah terpana dengan kubah masjid yang tegak di atas tapak yang sebelumnya sebahagian daripada tebing sungai. Sejurus pintu gerbang diterjah, ada pula bangunan yang selayaknya setanding dengan bangunan Pentadbiran di UIA Gombak. Namun, aku terlanggar lubang besar tidak lama selepas itu dek mata sibuk terpana-pana. Spoil.

Berjumpa dengan mereka, khususnya yang menguruskan program itu, membuatkan aku bangga. Pernah terbit kerisauan, mampukah mereka meneruskan legasi yang pernah dibawa oleh senior mereka? Bukan mahu merendah-rendahkan, malah kerisauan itu jelas tidak berasas kerana segalanya nyata di depan mata. Mereka mampu melakukannya, malah jauh lebih baik daripada yang disangka. Kesungguhan mereka untuk meletakkan tanda aras yang tinggi dalam mutu penganjuran majlis itu, tidak boleh dipandang sebelah mata.

Bayangkan, hanya dengan kudrat daripada satu jabatan sahaja, mampu menguruskan program bertaraf kebangsaan. Itu belum lagi jika kudrat ketiga-tiga jabatan yang ada, disatukan. Apakah pula yang mampu mereka laksanakan. . . Melihat senarai penaja program itu, membuatkan aku tersenyum bangga.

Peluang untuk menganjurkan Second Malaysian Symposium on Biomedical Science itu hanya sekali itu sahaja dapat mereka laksanakan sepanjang pengajian mereka. Maklumlah, penganjurannya mengikut giliran. Dan banyak universiti lain yang menanti-nanti giliran mereka, kerana yang pasti jika berpeluang menganjurkan, banyak perkara yang dapat diperoleh daripadanya - pengalaman, kawan, malah mungkin bakal majikan.

Tulisan ini bukan menggula-gulakan mereka kerana menjemput aku untuk turut serta dalam program mereka. Malah aku tidak sangka pada usia begini, pada pengalaman secetek air di kali dan bukan sedalam di Lautan Hindi, mereka meminta aku membentangkan mengenai Bioethics. Aku baru dalam bidang bioetika. Tidak banyak yang mampu aku bentangkan melainkan berkongsi cerita bagaimana aku akhirnya beralih haluan ke dalam bidang itu. Harap-harapnya, mereka dapat sedikit sebanyak manfaat daripada apa yang aku celotehkan.

Berdiri di atas pentas itu, pentas yang sama aku dilantik menjadi Setiausaha Agung SCIENCESS, pentas yang sama aku menyampaikan ucapan ketika majlis penyampaikan hadiah Amazing Explorace, pentas yang sama aku berlakon dengan rakan-rakan WacKOS, pentas yang sama aku mengacarakan majlis, aku bangga. Bangga dalam erti kata aku bersyukur. Kerana masih diterima, kerana masih ada yang sudi menjemput, kerana masih ada yang sudi melayan.

Terima kasih para junior. Syabas aku ucapkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...