Wednesday, December 08, 2010

Tak Boleh Kepoh-kepoh Pasal Mengandung - Bahagian 2?

Seperti biasa, semua artikel yang kutulis akan dibawa masuk ke Facebook secara automatik. Artikel yang sebelum ini pun begitu. Lalu sengaja aku tag beberapa orang yang aku kenali untuk mendapatkan pandangan mereka. Tak kurang juga yang sudi berkongsi pandangan masing-masing.

Lihat di sini untuk komen-komen lanjut mereka.

Setelah mendapatkan komen-komen mereka, aku cernakan dan aku ulas pula:

Terima kasih atas semua komen. Dalam hal ini, saya percaya zaman berubah, jadi pendekatan menangani pelbagai perkara juga kena berubah, termasuklah bab pantang larang.

Jika dahulu tiada alat untuk mengesahkan kehamilan seawal bulan pertama, kini ada. Dan ketepatannya dikatakan 99%. Oleh sebab itu, wujud ketakpastian pada zaman dahulu jika seseorang isteri mengandung. Mereka perlu menunggu beberapa bulan hingga perut sudah memboyot untuk betul-betul pasti bahawa mereka mengandung. Maklumlah, ada sahaja wanita yang kitaran haidnya tidak tetap. Takpun, jumpa doktor untuk mengesahkan.

Tapi dalam konteks zaman sekarang, inovasi yang membantu mengesahkan kehamilan boleh sahaja dibeli di farmasi. Dengan beberapa kali ujian, jika akhirnya disahkan hamil, boleh lah pasangan suami isteri itu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk memastikan bayi yang dikandungkan akan selamat dilahirkan.

Kita kena kembali kepada niat. Dalam hal ini, saya memasang niat untuk meminta doa daripada semua yang sudah maklum mengenai kehamilan isteri saya. Tiada niat yang tidak baik.

Jika isu seperti bayi takut tak survive, takut malu kalau gugur, tak tahu kekuatan diri dan sebagainya dibangkitkan, itulah antara perkara yang boleh "dipatahkan" dengan doa. Berdoalah yang baik-baik, insya Allah semuanya selamat. Si bakal ibu yang mengandung boleh mengambil langkah berjaga-jaga agar bayinya sihat di dalam kandungan, si bakal bapa boleh menjadi orang paling hampir untuk menjadi pembantu kepada isterinya sepanjang proses kehamilan, dan orang-orang lain yang mengetahui, apa yang boleh mereka lakukan?

Ya, mendoakan bakal ibu dan bakal bapa agar semuanya baik-baik belaka. Selain itu, boleh juga berkongsi-kongsi nasihat, petua, tips dan sebagainya yang berasaskan konteks zaman sekarang. Jika ada yang sudah tidak relevan, biarkan ia ditelan zaman. :)

Namun begitu, saya tidak membuat kenyataan bahawa kita perlu bersikap kurang ajar dengan orang-orang tua yang memaklumkan kepada kita pelbagai pantang larang, itu dan ini. Dengar, dan fikir. Jika ada yang sesuai dengan konteks zaman sekarang, amalkan. Jika tidak, ucapkan terima kasih dan senyum sahaja. Jaga hati mereka. :)

2 comments:

Cik Aqilah Wardah said...

uuu.. tak penah dnga plak sal ni.. :)

yg penting, penjagaan semasa tempoh mengandung perlu dititikberatkan...
insya Allah, pasti selamat.. :)

As said...

Allah sebaik2 pemelihara. mari minta padaNya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...