Friday, December 24, 2010

Bebel - Tak Payah Kau Nak Belanja Perempuan Itu!

Aku rasa macam dah lama sangat tak membebel. Jadi, aku rasa macam nak membebel. Boleh?

Aku tengok ada satu spesies lelaki ni yang konon-kononnya nak tunjukkan kesetiaan kepada perempuan kesayangannya. Kalau perempuan tu mak dia ke, adik perempuan dia ke, kakak dia ke, aku takde hal. Tapi aku ada hal kalau yang dia sayang sangat tu ialah perempuan yang tak ada ikatan sah pun dari segi Islam - bukan isteri. Dia hanya sekadar perempuan ehem ehem geli geli, tapi dah gedik-gedik nak kikis duit lelaki yang bukan suaminya pun.

Aku nak bebel kat lelaki dulu, sebab aku pun lelaki.

Weh, kau ingat perempuan tu siapa? Awek? Makwe? Kalau kau nak bandingkan dengan emak kau, siapa lagi yang sepatutnya kau lebih sayang? Emak kau kan? Tapi kenapa kau sibuk-sibuk nak belanjakan duit kau untuk dia? Kau tak perlu nak sibuk-sibuk sara hidup dia. Dia takde hak ke atas duit kau. Tak payah kau nak jadi baik hati sangat belanja dia bukan-bukan.

Belanja makan la, belanja tengok wayang la, belanja jalan-jalan la, macam-macam la. Aku nak tanya, sebelum kau belanja perempuan tu dengan semua tu, ada kau buat benda yang sama kepada mak bapa kau?

Selagi dia bukan isteri kau, tak payah la kau konon-konon nak bermurah hati belanja perempuan tu. Aku yakin, kalau betul dia ikhlas nak menjadikan kau suaminya, dia takkan minta yang bukan-bukan selagi dia belum sah menjadi isteri kau.

Rileks. Kau ada mak bapa kau untuk kau sara. Waktu kau bujang ni la kau nak belajar menyara mak bapa kau. Nanti kalau kau dah berumahtangga, kena pula belajar sara mak bapa, dan isteri kau. Tengok betul-betul susunan yang aku tulis tu. Mak bapa dulu, baru isteri.

Sedangkan sebelum dia jadi isteri lagi dia takkan boleh melebihi mak bapa kau, kenapa pula sebelum kahwin lagi kau dah sibuk-sibuk nak belanja dia macam-macam?

Nak ambil hati dia? Baik kau ambil hati mak bapa kau. Bagi mereka duit, sara mereka. Nanti mereka doakan kau yang baik-baik. Insya Allah doa mereka makbul. Ada makwe kau tu nak doakan kau? Kalau doakan pun, makbul sangat ke kalau nak bandingkan dengan doa mak bapa kau? Aku bukan Tuhan, tapi ustaz aku ajar doa siapa yang lebih afdal.

Dia minta kau belanja dia? Weh, kalau betul la atas sebab tu, maaf la kalau aku membahasakan kau sebagai anak yang derhaka. Kau kena dahulukan mak bapa kau, weh! Perempuan tu kau ketepikan dulu. Bukan siapa-siapapun. Dia pun ada hidup sendiri, ada kerjaya sendiri, ada mak bapa sendiri. Biar dia sara hidup dia, biar mak bapa dia jaga dia. Kau jangan sibuk-sibuk nak ambil alih jawatan dan tangungjawab mereka selagi kau bukan suami perempuan tu.

Faham?

Aku rasa aku nak sambung membebel untuk yang perempuan pula kemudian. Boleh?

Wednesday, December 22, 2010

Nikah Tutup Aurat, Sanding Buka Aurat

Diulang terbit daripada laman sesawang iluvislam.com kerana saya yang menghantar artikel tersebut.

Moga ada yang memperoleh manfaat daripada artikel tersebut, termasuk diri saya sendiri.


Setiap kali majlis nikah, ia biasanya dilangsungkan di masjid mahupun di surau. Jadi, di situ biasanya ahli keluarga terdekat dan rakan taulan hadir untuk menyaksikan sendiri majlis bersejarah yang menyatukan dua hati.

Biasalah, jika dilakukan di masjid, semua yang hadir perlu mematuhi adab memasuki masjid. Sudah pasti, antara lain yang dipatuhi ialah adab menutup aurat dengan sempurna.

Jadi, di situ dapat kita lihat ramai yang hadir cantik menutup aurat khususnya yang perempuan, termasuklah perempuan yang akan dinikahkan.

Alangkah indahnya majlis penyatuan hati disertai oleh orang-orang yang patuh pada tuntutan agama. Aurat dijaga, kelakuan diperhati. Si pengantin perempuan elok menutup aurat, duduk tertunduk mengenang hari-hari yang bakal dilalui sebagai isteri sejurus lafaz nikah oleh bakal suaminya disahkan.

Namun yang sedihnya, ia hanya setakat majlis nikah itu.
Apabila tiba majlis persandingan, tudung hilang entah ke mana, aurat terdedah di sini sana.

Tiada lagi kesucian majlis sepertimana yang ada pada majlis nikah sebelumnya. Itu belum lagi dibincangkan hal tingkah laku yang ada kalanya hilang kawalan. Dalam sedar mahupun tidak, banyak mata yang memerhati.

Malangnya, bukannya semua yang hadir ke majlis persandingan adalah muhrim kepada pengantin. Sudah tentu hadirin terdiri daripada orang-orang yang bukan muhrim juga, yang tidak halal mata mereka menjamah aurat pengantin, khususnya yang perempuan.

Jika dalam majlis nikah, segala tuntutan agama boleh dipenuhi, mengapa tidak meneruskannya dalam majlis persandingan pula?
Apakah ada beza amalan agamamu ketika majlis nikah dan ketika majlis persandingan? Apabila Apakah ada beza auratmu kepada yang bukan muhrim ketika di masjid dan ketika di luar masjid? Mengapa ada kesedaran bahawa agamamu ialah Islam ketika dinikahkan, tetapi tidak ketika berada di persandingan?

Pelik. Tetapi itulah realitinya yang kerap berlaku sekarang.

Buat bakal pengantin, sedarlah bahawa Islam mewajibkan umatnya menutup aurat kepada orang yang bukan muhrim setiap masa dan tidak kira di mana-mana.

Nasihat ini bukan khusus untuk wanita sahaja. Buat keluarga pengantin perempuan, tunjukkanlah cara yang terbaik yang menurut tuntutan Islam dalam menganjurkan majlis. Buat si bakal suami, ketahuilah bahawa sejurus lafaz nikah disahkan, tanggungjawab, dosa dan pahala isteri ditanggung suami. Usahlah menjadi suami yang dayus dengan membenarkan isteri mendedahkan auratnya.

Seolah-olah tidak ada makna dan tidak istimewa nikah yang dilafazkan sekiranya mata orang-orang yang bukan muhrim berkongsi melihat aurat isterimu.

Tuesday, December 21, 2010

Azwan Gay Dia Okay, Saya tak Okay

Isu gay kini hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia yang secara umumnya menolak kegiatan yang berlandaskan nafsu apatah lagi yang songsang.

Azwan Ismail muncul dalam video bertajuk It Gets Better in Malaysia: Azwan Ismail "Saya Gay, Saya OK" di Youtube dan meluahkan rasa mengenai hidupnya yang mengambil masa selama 32 tahun untuk memberanikan dirinya memberitahu umum bahawa dirinya gay.

Dalam video tersebut juga, Azwan ada mengatakan bahawa guru-guru, ustaz dan kawan-kawan memberikan pandangan mengenai hidup dari sudut pandang mereka yang kebanyakannya merupakan orang yang heteroseksual. Tambahnya, "Mereka tidak merasai dan tidak memahami menjadi seorang yang gay."

Sudah tentu! Manusia memberikan pandangan berdasarkan sudut pandang yang mereka lebih arif. Kita boleh memberikan pandangan dari pelbagai sudut, namun akhirnya, kita lebih selesa dengan pandangan yang kita sendiri pernah atau sedang alami.

Namun apakah bermaksud seseorang perlu menjadi gay terlebih dahulu baru boleh memberikan pandangan mengenai gay? Tidak semestinya.

Kita tidak perlu terjebak terlebih dahulu ke dalam sesuatu kancah untuk belajar sesuatu daripadanya, apatah lagi jika kancah tersebut menurut catatan sejarah telah banyak membawa kemusnahan dan musibah kepada manusia.

Analoginya, kita tidak perlu memotong kedua-dua tangan dengan pilihan sendiri hanya untuk belajar betapa susahnya untuk makan dengan menggunakan kaki.

Berbalik kepada video Azwan Ismail, ia dipotong apabila Azwan cuba menjelaskan "kita lebih mengetahui diri kita. Dan kita perlu mengambil masa dan terus mencuba untuk memberitahu orang-orang sebegitu..."

Apa sebenarnya yang ingin diberitahu oleh Azwan kepada "orang-orang sebegitu"? Adakah untuk memberitahu bahawa dirinya gay?

Pada pendapat saya, apa yang sebenarnya perlu diberitahu oleh Azwan Ismail, dan mungkin golongan yang sudah terpengaruh dengan mesej yang disampaikan oleh Azwan adalah bahawa mereka boleh menghadapi cabaran hidup sebagai orang yang nafsunya sengaja disongsangkan.

Jika orang buta diduga dengan nikmat penglihatan yang ditiadakan dalam hidup mereka, jika orang bisu diduga dengan kebolehan bercakap yang ditarik daripada lidah mereka, dan jika orang yang lembut menyotong diuji dengan cara yang begitu dalam hidup mereka sehari-hari, golongan gay ini pula perlu memilih sudut pandang bahawa mereka diuji dengan cara begitu - nafsu mereka songsang.

Dalam videonya, Azwan ada juga menyebut mengenai sukarnya menjadi gay di Malaysia atas faktor agama dan budaya. Ini bermaksud, Azwan masih mengiktiraf bahawa agama itu ada dan ia menjadi kekangan untuk beliau mengekspresikan dirinya sebagai seorang gay. Di hujung videonya pula, Azwan menyebut mengenai sumber kekuatan untuk orang yang berjiwa songsang untuk memberitahu bahawa diri mereka bahawa mereka gay.

Namun, sebenarnya sumber kekuatan yang perlu dicari oleh Azwan bukanlah daripada sesiapa melainkan Allah. Seharusnya Azwan terlebih dahulu mengkaji baik buruk amalan gay sebelum beliau memilih untuk menjadi gay. Jadi, sumber utama yang perlu dikaji tidak lain dan tidak bukan ialah Al-Quran.

Sudah jelas di dalam Al-Quran diceritakan bagaimana Allah menghancurkan kaum Lut sebagaimana yang diceritakan di dalam surah Hud. Minta nasihat daripada orang-orang yang mendalami ilmu Al-Quran agar mendapat panduan yang terarah dan paling tepat mengenai ketetapan yang telah Allah berikan untuk umat manusia patuhi.

Saya fikir mungkin Azwan Ismail menemukan sumber kekuatan yang salah yang lantas membuatkannya memilih jalan yang salah untuk meneruskan hidup dalam kancah gay. Seharusnya, apabila ada sesiapa yang memberikan pandangan mengenai isu gay, Azwan perlu menimbangkan banyak perkara termasuk agama yang dianutinya (yang saya percaya Islam berdasarkan namanya). Bukannya memandang isu ini dari sudut peribadi semata-mata.

Nasihat saya, daripada mencari kekuatan untuk memberitahu diri sendiri dan orang lain bahawa diri mereka gay, seelok-eloknya mereka mencuba lebih kuat lagi untuk memberitahu bahawa mereka cukup kuat untuk menentang hasutan nafsu songsang yang jika dituruti, natijahnya akan membawa kemusnahan pada kehidupan manusia secara keseluruhannya itu.

Mereka perlu percaya bahawa ada sinar di hujung jalan, dan mereka perlu mencari jalan untuk keluar daripada terowong gelap yang sedang mereka lalui. Jadikan insan yang normal, yang secara fitrahnya diciptakan untuk menyukai orang yang berlainan jantina apabila berkata mengenai kecenderungan seks.

Saya fikir hujah yang mengatakan "biarlah itu antara aku dan Allah" apabila berkata mengenai kesongsangan nafsu seks adalah hujah yang lemah kerana Allah sudah terlebih dahulu melaknat kaum-kaum songsang seperti gay sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Samalah halnya jika orang-orang yang tidak bertudung, apatah lagi yang berpakaian seksi yang kerap menggunakan alasan "itu antara aku dengan Allah" untuk menghalalkan perbuatan mereka yang jelas menyalahi hukum agama.

Dalam Islam juga telah diajar agar penganutnya kembali kepada Allah dalam mencari kekuatan hati dan meminta petunjuk jalan yang benar. Antaranya dalam doa-doa yang kerap diamalkan, dan yang juga perlu dihayati seperti "rabbana la tuzigh qulubana", "ya muqollibal qulub, thabbit qulubana" dan sebagainya.

Buat Azwan Ismail, anda tak perlu menurut apa-apa yang orang lain beritahu anda, tetapi anda perlu menurut apa yang Maha Mencipta telah beritahu menerusi Kitab-Nya yang suci. Orang-orang yang memberitahu anda apa yang anda perlu buat untuk membentuk diri anda sebenarnya menyampaikan apa yang sudah tertulis, bukannya atas faktor mereka menyampaikan dari sudut pandang mereka sebagai orang heteroseksual. Turut sahaja dan insya Allah things will get better. :)

Monday, December 20, 2010

Rezekimu Mungkin dalam Bentuk Lain

Aku tak pasti sudah berapa kali aku ulangkan di dalam blog ini bahawa aku dan isteri menunggu selama 6 bulan selepas kami bernikah sebelum isteri aku disahkan mengandung. Mungkin lebih ramai pasangan lain yang menunggu lebih lama lagi, tapi kali ini aku ingin sekali mengulang perkara yang sama dan membincangkannya dari sudut lain.

Jika sebelum berkahwin, soalan wajib yang akan ditanya oleh ramai orang ialah "bila mahu berkahwin?" Bagi orang yang sudah berkahwin pula, soalan wajibnya ialah "Sudah ada kah?"

Di situ aku belajar bahawa memang masyarakat Melayu khususnya yang sudah berusia dan/atau yang berasal daripada kampung berlapik-lapik apabila berbicara mengenai anak. Mungkin mereka faham benar bahawa pasangan yang ditanya mungkin boleh tersinggung sekiranya soalan lancang seperti "dah mengandung belum?" ditanyakan.

Namun, dalam ramai-ramai yang berlapik-lapik ketika bertanya, ada juga yang mungkin kurang mantap kemahiran komunikasinya. Atau mungkin mereka memilih cara bertanya sebegitu dengan niat bergurau, yang mungkin boleh disalahtafsirkan oleh yang ditanya. Bayangkan, contohnya, sejurus panggilan telefon dijawab, soalan pertama yang ditanya bukanlah khabar si pemanggil, tetapi "Oi Yam, kau dah mengandung belum?" Tak manis kan? Mujur sahaja isteriku tidak mengambil hati kerana dia kenal benar dengan rakannya itu.

Aku sendiri, sebelum berada dalam situasi isteri-belum-mengandung-selepas-beberapa-lama-berkahwin, pernah bertanya kepada rakan-rakan yang terlebih dahulu beristeri dengan soalan yang berbunyi, "Ada apa-apa berita gembira kah?" Alhamdulillah sepanjang pengetahuan dan pengamatan aku, mereka boleh menerima soalan seperti itu dan dijawab dengan mesra.

Lain pula halnya apabila aku pula yang berada dalam situasi isteri-belum-mengandung-selepas-beberapa-lama-berkahwin. Dalam beberapa bulan pertama perkahwinan, aku mencari-cari arah untuk mendapatkan cara yang terbaik untuk menjawab persoalan itu - supaya aku tidak menyinggung sesiapa - hati orang yang bertanya, hati isteri aku, dan hati aku sendiri. Nampaknya, dejavu. Apa yang pernah aku tanyakan kepada orang lain, ditanya pula kepadaku. Dan nampaknya cara orang menjawab soalanku dulu tidak membantu untuk aku sendiri menyediakan skema jawapanku.

Sejujurnya, soalan "sudah ada kah?" dan yang sepertinya bukanlah soalan yang mudah untuk dijawab. Aku bukanlah Tuhan untuk memberikan jawapan bila aku akan dikurniakan anak, tetapi yang aku dan isteri mampu lakukan ialah berusaha tanpa jemu. Ok cukup di situ.

Namun, setelah beberapa lama, aku sudah menemukan cara yang terbaik untuk menjawab soalan seperti itu - iaitu dengan cara menjawab dengan jelas bahawa kami belum dikurniakan rezeki seperti itu, dan meminta yang bertanya supaya berdoa semoga rezeki mendapat anak dipercepat. Berterus terang dan jangan segan meminta orang lain mendoakan.

Bukan niat aku untuk memperkecil rezeki anak, tetapi rezeki boleh muncul dalam bermacam-macam bentuk. Kadang kala ia muncul dalam bentuk yang kita sendiri tidak rasakan ia sebenarnya satu bentuk rezeki. Aku mahu sahaja menamakan beberapa contoh, namun aku khuatir ia terlalu peribadi dalam kehidupan suami isteri.

Cukup aku berikan satu contoh ini, yang nampak remeh tetapi sebenarnya ada isinya: aku dan isteri pergi ke Genting Highland dan bermain hampir segala permainan yang ada di situ sampai penat tak ingat dunia. Bayangkan isteri aku mampu menaiki permainan Space Shot (sebatang tiang tegak dengan 3 buah kerusi di setiap penjurunya yang meluncur ke bawah dengan laju sampai sesiapa yang menaiki rasa seolah-olah sedang jatuh daripada bangunan) sebanyak 2 kali, dan kami menaiki semua roller coaster yang ada di Genting Highland, selagi ada dan selagi buka. Kami pergi pada 30 Oktober 2010, ketika kebanyakan kaki bola sibuk menonton perlawanan akhir bola sepak Kelantan menentang Negeri Sembilan - iaitu 5 bulan selepas kami bernikah.

Bayangkan jika isteriku disahkan mengandung dalam 2-3 bulan selepas bernikah, aku yakin bahawa aku takkan berpeluang untuk pergi ke Genting Highland seperti itu. Belum sempat nak menikmati hidup berdua, sudah bertiga pula - ringkasnya begitu. Namun jangan pula salah sangka bahawa aku membuat kenyataan bahawa aku tak bersyukur akan kehadiran orang ketiga pula.

Sepanjang 6 bulan hidup berdua, bermacam-macam aktiviti telah kami lakukan bersama - ke hulu ke hilir bak pasangan bercinta - sememangnya kami bercinta dan mengenali dan memahami erti cinta suami isteri hanya selepas bernikah.

Jadi, kembali kepada isu rezeki, satu perkara yang aku ingin kongsikan - hargailah setiap saat yang kita lalui dan anggaplah ia sebagai rezeki buat masa itu. Dalam masa yang sama, jangan pernah kenal erti jemu untuk mendapatkan rezeki yang lain pula. Usaha dan doa. Kemudian tawakal. Technically speaking, mudah. Namun, hidup ini bukanlah segala-galanya berbentuk teknikal. Ingat, Allah itu wujud dan Dia Maha Kuasa!

Monday, December 13, 2010

Perasaan Ini Tidak Dapat Diungkap dengan Kata-kata


"Sebenarnya, sebelum berkahwin lagi Abang dah terfikir-fikir - macam mana la agaknya nanti kalau aku ada anak sendiri? Apa perasaannya?

Tapi itu fikiran pada masa tu la. Cuma terfikir-fikir macam tu. Takde la serius mana.

Masuk belajar degree pula, Abang belajar bab-bab kitar haid perempuan, macam mana perempuan mengandungkan bayi, kemudian melahirkan dalam subjek Physiology. Seronok belajar semua tu. Mungkin sebab memang Abang minat belajar biologi kot.

Tapi itu fikiran pada masa tu la. Cuma terfikir-fikir macam tu. Takde la serius mana. Kalau serius pun, untuk peperiksaan sahaja.

Lepas tu kita kahwin. 6 bulan takde hasil. Ini membuatkan Abang fikir betapa besarnya kuasa Allah tu. Dia nak jadi, jadi. Tak nak jadi, tak jadilah. Apa yang kita belajar dulu, tak semestinya menjadi sebijik-sebijik. Ada Kuasa yang menentukan. Yang kita belajar tu tak semuanya berlaku pada semua orang.

Rezeki masing-masing. Ada yang kahwin terus melekat. Kita pula kena tunggu 6 bulan, baru melekat. Takpe la. Sekurang-kurangnya Abang diberikan peluang merasai nikmat menunggu. Ya, menunggu juga ada nikmatnya dan Sayang faham akan maksud Abang kan?

Abang rasa Abang dulu kurang diterapkan la dengan input-input macam ni. Bahawa kuasa Allah tu lebih besar daripada segala-galanya. Abang ingatkan ia semudah itu. Tapi sebenarnya, tak...

Tapi sekarang, alhamdulillah kita dah sampai peringkat ini, Abang sangat-sangat bersyukur.

Dulu main fikir-fikir je. Dulu belajar dalam kelas je. Hujung semester, jawab exam, dapat gred. Sekarang, Abang ada peluang untuk mengamalkan apa yang Abang belajar dulu. Alhamdulillah Abang diberikan kesempatan untuk merasai saat ini.

Indah Sayang, indah.

Tak sabar-sabar Abang nak tunggu baby dalam perut ni membesar dan lahir dengan sihat. Dan kemudian Abang nak pegang dia - inilah anak aku.

Ya Allah Kau Maha Besar!

Insya Allah... Lagi 7 bulan ye Sayang. Abang tahu, Sayang kuat!"

Isteriku tidur dalam senyuman.

Wednesday, December 08, 2010

Tak Boleh Kepoh-kepoh Pasal Mengandung - Bahagian 2?

Seperti biasa, semua artikel yang kutulis akan dibawa masuk ke Facebook secara automatik. Artikel yang sebelum ini pun begitu. Lalu sengaja aku tag beberapa orang yang aku kenali untuk mendapatkan pandangan mereka. Tak kurang juga yang sudi berkongsi pandangan masing-masing.

Lihat di sini untuk komen-komen lanjut mereka.

Setelah mendapatkan komen-komen mereka, aku cernakan dan aku ulas pula:

Terima kasih atas semua komen. Dalam hal ini, saya percaya zaman berubah, jadi pendekatan menangani pelbagai perkara juga kena berubah, termasuklah bab pantang larang.

Jika dahulu tiada alat untuk mengesahkan kehamilan seawal bulan pertama, kini ada. Dan ketepatannya dikatakan 99%. Oleh sebab itu, wujud ketakpastian pada zaman dahulu jika seseorang isteri mengandung. Mereka perlu menunggu beberapa bulan hingga perut sudah memboyot untuk betul-betul pasti bahawa mereka mengandung. Maklumlah, ada sahaja wanita yang kitaran haidnya tidak tetap. Takpun, jumpa doktor untuk mengesahkan.

Tapi dalam konteks zaman sekarang, inovasi yang membantu mengesahkan kehamilan boleh sahaja dibeli di farmasi. Dengan beberapa kali ujian, jika akhirnya disahkan hamil, boleh lah pasangan suami isteri itu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk memastikan bayi yang dikandungkan akan selamat dilahirkan.

Kita kena kembali kepada niat. Dalam hal ini, saya memasang niat untuk meminta doa daripada semua yang sudah maklum mengenai kehamilan isteri saya. Tiada niat yang tidak baik.

Jika isu seperti bayi takut tak survive, takut malu kalau gugur, tak tahu kekuatan diri dan sebagainya dibangkitkan, itulah antara perkara yang boleh "dipatahkan" dengan doa. Berdoalah yang baik-baik, insya Allah semuanya selamat. Si bakal ibu yang mengandung boleh mengambil langkah berjaga-jaga agar bayinya sihat di dalam kandungan, si bakal bapa boleh menjadi orang paling hampir untuk menjadi pembantu kepada isterinya sepanjang proses kehamilan, dan orang-orang lain yang mengetahui, apa yang boleh mereka lakukan?

Ya, mendoakan bakal ibu dan bakal bapa agar semuanya baik-baik belaka. Selain itu, boleh juga berkongsi-kongsi nasihat, petua, tips dan sebagainya yang berasaskan konteks zaman sekarang. Jika ada yang sudah tidak relevan, biarkan ia ditelan zaman. :)

Namun begitu, saya tidak membuat kenyataan bahawa kita perlu bersikap kurang ajar dengan orang-orang tua yang memaklumkan kepada kita pelbagai pantang larang, itu dan ini. Dengar, dan fikir. Jika ada yang sesuai dengan konteks zaman sekarang, amalkan. Jika tidak, ucapkan terima kasih dan senyum sahaja. Jaga hati mereka. :)

Tuesday, December 07, 2010

Tak Boleh Kepoh-kepoh Pasal Mengandung?

Rakanku menghantar mesej di Facebook:
wei aku nak share apa yang mak aku pesan kat aku psl pregnancy..terpk nak share dgn hg..

mak aku pesan kat aku jangan ceta kat org psl perkembangan baby atau mak baby selagi org tak tanya..biar depa tau sendiri..

klu nak ceta gak tunggu 3 4 5 6 bulan macam tu.

sorry wei klu aku tersilap kata..
=)
Lalu kubalas:
oh ye ke.. thanks for sharing. takde plak mak abah aku pesan macam tu. well.. masing2 la kan :)

thanks2 :D
Dia balas pula:
mak aku warga kuno sket wei..banyak pantang larang dia..hahaha...
Lalu aku jelaskan caraku:
Oh begitu... Semalam pas dapat mesej ko, aku ada refer kat mak aku jugak. Katanya betul la tu, tapi ikut orang la~

Aku bukannya apa. Niat aku cuma nak minta semua yang tahu tolong doakan kami agar semuanya baik2 belaka. Last time masa aku tak sangkut2 lagi dapat anak ni, pun aku kepoh2 gak minta diorang doakan. Sekang dah sangkut, pun masih mengharap doa daripada mereka. Itu antara cara aku shape the way I use my FB. Huhu..

Aku banyak tak tahu sebab dalam our immediate family, kitorang la yang pertama nak dapat anak, so tak pengalaman sangat. Kena banyak bertanya kepada orang ni.

Jika ada yang kurang senang, aku minta maaf banyak-banyak. Tapi inilah caraku. Tapi bukan bermakna aku tak telap teguran. :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...