Friday, March 12, 2010

Ulasan Buku: Gadis Oren


Benar, ini buku ketiga yang saya ulas dalam masa seminggu. Ketiga-tiganya daripada genre yang berlainan.

Judul buku: Gadis Oren
Penulis: Jostein Gaarder
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM)
Harga: RM20 (Semenanjung Malaysia), RM25 (Sabah/Sarawak)

Apabila sesebuah novel dinamakan dengan perkataan yang menerangkan jantina seperti gadis, lelaki dan jejaka, kita cenderung untuk membuat jangkaan awal akan isi novel tersebut - cinta. Apatah lagi jika kulit depannya terlukis gambar manusia, lebih-lebih lagi perempuan.

Namun, menerusi novel tulisan Jostein Gaarder ini, jangkaan tersebut ada sedikit sebanyak benarnya namun itu bukanlah isi utamanya. Novel yang menggunakan sudut pandang pertama ini banyak menerangkan emosi dan fikiran penceritanya, Georg Røed (Georg) tatkala dia membaca surat ayahnya, Jan Olav (Jan) yang meninggal dunia ketika Georg masih kecil. Malah sebenarnya sebahagian besar kandungan novel ini ialah kandungan surat tersebut. Georg hanya berpeluang membaca surat itu ketika umurnya 15 tahun.

Isi surat tersebut banyak mengejutkan Georg termasuklah penceritaan ketika bapanya mula berkenalan dengan ibunya yang akhirnya membawa ke alam perkahwinan dan melahirkan Georg. Namun, kisah perkenalan dan percintaan mereka bukanlah kisah cinta biasa kerana disulami dengan beberapa adegan yang nostalgik dan ada kalanya sadis. Isu cemburu seorang lelaki terhadap wanita yang dicintai secara halus diceritakan yang tidak mudah untuk pembaca perasan melainkan pembaca menghabiskan membaca novel ini.

Selain itu, ada beberapa perkara yang ditulis oleh Jan yang agak mengejutkan Georg kerana tulisan tersebut seolah-olah merentasi masa, dan seolah-olah mendiang ayahnya tahu apa yang beliau akan lakukan pada masa depan.

Banyak nilai yang boleh dicedok daripada novel yang sudah diadaptasikan ke dalam bentuk filem ini. Antaranya ialah kasih seorang ayah kepada anaknya, nilai yang kuat kaitannya dengan pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya, dan yang paling penting ialah kejujuran dan kesetiaan.

Namun, memandangkan novel ini ditulis daripada perspektif seorang yang bukan Islam, saya sarankan supaya pembaca tidak terlalu terpengaruh dengan ideologi yang cuba disuntik menerusi penceritaan dalam novel ini. Pembaca (khususnya yang beragama Islam) harus bijak memahami ideologi dan memilih mana-mana yang selaras dengan fahaman seorang Muslim.

Apa kaitannya semua ini dengan gadis oren? Dan siapakah gadis oren yang dimaksudkan? Paling penting, mengapa oren?

Jawapannya ada dalam novel ini.

4 comments:

Frodo Baggins said...

>>____<<

tetiba rasa nak baca buku ni

Unknown said...

Frodo:

Silakan ^^

CikSelampit said...

aku nak khatamkan baca satu novel Melayu ni, tapi susah nau. Memang ingat nak wat book review, tapi dah 2 minggu tak abes-abes lagi..hadoi.

qi said...

sound interesting

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...