Lantas terjengah dalam minda; kita ini menyambut perayaan apa sebenarnya? Aidilfitri atau Tahun Baharu Cina? Hari Raya Puasa atau Deepavali? Maaf jika kau tersalah tafsir. Bukan niatku menyinggung kiranya kau bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam. Tetapi mahu kucuit hati-hati Melayu yang terleka.
Mungkin mereka bangga menghabiskan duit dalam perkara-perkara yang tidak menyumbang kepada kemaslahatan diri dan masyarakat, malah bangga mengorbankan wang dan keselamatan untuk kenikmatan yang bernilai sekadar sebuah letupan. Benar. Letupan itu menyebabkan rembesan adrenalin berkocak-kocak dalam aliran darah mereka. Sebab itu mereka suka. Tapi apa yang lebih boleh diperoleh daripada sekadar itu? Ada apa-apa faedah?
Pelita dipasang menyinari ruang yang terhad. Sinisnya, di atas pelita yang menyala malap, ada pula lampu kalimantang terang benderang. Lalu aku persoalkan kerelevanan fungsi pelita diletakkan di situ. Mungkin dahulu pelita dipasang untuk memudahkan laluan pengunjung yang melawat rumah untuk beraya. Tetapi budaya itu masih diteruskan sehingga sekarang tanpa ada usul periksa tujuan ia dipacakkan lalu menyumbang kepada sebuah lagi jalan ke arah pembaziran.
Aku bukan anti-budaya. Malah bukan juga pembenci bangsa. Tetapi aku bencikan kepincangan dalam masyarakat yang berbuat sesuatu tanpa sebab yang kukuh, apatah lagi jika bertentangan dengan agama. Jika diluah mati agama, ditelan mati budaya, aku lebih rela menelan apa-apa yang perlu. Biar terluah perjuangan menegakkan kesyumulan agama yang jelas lebih relevan dan malar segar.
Wahai kawan-kawan, tidak kira sama ada kau terguris dengan entri ini atau tidak, mahu kuhulur salam kemaafan sempena Aidilfitri yang sedang kita raikan. Tolong wujudkan suasana keraian yang lebih bersesuaian pada masa akan datang.
Selamat hari raya Aidilfitri
Maaf zahir dan batin.
No comments:
Post a Comment