Saturday, June 14, 2014

Zahirkan Keprihatinan

Setelah aku mumaiyiz dan baligh, inilah kali pertama aku diuji dengan sakit begini. Bermula dengan pembedahan, kemudian ada jangkitan pula. Dalam masa tidak sampai dua minggu, dua kali aku keluar masuk wad.

Sebelum aku dibawa ke hospital oleh isteriku lagi, aku sudah menulis di Facebook tentang keadaan aku. Aku sakit perut. Kemudian aku maklumkan yang aku akan dibedah. Seterusnya seterusnya seterusnya... sehinggalah aku kini masuk wad kembali untuk mencuci jangkitan pada luka pembedahan.

Sengaja aku maklumkan perkembangan diri aku di Facebook. Laman sosial itu sesuai dijadikan blog mikro.

Maklum balas daripada rakan-rakan Facebook pula segera. Ada yang menekan "like", ada yang menyampaikan doa, ada yang bertanya lanjut menerusi mesej peribadi. Semuanya membuatkan aku terharu. Mereka sanggup meluangkan sesaat dua dalam hidup mereka untuk memberi perhatian kepada tulisan aku di Facebook. Yang lebih membuatkan aku terharu, ada yang menyampaikan doa dan bertanya lanjut. Terpancar jelas keprihatinan mereka menerusi ayat-ayat yang mereka sampaikan.

Selepas (atau lebih tepat, sepanjang, kerana aku masih di wad) aku melalui pengalaman ini, sejujurnya aku dapat rasakan yang aku berasa tenang dan senang apabila membaca kata-kata yang baik dalam setiap tulisan aku di Facebook. Doa, nasihat, motivasi, semuanya kubaca. Jika sempat, aku tekan Like pada komen mereka. Kadangkala terlalu banyak komen sehingga aku terlepas pandang yang aku belum tekan Like.

Hal ini memberi pengajaran kepada aku. Sebelum ini, aku sebenarnya sentiasa mengikuti perkembangan rakan-rakan Facebook. Ada yang sakit, ada yang kehilangan orang yang mereka sayangi, ada yang terlibat dalam kemalangan, dsb. Kebanyakannya aku sekadar ambil tahu. Tidak pula aku panjangkan usaha aku untuk menyampaikan doa mahupun menghantar mesej peribadi. Aku hanya berdoa dalam hati.

Aku fikir semula: Adakah orang yang ditimpa musibah itu akan tahu jika aku sekadar berdoa dalam hati? Cukupkah sekadar berdoa di dalam hati tanpa ada penzahiran doa itu kepada orang yang ditimpa musibah itu? Dalam ayat teknikalnya, adakah komunikasi itu berkesan jika sekadar disampaikan oleh hati dan didengar oleh hati yang sama?

Orang menulis berita duka kerana mahu orang lain tahu tentang keadaannya. Jika bukan itu tujuannya (walaupun tidak semestinya tujuan utama), mereka tidak akan ceritakan apa-apapun di Facebook. Selepas berita itu tersebar, terserahlah. Sama ada tidak mahu kisah langsung (sekadar skrol untuk melepasi paparan pada skrin), sekadar bersimpati dan berdoa dalam hati, menekan "Like", atau menulis komen yang mengandungi kata-kata semangat, nasihat, dan doa. Lebih baik, ziarahlah orang yang ditimpa musibah itu jika tiada halangan geografi dan logistik.

Laman sosial sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk menyampaikan kata-kata. Kata-kata mewakili diri. Jika kata-kata tidak diungkapkan, mana mungkin orang lain sedar akan kehadiran kita? Jika kata-kata sekadar dalam hati, mana mungkin sampai komunikasi kepada orang lain? Kita sama-sama manusia, perlu berkomunikasi dengan kezahiran.

Tidak sama seperti berkomunikasi dengan Allah, yang boleh dilakukan melalui hati. Jika dalam hati pun, kita perlu mengungkapkannya dengan jelas. Sebenarnya ungkapan itu bukannya untuk Allah. Tetapi untuk diri sendiri. Supaya kita tahu dan faham apa sebenarnya yang kita mahu daripada-Nya. Allah itu sudah sedia sifat-Nya Maha Mengetahui. Cuma Dia mahu hamba-Nya berusaha mengungkapkan apa yang mereka mahu dengan jelas. Adakah dengan Allah kita berdoa, "Ya Allah, Kau tahu apa yang aku nak. Kurniakanlah semua yang aku nak tu ya." Jika beginilah ungkapannya, pasti yang berdoa itu pun tidak tahu apa yang dia mahukan sebenarnya.

Berbalik tentang penzahiran rasa simpati, kita pasti ada tahap-tahap tertentu tentang keprihatinan orang tertentu yang kita kelaskan dalam kategori tertentu. Bergantung pada tahap ikatan hubungan antara kita dengan mereka. Sudah pastinya kita mengharapkan keprihatinan tertinggi daripada ahli keluarga terdekat: pasangan hidup, ibu bapa (termasuk mertua), adik-beradik, dan anak-anak. Kemudian jaringannya lebih besar. Ipar duai, saudara-mara, kawan karib, rakan sekerja, rakan biasa, seterusnya dan seterusnya hinggalah merangkumi rakan Facebook.

Rakan Facebook, malah yang belum pernah bersua muka pun mengambil masa dan usaha untuk menyampaikan doa. Itu pun sudah buat aku rasa terharu. Apatah lagi yang berusaha datang menziarahi aku di wad. Mahu dijadikan cerita, ibu yang baru bersalin belum cukup seminggu pun sanggup menapak ke wad untuk berjumpa dengan aku. Sungguh aku terharu!

Keprihatinan yang dizahirkan seperti inilah yang menyebabkan kita tahu ada manusia yang mengambil berat tentang diri kita. Bukan hanya ketika dalam suka, malah dalam duka juga ada yang mahu berkongsi rasa.

Mungkin ini alasan, tapi itulah halnya. Sibuk. Sibuk sehingga tak mampu nak buat apa-apa walaupun sekadar menekan butang "Like". Jika sibuk, mengapa masih ada masa buka Facebook?

Ouch, memang terasa ditampar pada muka aku. Mungkin juga ini hikmahnya aku diuji dengan masalah kesihatan seperti sekarang ini. Supaya aku lebih bersifat empati.

Teringat pula pada satu lagu ini. Cukuplah ia sebagai penutup tulisan ini. Dua rangkap akhir lirik lagu ini amat berkaitan dengan harapan aku daripada tulisan ini.


Friday, May 30, 2014

Ulasan Buku "Ralat"

Tajuk buku: Ralat
Penulis: Alias Ismail
ISBN: 978-967-430-442-3
Harga: RM20.00
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Nombor rujukan tempahan (pembelian secara dalam talian): 2407

Sumber gambar: Laman sesawang ITBM

Pada awalnya saya menyasarkan untuk mengulas buku yang mendapat tempat dalam pertandingan anjuran ITBM. Namun, entah kenapa, buku-buku berkenaan kurang dekat dengan hati saya. Mungkin kerana, contohnya, buku D.U.B.L.I.N lebih memeningkan saya berbanding memberi ketenangan. Faktor masa yang terhad yang saya peruntukkan khas untuk mendapatkan ketenangan selepas bergelut dengan kerja dan tarikh akhir tugas menuntut saya mengkemudiankan buku-buku yang sedemikian, lalu saya memilih untuk mengulas buku lain.

Ketenangan. Itulah yang saya peroleh ketika menyelusuri setiap satu cerpen dalam kumpulan cerpen remaja berjudul "Ralat" tulisan Alias Ismail. Pada usia saya 29 tahun kini, saya dapati setiap satu cerpen mendatangkan kepuasan, dan menjentik pemikiran dewasa saya. Namun sebaik menyemak semula bahawa koleksi cerpen ini dipakejkan sebagai cerpen remaja, saya kurang setuju jika dikatakan semua cerpen tersebut sebaik-baiknya disasarkan kepada golongan tersebut.

Cerpen remaja pada definisi asas yang saya fahami perlu (1) memberi fokus kepada remaja dari segi jalan cerita dan pengajaran, (2) mudah difahami oleh remaja agar pantas mereka mengambil iktibar. Jika yang membacanya bukan pun orang dalam golongan remaja, mereka sudah tentu dapat mengenal pasti dengan jelas dan setuju bahawa kumpulan cerpen remaja mempunyai kelas dan pendekatannya yang tersendiri.

Saya tidak pasti jika remaja dapat rasakan apa yang saya rasa sebaik tamat membaca setiap satu cerpen. Atau, jiwa saya yang sebenarnya masih remaja walhal sudah beranak dua? Pada hemat saya, sebaik-baiknya kumpulan cerpen ini dipakejkan sebagai kumpulan cerpen umum, tanpa perkataan "remaja" yang cuba ditetapkan pada kumpulan cerpen nukilan Alias Ismail ini.

Namun, kumpulan cerpen ini bukanlah gagal sepenuhnya dalam menyampaikan aura keremajaan yang sepatutnya ada pada cerpen remaja. "Servis Gelanggang Pasir" merupakan contoh terbaik bagi mewakili cerpen remaja. Berkisar tentang bapa yang mengajar anak-anaknya bermain badminton, cerpen ini secara halus memasukkan sudut-sudut teknikal tentang gelanggang dan permainan badminton. Bagi remaja, maklumat teknikal yang disulam dengan teliti di dalam cerpen sebegini sudah pasti mendorong mereka untuk berfikir dan membayangkan kaedah badminton dimainkan. Bukan sekadar bermain, tetapi bermain untuk mencapai sasaran, iaitu kemenangan dan kemajuan diri. Pengajaran seperti inilah yang perlu diterapkan kepada pembaca dalam cerpen remaja.

Tidak adil jika ulasan ini tidak turut menghuraikan contoh cerpen yang kurang sesuai bagi bacaan remaja. Seawal cerpen pertama berjudul "Impian Tak Sudah", saya fikir ia lebih sesuai untuk bacaan golongan yang lebih tua daripada remaja. Kisah tentang kejujuran dan kecurangan dalam percintaan digarap pendek selepas jalan cerita melewah-lewah tentang hal yang tiada kaitan sangat pun dengan isi sebenar cerpen itu. Kumpulan cerpen remaja yang baik perlu menarik perhatian remaja untuk terus membaca cerpen-cerpen seterusnya seawal pada cerpen pertama. Inilah faktor penolak yang mungkin akan menjejaskan kemungkinan buku ini akan digemari remaja dan penggemar karya remaja yang tidak semestinya masih remaja.

Saya turut tertarik untuk mengulas berkenaan cerpen yang dijadikan judul buku kumpulan cerpen ini. "Ralat" adalah antara 10 cerpen yang terkandung di dalam buku ini. Cerpen itu membawa gagasan yang mendalam berkenaan nasib bahasa Melayu kini dan pada masa depan dengan wujudnya dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sekiranya watak Kamaruzzaman diubah kepada watak yang lebih muda, iaitu yang lebih sesuai dengan selera pembaca dalam kalangan remaja, pasti lebih jelas sebab bagi kumpulan cerpen ini dipakejkan sebagai kumpulan cerpen remaja, malah dijudulkan sebagai "Ralat".

Dari sudut persembahan buku, saya sememangnya tertarik dengan falsafah tersorok yang cuba disampaikan pada kulit depan buku ini. Penyumbat sinki yang bersambung pada buku sudah pastinya membuat kita tertanya-tanya maksud di sebaliknya. Bagi orang yang mahu berfikir, pasti mahu mencari jawapannya di dalam buku ini. Selain itu, yang uniknya tentang karya Alias Ismail ini ialah beliau kerap menggunakan tanda baca semikolon (;). Saya tidak pasti sama ada beliau mahu menjadikan cara penggunaan yang sedemikian sebagai gaya tulisan beliau, atau beliau sengaja melanggar konvensyen penggunaan tanda baca itu. Seterusnya, kesilapan teknikal dari sudut ejaan dan atur huruf yang amat sukar ditemukan dalam buku ini terus mengangkat mutu penerbitan ITBM; oleh itu, tahniah saya ucapkan.

Turut terkandung dalam buku ini ialah cerpen "Donat Besar", "Amanat", "Tuan Imam", "Tetamu Subuh Limun", "Nila Nan Setitik", "Kail Batang Salak", dan "Nafas Cinta Kekasih". Tanpa niat mahu terus mengulas kesesuaian buku ini dipakejkan sebagai kumpulan cerpen remaja, saya sebenarnya dapat menikmati setiap satu cerpen yang dimuatkan di dalamnya. Sepertimana yang tertulis pada kulit belakang buku ini bahawa pengarang "berjaya menghidangkan segugus buah fikiran yang ranum dan bermanfaat untuk dinikmati pembaca." Saya setuju dengan petikan ini, malah, seperti yang saya sebutkan awal tadi, saya mendapat ketenangan yang sukar saya ungkapkan selepas tamat membaca kesemua sepuluh cerpen.

Tahniah ITBM kerana menerbitkan "Ralat" sebagai satu lagi bukti kematangan dan kesungguhan dalam memartabatkan bahasa Melayu dan sastera bahasa Melayu melalui penerbitan kumpulan cerpen sebegini. Moga segala usaha demi memastikan kelangsungan bahasa kebangsaan Malaysia ini terus berkekalan dan akhirnya membuahkan hasil yang diharapkan.

Muhammad Zaki Ramli
azzakingompol@gmail.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...