Mari letakkan diri kita ke dalam skop ini: Diri kita sebagai Muslim yang menggunakan Facebook.
Kita semestinya tahu, adalah salah apabila kita menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Mari kecilkan lagi skop perbincangan ini kepada yang pertama: Menghalalkan yang haram.
Umum maklum bahawa di dalam Facebook terdapat banyak aplikasi yang seronok untuk dicuba dan diterokai termasuk kuiz, permainan atas talian, pemberian hadiah dan sebagainya. Facebook sudah menjadi lanjutan kepada alam realiti kita yang dibawa ke dalam alam maya apabila kita boleh melakukan bermacam-macam perkara termasuk meluahkan perasaan, berkongsi gambar dan video, bertukar-tukar mesej, dan sebagainya.
Namun, dalam limpahan aplikasi yang terdapat di dalam Facebook, tidak kurang juga yang menyimpang daripada ajaran agama.
Seperti yang hangat dalam perbincangan saya bersama-sama rakan-rakan di Facebook baru-baru ini mengenai aplikasi-aplikasi Fortune Teller Genius dan Ahli Nujum. Berdasarkan namanya sahaja sudah jelas melihatkan pembabitan aktiviti penilikan nasib tetapi dalam versi maya!
Kita sudah biasa mendengar permainan Spirits of the Coin yang memerlukan pemain-pemainnya bertanya kepada makhluk halus yang menggerakkan syiling kepada abjab-abjab tertentu untuk mengetahui nasib masa hadapan kita. Kita juga tahu sindiket tukang tilik yang konon-kononnya boleh membaca nasib seseorang pada sekilas pandangan pada tapak tangan orang yang ingin nasibnya ditilik. Si tukang tilik memperoleh sumber pendapatannya melalui kebolehannya menilik nasib manusia. Tetapi dalam hal yang terbaharu ini, kita dikejutkan dengan kemudahan untuk menilik nasib secara percuma: daftar masuk sahaja ke dalam Facebook, klik pada aplikasi tilikan itu dan masukkan soalan yang anda ingin tahu jawapannya dan nah! Anda boleh dapat tahu nasib anda baik ataupun tidak, ataupun apa yang akan berlaku esok dan lusa!
Ada yang mempertahankan tindakan mereka yang terlibat dengan aplikasi tersebut dengan mengatakan ia hanya sekadar untuk suka-suka. Tak perlu ambil serius, malah belum tentu mereka percaya dengan apa yang diutarakan dalam hasil tilikan tersebut. Jadi, jika begitu, apa rasionalnya anda menggunakan aplikasi itu pada mulanya?
Analogi yang suka saya berikan untuk membidas alasan-alasan tersebut;
Anda membeli nombor ramalan kemudian anda sematkan dalam hati: Alah, aku beli nombor ni untuk suka-suka sahaja. Kalau kena, aku untung. Kalau tidak, sekadar mahu memuaskan hati sahaja. Lagipun ia hanya sekadar nombor yang dicabut. Jika nomborku dicabut, nasibku baik. Tak perlu ambil serius benda ni la.
Persoalannya: bukankah berjudi itu haram? Jadi, adakah berbaloi menggunakan alasan suka-suka untuk menghalalkan tindakan anda?
Isu pokoknya ialah apa-apa yang haram adalah tetap haram. Semakin canggih teknologi yang ada di dunia sekarang, semakin berubah bentuk keharaman itu. Dalam isu tilik menilik, jika dahulu tukang tilik hadir dalam bentuk manusia, pada zaman sekarang tukang tilik hadir dalam bentuk pautan berenjinkan kod-kod berasaskan nombor-nombor 0 dan 1!
Saya amat sedih apabila ada yang mempertahankan tindakan salah mereka apabila ditegur. Malah saya dicadangkan supaya menutup akaun Facebook saya jika tidak sukakan aplikasi tersebut.
Saya suka mengambil pendirian bahawa Facebook ialah lanjutan daripada kehidupan dalam alam realiti. Kita terdedah kepada banyak perkara baik dan buruk dan ia terserah kepada diri sendiri untuk memilih jalan hidup masing-masing. Begitu juga di dalam Facebook; ada yang baik dan ada yang buruk. Apa-apa yang buruk itu saya khususkan kepada apa-apa yang bertentangan dengan agama dan sudah tentu antaranya ialah aplikasi tilik nasib.
Lebih lanjut lagi, jika dalam alam realiti kita boleh menjalankan dakwah, mengapa tidak di Facebook juga, bukan? Justeru, jika ada kepincangan dalam penggunaan Facebook, sama-samalah kita saling menegur dan mengingatkan. Tundukkan ego dan dengarlah nasihat yang berguna. Tidak perlu menunggu diri dipanggil ustaz ataupun ustazah baru kita berani membuka mulut, tetapi tanganilah kepincangan sedaya upaya kita. Beranilah bersuara jika kita yakin kita benar. Bukan isu menang atau kalah ingin dibangkitkan, tetapi isu mengajak ke jalan yang benar yang perlu diperjuangkan.
Hakikatnya, apa-apa sahaja yang berlaku dalam alam realiti boleh dibawa ke alam maya. Internet misalnya yang pada asasnya bagi saya bersifat murni tetapi dicemari dengan bermacam-macam laman web yang pincang dan songsang. Tapi, dalam kepincangan dan kesongsangan itu sebenarnya internet mengandungi lebih banyak kebaikan dan kesenangan yang boleh diperoleh dan diaplikasikan untuk kita sebagai Muslim dasawarsa ini. Gunakanlah yang baik dan tinggalkanlah yang buruk. Mudah kan? Facebook pula ialah subset internet. Sifirnya masih sama.
Nasihat akhir saya bagi pengguna-pengguna Facebook, anda yang membentuk baik buruk penggunaan laman interaktif itu. Fikir berkali-kali apabila anda mahu terlibat dalam mana-mana aplikasi pun. Timbangkan faedah dan manfaat dan tinggalkan apa-apa yang tidak menyumbang kepada kemaslahatan diri.
Betul, katakanlah: Daripada aku main Facebook, baik aku baca al-Quran!

