Aku perhatikan dalam kalangan rakan-rakan aku di Facebook kerap berkongsi artikel-artikel yang berkaitan dengan perkahwinan. Adakah tandanya aku perlu bersedia untuk jemputan akan datang yang akan datang selepuk?
Kebanyakan yang berkongsi itu pula kebanyakannya yang masih bujang, sama ada baru sahaja tamat pengajian mahupun yang masih menuntut. Bagus, maknanya mereka peka dan menjalankan sedikit penyelidikan sebelum mereka insya Allah akan melangkah ke gerbang perkahwinan.
Aku juga sebelum berkahwin mengambil masa untuk menambah ilmu pengetahuan dalam hal-hal berkaitan perkahwinan sebelum aku membuat keputusan nekad berkahwin dengan pilihan hati sejak berumur 18 tahun. Bukannya apa, aku cuma mahu memastikan aku sentiasa berada di lorong yang betul dalam aku mengatur langkahku ke destinasi cinta.
Bermacam-macam artikel yang kubaca. Termasuklah prosedur perkahwinan, tanggungjawab suami dan isteri, hak suami dan isteri, dan bermacam-macam lagi. Bukannya dahulu ketika di UIA tidak pernah belajar, malah semua pelajar UIA dikehendaki mengambil subjek Keibubapaan (Parenting) ketika berada dalam tahun kedua pengajian. Namun, sebenarnya apa yang dipelajari dulu tu, tidak cukup. Oleh sebab itu aku terus dahagakan ilmu dalam hal berkenaan yang aku dapatkan daripada pelbagai sumber - buku dan internet.
Namun, persoalannya, mampukah kita untuk mengamalkan apa-apa yang kita baca tu?
Antara yang aku tertarik ialah artikel mengenai
saranan supaya kita jangan takut kahwin awal, dalam laman sesawang ILuvIslam. Bagus, aku tidak banyak komen mengenai isi artikel itu. Malah aku puji ayah kepada penulis itu kerana membenarkan anaknya berkahwin pada usia muda.
Masalahnya, bagaimana pula dengan ibu bapa lain, adakah sama dengan ayah penulis itu? Jika tidak kerana pernah kecewa, adakah ayahnya akan membuat tindakan yang sama? Aku tak pasti.
Tetapi apa yang cuba suka nak nyatakan ialah, kenali dahulu ibu bapa kalian sebelum kalian sendiri membuat keputusan untuk berkahwin awal. Adakah mereka akan membenarkan anaknya berkahwin awal?
Ada ibu bapa yang begitu merencana perjalanan hidup anak-anaknya. Sudah pasti kalian pernah dengar cerita mengenai ibu bapa yang terlalu inginkan anaknya belajar jurusan tertentu di universiti walhal anaknya tidak berminat? Samalah halnya di sini. Mungkin ibu bapa ada rencana dalam hal perkahwinan anak mereka juga.
Itu baru satu hal mengenai sama ada mahu berkahwin awal ataupun tidak. Belum masuk lagi hal mengenai persediaan dan kemeriahan majlis perkahwinan. Berbalik kepada artikel mengenai berkahwin awal tadi, sungguh bagus ayah penulis artikel itu kerana sudi menerima menantu "dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis." Tidak, aku tidak sinis di sini. Aku betul-betul puji. Tanda pembuka dan penutup kata itu bermaksud aku memetik daripada artikel tersebut. Maklumlah, Eksekutif Penyelidikan di Yayasan Ilmuwan :P
Namun, bukannya semua ibu bapa begitu. Aku sendiri yang sudah melalui proses peralihan daripada bujang kemudian menjadi suami orang ini rasa bukanlah semudah itu untuk memujuk ibu bapa menjadi seperti itu. Benar, dalam aku menyiapkan diriku ke alam perkahwinan, aku tidaklah mengharap sangat majlis yang meriah-meriah, namun apa yang berlaku dalam majlis perkahwinan aku yang lepas, lebih kepada memenuhi permintaan ibu bapaku, dan saudara-mara juga.
Tidak, aku tidak bermaksud mengatakan aku tidak suka dengan apa yang telah dilalui pada 1 Mei 2010 (tarikh nikah) serta 6 dan 13 Jun 2010 (tarikh majlis) lepas. Malah aku sangat bersyukur atas semua yang telah aku lalui.
Cuma aku ingin nasihatkan kepada kalian, jika kalian ada apa-apa pendirian mengenai impian perkahwinan dan impian majlis perkahwinan kalian, berbincanglah elok-elok dengan ibu bapa kalian. Jangan sampai hubungan antara ibu bapa dan anak menjadi renggang hanya kerana perbezaan pendapat dan impian dalam hal ini. Jika ada apa-apa yang menjadi rujukan kalian dalam menetapkan pendirian, kongsikanlah dengan ibu bapa kalian. Fahamkan mereka.
Bersedialah untuk bertolak ansur dengan ibu bapa kalian. Jangan sesekali membelakangkan mereka, malah jangan sesekali menyakiti hati mereka ketika berbincang mengenai hal perkahwinan kalian. Sekiranya kalian berat dengan pandangan untuk mengadakan majlis secara sederhana dan ringkas, jelaskan kepada mereka impian kalian itu. Mungkin "sederhana dan ringkas" kalian lain definisinya dengan "sederhana dan ringkas" sebagaimana yang difahami oleh ibu bapa kalian.
Ingat, ibu bapa kalian juga punya impian. Mungkin mereka gembira melihat ramai orang datang dan menikmati juadah dalam majlis perkahwinan kalian. Mungkin mereka suka menjalankan ibadah dengan cara memberi orang lain makan. Maklumlah, anak kahwin. Bukan selalu. Apa kata kongsikan kegembiraan dengan memberikan tetamu juadah yang enak-enak. Ada juga yang menjadikan majlis perkahwinan anak mereka sebagai medan pertemuan dengan saudara-mara dan rakan-rakan lama. Untuk itu, aku rasa jika ada kemampuan mereka untuk membantu anaknya yang berkahwin dari segi kewangan, seharusnya kita sokong impian mereka. Jemputlah tetamu seramai mungkin. Biar mereka mendoakan kesejahteraan hubungan kalian suami isteri.
Ringkasnya, selagi impian dan permintaan ibu bapa kalian tidak bercanggah dengan Islam, turutkan sahaja. Jangan kerana impian kalian untuk "berkahwin dengan mudah" ataupun berkahwin awal, kalian lupakan restu ibu bapa. Ingat, jangan sampai secuit pun wujud rasa tak redha dalam hati mereka.