Tuesday, August 27, 2013

Menyesal Belajar Sains Bioperubatan?

Sejujurnya memang pernah ada perbincangan sesama rakan sekelas aku dulu: Kau rasa menyesal tak ambil bidang sains bioperubatan?

Dan ya, memang ada dalam kalangan kami yang membuat pengakuan: Ya, aku menyesal...

...tapi! Ada tapi-nya...

Dia berkata, sudah tidak guna untuk memandang ke belakang lagi. Sudah masuk tahun keempat pun. Jadi apa guna menyesal?

Tulisan ini bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan sesiapa. Malah untuk pengetahuan, rakan aku yang membuat kenyataan sedemikian kini sedang berkerjaya yang ada kaitan dengan bidang sains bioperubatan yang diceburinya bersama-sama aku dulu. Tahniah!

Ketika menulis ini, aku tidak lari daripada terfikir bahawa pasti ada yang mempersoalkan: Mengapa Zaki ini sibuk memperkatakan kerjaya dalam bidang sains bioperubatan walhal dia sendiri sudah lari bidang?

Maklumlah, diri aku kini memakai topi dan topeng seorang penterjemah, penyunting, dan pembaca pruf sepenuh masa, yang langsung tidak pernah diajar ketika zaman belajar di universiti dulu.

Apa kaitannya menterjemah dan menyunting semua itu dengan bidang sains bioperubatan?

Jika mahu katakan kaitan langsung antara kedua-dua bidang, memang tiada. Tetapi aku tidak pernah menyesal belajar dalam bidang sains bioperubatan. Langsung tidak pernah.

Lagipun, mengapa perlu menyesal? Malah aku berbangga. Buktinya, sehingga kini aku masih memperkatakan tentang sains bioperubatan dan berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada dengan sesiapa yang memerlukannya. Yang tidak perlukannya, aku tidak beri. Tidaklah aku akan datang kepada orang yang tidak aku kenali kemudian aku kata, "Mahukah Tuan saya ceritakan ilmu sains bioperubatan yang saya ada?"

Itu namanya riyak ilmu. Bukan begitu caranya.

Kadang kala kita amalkan ilmu akademik yang kita ada ini dalam bentuk yang tidak semestinya berbentuk akademik. Dan tidak pula juga semestinya kita perlu --arguably -- hafaz dan ingat segala butiran ilmu akademik hingga mati. Yang penting ilmu yang dipelajari itu kita jadikan asas kepada banyak cabang dan gerbang ilmu yang lain. Jika ada keperluan untuk mendalaminya, dalaminya. Jika mahu mendalaminya semata-mata kerana mahukan ilmu, terpulang. Yang penting ialah, apabila ada ilmu, amalkan. Mengamalkan ilmu juga salah satu cara mendalami ilmu.

Pernah aku berborak bersama sepupu aku berkenaan isteri rakan sekerjanya yang meninggal dunia kerana SLE. Aku tahu SLE itu systemic lupus erythematosus. Ada kaitan dengan masalah imunisasi. Tetapi aku tidak ingat butir-butir lanjut mengenainya. Sepupu aku terkejut apabila aku dapat memberikan nama penuh penyakit itu. Katanya, ramai yang tidak tahu. Nah, sekurang-kurangnya itu yang membezakan antara orang yang belajar sains bioperubatan dan orang yang tidak belajar bidang itu. (Nota: Tidak bermaksud aku memperkecil orang yang tahu apa itu SLE tetapi tidak belajar sains bioperubatan. Ini hanya contoh picisan).

Berbalik kepada isu menyesal atau tidak belajar dalam bidang sains perubatan, sebagai nasihat umum: Apa-apapun bidang yang Allah lorongkan kepada kita dalam hidup yang singkat ini, sebenarnya ia bertitik tolak daripada keputusan-keputusan lampau yang pernah kita buat. Setiap keputusan lampau itu sedikit sebanyak menyumbang kepada siapa diri kita sekarang. Kalaupun nak menyesal, ambillah sedikit masa untuk itu. Sedikit je, satu dua saat sudah. Kemudian pandang ke hadapan dan ke masa depan yang memerlukan keputusan bijak daripada kita sekarang. Fikir apa yang kita boleh buat dengan kapasiti dan kondisi yang kita ada sekarang, dan buat keputusan bijak. Jangan dok fikir memanjang, tapi keputusan ilek~

Orang putih kata, Move on!

Kemas kini Februari 2015: Penulis blog ini melanjutkan pengajian di UIA Kuantan dalam bidang sains perubatan, iaitu bidang yang berkait rapat dengan sains bioperubatan.

Friday, August 23, 2013

Ajak atau Tidak Ajak?

Pernah dalam satu peringkat hidup aku, aku sangat terasa hati kalau kawan aku tak ajak aku ke mana mereka pergi, atau buat.

Kalau pergi berjoging, kawan bilik sebelah diajak, aku tidak diajak. Aku terasa.
Kalau pergi bercuti, kawan sekawasan pejabat diajak, aku tidak diajak. Aku terasa.
Kalau pergi ke majlis perkahwinan, kawan sesekolah diajak, aku tidak diajak. Aku terasa.

Tapi tidak lagi sekarang. Mungkin kerana komitmen pada keluarga melebihi komitmen dalam persahabatan, aku lebih mendahulukan kebajikan ahli keluargaku terlebih dahulu. Sekiranya tidak diajak untuk apa-apa majlis atau aktiviti, aku lebih positifkan diri bahawa itu adalah peluang untuk aku meluangkan lebih masa kepada keluarga.

Mungkin itulah hikmah berkeluarga. Mengentalkan hati lebih daripada sebelumnya. Kerana kita tahu, apabila sudah ada keluarga, mereka sudah pasti menyayangi kita. Rakan, sahabat, kawan? Belum tentu mereka menyayangi kita sebagaimana ahli keluarga kita menyayangi kita.

Namun ini bukan bermaksud aku merendah-rendahkan nilai kasih sayang yang ada pada rakan-rakanku. Cukup sekadar aku nyatakan bahawa dalam seda rmahupun tidak, kita sebenarnya meletakkan tahap kasih sayang kita kepada individu tertentu pada tahap-tahap yang berlainan.

Sunday, August 18, 2013

Sesak Dada

Sebenarnya aku sesak dada
melihat pelbagai utusan mengkhabarkan berita di sana

Sampaikan tak sanggup mahu lihat
anak kecil dibunuh
dibakar

digilis...

*tak sanggup nak teruskan meluah*

*konon di Facebook tak dapat nak luah, di blog boleh. Sekali di blog pun tak boleh.*

DOA

Tuesday, August 06, 2013

IELTS Speaking Test Tip

One of the favourite questions in IELTS speaking test is 'What is your favourite building?'.

As the examination venue is located not far from KLCC, i.e., British Council Malaysia of Jalan Ampang, many candidates will answer that building as their favourite building.

I will answer the question as follows:

"Not many will agree with me. Most people call it house, but I call it home. That is my favourite building, located where I was born, until now it's still in good shape. It is not as tall as the KLCC; it is not as famous as the KL Tower. But it is where I find happiness and serenity with the people I call family."

Wednesday, July 31, 2013

Penterjemah Kuantan

Saya, Muhammad Zaki Ramli, penterjemah sepenuh masa, kini menetap di Kuantan.

Saya menyediakan khidmat menterjemah dari dan ke Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris.

Mohon hubungi saya melalui emel az_zakingompol@yahoo.com.

Mercun: Fikir dahulu sebelum bakar

Allah pasti akan sayang kita kerana masa yang kita ada dalam hidup tidak digunakan dengan sia-sia,
Rasulullah pasti akan sayang kita kerana kita mengelak daripada melakukan mudarat,
Ibu bapa kita pasti akan sayang kita lebih lagi kerana kita mengikut seruan Allah dan Pesuruh-Nya,
Jiran tetangga pasti suka akan kita kerana kita menjaga keharmonian di kawasan kejiranan,
Alam sekitar pasti akan lebih baik untuk kehidupan dan kesihatan diri kita kerana ia tidak dicemar asap dan bunyi bising.

Saturday, July 27, 2013

Ini Tulisan Antimercun

Satu

Jika bingit bunyi motor mat rempit kaumarahkan, mengapa tidak pula kaumarahkan bingit bunyi mercun?

Ya, sebab kau suka main mercun.

Jadi, apa bezanya tahap akhlak kau dan akhlak mat rempit?


Dua

Jika asap jerebu yang menyesakkan nafas membuatkan kaumarah, mengapa asap bakaran mercun yang turut menyesakkan dada tidak pula kaumarah?

Ya, sebab kau suka main mercun.

Jadi, apa bezanya tahap pemikiran kau dan pembawa punca jerebu di seberang sana?


Tiga

Jika kaumarah dengan orang yang melakukan pembakaran terbuka di negeri sini, mengapa tidak kaumarah pembakar mercun yang turut menghasilkan asap di tanah tempat kauberpijak?

Ya, sebab kau suka main mercun.

Mengapa bersikap bias terhadap perkara yang kausuka?

Ada atau tidak dipertimbangkan marah dan suka orang lain?

Wednesday, July 24, 2013

Janji Seorang Suami dan Abah

Sejak bergelar suami, selanjutnya bergelar bapa, aku sangat jarang berjanji kepada dua orang manusia ini - isteriku dan anakku.

Anakku pada usia mencecah dua tahun itu mungkin belum faham apa maksud janji.

Isteri yang lebih tua lebih kurang lapan bulan daripada aku itu seharusnya faham janji itu apa.

Aku tidak ingat bila kali terakhir aku sebutkan begini:

"Sayang, abang janji..."
"Abah janji dengan Zaid, nanti Abah..."

Apabila janji disebut, ia menumbuhkan harapan pada yang diberi janji. Jika yang diberi janji tidak dapat memetik buah janji, kerana janji yang diucap hanya dibajai dengan kata dusta, dibimbangi yang tumbuh bukanlah buah manis penunai janji, tetapi buah racun pencipta benci.

Janji mudah diucap. Ketika janji diucap, pernahkah terfikir sebarang halangan masa depan yang mungkin menidakkan janji ditunaikan?

Jika halangan itu masih dapat ditangani, apakah pula caranya menghalang tugas Izrail mencabut nyawa walhal janji belum sempat menjadi realiti?

Kurangkan berjanji.

Monday, July 22, 2013

Tegur

1. Tegur apabila yang menerima teguran bersedia ditegur.

2. Tegur apabila yang menerima teguran mahu ditegur.

3. Tegur bukan kerana mahu mengubah yang ditegur.

4. Tegur kerana mahu yang ditegur mengubah dirinya sendiri.

5. Jika orang tidak minta ditegur, jangan ditegur.

6. Jika orang tidak bersedia ditegur, jangan ditegur.

Friday, July 19, 2013

Idea Menulis

Aku terdesak. Mencari idea untuk diterjemahkan ke dalam bentuk proposal bertulis. Proposal itu perlu dibawa ke konvensyen penulis yang akan aku hadiri 20 Julai ini.

Baca, baca. Panggilan itu datang. Masuk tandas. Idea pun datang.

Yang aku baca tadi, satu ulasan buku. Kata penulis blog itu, penulis mengadun novelnya selaras dengan ilmu ekonominya. Kisah cinta dari sudut ekonomi.

Aku? Bidang sains perubatan. Oh ya! Ada isu yang sedang aku ikuti. Ia boleh digarap menjadi bahan penulisan.

Tapi, idea itu datangnya ketika aku berada di dalam tandas. Bukan sekadar datang, tetapi siap dihurai dan diulas. Ah, kenapa mesti ketika di dalam tandas?

Kata orang, jika idea datang ketika berada di dalam tandas, idea itu tidak baik.

Kemudian aku tertanya-tanya, benarkah? Ada nas? Siapa kata? Nabi? Firman Allah. Aku tertanya-tanya.

Sebabnya, idea aku itu, pada hemat aku, boleh buat buku laku keras di pasaran. Heh. Berangan. 

Memang pun penulis perlu berangan untuk mendapat idea menulis. Zon angan ini yang aku mahu terjah dan jelajah kembali. Dek kerana asyik dengan dunia penyuntingan dan penterjemahan, sudah lama aku biarkan ruang itu sebegitu.

Aku mahu menulis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...