Tuesday, September 24, 2013

Mereka Doakan Agar Anak-anak Aku Menjadi Anak Yang Soleh

Gambar dan tulisan mengenai anak kedua aku, Muhammad Ziad sudah menghiasi dinding Facebook. Ada rakan berdoa, moga dia dan abangnya menjadi anak-anak yang soleh.

Sebenarnya, doa itu merupakan suatu peringatan kepada diri aku. Jika bukan aku, dengan bantuan isteri yang aku sayangi, yang bertanggungjawab menjadikan mereka anak-anak yang soleh, siapa lagi yang mahu diharapkan?

Ada terdetik rasa tertekan sebaik membaca doa itu, tetapi memilih untuk terus berasa tertekan tidak akan membawa aku ke mana-mana. Aminkan sahaja, dan rangka strategi untuk menterjemahkan doa itu menjadi realiti.

Untuk anak-anak aku menjadi anak yang soleh, aku sendiri perlu menjadi manusia yang soleh, yang taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Aku tidak boleh sekadar bergantung harap bahawa anak-anak aku akan menjadi manusia soleh jika aku sendiri tidak menjadi contoh tauladan untuk mereka.

Untuk aku menjadi manusia yang soleh, apa langkah-langkahnya? Antaranya:

1. Tingkatkan kualiti solat. Solat tiang agama. Perbanyakkan bersolat jemaah di masjid.
2. Perbanyakkan membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya. Sekadar membaca tidak akan membawa aku ke mana-mana. Kefahaman daripada membaca al-Quran itu yang perlu aku utamakan.
3. ...

Dan senarai langkah-langkah akan berlanjutan, tetapi tiada makna jika tidak aku amalkan. Aku tulis dua dahulu, dan aku yakin yang dua itulah yang akan mendorong aku melakukan lebih banyak langkah untuk menjadi manusia yang soleh, dan seterusnya menjadi model untuk diikuti oleh anak-anak aku. Amin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...