Monday, December 20, 2010

Rezekimu Mungkin dalam Bentuk Lain

Aku tak pasti sudah berapa kali aku ulangkan di dalam blog ini bahawa aku dan isteri menunggu selama 6 bulan selepas kami bernikah sebelum isteri aku disahkan mengandung. Mungkin lebih ramai pasangan lain yang menunggu lebih lama lagi, tapi kali ini aku ingin sekali mengulang perkara yang sama dan membincangkannya dari sudut lain.

Jika sebelum berkahwin, soalan wajib yang akan ditanya oleh ramai orang ialah "bila mahu berkahwin?" Bagi orang yang sudah berkahwin pula, soalan wajibnya ialah "Sudah ada kah?"

Di situ aku belajar bahawa memang masyarakat Melayu khususnya yang sudah berusia dan/atau yang berasal daripada kampung berlapik-lapik apabila berbicara mengenai anak. Mungkin mereka faham benar bahawa pasangan yang ditanya mungkin boleh tersinggung sekiranya soalan lancang seperti "dah mengandung belum?" ditanyakan.

Namun, dalam ramai-ramai yang berlapik-lapik ketika bertanya, ada juga yang mungkin kurang mantap kemahiran komunikasinya. Atau mungkin mereka memilih cara bertanya sebegitu dengan niat bergurau, yang mungkin boleh disalahtafsirkan oleh yang ditanya. Bayangkan, contohnya, sejurus panggilan telefon dijawab, soalan pertama yang ditanya bukanlah khabar si pemanggil, tetapi "Oi Yam, kau dah mengandung belum?" Tak manis kan? Mujur sahaja isteriku tidak mengambil hati kerana dia kenal benar dengan rakannya itu.

Aku sendiri, sebelum berada dalam situasi isteri-belum-mengandung-selepas-beberapa-lama-berkahwin, pernah bertanya kepada rakan-rakan yang terlebih dahulu beristeri dengan soalan yang berbunyi, "Ada apa-apa berita gembira kah?" Alhamdulillah sepanjang pengetahuan dan pengamatan aku, mereka boleh menerima soalan seperti itu dan dijawab dengan mesra.

Lain pula halnya apabila aku pula yang berada dalam situasi isteri-belum-mengandung-selepas-beberapa-lama-berkahwin. Dalam beberapa bulan pertama perkahwinan, aku mencari-cari arah untuk mendapatkan cara yang terbaik untuk menjawab persoalan itu - supaya aku tidak menyinggung sesiapa - hati orang yang bertanya, hati isteri aku, dan hati aku sendiri. Nampaknya, dejavu. Apa yang pernah aku tanyakan kepada orang lain, ditanya pula kepadaku. Dan nampaknya cara orang menjawab soalanku dulu tidak membantu untuk aku sendiri menyediakan skema jawapanku.

Sejujurnya, soalan "sudah ada kah?" dan yang sepertinya bukanlah soalan yang mudah untuk dijawab. Aku bukanlah Tuhan untuk memberikan jawapan bila aku akan dikurniakan anak, tetapi yang aku dan isteri mampu lakukan ialah berusaha tanpa jemu. Ok cukup di situ.

Namun, setelah beberapa lama, aku sudah menemukan cara yang terbaik untuk menjawab soalan seperti itu - iaitu dengan cara menjawab dengan jelas bahawa kami belum dikurniakan rezeki seperti itu, dan meminta yang bertanya supaya berdoa semoga rezeki mendapat anak dipercepat. Berterus terang dan jangan segan meminta orang lain mendoakan.

Bukan niat aku untuk memperkecil rezeki anak, tetapi rezeki boleh muncul dalam bermacam-macam bentuk. Kadang kala ia muncul dalam bentuk yang kita sendiri tidak rasakan ia sebenarnya satu bentuk rezeki. Aku mahu sahaja menamakan beberapa contoh, namun aku khuatir ia terlalu peribadi dalam kehidupan suami isteri.

Cukup aku berikan satu contoh ini, yang nampak remeh tetapi sebenarnya ada isinya: aku dan isteri pergi ke Genting Highland dan bermain hampir segala permainan yang ada di situ sampai penat tak ingat dunia. Bayangkan isteri aku mampu menaiki permainan Space Shot (sebatang tiang tegak dengan 3 buah kerusi di setiap penjurunya yang meluncur ke bawah dengan laju sampai sesiapa yang menaiki rasa seolah-olah sedang jatuh daripada bangunan) sebanyak 2 kali, dan kami menaiki semua roller coaster yang ada di Genting Highland, selagi ada dan selagi buka. Kami pergi pada 30 Oktober 2010, ketika kebanyakan kaki bola sibuk menonton perlawanan akhir bola sepak Kelantan menentang Negeri Sembilan - iaitu 5 bulan selepas kami bernikah.

Bayangkan jika isteriku disahkan mengandung dalam 2-3 bulan selepas bernikah, aku yakin bahawa aku takkan berpeluang untuk pergi ke Genting Highland seperti itu. Belum sempat nak menikmati hidup berdua, sudah bertiga pula - ringkasnya begitu. Namun jangan pula salah sangka bahawa aku membuat kenyataan bahawa aku tak bersyukur akan kehadiran orang ketiga pula.

Sepanjang 6 bulan hidup berdua, bermacam-macam aktiviti telah kami lakukan bersama - ke hulu ke hilir bak pasangan bercinta - sememangnya kami bercinta dan mengenali dan memahami erti cinta suami isteri hanya selepas bernikah.

Jadi, kembali kepada isu rezeki, satu perkara yang aku ingin kongsikan - hargailah setiap saat yang kita lalui dan anggaplah ia sebagai rezeki buat masa itu. Dalam masa yang sama, jangan pernah kenal erti jemu untuk mendapatkan rezeki yang lain pula. Usaha dan doa. Kemudian tawakal. Technically speaking, mudah. Namun, hidup ini bukanlah segala-galanya berbentuk teknikal. Ingat, Allah itu wujud dan Dia Maha Kuasa!

2 comments:

F A R H A N A said...

betul zaki..aku setujuuuu sanggatt!!!

aku 8 bulan kosong sewaktu berjauhan dengan suami..mase tuh lah kitorng spent mase betul2 sbg suami istri..

lepas 8 bulan, aku disahkan mengandung and aku dapat tukar sekolah yg lbh dekt ngn husband..mmg rezeki sungguh dan setiap ape yang berlaku, bile ia berlaku pasti ade hikmahnye..

Allah Maha Mengetahui!

nurul aziyana said...

akak pun teringin sngt nk g main kt genting tu..maklum ler xpernah jejak..plan sblm ade ank mesti pergi tp nk buat mcm mane, xsempat..dh prgnant dlu..hahhahaha..akhirnya xmerasa lg la..ni dh ada ank kecil lg la susah..nmpk gaya tunggu anak besar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...