Friday, May 30, 2014

Ulasan Buku "Ralat"

Tajuk buku: Ralat
Penulis: Alias Ismail
ISBN: 978-967-430-442-3
Harga: RM20.00
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Nombor rujukan tempahan (pembelian secara dalam talian): 2407

Sumber gambar: Laman sesawang ITBM

Pada awalnya saya menyasarkan untuk mengulas buku yang mendapat tempat dalam pertandingan anjuran ITBM. Namun, entah kenapa, buku-buku berkenaan kurang dekat dengan hati saya. Mungkin kerana, contohnya, buku D.U.B.L.I.N lebih memeningkan saya berbanding memberi ketenangan. Faktor masa yang terhad yang saya peruntukkan khas untuk mendapatkan ketenangan selepas bergelut dengan kerja dan tarikh akhir tugas menuntut saya mengkemudiankan buku-buku yang sedemikian, lalu saya memilih untuk mengulas buku lain.

Ketenangan. Itulah yang saya peroleh ketika menyelusuri setiap satu cerpen dalam kumpulan cerpen remaja berjudul "Ralat" tulisan Alias Ismail. Pada usia saya 29 tahun kini, saya dapati setiap satu cerpen mendatangkan kepuasan, dan menjentik pemikiran dewasa saya. Namun sebaik menyemak semula bahawa koleksi cerpen ini dipakejkan sebagai cerpen remaja, saya kurang setuju jika dikatakan semua cerpen tersebut sebaik-baiknya disasarkan kepada golongan tersebut.

Cerpen remaja pada definisi asas yang saya fahami perlu (1) memberi fokus kepada remaja dari segi jalan cerita dan pengajaran, (2) mudah difahami oleh remaja agar pantas mereka mengambil iktibar. Jika yang membacanya bukan pun orang dalam golongan remaja, mereka sudah tentu dapat mengenal pasti dengan jelas dan setuju bahawa kumpulan cerpen remaja mempunyai kelas dan pendekatannya yang tersendiri.

Saya tidak pasti jika remaja dapat rasakan apa yang saya rasa sebaik tamat membaca setiap satu cerpen. Atau, jiwa saya yang sebenarnya masih remaja walhal sudah beranak dua? Pada hemat saya, sebaik-baiknya kumpulan cerpen ini dipakejkan sebagai kumpulan cerpen umum, tanpa perkataan "remaja" yang cuba ditetapkan pada kumpulan cerpen nukilan Alias Ismail ini.

Namun, kumpulan cerpen ini bukanlah gagal sepenuhnya dalam menyampaikan aura keremajaan yang sepatutnya ada pada cerpen remaja. "Servis Gelanggang Pasir" merupakan contoh terbaik bagi mewakili cerpen remaja. Berkisar tentang bapa yang mengajar anak-anaknya bermain badminton, cerpen ini secara halus memasukkan sudut-sudut teknikal tentang gelanggang dan permainan badminton. Bagi remaja, maklumat teknikal yang disulam dengan teliti di dalam cerpen sebegini sudah pasti mendorong mereka untuk berfikir dan membayangkan kaedah badminton dimainkan. Bukan sekadar bermain, tetapi bermain untuk mencapai sasaran, iaitu kemenangan dan kemajuan diri. Pengajaran seperti inilah yang perlu diterapkan kepada pembaca dalam cerpen remaja.

Tidak adil jika ulasan ini tidak turut menghuraikan contoh cerpen yang kurang sesuai bagi bacaan remaja. Seawal cerpen pertama berjudul "Impian Tak Sudah", saya fikir ia lebih sesuai untuk bacaan golongan yang lebih tua daripada remaja. Kisah tentang kejujuran dan kecurangan dalam percintaan digarap pendek selepas jalan cerita melewah-lewah tentang hal yang tiada kaitan sangat pun dengan isi sebenar cerpen itu. Kumpulan cerpen remaja yang baik perlu menarik perhatian remaja untuk terus membaca cerpen-cerpen seterusnya seawal pada cerpen pertama. Inilah faktor penolak yang mungkin akan menjejaskan kemungkinan buku ini akan digemari remaja dan penggemar karya remaja yang tidak semestinya masih remaja.

Saya turut tertarik untuk mengulas berkenaan cerpen yang dijadikan judul buku kumpulan cerpen ini. "Ralat" adalah antara 10 cerpen yang terkandung di dalam buku ini. Cerpen itu membawa gagasan yang mendalam berkenaan nasib bahasa Melayu kini dan pada masa depan dengan wujudnya dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sekiranya watak Kamaruzzaman diubah kepada watak yang lebih muda, iaitu yang lebih sesuai dengan selera pembaca dalam kalangan remaja, pasti lebih jelas sebab bagi kumpulan cerpen ini dipakejkan sebagai kumpulan cerpen remaja, malah dijudulkan sebagai "Ralat".

Dari sudut persembahan buku, saya sememangnya tertarik dengan falsafah tersorok yang cuba disampaikan pada kulit depan buku ini. Penyumbat sinki yang bersambung pada buku sudah pastinya membuat kita tertanya-tanya maksud di sebaliknya. Bagi orang yang mahu berfikir, pasti mahu mencari jawapannya di dalam buku ini. Selain itu, yang uniknya tentang karya Alias Ismail ini ialah beliau kerap menggunakan tanda baca semikolon (;). Saya tidak pasti sama ada beliau mahu menjadikan cara penggunaan yang sedemikian sebagai gaya tulisan beliau, atau beliau sengaja melanggar konvensyen penggunaan tanda baca itu. Seterusnya, kesilapan teknikal dari sudut ejaan dan atur huruf yang amat sukar ditemukan dalam buku ini terus mengangkat mutu penerbitan ITBM; oleh itu, tahniah saya ucapkan.

Turut terkandung dalam buku ini ialah cerpen "Donat Besar", "Amanat", "Tuan Imam", "Tetamu Subuh Limun", "Nila Nan Setitik", "Kail Batang Salak", dan "Nafas Cinta Kekasih". Tanpa niat mahu terus mengulas kesesuaian buku ini dipakejkan sebagai kumpulan cerpen remaja, saya sebenarnya dapat menikmati setiap satu cerpen yang dimuatkan di dalamnya. Sepertimana yang tertulis pada kulit belakang buku ini bahawa pengarang "berjaya menghidangkan segugus buah fikiran yang ranum dan bermanfaat untuk dinikmati pembaca." Saya setuju dengan petikan ini, malah, seperti yang saya sebutkan awal tadi, saya mendapat ketenangan yang sukar saya ungkapkan selepas tamat membaca kesemua sepuluh cerpen.

Tahniah ITBM kerana menerbitkan "Ralat" sebagai satu lagi bukti kematangan dan kesungguhan dalam memartabatkan bahasa Melayu dan sastera bahasa Melayu melalui penerbitan kumpulan cerpen sebegini. Moga segala usaha demi memastikan kelangsungan bahasa kebangsaan Malaysia ini terus berkekalan dan akhirnya membuahkan hasil yang diharapkan.

Muhammad Zaki Ramli
azzakingompol@gmail.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...