Saturday, August 27, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian III)

Mujur kedudukan antara hospital dengan rumah mertuaku dekat sahaja. Lebih kurang dalam 2 km sahaja. Cepat-cepat aku berbincang dengan isteri setelah dia dimasukkan ke dalam wad agar aku sempat pulang ke rumah dan berbuka seawal-awalnya.

Terus aku pulang ke rumah mertua. Belum pun sempat kujejak langkah ke dalam rumah, azan sudah berkumandang. Apabila masuk ke dalam rumah, emak dan ayah mertuaku sedang berbuka puasa.

Mereka nampak tenang, tetapi aku ditebak dengan berbagai-bagai soalan daripada mereka. Sambil mengunyah juadah berbuka, aku terangkan satu persatu kronologi kisah yang berlaku petang tadi. Mereka tidak menyangka, sebaik berpisah selepas menziarahi sepupu isteriku yang baru bersalin, anak mereka pula yang dimasukkan ke dalam wad untuk bersalin.

Sebaik selesai berbuka dan menunaikan solat maghrib, aku siapkan semua barang yang disenaraikan oleh isteriku untuk dibawa ke wad. Emak dan ayah mertuaku yang asalnya bercadang untuk berterawih di masjid, membatalkan niat mereka kerana mereka banyak menolong aku mempersiapkan segala kelengkapan. Maklumlah, mereka lebih mengetahui barang-barang dan kelengkapan yang ada di dalam rumah mereka. Aku pula tidak berani mengusik barang-barang di rumah mereka.

Selesai menyiapkan segala keperluan, aku terus bertolak ke hospital.

Di hospital, aku lihat isteriku tenang sahaja. Tiada tanda-tanda mahu bersalin. Cuma katanya dia sudah ada rasa seperti sakit-sakit, tetapi sekejap ada, sekejap hilang. Tidak banyak yang dapat aku bantu, melainkan mendengarnya dan menenangkannya. Sempat juga kusuntik kata-kata semangat dan doa agar dia bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melalui satu lagi fasa dalam hidupnya - melahirkan anak!

Suami tidak dibenarkan untuk bermalam di wad. Selepas menolong isteriku mengemas barang-barang yang dibawa dari rumah, aku minta diri untuk pulang. Aku juga mengingatkannya agar menghubungiku menerusi panggilan telefon sekiranya ada apa-apa perkembangan, khususnya jika dia sudah sakit mahu bersalin.

Aku pulang dengan bermacam-macam perkara yang tertebak di dalam fikiranku. Antaranya, sudah pasti ucapan kesyukuran kerana akhirnya aku dan isteri sudah sampai ke tahap ini - menjadi ibu dan bapa. Anak yang dikandung di dalam rahim selama lebih kurang 9 bulan akhirnya akan keluar menjengah dunia.

Namun, aku tidak mahu terlalu hanyut dalam buaian angan-angan. Terus kusiapkan diriku untuk menunaikan solat terawih malam pertama bulan Ramadan tahun ini secara sendirian. Selesai bersolat, aku berbaring di katil dan cuba melelapkan mata walaupun di dalam fikiranku macam-macam yang aku fikirkan. Telefon bimbitku kuletak dekat dalam capaian. Manalah tahu, sudah tiba masanya untuk anakku dilahirkan.

Adakah 1 Ogos 2011, merangkap 1 Ramadan 1432 menjadi tarikh kelahiran anakku? Nantikan sambungannya...

Wednesday, August 24, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian II)

Setelah disahkan bahawa isteri aku perlu dimasukkan ke wad kerana jalan sudah terbuka 1 cm, kami berbincang tentang keperluan yang perlu dibawa ke wad. Beg yang mengandungi pakaian bayi dan ibunya yang sudah lama dikemas ada di dalam kereta, tetapi persiapan itu sebenarnya sangat mimimum. Ia hanya disediakan sekiranya kelahiran bayi pertama kami betul-betul dalam keadaan kecemasan.

Sebelum dimasukkan ke wad, aku dan isteri perlu mendaftar diri. Beberapa dokumen diperlukan seperti kad pengenalan dan sijil nikah. Mujur memang kubawa ke mana-mana sahaja salinan permohonan sijil nikah di dalam dompetku.

Selesai pendaftaran, aku perlu menjelaskan bayaran deposit terlebih dahulu. Aku ditawarkan wad kelas satu. Memikirkan keselesaan isteri dari pelbagai sudut khususnya bab aurat dan privasi, tidak lama untukku membuat keputusan untuk menerima tawaran itu. Mujur juga pagi hari itu aku sedia mengeluarkan wang sebanyak RM1000. Berkepuk juga dompetku. Macam tahu-tahu sahaja bahawa kepukan itu tidak lama. Ini kerana bayaran deposit bagi wad kelas pertama di hospital itu ialah RM800 bagi tempoh seminggu.

Selesai membuat bayaran, aku dan isteri diiring oleh seorang jururawat menuju ke wad yang dimaksudkan. Di situlah kami berbincang mengenai keperluan yang perlu diambil dari rumah seperti sedikit makanan dan minuman, pengecas bateri telefon, buku dan tambahan pakaian untuk menampung keperluan tinggal di wad yang kami sendiri tidak tahu berapa hari akan diluangkan di situ. Ini kerana isteriku tidak menunjukkan tanda-tanda sakit, melainkan ada kebocoran. Itu pun tidak kami sangka bahawa itu adalah air ketuban. Maklumlah, masing-masing tidak pernah melihat air ketuban dengan mata kepala sendiri.

Selesai berbincang dan menyenaraikan semua keperluan, lalu kukhabarkan melalui panggilan telefon kepada emak dan ayah mertuaku bahawa anak mereka sudah dimasukkan ke dalam wad untuk persediaan bersalin. Nak dijadikan cerita, kami sama-sama melawat sepupu isteriku di wad bersalin, yang juga merangkap anak buah emak dan ayah mertuaku, pada lewat petang sebelum isteriku pula dimasukkan ke dalam wad yang sama tidak sampai sejam selepas kami berpisah. Kebetulan pula kami pergi ke hospital secara berasingan.

Alangkah terkejutnya emak dan ayah mertuaku kerana langsung tidak menyangka bahawa anak mereka sudah mahu melahirkan anak pertamanya, yang juga merangkap cucu pertama mereka. Terus mereka tanyakan apa-apa bantuan yang mereka boleh hulurkan. Oleh sebab aku sudah jangkakan reaksi itu, lalu kutenangkan mereka. Kukatakan bahawa segalanya baik-baik sahaja. Aku akan pulang ke rumah mereka untuk mendapatkan beberapa keperluan sementara isteriku tinggal di wad.

Hari semakin lewat. Dalam kelam-kabut dan kalut itu, sempatkah aku berbuka puasa? Nantikan sambungannya...

Sunday, August 21, 2011

Kisah Kelahiran Muhammad Zaid (Bahagian I)

Ketika kebanyakan orang lain sibuk berterawih pada malam pertama Ramadan 31 Julai lepas, aku pula sibuk menguruskan isteri yang dimasukkan ke wad untuk bersalin.

Kisahnya, aku dan isteri tidak merancang untuk masuk ke wad seawal itu kerana tanda-tanda kelahiran yang jelas belum ada. Tetapi, isteri aku berat hati untuk melepaskan aku pulang ke KL untuk menyambung tugas Isnin keesokannya. Jadi, dia meminta agar dia diperiksa oleh doktor. Manalah tahu, jalan memang sudah terbuka.

Kisahnya juga, sebenarnya bukanlah sengaja kami pergi ke hospital semata-mata untuk tujuan melakukan pemeriksaan. Tetapi kami pergi ke hospital untuk melawat sepupu isteri yang baru bersalin di hospital yang sama. Jadi, alang-alang berada di hospital, kata isteriku, apa kata kalau dia diperiksa. Manalah tahu, jalan memang sudah terbuka.

Aku turutkan sahaja. Nak dijadikan cerita, prosedur di Hospital Pakar Sultanah Muar yang terletak hanya 2 kilometer dari rumah mertuaku itu, jika sudah lakukan pemeriksaan, perlu ditahan di wad tidak kira bukaan sudah besar mahupun belum terbuka lagi. Setelah berbincang, selain hakikat bahawa isteri aku tidak mahu aku pulang ke KL, kami membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan.

Setelah diperiksa, sah! Sudah terbuka 1 cm. Segala-galanya tidak dirancang. Daripada sekadar mahu menjalankan pemeriksaan, akhirnya ditahan di wad. Dari satu sudut, ada kelegaan pada diriku kerana tidak perlu pulang ke KL dan datang semula ke Muar untuk menguruskan isteri yang mahu bersalin. Dari satu sudut lain pula, kami tidak bersedia sepenuhnya! Langsung tiada bekalan pakaian mahupun persiapan lain yang kami bawa kerana tujuan asal ke hospital itu adalah untuk melawat saudara. Namun mujur rumah mertuaku dekat dengan hospital. Mudah untuk berulang-alik dan menguruskan isteriku.

Bersambung...

Monday, August 08, 2011

Surat Keempat Abah Untuk Z


Hari ini genap usia Z tujuh hari.

Baru sekejap tadi Abah uruskan pendaftaran nama Z di Jabatan Pendaftaran Negara di Muar.

Walaupun Abah dan Ummi sudah lama memanggil Z dengan nama ini, tetapi selagi ia belum didaftarkan secara sah, nama itu masih lagi dikatakan sebagai nama tidak rasmi.

Jadi, dengan terteranya nama Z dalam surat beranak Z, maka dengan ini rasmi dan sahlah bahawa nama penuh Z ialah:

Muhammad Zaid bin Muhammad Zaki

Ringkasnya, Muhammad Zaid bin Muhammad Zaki akan dipanggil sebagai Zaid.

Zaid,

Ketahuilah bahawa Abah dan Ummi melalui saat-saat yang sukar sepanjang menentukan nama Zaid. Nama-nama seperti Maher Zain, Abdullah, Muhammad Zaid Zafri, Ahmad, dan beberapa nama lain menjadi isu hangat yang diperdebatkan oleh Abah dan Ummi. Akhirnya, Abah dan Ummi mencapai kata sepakat bahawa nama yang dipersetujui oleh Abah dan Ummi untuk diberikan kepada anak pertama kami ialah Muhammad Zaid. Itupun selepas Abah dan Ummi menjalankan pemeriksaan imbasan jantina. Ada juga Abah dan Ummi bersiap sedia dengan nama anak perempuan jika keputusan pemeriksaan imbasan itu tidak tepat.

Zaid,

Sengaja Abah dan Ummi memberikan nama yang pendek kepada Zaid. Mudah untuk disebut, ringkas untuk ditulis. Pernah Abah nukilkan bahawa Abah lebih cenderung untuk memilih nama yang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek, Jadi, Abah harap sepanjang hidup Zaid, kekalkanlah dengan nama itu. Usah dipendekkan lagi, apatah lagi dipanjangkan lagi dengan nama-nama yang mungkin Abah dan Ummi tidak berkenan.

Biasa sahaja menjadi amalan dalam masyarakat kita. Walaupun sudah ada nama yang sedap dan bermakna, orang di sekelilingnya pula memberi nama lain. Contohnya nama Abah sendiri - pernah ada cubaan untuk meletakkan nama Abah sebagai Atan. Entah apa maksudnya. Itu belum lagi disebutkan nama Jekek. Isk, mujur tak kekal lama nama tu. Ummimu pula, di sekolahnya, dia dipanngil T-Rex. Kelakar kan? Tapi Abah pun apa kurangnya. Nama sudah sedap-sedap Muhammad Zaki, nak juga Szakif Meli ^^"

Pada Abah, kalaupun mahu memberikan nama yang comel, pastikan ada makna yang baik. Kerana setiap kali nama itu disebutkan, dalam sedar mahupun tidak, ia menjadi doa.

Zaid,

Berkata tentang maksud namamu, ia sangat berkait rapat dengan makna bertambah, meningkat, dan bertumbuh. Setahu Abah yang ada latar belakang bahasa Arab sedikit ini, perkataan Zaid berasal daripada kata akar Za-da (tambah). Zada yazidu zaidan. Dipetik daripada makna perkataan itu, maksud asas nama Zaid ialah tambah. Suka untuk Abah nyatakan perkara-perkara yang sepatutnya bertambah sepanjang hidupmu.

Zaid,

Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Allah dan Rasul-Nya.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Ummimu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah kasih dan cintamu kepada Abahmu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah imanmu.
Semakin bertambah usiamu, tambahlah ilmumu.

Zaid,

Jika semua itu dapat bertambah dari demi hari, insya Allah banyak perkara lain yang turut sama bertambah - rezekimu, rakan-rakanmu, kenalanmu, jasamu, budimu, kematanganmu, dan sebagainya. Insya Allah... Tidak sanggup Abah nukilkan akibat yang mungkin boleh terjadi sekiranya hal yang sebaliknya berlaku.

Zaid,

Ketahuilah juga bahawa nama Zaid itu Abah dan Ummi ambil daripada nama sahabat Nabi Muhammad S.A.W.  - Zaid bin Tsabit. Beliaulah antara sahabat yang bertanggungjawab menulis al-Quran. Beliau juga banyak menulis surat bagi pihak Baginda untuk ditujukan kepada pihak-pihak yang diseru memeluk Islam. Sepanjang hidupnya selepas itu, beliau menjadi antara rujukan utama dalam penulisan al-Quran walaupun Nabi Muhammad S.A.W. sudah wafat.

Justeru Zaid, pada Abah khususnya, nama Zaid sangat rapat dengan diri Abah kerana Abah juga minat menulis. Tanpa jasa Zaid bin Tsabit menulis butir-butir ayat indah al-Quran, mana mungkin kita boleh membacanya kini. Dan ketahuilah Zaid, bahawa al-Quran itulah mukjizat Nabi Muhammad S.A.W. yang paling agung, kerana sehingga hari kiamat ia akan kekal tidak berubah dan tidak diubah.

Jadi Zaid, teladanilah dan insafilah jasa yang dilakukan oleh Zaid bin Tsabit. Tidak akan mungkin kau akan menulis al-Quran sebagaimana beliau, namun Abah doakan kau akan menjadi seorang yang hebat, yang banyak menyumbangkan jasa kepada masyarakat menerusi tulisanmu.

Sebenarnya, banyak lagi sebab yang menyumbang ke arah persetujuan Abah dan Ummi dengan nama Zaid ini. Tetapi sebab-sebab yang utama ialah seperti yang Abah bebelkan di atas. Itu belum lagi Abah nukilkan sebab nama Zaid didahulukan dengan perkataan Muhammad. Ia bukan sekadar mengikut ritma nama Abah, Zaid.

Insya Allah Zaid, dengan setiap kali namamu disebut oleh sesiapa sahaja, mudah-mudahan menjadi doa yang mustajab untuk menjadikan kau manusia yang cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat. Amin...

Namun yang pasti, untuk mencapai semua yang Abah bebelkan di atas, Abahlah yang perlu memainkan peranan paling utama dalam mencorakkan hidup Zaid. Ini kerana lahirmu ibarat kain putih yang bersih, yang perlu dicorakwarnakan oleh Abah dan Ummimu. Doakan agar Abah berjaya membimbing Zaid menjadi manusia yang cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat. Amin...

Wednesday, August 03, 2011

Surat Ketiga Abah untuk Z


Ke hadapan Z,

Abah takkan lupa saat Abah mengazankanmu Z, tidak lama selepas Z dilahirkan. Tubuh kecilmu Abah rangkul dalam dakapan Abah.

Allahu akbar,

Saat Abah mula melafazkan takbir itu, Z terus terkedu. Senyap, tak bergerak. Sedangkan sebelum itu Z seperti meronta-ronta dan merengek-rengek sedikit.

Allahu akbar,

Ya Allah Kau Maha Besar, menciptakan manusia yang kupegang ini daripada benihku dan benih isteriku. Daripada sekecil-kecil sel separa kromosom, bercantum menjadi zigot, membahagi dan terus membahagi dengan izin-Mu.

Asyhadu alla ilaha illallah,

Itu kali pertama lafaz itu Abah perdengarkan terus ke telinga kananmu, Z. Mata bulatmu memandang tepat ke dalam mata Abah. Abah cuba menahan sebak di dada. Tidak sangka Abah berpeluang mengazankan anaknya. Bersaksilah Z, bahawa tiada Tuhan yang kausembah melainkan Allah.

Asyhadu alla ilaha illallah,

Kali kedua lafaz yang sama dibisikkan tepat ke telingamu. Kau terus merenung dalam-dalam ke arah biji mata Abahmu yang masih berperang dengan sebak di dada. Hidung Abah mula terasa sengal-sengal. Tanda-tanda awal sebelum mengalir air mata jantannya.

Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah,

Air mata mula bergenang. Hampir melimpah. Namun gagah jua Abahmu ini menahan empangan air mata.

Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah,

Bersaksilah Z! Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. itulah Nabimu, Rasulmu, yang menjadi ikutanmu, yang menjadi sumber inspirasimu.

Hayya 'alassolah,

Ketahuilah Z! Bahawa solat itu tiang agama. Tegak utuh tiang agamamu, teguh suburlah Islammu.

Hayya 'alassolah,

Abahmu kini tersenyum, berjaya mengawal sebak di dada. Kau terus senyap dalam dakapan Abahmu. Tidak menangis, tidak tertoleh langsung kepalamu. Seakan kaumenghayati setiap butir bicara seruan yang Abahmu sedang lafazkan.

Hayya 'alal falah,

Ketahuilah Z! Bahawa kejayaan itu ada di mana-mana. Namun kejayaan paling agung dalam hidup seorang Muslim bukanlah di dunia ini, tetapi di akhirat sana. Syurga yang didamba, tempat berkumpulnya orang Muslim sejati.

Hayya 'alah falah,

Rendah sahaja nada suara Abahmu kali ini, mengetahui bahawa azan yang dilafazkan hampir sampai ke penghujungnya. Saat-saat tidak sampai seminit yang begitu berharga. Yang hanya dapat dirasa orang yang baru bergelar bapa. Yang takkan pernah dapat dilupa.

Allahu akbar allahu akbar,

Ya Allah Kau Maha Besar. Aku bersyukur dengan anugerah yang kau berikan kepadaku. Akan kucuba sehabis baik menjaganya, membimbingnya, menjadikannya Muslim yang berjaya.

La ilaha illah,

Aku bersaksi, bahawa tiada Tuhan yang aku sembah, dan yang anakku sembah, melainkan-Mu, Ya Allah...





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...